JOHOR BAHRU 15 Feb – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim, memilih untuk tidak mencampuri urusan dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) susulan pemecatan bekas Timbalan Presidennya, Hamzah Zainuddin.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak mahu mengulas lanjut berhubung tindakan disiplin yang dikenakan terhadap Hamzah, termasuk persoalan berkaitan pelantikan Ketua Pembangkang baharu.
“Biar mereka bergaduh dulu,” katanya ringkas ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Presiden PKR bersama PKR Johor di sini, hari ini.
Turut hadir pada program berkenaan ialah Ketua Wanita PKR yang juga Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Johor, Dr Zaliha Mustafa serta Setiausaha MPN PKR Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali dilaporkan memaklumkan bahawa keputusan memecat Hamzah dibuat oleh Lembaga Disiplin parti selaras Fasal 22.5 perlembagaan.
Hamzah dikatakan tidak hadir ke prosiding yang dijadualkan berlangsung di ibu pejabat parti di Petaling Jaya, selepas dipanggil berhubung isu kritikan terhadap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin serta dakwaan berkaitan rundingan dalam Perikatan Nasional.
Terdahulu, Anwar tiba di majlis tersebut sekitar jam 2.20 petang dan disambut lebih 1,000 ahli parti dengan laungan ‘reformasi’.
Mengulas ucapannya kepada pimpinan PKR Johor, beliau menegaskan kepentingan bekerja sebagai satu pasukan.
“Kuat kerja, kerja kuat sebagai satu pasukan,” katanya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14173

Leave a Reply