Sivakumar desak hukuman maksimum terhadap pemandu mabuk

KUALA LUMPUR 31 Mac – Persatuan Dinamik Sinar Kasih (DSK) mengecam keras peningkatan kes kemalangan maut melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol, termasuk insiden tragis terbaharu yang mengorbankan nyawa mangsa tidak berdosa semalam.

Presiden Persatuan Dinamik Sinar Kasih (DSK), Datuk N Sivakumar menyifatkan kejadian tersebut sebagai bukti kegagalan tindakan tegas dan kelemahan penguatkuasaan yang terus mengancam keselamatan rakyat.

Beliau menegaskan bahawa pemanduan di bawah pengaruh alkohol tidak seharusnya dilihat sebagai kesalahan lalu lintas biasa, sebaliknya perlu dianggap sebagai jenayah serius yang meragut nyawa.

“Sudah tiba masanya tindakan lebih drastik diambil tanpa sebarang kompromi terhadap individu yang tidak bertanggungjawab ini,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sehubungan itu, DSK mengemukakan empat desakan utama kepada pihak kerajaan dan pihak berkuasa:

Hukuman Maksimum: Mengenakan hukuman paling berat tanpa sebarang kelonggaran kepada pesalah.

Gantung Lesen Serta-merta: Melaksanakan penggantungan lesen memandu dan larangan memandu bagi jangka masa panjang.

Penjara Tanpa Jamin: Mewajibkan hukuman penjara tanpa jaminan bagi kes yang melibatkan kecederaan serius atau kematian.

Semakan Undang-undang: Mengkaji semula peruntukan undang-undang sedia ada agar lebih keras dan berfungsi sebagai elemen pencegahan yang berkesan.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar menggunakan alternatif seperti perkhidmatan e-hailing atau pemandu gantian sekiranya mengambil alkohol bagi mengelakkan tragedi yang boleh dielakkan.

“Berapa lagi nyawa perlu terkorban sebelum tindakan tegas diambil? Nyawa rakyat tidak boleh terus menjadi korban akibat kecuaian yang melampau,” soalnya lagi.

Persatuan Dinamik Sinar Kasih komited untuk terus mendesak agar keselamatan jalan raya diberi keutamaan tertinggi dan keadilan ditegakkan bagi setiap mangsa yang terlibat.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14965

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *