Dividen KWSP 2026 mesti bersasar, utamakan pencarum terkesan – PGIRM

Oleh AZRUL RADI

KUALA LUMPUR 16 Feb – Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) menjelaskan pendekatan bersasar yang dicadangkan dalam tuntutan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2026 perlu dilaksanakan berasaskan data sah dan garis panduan yang telus.

Presiden PGIRM, Azmi Mohd Tahir berkata, pihaknya mengambil maklum pertanyaan pencarum berhubung kaedah penentuan kelayakan sekiranya cadangan pengeluaran dividen secara bersasar dilaksanakan.

Menurut beliau, PGIRM tidak menentukan senarai nama pencarum yang layak, sebaliknya hanya mengemukakan cadangan dasar supaya keutamaan diberikan kepada golongan yang benar-benar terkesan.

Katanya, pelaksanaan pendekatan itu perlu berpandukan rekod rasmi dalam sistem KWSP serta data agensi berkaitan.

Antara parameter yang dicadangkan untuk dipertimbangkan termasuk rekod dan status caruman semasa, pengurangan atau pemberhentian caruman, tahap pendapatan serta komitmen kewangan kritikal, selain rekod penerimaan bantuan sedia ada.

“Penentuan kelayakan mesti dibuat secara telus, berdasarkan data yang sah serta garis panduan yang diumumkan secara terbuka.

“Bersasar bukan bermaksud memilih secara subjektif, tetapi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang paling memerlukan,” katanya dalam kenyataan media bertarikh 15 Februari 2026 di sini.

Azmi menegaskan PGIRM kekal mempertahankan hak pencarum, namun dalam konteks dasar awam, keutamaan wajar diberikan kepada golongan yang paling terkesan.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14178

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *