Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia memandang serius polemik yang diperbesarkan berhubung penggunaan istilah ‘melalak’ oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran media sosial berkaitan isu penghinaan terhadap al-Quran.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, istilah tersebut perlu difahami dalam konteks sebenar dan tidak wajar dipetik secara terpisah sehingga membentuk persepsi yang mengelirukan masyarakat.
Menurut beliau, kenyataan Perdana Menteri itu merujuk kepada sikap segelintir pihak yang tergesa-gesa menuduh kerajaan kononnya gagal bertindak, sedangkan proses siasatan dan penguatkuasaan sedang dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.
“Kenyataan itu bukan serangan terhadap mana-mana individu atau kelompok. Sebaliknya, ia adalah peringatan tegas bahawa tuduhan melulu, tohmahan tidak berasas dan permainan persepsi politik hanya akan mengeruhkan suasana serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
AMK turut menegaskan bahawa individu yang terlibat dalam perbuatan menghina al-Quran telah pun ditahan dan siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh oleh pihak berkuasa.
Fakta tersebut, menurutnya, membuktikan bahawa kerajaan tidak berdiam diri dalam isu berkenaan.
“Malaysia sebagai sebuah negara hukum menuntut setiap tindakan dilaksanakan berlandaskan peruntukan undang-undang, bukannya tekanan emosi, desakan politik atau tuntutan bersifat populis,” jelasnya.
Tambah beliau, dalam isu melibatkan sensitiviti agama dan keharmonian antara kaum, tindakan tergesa-gesa tanpa proses sah bukan sahaja mencabul prinsip keadilan, malah berpotensi mencetuskan ketegangan yang lebih besar.
“Ketegasan mesti disertai kebijaksanaan dan keadilan perlu ditegakkan melalui proses yang telus serta profesional,” jelasnya.
Sehubungan itu, AMK menolak sebarang naratif yang cuba menggambarkan kerajaan sebagai lemah atau tidak bertindak. Kenyataan Perdana Menteri, katanya, harus dilihat sebagai teguran terhadap budaya politik yang gemar membakar sentimen sebelum fakta lengkap diperoleh, bukannya usaha meremehkan kebimbangan rakyat.
AMK turut menyeru semua pihak agar menghentikan manipulasi isu berkenaan demi kepentingan politik sempit serta memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyempurnakan siasatan tanpa tekanan atau campur tangan.
Sebagai negara majmuk, tegasnya, kestabilan dan keharmonian nasional tidak boleh dikorbankan demi retorik yang mengapi-apikan sentimen agama atau perkauman.
“AMK akan terus berdiri teguh mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang serta menyokong usaha kerajaan dalam memastikan keamanan, keharmonian dan maruah negara sentiasa terpelihara,” katanya.
🔗 Source: https://thereporter.my/amk-pertahan-kenyataan-pm-istilah-melalak-disalah-tafsir/

Leave a Reply