Polis tahan empat lelaki roboh kuil di Rawang

GOMBAK 12 Feb – Polis menahan empat lelaki tempatan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian merobohkan sebahagian sebuah kuil di daerah ini tanpa sebarang perbincangan atau pemberitahuan kepada pihak berkuasa tempatan pada Rabu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang lelaki tempatan berhubung kejadian itu pada hari sama.

“Hasil siasatan mendapati sebahagian kuil telah dirobohkan tanpa ada perbincangan dan tiada pemberitahuan kepada pihak berkuasa tempatan serta pengadu sebelum melakukan aktiviti pembersihan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, susulan kejadian itu, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 427, 295, 504 dan 447 Kanun Keseksaan.

“Seramai empat lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 39 tahun telah ditahan serta kita merampas sebuah jengkaut,” katanya.

Shazeli turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi serta kekal rasional dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama atau mengganggu ketenteraman awam.

“Kita memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara profesional, telus dan adil berlandaskan lunas undang-undang.

“Sehubungan itu, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Eqhmal Hakimi Zainodin di talian 013-6117371 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222,” katanya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14115

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *