PETALING JAYA – Poster kematian kembali tular, pelakon Zahiril Adzim tidak melatah sebaliknya menyedari hebahan berkenaan adalah mengenai watak Falah lakonannya dalam drama Andai Tiada Dia.
Zahiril atau nama sebenarnya, Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 42, berkata, harapannya adalah orang ramai mendoakan kesejahteraan dirinya serta mampu terus mencari rezeki untuk keluarga.
“Terkejut, ingatkan saya dah arwah, rupanya masih hidup lagi. Nasib baik saya tengok nama betul-betul. Kalau tak, mesti saya dah percaya dengan ‘post’ ini.
“Tak apalah, alang-alang saya masih hidup ini, doakan saya ya semua. Semoga saya sentiasa sihat untuk cari reda Allah dan rezeki untuk keluarga,” katanya dalam Threads.
Walaupun dengan nama wataknya, Falah Yusof dalam drama bersiri 36 episod yang mencetuskan fenomena dua tahun lalu, perkara tersebut tetap mencetuskan kekeliruan netizen.
Hantaran berkenaan meraih pelbagai komen pengguna laman sosial yang kagum dengan reaksi tenang Zahiril walaupun disangka sudah meninggal dunia.
“Saya terkejut sampai terbeliak mata. Janganlah buat posting macam ini. Sumpah tak lawak,” ujar seorang pengguna laman sosial.
Sekitar dua tahun lalu, Andai Tiada Dia lakonannya bersama Ummi Nazeera yang sarat emosi meninggalkan impak luar biasa buat penonton.
Bagaimanapun, perjalanan watak Falah sampai ke penghujungnya apabila dia meninggal dunia akibat kanser sehingga penonton banjir air mata.
Berikutan kematian karakter tersebut, ketika itu muncul banyak hantaran di media sosial yang meluahkan kesedihan mereka. – KOSMO! ONLINE
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/02/15/ingatkan-dah-arwah-rupanya-saya-masih-hidup/

Leave a Reply