5 kuda tercantik di dunia, ada berkilat macam logam

KUDA ialah haiwan yang terkenal dengan kelajuan, ketahanan badan dalam cuaca ekstrem, melaksanakan tugas berat, bahkan menjadi sebahagian daripada aset ketenteraan ketika peperangan suatu ketika dahulu.

Setiap baka kuda mempunyai keunikan dan kecantikan tersendiri seperti terletak pada warna bulu, corak, bentuk badan dan ciri-ciri lain yang menjadikannya sangat istimewa.

Sehubungan itu, sempena Tahun Baharu Cina tahun ini yang merupakan Tahun Kuda, pada minggu ini CitaRasa kongsikan lima baka kuda paling cantik di dunia sebagaimana dikongsikan Engineering & Science.

KUDA Friesian berasal dari Belanda dan terkenal dengan bulunya yang hitam pekat, rambut yang panjang dan bulu ekor yang tebal. Ia kelihatan sangat elegan apabila bergerak terutama semasa berlari.

Dahulu, Friesian digunakan sebagai kuda perang dan kereta kuda. Hari ini, ia popular dalam filem, persembahan dan sukan ekuestrian (dressage). Selain kecantikan, Friesian juga kuat, tenang dan mesra yang menjadikan mudah dilatih. Salah seekor kuda berkenaan, Frederik the Great yang dimiliki seorang pemilik dari Amerika Syarikat turut diiktiraf kuda terkacak dunia.

SETERUSNYA ialah kuda Arab yang merupakan salah satu baka kuda tertua di dunia dengan sejarah lebih 4,000 tahun.

Ia dikenali kerana bentuk kepala yang tersendiri, mata yang besar dan ekor yang tinggi. Kuda Arab bukan sahaja cantik, malah juga bijak dan lemah lembut.

Kerana ketahanan, kuda-kuda ini digunakan untuk perjalanan jarak jauh di padang pasir. Banyak baka kuda moden pada ketika ini mempunyai β€˜darah’ kuda Arab di dalam badannya.

BERASAL dari Turkmenistan, kuda akhal-teke sering juga dipanggil kuda emas kerana bulunya yang berkilat serta kelihatan seperti logam. Apabila cahaya matahari mengenai bulunya, kuda itu kelihatan bersinar. Kilauan ini adalah semula jadi dan datang daripada struktur bulunya yang istimewa.

Kuda Akhal-teke mempunyai badan yang langsing, kaki yang panjang dan badan yang anggun. Kuda ini dibiak di padang pasir yang menjadikannya sangat kuat dan mampu melakukan perjalanan jauh tanpa letih.

Kuda ini jarang ditemui dan sangat dihargai di seluruh dunia kerana kecantikan dan ketahanannya. Selain itu, ia juga dikenali kerana setia dan membentuk ikatan yang kuat dengan pemiliknya.

DIKAGUMI sejak berabad, kuda Andalusia yang berasal dari Sepanyol ini terkenal dengan rambut panjang dan tebal, pergerakan lancar dan postur badan mendada. Pada masa lalu, kuda Andalusia digunakan oleh raja, kesateria dan tentera kerana kekuatan dan keberanian. Hari ini, kuda Andalusia popular dalam tunggangan klasik, perarakan dan filem kerana penampilan yang elegan.

Kuda ini juga bijak dan tenang yang menjadikan mudah dilatih. Ia juga boleh mempelajari pergerakan yang kompleks dan bertindak balas dengan baik kepada penunggang, menjadikan salah satu baka kuda yang paling dihormati di dunia.

TERKENAL dengan bulu yang berbintik-bintik menjadikan kuda appaloosa cukup unik dan cantik. Menariknya, setiap corak pada kuda tersebut tidak sama antara satu sama lain. Lantas menjadikan hanya satu satu corak untuk satu kuda. Baka kuda ini berasal dari Amerika Utara dan dibiakkan oleh suku Nez Perce.

Appaloosa kuat, rajin dan boleh menyesuaikan diri yang membolehkan melaksanakan banyak tugas. Kuda ini juga biasanya digunakan untuk menunggang, perlumbaan dan kerja ladang. Penampilan unik yang digabungkan dengan kekuatan dan serba boleh menjadikan kuda appaloosa sangat popular dan dikagumi oleh pencinta kuda di seluruh dunia.

πŸ”— Source: https://www.kosmo.com.my/2026/02/15/5-kuda-tercantik-di-dunia-ada-berkilat-macam-logam/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *