Zahrah Mariam pilihan nama puteri sulung Putera Mateen

PETALING JAYA – Nama Zahrah Mariam Bolkiah menjadi pilihan bagi permata sulung pasangan Diraja Brunei, Paduka Seri Pangiran Muda Abdul Mateen dan isteri, Paduka Seri Pangiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam, yang selamat dilahirkan Ahad lalu.

Menerusi hantaran di Instagram, Putera Mateen memuat naik potret keluarga memaparkan baginda mendukung anakanda tercinta.

Dalam hantaran sama, baginda menzahirkan rasa syukur atas kelahiran puteri sulung mereka selain merakamkan penghargaan kepada pasukan perubatan Jerudong Park Medical Centre (JPMC), Brunei.

“Beta dan Anisha sangat bersyukur dengan kredibiliti pasukan di JPMC yang luar biasa atas penjagaan serta sokongan, selain menghargai segala ucapan yang diberikan,” titah baginda.

Perkongsian tersebut meraih lebih 500,000 tanda suka, selain dihujani ribuan ucapan tahniah dan doa kesejahteraan buat ibu serta bayi yang baharu dilahirkan.

Terdahulu, Ahad lalu, Anisha Rosnah dilaporkan selamat melahirkan bayi perempuan pada pukul 8.50 pagi.

Sementara itu, Anisha Rosnah menerusi hantaran di Facebook memaklumkan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah berkenan mengurniakan nama Zahrah Mariam kepada cucunda baginda.

Beliau turut berkongsi petikan laporan Radio Televisyen Brunei (RTB News) yang menyatakan Kerabat Diraja Brunei menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantu sepanjang proses kelahiran tersebut.

“Kerabat Diraja Brunei juga berterima kasih kepada semua pihak yang menyampaikan perutusan tahniah dan ucap selamat berikutan kelahiran cucunda baginda,” katanya. – KOSMO! ONLINE

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/02/12/zahrah-mariam-pilihan-nama-permata-sulung-pasangan-diraja-brunei/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *