Saifuddin minta pihak tuduh Azam Baki kemuka bukti

PUTRAJAYA 12 Feb – Pihak yang membuat dakwaan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, diminta mengemukakan bukti terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu selaras dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya proses undang-undang dibiarkan berjalan seperti biasa.

“Seperti disebut Perdana Menteri, kita beri ruang kepada proses undang-undang. Ketika ini, tanggungjawab terletak pada pihak yang membuat tuduhan untuk mengemukakan bukti.

“Setakat ini, saya belum dimaklumkan mengenai sebarang laporan polis yang dibuat berhubung perkara tersebut,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), pada Khamis.

Sebelum ini, media antarabangsa Bloomberg melaporkan Azam didakwa memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Laporan itu merujuk kepada pemfailan tahunan syarikat berkenaan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu, dengan nilai pegangan dianggarkan hampir RM800,000 berdasarkan harga penutupan dagangan Isnin lalu.

Dalam sidang media pada Rabu, Azam menegaskan beliau telah melupuskan keseluruhan pegangan saham tersebut dan kini tidak memiliki sebarang saham dalam mana-mana syarikat.

Menurutnya, saham Velocity itu dibeli pada awal 2025 dan dijual sepenuhnya pada Julai tahun sama tanpa memperoleh sebarang keuntungan.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14135

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *