Author: jnj-admin

  • ‘Ada peluang nak rujuk, kalau boleh saya tak nak bercerai’

    ‘Ada peluang nak rujuk, kalau boleh saya tak nak bercerai’

    KUALA LUMPUR – Pelakon Kamal Adli mengharapkan masih wujud ruang untuk kembali berbaik dengan bekas isterinya, Uqasha Senrose, meskipun mereka kini sah bercerai talak satu.

    Ujar Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Adli, 40, keputusan melafazkan cerai bukan perkara mudah, namun tetap berharap laluan rujuk pada masa hadapan.

    “Sumpah demi Allah, saya sebenarnya tak mahu lepaskan pun.

    “Tetapi saya terpaksa lepaskan sebab dengan cara ini saya rasa masih ada ruang dan peluang untuk rujuk semula,” katanya kepada Kosmo! Online sambil menahan sebak.

    Tambah pelakon Dia Imamku itu, dia sudah tidak berdaya dari segi emosi dan menyifatkan hari berkenaan sebagai detik paling sukar dalam hidupnya.

    “Saya tak mampu nak bercakap, apatah lagi nak lafazkan cerai.

    “Hari ini hari paling tak menyeronokkan dalam hidup saya. Saya memang tak kuat, tak kuat langsung.

    “Kalau tanya hati saya, saya memang tak mahu perceraian ini,” luahnya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, petang tadi.

    Sementara itu, peguam mewakili Kamal, Abdul Hadi Mohamad Salleh, menjelaskan kes sepatutnya melalui prosiding hakam, namun berlaku persetujuan untuk lafaz cerai dilakukan.

    “Pada hari ini, mereka sah bercerai talak raj’ie pada pukul 12.56 tengah hari dengan kebenaran mahkamah di hadapan hakim.

    “Kamal masih menaruh harapan. Talak raj’ie memberi ruang rujuk sepanjang tempoh idah.

    “Dalam tempoh ini, beliau masih boleh berusaha sekiranya jodoh masih ada. Jika sebaliknya, itu bermakna sampai di situ sahaja hubungan mereka,” jelasnya.

    Terdahulu, Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Isnin.

    Lafaz cerai dilakukan di hadapan Hakim Syarie Puan Siti Noraini Mohd. Ali selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Uqasha mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

    Mahkamah turut memerintahkan Uqasha menjalani tempoh idah selama tiga kali suci bermula tarikh lafaz talak serta mendaftarkan perceraian pasangan tersebut.

    Untuk rekod, Uqasha memfailkan permohonan perceraian pada 1 Oktober tahun lalu atas alasan tiada persefahaman.

    Pasangan selebriti itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, dilahirkan pada 27 April 2024. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/12/ada-peluang-nak-rujuk-kalau-boleh-saya-tak-nak-bercerai/

  • ‘Kami gurau memang begini’ – Isteri pertahan ‘wanita buatan’ Remy Ishak

    ‘Kami gurau memang begini’ – Isteri pertahan ‘wanita buatan’ Remy Ishak

    PETALING JAYA – Menerima kecaman netizen gara-gara berkongsi gambar bersama seorang ‘wanita’ di media sosial, isteri kepada pelakon Remy Ishak iaitu Ezza Yusof mempertahankan tindakan suaminya itu.

    Ezza sedia maklum gambar yang dikongsikan terbabit adalah hasil janaan kecerdasan buatan (AI) dan mengakui semua itu hanya gurauan semata-mata dengan Remy, 44.

    “Kami bergurau memang begini. Jangan ambil hati, ya,” demikian penjelasan ringkas Ezza menerusi Threads.

    Dalam hantaran yang sama, Ezza memuat naik tangkap layar memaparkan Remy berkongsi foto bersama wanita itu kepadanya.

    Sudah terbiasa dengan cara Remy, Ezza berseloroh menyifatkan tindakannya itu sebagai ‘gila’.

    “Kenapa ada dimple (lesung pipit) juga,” soal Ezza dalam tangkap layar dikongsikan.

    Remy kemudian menjawab: “Manalah aku tahu. ChatGPT punya kerja. Saya nak muat naik ke IG Story.”

    Sebelum ini, aktor itu dituduh tidak menghormati isteri kerana memuat naik gambar menunjukkan dirinya bersama wanita hasil ciptaan AI.

    Bagaimanapun, perkongsian Remy itu sudah dipadam selepas mendapat kecaman daripada netizen yang rata-rata menyifatkannya tidak menghormati perasaan isteri. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/12/kami-gurau-memang-begini-isteri-pertahan-wanita-buatan-remy-ishak/

  • Buat masa sekarang, memang tiada istilah rujuk – Uqasha Senrose

    Buat masa sekarang, memang tiada istilah rujuk – Uqasha Senrose

    KUALA LUMPUR – Pelakon Uqasha Senrose menegaskan pendirian untuk tidak kembali rujuk dengan bekas suaminya, Kamal Adli, malah memilih meneruskan kehidupan baharu bersama anak tercinta.

    Ujar Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 34, fokus utama ketika ini tertumpu pada masa depan tanpa menoleh ke belakang, meskipun tidak menafikan takdir boleh berubah.

    “Buat masa ini, memang tiada istilah mahu rujuk. Soal ke depan kita tak tahu, masa depan pun kita tak boleh jangka.

    “Tetapi apa boleh saya cakap sekarang, saya nak melangkah ke depan sahaja. Ke depan dan terus ‘move on’,” katanya kepada Kosmo! Online.

    Ditanya mengenai perasaan selepas lafaz cerai dibuat, pelakon filem Bisikan Dosa itu mengakui emosi bercampur-baur, namun tidak terkejut dengan keputusan tersebut kerana langkah berkenaan dimulakan olehnya sendiri.

    “Perasaan ini bukan terkejut, memang sudah dijangka sebab saya sendiri failkan permohonan.

    “Cuma ini perkara baharu untuk saya. Nak hadam semua ambil sedikit masa sebelum boleh bercakap dengan tenang.

    “Apa pun, doakan saya bersama anak supaya terus melangkah ke depan,” ujarnya sejurus sah diceraikan talak satu.

    Tambahnya, status sebagai bekas suami isteri perlu diterima dengan hati terbuka, malah dia hanya mengharapkan kebaikan buat Kamal selepas perceraian itu.

    “Kami pernah bergelar suami isteri dan sekarang sudah jatuh satu talak. Saya tak tahu apa lagi nak diperkatakan.

    “Apa saya tahu, saya mahu melangkah ke depan untuk 2026. Perkara tadi sudah berlaku dan lafaz pun sudah dibuat.

    “Saya cuma doakan dia menjadi insan lebih bertanggungjawab,” luahnya.

    Uqasha turut merakamkan penghargaan kepada ahli keluarga yang sentiasa berada di sisi sejak hari pertama berdepan kemelut rumah tangga.

    “Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua ahli keluarga, dari saat pertama sampai sekarang.

    “Mama, papa, adik-beradik, mak cik, pak cik, semua ada bersama saya.

    “Apa pun, doakan saya dapat teruskan hidup dengan aman, reda dan melangkah ke depan dengan tenang,” luahnya.

    Mengulas soal tanggungjawab sebagai ibu tunggal, Uqasha menegaskan dirinya sudah membuktikan kemampuan menggalas peranan itu tanpa bergantung pada sesiapa.

    “Saya serba salah sebenarnya. Cakap salah, tak cakap pun salah.

    “Apa boleh saya katakan, setahun ini saya bekerja dan menjaga anak serentak. Jadi tiada masalah untuk saya.

    “Cuma doakan saya terus kuat untuk melangkah ke depan,” tuturnya.

    Terdahulu, Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada jam 12.56 tengah hari. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/12/buat-masa-sekarang-memang-tiada-istilah-rujuk-uqasha-senrose/

  • Bunyi harimau di Bandar Proton rupa-rupanya janaan AI

    Bunyi harimau di Bandar Proton rupa-rupanya janaan AI

    TANJUNG MALIM – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan tiada bukti kehadiran harimau susulan penularan video bunyi ngauman berdekatan Taman Rekreasi Ujana Muallim, Bandar Proton, Tanjung Malim sehingga tular di media sosial kelmarin.

    Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, pemeriksaan di kawasan sekitar mendapati tiada kesan tapak kaki, najis atau petunjuk yang menunjukkan kehadiran pak belang.

    “Siasatan di lapangan tidak menemui tanda kehadiran harimau. Bunyi ngauman tular itu bukan rakaman sebenar, sebaliknya dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya di Tanjung Malim hari ini.

    Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menjadikan haiwan liar sebagai bahan jenaka terutama di media sosial. Tindakan itu bukan hanya menimbulkan kebimbangan malah mengganggu usaha pihak berkuasa dalam menangani isu hidupan liar. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/12/tiada-kelibat-harimau-bunyi-ngauman-dipercayai-janaan-ai/

  • Letupan gas universiti: Seorang maut, 2 cedera parah

    Letupan gas universiti: Seorang maut, 2 cedera parah

    KUALA LUMPUR – Seorang lelaki disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala sembilan lagi cedera dalam kejadian letupan gas penghawa dingin di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara, pagi tadi.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, mangsa yang maut dikenal pasti Soo Yu Juan berusia 24 tahun.

    “Jumlah keseluruhan mangsa adalah seramai 10 orang, membabitkan pelajar, juruteknik, kontraktor serta pekerja kantin.

    “Daripada jumlah itu, seorang disahkan meninggal dunia, dua cedera parah manakala selebihnya mengalami kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, Kosmo! melaporkan, satu kejadian letupan berlaku di kawasan penyelenggaraan pendingin hawa di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara.

    Fadil berkata, kejadian berkenaan berlaku kira-kira pukul 11.40 pagi tadi.

    Menurut beliau, mangsa yang terlibat terdiri daripada pelajar, kakitangan pengurusan, pekerja kontraktor serta warga asing yang bekerja sebagai penjaga kafeteria di universiti berkenaan. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/12/letupan-gas-universiti-seorang-maut-2-cedera-parah/

  • Greenland akan jadi milik Amerika apa cara sekalipun – Trump

    Greenland akan jadi milik Amerika apa cara sekalipun – Trump

    WASHINGTON – Presiden Donald Trump berkata semalam bahawa Amerika Syarikat (AS) akan mengambil Greenland ‘walau apa cara sekalipun’ dan memberi amaran, Russia serta China akan berbuat demikian sekiranya Washington tidak bertindak.

    Trump berkata, mengawal wilayah milik Denmark yang kaya dengan mineral itu penting untuk keselamatan AS memandangkan peningkatan aktiviti ketenteraan Russia dan China di rantau Artik.

    “Jika kita (AS) tidak mengambil Greenland, Russia atau China akan melakukannya dan saya tidak akan membiarkan itu berlaku,” kata Trump kepada wartawan di dalam pesawat rasmi Air Force One.

    Menurut Trump, beliau terbuka untuk membuat perjanjian dengan wilayah pemerintahan sendiri itu ‘tetapi dengan apa cara sekalipun, kita akan memiliki Greenland.’

    Dalam pada itu, Denmark dan sekutu Eropah lain menyuarakan kejutan terhadap ancaman Trump ke atas pulau itu, yang memainkan peranan strategik antara Amerika Utara dan Artik, dan tempat Amerika Syarikat mempunyai pangkalan tentera sejak Perang Dunia Kedua.

    Greenland yang merupakan jajahan Denmark sehingga tahun 1953, memperoleh pemerintahan sendiri 26 tahun kemudian dan sedang mempertimbangkan untuk melonggarkan ikatannya dengan Copenhagen.

    Majoriti penduduk dan parti politiknya mengatakan bahawa mereka tidak mahu berada di bawah kawalan AS dan bertegas bahawa penduduk Greenland mesti memutuskan masa depan sendiri, pandangan yang terus dicabar oleh Trump.

    “Greenland harus membuat perjanjian itu, kerana Greenland tidak mahu melihat Russia atau China menawannya,” kata Trump.

    “Anda tahu apa pertahanan mereka (Greenland) , dua kereta luncur anjing,” tambahnya, sementara Rusia dan China mempunyai ‘kapal pemusnah dan kapal selam di merata-rata tempat.’ – AFP

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/12/denmark-akan-jadi-milik-amerika-apa-cara-sekalipun-trump/#google_vignette

  • Terbuka Malaysia: Kempunan akhiri kemarau 12 tahun

    Terbuka Malaysia: Kempunan akhiri kemarau 12 tahun

    KUALA LUMPUR – Penantian seluruh peminat sukan tanah air berterusan selepas beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tewas pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil.

    Pada aksi final yang berlangsung sebentar tadi, bekas juara dunia itu terpaksa akur tewas 15-21, 21-12, 18-21 kepada pilihan utama dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dalam tempoh 65 minit.

    Turun sebagai pilihan kedua selain menerima sokongan padu penyokong sendiri, Aaron-Wooi Yik mempamerkan semangat juang cukup tinggi apabila memberikan tentangan sengit kepada juara dunia berkenaan.

    Bagaimanapun, ia masih belum mencukupi buat Aaron-Wooi Yik apabila akur menerusi kekalahan rubber set, sekali gus gagal menamatkan kemarau kejuaraan Terbuka Malaysia dalam acara beregu lelaki untuk tempoh 12 tahun.

    Kali terakhir Malaysia muncul juara dalam acara beregu lelaki adalah menerusi gandingan Goh V Shem-Lim Khim Wah yang melakukannya pada edisi 2014 menewaskan beregu China, Chai Biao-Hong Wei.

    Sementara itu, legenda badminton tanah air, Datuk Seri Lee Chong Wei merupakan pemain negara terakhir yang memenangi Terbuka Malaysia selepas menewaskan Kento Momota dari Jepun di perlawanan akhir.

    Selaku juara, Won Ho-Seung Jae membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah AS$107,300 (RM439,232) berserta trofi, manakala Aaron-Wooi Yik berpuas hati dengan AS$50,750 (RM207,745) dan juga pingat. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/11/terbuka-malaysia-kempunan-akhiri-kemarau-12-tahun/

  • Tun M ucap selamat hari jadi buat Siti Nurhaliza

    Tun M ucap selamat hari jadi buat Siti Nurhaliza

    PETALING JAYA – Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun M) mengutuskan ucapan selamat hari jadi yang ke-47 buat Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

    Ucapan yang dibuat menerusi sebuah video itu dikongsikan dalam akaun media sosial, Siti Nurhaliza Gallery.

    “Assalamualaikum Siti. Saya dimaklumkan bahawa umur Siti sudah meningkat dan saya ingin ucap selamat hari jadi.

    “Insya-Allah saya berdoa dan berharap Siti akan terus berjaya dalam karier. Walaupun berumur, suara masih macam lama. Dan nyanyian masih lagi begitu menarik,” katanya.

    Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, ramai peminat terharu dan sebak menonton ucapan negarawan itu buat idola kesayangan mereka.

    “Penghargaan yang sungguh bermakna daripada negarawan buat Biduanita Negara. Kedua-duanya hebat dan disayangi rakyat Malaysia. Tun saksi kebangkitan Datuk Seri Siti sejak zaman muda lagi. Sebak pula tengok video ini,” komen netizen.

    Siti menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-47 tahun hari ini. Lebih manis, tahun ini sambutan ulangtahun kelahirannya diraikan ketika Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

    Sementara itu, Tun M pula kini sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak 6 Januari selepas terjatuh di kediamannya.

    Tun mengalami kecederaan retak tulang pinggul dan akan menjalani rawatan fisitioterapi tanpa pembedahan. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/11/tun-m-ucap-selamat-hari-jadi-buat-siti-nurhaliza/

  • Diganggu roh pemilik asal kereta terpakai

    Diganggu roh pemilik asal kereta terpakai

    KEINGINAN untuk membeli kereta sendiri sudah menjadi impian pemuda itu sejak hari pertama dia mula bekerja di Kuala Lumpur. Padanya, memiliki kereta sendiri merupakan simbol kebebasan, kemudahan dan pencapaian dalam kehidupan seharian. Namun tanpa disedari, keinginan itu membawa bersama kisah silam dan gangguan yang tidak terjangka selepas dia berjaya memiliki kenderaan pertamanya. Berkongsi cerita, Hilman (bukan nama sebenar) memberitahu, dia membeli kenderaan pertamanya selepas enam bulan bekerja di sebuah bank terkemuka. “Saya sudah lama mahu membeli kereta sendiri dan model……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/11/diganggu-roh-pemilik-asal-kereta-terpakai/

  • Pentas penuh, penamat tak sama

    Pentas penuh, penamat tak sama

    KONSERT Legacy 30 Datuk Seri Siti Nurhaliza yang menghimpunkan lebih 65,000 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil bukan peristiwa luar biasa. Untuk seorang legenda bernama Siti, angka sebesar itu hanyalah penambahan atau pengulangan kepada rekod yang pernah dicatatnya. Pada malam sama, Konsert RadjaWali di Idea Live 3 Damansara turut mencatat kehadiran penuh dengan tiket habis terjual. Dua pentas berbeza, dua skala berbeza, namun kedua-duanya diraikan khalayak dengan harapan sama, dan pulang dengan pengalaman lengkap. Bezanya, konsert Siti yang sesak dengan……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/12/pentas-penuh-penamat-tak-sama/