PETALING JAYA – Pengguna media sosial khususnya peminat K-Pop dari negara Asia Tenggara bersatu hati dalam ‘perang maya’ berdepan netizen Korea Selatan, didakwa susulan insiden teguran semasa konsert kumpulan band pop rock Korea Selatan iaitu DAY6 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
‘Perang maya’ berkenaan dikatakan bermula beberapa hari lalu dan masih ‘aktif’ pada masa ini dengan pelbagai balasan komen, kritikan dan sindiran ditujukan kepada pengguna media sosial dari Korea Selatan.
Berdasarkan tinjauan di media sosial, ‘perang maya’ tersebut berlaku di platform X dan kemudian ia tular dan disebut-sebut oleh pengguna media sosial TikTok.
Menerusi perkongsian Seaasia.news pada Instagram yang memetik seorang pengguna X @satzze, difahamkan ‘perang maya’ bermula antara peminat K-Pop dari Malaysia dengan netizen Korea Selatan atau dikenali sebagai Knetz.
Peminat tegar K-Pop dari Korea Selatan atau dikenali sebagai fansite didakwa membawa kamera profesional bersaiz besar untuk menangkap gambar semasa konsert berlangsung, namun perbuatan itu ditegur oleh peminat K-Pop dari Malaysia.
Hal ini kerana kamera profesional tersebut didakwa menghalang pandangan peminat lain untuk menikmati konsert berkenaan.
“Mereka telah ditegur, namun ia tidak berkesan. Tingkah laku tersebut sebenarnya melanggar peraturan. Namun akhirnya, Knetz tidak menerima kritikan itu dan sebaliknya melontarkan kenyataan berbaur perkauman terhadap orang Asia Tenggara.
“Mereka memanggil orang Asia Tenggara miskin, berkulit gelap dan mengatakan wajah mereka seperti haiwan,” menurut hantaran @Satzze yang dipetik Seaasia.news.
Kenyataan oleh Knetz kemudian membangkitkan kemarahan pengguna media sosial bukan hanya dari Malaysia sahaja, bahkan Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam yang bertindak ‘menyerang’ netizen Korea Selatan dengan pelbagai kritikan, kecaman selain sindiran jenaka kepada mereka.
Pengguna media sosial dari negara Asia Tenggara menggelarkan diri sebagai SEAblings serta melakukan ‘pertempuran’ menerusi ‘perang maya’ terhadap Knetz, malah perkara itu masih disebut-sebut pada ketika ini. – KOSMO! ONLINE
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/02/14/seablings-bersatu-hati-sampai-tersungkur-knetz/

Leave a Reply