KWSP dijangka umum dividen 6.3% hingga 6.5% bagi 2025

KUALA LUMPUR 16 Feb – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan kadar dividen antara 6.3 peratus dan 6.5 peratus bagi 2025, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

Untuk 2024, KWSP mengisytiharkan kadar dividen sebanyak 6.3 peratus bagi akaun simpanan konvensional dan Syariah.

Mohd Afzanizam berkata, berdasarkan prestasi KWSP bagi tempoh sembilan bulan 2025 yang merekodkan peningkatan 11 peratus dalam pendapatan pelaburan kasar, dana persaraan itu kekal berada di landasan kukuh untuk pembayaran dividen yang memberangsangkan.

“Kriteria pemilihan pelaburan KWSP yang konservatif dan bertanggungjawab membolehkannya mengoptimumkan keseimbangan antara risiko dan pulangan.

“Pendedahan kepada pasaran global berjumlah kira-kira 38 peratus serta peruntukan besar kepada aset pendapatan tetap menawarkan gabungan aset seimbang dan kepelbagaian geografi,” katanya kepada Bernama.

Sehingga suku ketiga 2025, ekuiti dan pendapatan tetap masing-masing merangkumi 46 peratus dan 45 peratus daripada jumlah aset KWSP, diikuti hartanah dan infrastruktur sebanyak tujuh peratus serta instrumen pasaran wang sebanyak dua peratus.

Menurut beliau, setiap kelas aset memainkan peranan tersendiri dalam portfolio, dengan ekuiti memberi tumpuan kepada pertumbuhan modal manakala instrumen pendapatan tetap dan pasaran wang membantu pengekalan modal serta pengurusan mudah tunai.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA, Dr Juliana Mohamed Abdul Kadir berkata strategi kepelbagaian kelas aset termasuk pelaburan dalam dan luar negara membantu KWSP mencapai kadar dividen lebih tinggi.

Beliau turut merujuk langkah KWSP meningkatkan pegangan saham dalam IJM Corporation Berhad kepada 20.4 peratus, sekali gus menjadikannya pemegang saham terbesar syarikat pembinaan itu.

Bagaimanapun, Juliana berkata faktor seperti perubahan kadar faedah global, kestabilan mata wang serta ketidaktentuan geopolitik termasuk dasar perdagangan Amerika Syarikat boleh mempengaruhi pulangan dan sentimen pasaran.

Beliau menjangkakan dividen KWSP berpotensi berada dalam julat 5.5 hingga 6.5 peratus dalam beberapa tahun akan datang, bergantung kepada prestasi pasaran global dan kecekapan strategi pelaburan dana itu.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14185

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *