Polis buru tiga lelaki baling mercun ke dalam rumah warga emas

SEREMBAN 16 Feb – Polis sedang mengesan tiga lelaki yang tular membaling mercun ke dalam rumah seorang penduduk warga emas di Taman Senawang Jaya, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Azahar Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 8.12 malam, Sabtu lalu.

“Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan tiga suspek lelaki yang masih belum dikenal pasti identitinya membaling mercun ke dalam sebuah rumah warga emas.

“Laporan berkaitan kes baling mercun di Taman Senawang Jaya itu diterima pada jam 1.45 petang, Isnin,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Beliau berkata, usaha mengesan ketiga-tiga suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 iaitu kesalahan memiliki atau membakar mercun tanpa kebenaran.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di 06-6033222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Kes dikendalikan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14184

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *