TENOM 31 Mac – Seorang pekebun maut ditembak abangnya sendiri sebelum suspek turut maut ditembak pihak polis dalam kejadian berdarah di Kampung Kangkawang, Jalan Kemabong, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, kejadian bermula kira-kira jam 8 pagi melibatkan mangsa berusia 54 tahun yang maut akibat lapan kesan tembakan di bahagian belakang badan.
Suspek yang berusia 57 tahun dilaporkan menggunakan senjata api buatan sendiri jenis bakakuk dan dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental.
Pihak polis yang tiba di lokasi kejadian pada jam 8.54 pagi mendapati suspek berkurung di dalam rumah sambil memegang senjata api dan mengugut untuk menembak sesiapa sahaja yang menghampiri kawasan tersebut.
“Polis telah membuat kepungan dan mengarahkan suspek menyerah diri sebanyak tiga kali, namun arahan tersebut tidak diendahkan.
“Beberapa das gas pemedih mata turut dilepaskan ke dalam rumah bagi memaksa suspek keluar, tetapi dia tetap enggan memberikan kerjasama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Situasi menjadi semakin tegang apabila suspek bertindak melarikan diri ke arah dapur sambil mengacukan senjata ke arah anggota polis yang berada berhampiran tingkap.
Bagi tujuan mempertahankan diri, pegawai polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan yang mengenai bahagian lengan kanan, dada kiri serta rusuk kiri suspek sehingga dia rebah dan disahkan meninggal dunia di lokasi.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati senjata bakakuk milik suspek masih mengandungi sebutir peluru hidup di dalam ruang simpanan peluru (chamber).
Pihak berkuasa turut merampas laras senjata api bakakuk, peluru, kelongsong peluru serta sebilah parang panjang untuk siasatan lanjut.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi cubaan membunuh.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14964

Leave a Reply