Lebih telus, kerajaan sasar MyKad ganti QR beli minyak masak bersubsidi hujung tahun ini

Lebih telus, kerajaan sasar guna MyKad beli minyak masak bersubsidi hujung tahun ini

KAJANG 6 Mac – Kerajaan menyasarkan pelaksanaan penggunaan MyKad bagi pembelian minyak masak paket bersubsidi dapat dilaksanakan menjelang hujung tahun ini menerusi integrasi dengan terminal MyKasih.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata ketika ini kerajaan masih menggunakan sistem imbasan kod QR sebagai langkah sementara bagi memastikan hanya warganegara tempatan yang layak dapat membeli minyak masak paket bersubsidi.

Menurutnya, sistem baharu itu kelak membolehkan pengguna menggunakan kad pengenalan untuk membuat pembelian melalui terminal MyKasih yang bakal ditempatkan di kedai runcit kecil dan sederhana.

“Pada ketika ini kita menggunakan kod QR untuk rakyat Malaysia membeli minyak masak paket. Mereka perlu mengimbas kod tersebut bersama rakan strategi kementerian.

“Langkah ini diambil selepas kerajaan mewartakan bahawa warga asing tidak dibenarkan membeli minyak masak paket bersubsidi,” katanya selepas Program Edaran Bubur Lambuk dan Insentif CSR Econsave Cash & Carry Sdn Bhd di sini pada Khamis.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali, dilaporkan berkata warga asing dilarang membeli minyak masak bersubsidi mulai 1 Mac dengan larangan itu dikuatkuasakan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, dengan punca kuasa Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam pada itu, Fuziah menjelaskan penggunaan kod QR merupakan langkah sementara sebelum sistem integrasi kad pengenalan dengan terminal MyKasih dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Menurutnya, kira-kira 10,000 terminal MyKasih dijangka diedarkan kepada peruncit kecil dan sederhana di seluruh negara, tertakluk kepada kemampuan kewangan kerajaan.

“Kementerian kini sedang mengintegrasikan sistem berkenaan dengan pangkalan data yang dikumpul melalui aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS),” jelasnya.

Sejak sistem pemantauan diperkenalkan, beliau berkata kementerian merekodkan sekitar 951 kes ketirisan minyak masak paket bermula Januari 2024 hingga Februari 2026 dengan nilai rampasan berjumlah RM4.5 juta.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14474

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *