KUALA LANGAT 15 Feb – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah teres di Taman Baiduri, Banting, awal pagi Ahad.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.42 pagi sebelum anggota digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, seramai 18 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Banting dan Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Panglima Garang terlibat dalam operasi pemadaman.
Setibanya pasukan di lokasi, kebakaran didapati melibatkan rumah teres kelas A dengan kemusnahan dianggarkan 84 peratus.
“Terdapat dua mangsa dilaporkan terperangkap. Operasi pencarian kemudian menemukan mayat seorang kanak-kanak di bilik tingkat atas rumah berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang mengalami kecederaan dihantar ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan lanjut.
Ketika kejadian, rumah tersebut didiami 10 penghuni dan sembilan daripadanya dilaporkan terselamat.
Api berjaya dikawal sebelum dipadam sepenuhnya kira-kira jam 7 pagi, manakala punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14168

Leave a Reply