Saya tak nak pakai, kemudian esok tanggal semula – Rossa

Rossa atau nama sebenarnya, Sri Rossa Roslaina Handiyani, 48, bagaimanapun berkata, buat masa sekarang biarlah urusan tersebut diusahakan perlahan-lahan tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

“Kali terakhir saya buat umrah sebelum pandemik Covid-19. Sebetulnya, saya nak sangat bertudung tapi tak nak tergesa-gesa memutuskan semua itu.

“Takut nanti saya pakai kemudian keesokan harinya buka (tanggal) semula. Bagi saya, itu tak enak (manis) buat saya.

“Kalau di Tanah Suci, semua wanita akan memakai tudung dan menutup aurat. Tapi, sekarang saya mencuba sehabis baik untuk tidak memakai pakaian yang terbuka (terdedah sangat),” katanya kepada Kosmo! Online pada temu bual eksklusif rakaman audio siar, Habis Cerita kendaliannya dengan Nora Danish dan Natasha Ozeir baru-baru ini.

Menjawab tentang doa-doa yang dipanjatkan peminat agar dirinya segera bertudung penuh, pelantun lagu Ayat Ayat Cinta itu menyambut baik segala titipan murni daripada orang ramai.

“Semestinya senang (gembira) orang mendoakan yang baik-baik buat kita dan doa dilantunkan kembali kepada mereka,” ujarnya.

Ditebak pertanyaan sama ada akan menghentikan langkah dalam dunia hiburan andai menutup aurat sepenuhnya suatu hari nanti, jawab Rossa: “Saya pun tak tahu sebenarnya.

“Kalau waktu itu datang, baru saya boleh jawab soalan berkenaan.

“Yang pasti, saya tahu nyanyian adalah minat utama saya, namun saya juga tahu yang saya takkan selamanya berada di sini (sebagai penghibur).

“Mungkin nanti kalau dah berhijrah, saya boleh bekerja di belakang tabir dan memenuhkan ilmu di dada dengan belajar lebih mendalam tentang agama.”

Mengulas tentang podcast Habis Cerita, Rossa memberitahu, idea untuk menghasilkan program tersebut tercetus secara spontan ketika mereka bercuti bersama di Bali, Indonesia.

Tanpa perancangan rapi pada awalnya, perbualan santai antara tiga sahabat itu akhirnya membawa kepada satu projek yang dekat di hati.

“Pada mulanya sekadar berbual kosong. Kami sendiri belum tahu topik apa yang mahu diketengahkan. Tapi selepas berbincang, kami jumpa hala tuju podcast ini,” katanya.

Rossa menyifatkan Habis Cerita sebagai ruang ‘me time’ buat dirinya, selain peluang berkongsi pengalaman hidup bersama peminat memandangkan mereka datang daripada latar kerjaya yang berbeza.

Lebih istimewa, podcast ini turut menjadi simbol penghargaan terhadap persahabatan yang sudah terjalin hampir 20 tahun.

“Saya kenal Nora ketika kami sama-sama menghiasi muka depan majalah kira-kira 20 tahun lalu. Manakala Tasha pula saya kenal melalui Joe Flizzow dan sejak itu kami semakin rapat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/02/16/saya-tak-nak-pakai-kemudian-esok-tanggal-semula-rossa/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *