MELAKA 31 Mac – Nasib seorang wanita warga emas bersama tujuh ahli keluarganya yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran Sabtu lalu mendapat pembelaan pantas daripada pelbagai pihak.
Penderitaan keluarga Fatimah Ahmat, 69, dari Jalan Duyong Tengah, Kampung Duyong itu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang segera menggerakkan usaha mengumpul dana bantuan.
Menerusi hantaran di akaun Facebook rasminya hari ini, beliau memaklumkan sumbangan berjumlah RM90,000 berjaya dikumpulkan hasil kerjasama pelbagai agensi dan individu dalam tempoh hanya satu jam.
“Rumah dikategorikan sebagai musnah sepenuhnya (total lost) dan kos baik pulih dianggarkan mencecah RM80,000 dengan menggunakan khidmat tukang kampung bagi menjimatkan kos,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa strategi mengumpul dana secara “keroyok” atau gandingan bersama itu dilakukan kerana kos baik pulih yang tinggi sukar ditanggung oleh satu agensi sahaja dalam masa yang singkat.
Daripada jumlah RM90,000 yang dikumpulkan itu, sebanyak RM85,000 diperuntukkan khas untuk pembinaan semula rumah tersebut, manakala baki RM5,000 dijadikan rizab persediaan sekiranya terdapat peningkatan kos pembinaan.
Antara penyumbang utama yang memberikan respon segera termasuk Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong (RM20,000), Majlis Agama Islam Melaka (RM20,000), Lembaga Perumahan Melaka (RM20,000) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (RM10,000).
Sumbangan lain turut diterima daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah, Bank Rakyat Melaka serta Persatuan Automotif Melaka.
Selain bantuan kewangan untuk kediaman, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyalurkan keperluan asas manakala Sekolah Kebangsaan Duyong menyediakan buku teks serta baju sekolah untuk anak-anak keluarga berkenaan yang terjejas.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14961

Leave a Reply