Anwar seru rakyat perkukuh muhibah, tolak prasangka sempena Tahun Baharu Cina

KUALA LUMPUR 16 Feb – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat agar tidak membiarkan emosi, hasutan serta perbezaan pandangan meretakkan hubungan dan menghakis kepercayaan yang telah lama terjalin dalam masyarakat majmuk negara ini.

Dalam perutusan sempena sambutan Tahun Baharu Cina esok, beliau berkata perbezaan harus dijadikan ruang untuk memperkukuh semangat muhibah, menolak prasangka serta memilih jalan dialog dan rundingan demi mengekalkan keharmonian bersama.

“Tahun Baharu Cina sentiasa mengingatkan kita tentang kemakmuran, harapan dan kekuatan untuk melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan. Pada Tahun Kuda ini, ketekunan, keberanian dan semangat juang diraikan seiring tuntutan untuk bertindak dengan kebijaksanaan serta kesederhanaan.

“Confucius mengingatkan kita bahawa keharmonian lahir apabila manusia saling menghormati dan memahami antara satu sama lain. Inilah asas yang memungkinkan masyarakat berbilang kaum hidup bersama secara aman walaupun berbeza latar budaya dan kepercayaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar turut menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia akan terus melangkah gagah selagi nilai keharmonian, rasa hormat dan ihsan dijadikan pegangan bersama.

Beliau turut mendoakan agar seluruh rakyat dilimpahkan kesejahteraan dan kemakmuran.

“Gong Xi Fa Cai! Xin Nian Kuai Le! Ma Nian Xin Da Yun!,” katanya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14188

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *