Author: jnj-admin

  • Miliki enam rumah sewa, dakwaan lelaki terima STR cetus kritikan

    Miliki enam rumah sewa, dakwaan lelaki terima STR cetus kritikan

    Sumbangan Tunai Rahmah (STR) merupakan inisiatif bantuan kewangan tunai secara langsung yang disalurkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.

    Namun, baru-baru ini, satu hantaran di media sosial mencetuskan perdebatan hangat apabila seorang lelaki mendakwa dia masih menerima STR dan bantuan MyKasih walaupun mengakui memiliki enam buah rumah sewa.

    Dakwaan itu mengundang pelbagai reaksi netizen, termasuk desakan agar pihak berkuasa menyiasat kelayakan penerima terbabit.

    Menerusi hantaran berkenaan, individu tersebut menjelaskan bahawa dia memilih untuk kekal dalam kategori B40 bagi memastikan anak-anaknya berpeluang menerima biasiswa kerajaan termasuk tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Malah, dia menyifatkan bantuan STR yang diterima jauh lebih kecil nilainya berbanding manfaat jangka panjang pendidikan anak-anak.

    Kenyataan itu bagaimanapun mencetuskan persepsi negatif, dengan sebahagian netizen mendakwa wujud kemungkinan ketirisan bantuan, selain mempersoalkan keadilan sistem penyasaran STR kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

    Susulan penularan hantaran tersebut, beberapa netizen dilaporkan telah membuat aduan rasmi kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) bagi menggesa semakan serta tindakan lanjut dilakukan terhadap kelayakan penerima bantuan berkenaan.

    🔗 Source: https://thereporter.my/miliki-enam-rumah-sewa-dakwaan-lelaki-terima-str-cetus-kritikan/

  • Seorang lelaki di China bernama Jia Changlong menerima sumbangan 50 tan keledek daripada dermawan misteri untuk membiayai rawatan kanser darah isterinya.

    Seorang lelaki di China bernama Jia Changlong menerima sumbangan 50 tan keledek daripada dermawan misteri untuk membiayai rawatan kanser darah isterinya.

    Beliau kini gigih menjual keledek tersebut di tepi jalan bagi mengumpul dana perubatan yang dianggarkan mencecah 2 juta yuan.Kisah Jia tular di media sosial selepas bantuan besar itu dihantar secara berperingkat menggunakan lori ke lokasi beliau.

    Usaha murni penderma tidak dikenali itu serta kegigihan Jia menjual sumbangan berkenaan telah menyentuh hati masyarakat yang mengikuti perkembangan rawatan isterinya.Sumber: Sinar Harian

    🔗 Source: https://www.facebook.com/share/1MDc9aTm6F/

  • United Kingdom kini melarang iklan makanan tidak sihat yang tinggi lemak gula dan garam di televisyen sebelum jam 9 malam serta menyekat sepenuhnya iklan berbayar dalam talian.

    United Kingdom kini melarang iklan makanan tidak sihat yang tinggi lemak gula dan garam di televisyen sebelum jam 9 malam serta menyekat sepenuhnya iklan berbayar dalam talian.

    Langkah ini diambil secara rasmi bagi membendung peningkatan kadar obesiti kanak-kanak yang semakin membimbangkan di negara tersebut.Kerajaan Britain menjangkakan peraturan baharu ini mampu mengurangkan puluhan ribu kes obesiti serta menjimatkan kos kesihatan negara dalam jangka panjang.

    Inisiatif tersebut bertujuan melindungi golongan muda daripada pendedahan iklan makanan ringan sekali gus membantu keluarga mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.Sumber: Bernama

    🔗 Source: https://www.facebook.com/share/1Q4NfRLnqA/

  • Teater Mek Mulung pikat 10,000 generasi muda

    Teater Mek Mulung pikat 10,000 generasi muda

    TANJUNG MALIM – Pementasan teater tradisional Mek Mulung tAfrot di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah di Bandar Proton, Tanjung Malim pada Jumaat dan Sabtu lalu berjaya menarik perhatian hampir 10,000 generasi muda yang menyemarakkan lagi populariti warisan negara.

    Ketua Pengarah JKKN, Mohd. Amran Mohd. Haris berkata, pementasan teater selama dua hari itu terbukti menunjukkan penerimaan yang luar biasa daripada golongan muda khususnya pelajar universiti malah kanak-kanak.

    “Alhamdulillah, saya nampak penerimaan generasi muda bila ada elemen-elemen sense of humor dan nampak loghat Kedah ini masih boleh diterima oleh semua generasi, peringkat umur.

    “Kalau nak dibandingkan Mak Yong, mungkin ada menghadapi kesukaran sedikitlah untuk memahami dialek-dialek yang berkaitan,” katanya kepada Kosmo! di Tanjung Malim kelmarin.

    Katanya lagi, dialek Kedah masih boleh diterima oleh semua peringkat umur selain mereka boleh menikmati dan menghayati mesej yang ingin disampaikan.

    “Bagi saya pementasan teater Mek Mulung ‘Afrot’ ini sewajarnya diteruskan. Kami JKKN sebagai agensi yang menggerakkan dan juga menyemarakkan untuk pementasan karya-karya teater moden serta tradisional.

    “Sebab itu, saya tak fokus hanya pada ibu pejabat sahaja. Saya mewakilkan tanggungjawab ini kepada semua negara, jadi bukan setakat dapat menyemarakkan teater di seluruh negara malahan dapat menghidupkan NGO-NGO (pertubuhan bukan kerajaan) di negeri-negeri,” katanya.

    Menggabungkan elemen tradisi, mitos dan nilai kemanusiaan yang mendalam, pementasan teater Mek Mulung ‘Afrot’ mengajak penonton merenung makna sebenar perjuangan dalam mempertahankan hak dan mencari keadilan.

    Pementasan itu merupakana salah satu usaha pembangunan dan pelestarian Mek Mulung yang telah tersenarai sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara yang Memerlukan Perlindungan Segera oleh UNESCO pada 5 Disember 2023.

    Berkenaan peranan JKKN dalam usaha mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), Mohd. Amran berkata, elemen pementasan dan keseniaan menjadi tulang belakang kepada satu pembentukan jati diri.

    “Usaha memartabatkan seni budaya (negara) memang terus dilaksanakan. Kami perlu merangka program sebaiknya dan berkolaborasi dengan agensi-agensi untuk memenuhi kehendak industri pelancongan itu sendiri.

    “Kita harap adanya sokongan berterusan daripada pihak berkepentingan, kementerian-kementerian yang menyediakan dana supaya karya-karya seni budaya ini menyokong usaha TMM 2026 ini akan seiringan,” katanya.

    Beliau berharap JKKN mempunyai panggung atau premis sendiri yang membolehkan pementasan teater dan aktivi kesenian lain secara tetap untuk pelancong antarabangsa menghayati keunikan seni budaya yang ada di negara ini.

    “Setakat ini, kita memang tiada premis tetap. Memang pernah diusahakan Auditorium Mini Kompleks Pelancongan Malaysia (MaTiC) Kuala Lumpur sebagai pusat sehenti untuk seni persembahan.

    “Usaha semua pihak perlu digembeling supaya ada persembahan dan kolaborasi dengan pihak ejen pelancongan dan industri untuk membawa pelancong datang namun kami memang mengharapkan JKKN mempunyai kompleks sendiri,” katanya.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/12/teater-mek-mulung-pikat-10000-generasi-muda/

  • Ternak babi: Kuala Langat sudah lama tercemar

    Ternak babi: Kuala Langat sudah lama tercemar

    KUALA LANGAT – Isu ternakan babi yang menghantui penduduk sekitar Tanjung Sepat di sini, sudah berlarutan sejak sekian lama, namun didakwa kembali aktif dua bulan lalu selepas berakhirnya jangkitan demam babi Afrika atau African Swine Flu (ASF). Penduduk mendakwa, di­sebabkan aktiviti itu, mereka terpaksa menanggung bau busuk selain najis dilepaskan terus ke laut menyebabkan parit dan aliran air yang menjadi laluan utama najis bertukar menjadi hitam. Seorang penduduk, Mohd. Zuhaize Ngapani, 44, berkata, isu ternakan babi berlaku sejak dia masih……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/12/ternak-babi-kuala-langat-sudah-lama-tercemar/

  • ‘Ramai suami isteri curang di pejabat, saya sangat tak setuju’

    ‘Ramai suami isteri curang di pejabat, saya sangat tak setuju’

    SEJAK kebelakangan ini, watak penyondol atau orang ketiga antara yang paling mudah mencuri perhatian ramai dalam mana-mana drama mahupun filem.

    Watak paling dibenci tetapi karakter tersebutlah yang akan menjadi sebutan ramai sehingga melonjakkan populariti pelakon dan sesebuah naskhah.

    Jadi, tidak mustahil ramai pelakon seronok menggalas peranan tersebut sekali gus memberi mereka peluang untuk meneroka watak penyondol dengan cara tersendiri.

    Perkara tersebut turut diakui pelakon Mia Nasir yang sering ditawarkan karakter wanita dibenci dalam beberapa buah drama lakonannya sebelum ini, termasuk yang terbaharu, Pak Su Ammara.

    Sedar perlu berdepan dengan kebencian penonton, Mia atau nama sebenarnya, Nur Farah Md. Nasir, 35, berkata, dia sentiasa berusaha memberi warna berbeza dalam setiap watak penyondol yang dipegang agar tidak kelihatan klise.

    “Saya memang selalu bawa watak antagonis dan sudah biasa, ‘makanan’ saya.

    “Kalau penonton benci, saya lagi suka sebab lakonan menjadi.

    “Tapi walaupun orang kata karakter sama sahaja, saya sentiasa beri kelainan. Kadang-kadang saya jadi antagonis yang comel-comel tapi sebenarnya jahat dan ada penonton suka,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

    Tambah Mia, berbanding watak protagonis, karakter antagonis lebih memberinya banyak peluang untuk menyerlahkan sisi lakonan berbeza.

    “Saya pernah jadi perempuan baik dan jahat tetapi lebih selesa dengan antagonis sebab boleh mengolah karakter dengan pelbagai cara.

    “Untuk jadi antagonis, saya banyak ambil inspirasi yang dari laporan berita dan filem. Saya selalu cuba nak bawa cara kejahatan yang berbeza tapi menarik perhatian penonton,” katanya lagi.

    Kongsinya, lambakan cerita kecurangan dan gangguan orang ketiga dalam media sosial sejak akhir-akhir ini juga banyak memberi inspirasi dalam membentuk sesebuah karakter.

    “Selalu kita dengar cerita tentang isu curang dalam media sosial, rasa geram.

    “Jadi, saya tidak berlakon ‘kosong’ tetapi mahu bagi kesedaran juga pada orang ramai.

    “Seperti hangat isu curang di pejabat sehingga ada gelaran ‘office husband and wife’. Saya sangat tak setuju dengan perkara itu, jadi saya luahkan perasaan tersebut dalam karakter,” tuturnya.

    Ditanya lanjut mengenai keseronokan kerap memegang karakter antagonis, adik kepada pelakon Anzalna Nasir itu berkata, karakter tersebut tidak pernah membuatkan dia dan penonton bosan.

    “Bila jadi jahat, saya dapat jadi orang lain. Saya ada karakter sendiri tetapi antagonis beri peluang cuba macam-macam jenis watak lain.

    “Kalau lari sikit daripada karakter pun orang takkan perasan sebab antagonis ini psiko, suka hati mereka. Hari ini baik tetapi esok tiba-tiba jadi jahat.

    “Perangai mereka memang ‘bipolar’. Orang yang ada perasaan dengki dan jahat ini memang pandai berlakon pun,” ujar bintang drama Andai Tiada Dia itu.

    Bercerita mengenai drama Pak Su Ammara yang kini hangat ditayangkan menerusi Astro Ria, Mia menerima tawaran sebagai watak Wardah disebabkan kelainan karakter antagonisnya berbanding lakonan terdahulu.

    “Karakter ini macam lain sikit. Dia tak mengaku yang dia menyondol tapi tak kisah jadi isteri kedua Wafiy (Syazwan Zulkifly).

    “Watak kali ini agak serius sikit sebab bagi dua ‘vibes’ yang berbeza, nakal dan ada sisi baik,” jelasnya.

    Mia menambah, bekerja di samping Ummi Nazeera, Syazwan dan Que Haidar adalah pengalaman yang menarik.

    “Kehebatan lakonan mereka memang kita semua tak boleh nak nafikan, ‘power’.

    “Tapi saya juga sehabis baik untuk beri hasil yang bagus, insya-Allah penonton akan suka,” ujarnya lagi.

    Dalam pada itu, Mia juga berharap kerjaya lakonan dan kehidupan peribadinya akan memasuki fasa lebih baik pada tahun 2026.

    “Harap ini saya dapat peluang terlibat dengan mana-mana filem dan kalau boleh nak ‘all out’ dalam lakonan.

    “Saya juga nak seimbangkan kehidupan peribadi dan karier, kalau boleh nak ‘be with someone’ (jumpa lelaki tepat) cuma itulah, jodoh di tangan Tuhan,” jelasnya yang mengelak daripada berkawan dengan suami orang.

    Dia bagaimanapun bersyukur keluarga tidak pernah memberi sebarang tekanan berkaitan calon suami atau perancangan mendirikan rumah tangga.

    “Syukur keluarga tidak pernah paksa (kahwin). Mereka pun tak berani nak carikan calon sebab saya ada cita rasa sendiri.

    “Tentang cinta, memang tak nak bagi harapan pada keluarga lagi macam hubungan lapan tahun yang saya jalani dulu.

    “Insya-Allah 2026 akan jadi tahun yang lebih baik untuk saya dan semua orang juga,” kongsinya.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/12/ramai-suami-isteri-curang-di-pejabat-saya-sangat-tak-setuju/

  • Liverpool elak tragedi pahit 2008

    Liverpool elak tragedi pahit 2008

    LIVERPOOL – Jurang kualiti tidak memberikan ‘lesen besar’ buat Liverpool untuk mengambil mudah cabaran Barnsley ketika kedua-dua pasukan bertemu di pusingan ketiga Piala FA di Anfield awal pagi esok.

    Kapten The Reds, Virgil van Dijk menegaskan seluruh pasukan tidak pernah merendahkan kualiti yang ada pada Barnsley walaupun ramai memilih Liverpool untuk menang.

    Van Dijk juga merasakan setiap pemain perlu tampil sehabis baik bagi membina semula reputasi memandangkan mereka pernah dipalit isu prestasi sebelum ini.

    “Saya tidak sabar untuk mengharungi Piala FA, begitu juga saingan Liga Juara-Juara Eropah. Masih banyak perlawanan perlu dimainkan dan ia memberi peluang buat kami tunjukkan bahawa kami adalah Liverpool, juara bertahan Liga Perdana Inggeris.

    “Setiap pertandingan adalah penting, begitu juga dengan Piala FA. Barnsley akan cuba apa saja untuk teruskan kemaraan, jadi kami kena bersedia untuk hadapi tentangan daripada mereka,” katanya.

    Kali terakhir Barnsley bertandang ke Anfield adalah pada 2008, juga di pentas Piala FA yang menyaksikan The Colliers meraih kemenangan sensasi 2-1.

    Pengurus The Reds, Arne Slot ketika ini turut menaruh harapan dapat menggunakan khidmat Hugo Ekitike, namun harus menyediakan pelan B jika penyerang antarabangsa Perancis itu belum sempat cergas.

    Bagaimanapun, Liverpool dijangka merehatkan bintang utama dengan mempertaruhkan ramai pemain akademi termasuk memberikan peluang kepada penyerang muda berusia 19 tahun, Keyrol Figueroa mengetuai jentera serangan. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/12/liverpool-elak-tragedi-pahit-2008/

  • BAM kecewa tak ramai melangkah jauh

    BAM kecewa tak ramai melangkah jauh

    PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengakui agak terkilan apabila tidak ramai wakil negara yang melangkah jauh pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 di Axiata Arena, Bukit Jalil yang berakhir semalam.

    Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengharapkan lebih ramai pemain Malaysia yang beraksi pada hari-hari terakhir saingan apabila hanya beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mara ke perlawanan akhir.

    Justeru, beliau menyerahkan perkara itu kepada pengarah prestasi bagi melakukan analisis mengenai apa yang berlaku sepanjang kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 itu apabila ramai kecundang di peringkat awal.

    “Seperti saya sebut, masih awal untuk membuat laporan mengenai apa yang berlaku. Apa yang boleh rumuskan adalah penganjuran kejohanan dibuat dengan baik dan tanpa ada sebarang masalah.

    “Dari segi prestasi pemain, sudah tentu kita mengharapkan lebih ramai pemain yang melayakkan diri ke peringkat akhir seperti separuh akhir dan pentas final. Bagaimanapun, kita ada satu wakil menerusi beregu lelaki.

    “Kami agak kecewa kerana ada antara mereka tidak dapat meneruskan kemaraan ke suku akhir ataupun separuh akhir tetapi saya serahkan kepada pengarah prestasi untuk bercakap mengenai perkara ini,” katanya.

    Pada kejohanan pembuka tirai 2026 itu, hanya satu wakil negara berjaya melepasi peringkat suku akhir menerusi Aaron-Wooi Yik yang seterusnya mara ke final.

    Sementara itu, Zafrul turut memberitahu, badan induk berkenaan akan lebih telus berhubung kontrak pemain, termasuk mendedahkan pembayaran gaji kepada pemain dengan perkara itu bakal dibincangkan bersama Ahli Majlis BAM.

    “Saya belum berbincang lagi dengan Ahli Majlis berhubung ketelusan. Memang itu satu perkara yang akan diputuskan nanti dan kita setuju akan lebih telus berhubung kontrak untuk masa depan,” ujarnya.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/12/bam-kecewa-tak-ramai-melangkah-jauh/

  • ‘Keluarkan barang bukan membabi buta, itu nasihat daripada peguam’

    ‘Keluarkan barang bukan membabi buta, itu nasihat daripada peguam’

    SHAH ALAM – Penyanyi sensasi Nubhan mengakui memiliki alasan yang kukuh mengapa dirinya bertindak mengeluarkan barang-barang milik bekas isterinya, Dr Afifah dari kediamannya baru-baru ini.

    Bagaimanapun, menurut Nubhan atau nama lengkapnya Ahmad Nubhan Ahamad, 40, buat masa sekarang dia tidak dapat berkongsi dengan lebih terperinci tentang tindakannya kerana masih menjalani proses mahkamah.

    “Semua saya buat itu bersebab. Saya tak nak mengulas lanjut sebab masih dalam proses mahkamah.

    “Apa yang saya lakukan itu bukan secara terburu-buru atau membabi buta. Semuanya melalui nasihat daripada peguam juga.

    “Selebihnya saya tak dapat nak komen. Saya minta maaf kerana saya perlu hormat prosiding mahkamah,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert separuh akhir Gegar Vaganza 12 (GV12), di sini, semalam.

    Ditanya tentang dakwaan bekas isterinya mengenai beberapa barang miliknya hilang dan tidak dipulangkan, kata Nubhan, sekiranya perkara itu berlaku, wanita terbabit boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa.

    “Sekiranya ada, jika dia buat laporan polis sekalipun, saya akan bersedia untuk memberi kerjasama. Saya tiada masalah,” jelasnya.

    Terdahulu, Dr. Afifah mendakwa Nubhan mengeluarkan semua barang miliknya dari rumah yang didiami olehnya dan tiga anak mereka ketika sedang bercuti di luar negara.

    Susulan itu, dia kini terpaksa menyewa demi meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal di samping meneruskan kerjaya sebagai seorang doktor gigi. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/12/keluarkan-barang-bukan-membabi-buta-itu-nasihat-daripada-peguam/

  • ‘Dah hujung tanduk, kalau memang tiada jodoh, Allahualam’

    ‘Dah hujung tanduk, kalau memang tiada jodoh, Allahualam’

    KUALA LUMPUR – Pelakon Kamal Adli mengakui pasrah dan reda menanti keputusan prosiding hakam berhubung rumah tangganya bersama isteri, Uqasha Senrose, di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.

    Ujar Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, emosinya sukar digambarkan tatkala prosiding memasuki fasa penentuan selepas usaha mempertahankan perkahwinan dilakukan sejak awal.

    “Saya tak tahu nak cakap apa. Prosiding ini dah di hujung-hujung. Kalau memang tiada jodoh, Allahualam.

    “Saya sudah cuba pertahankan dari awal lagi. Sekarang cuma tunggu keputusan. Saya pun tak tahu nak cakap apa,” katanya kepada Kosmo! Online.

    Pelakon drama Bahagia Yang Tertangguh itu tiba di pekarangan mahkamah sekitar pukul 9.30 pagi dengan wajah sugul, ditemani peguamnya, Abdul Hadi Mohamad Salleh, bagi prosiding hakam islah melibatkan kedua-dua belah pihak.

    Sementara itu, Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 34, dilihat hadir berasingan dan memilih untuk tidak mengulas panjang mengenai prosiding tersebut.

    “Doakan perkara baik-baik,” ujarnya ringkas.

    Peguam mewakili Uqasha, Muhammad Syazmee Sapian memaklumkan, prosiding hari ini melibatkan peringkat kedua proses hakam keluarga sebelum mahkamah membuat penentuan seterusnya.

    “Hari ini masuk peringkat kedua hakam keluarga.

    “Akan berlaku lantikan hakam daripada kedua-dua pihak dan selepas itu mahkamah akan menentukan sama ada diteruskan dengan prosiding timbang tara hakam atau sebaliknya,” jelasnya.

    Sebelum ini, Uqasha mencetuskan perhatian umum apabila mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga sepanjang perkahwinan termasuk dipukul serta dikasari ketika sedang hamil.

    Bagaimanapun, Kamal menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut dan menegaskan tidak pernah melakukan kekerasan terhadap isterinya sepanjang hampir empat tahun hidup bersama.

    Mahkamah sebelum ini menasihatkan Kamal supaya melafazkan cerai selepas laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) mendapati wujud shiqaq atau perbalahan berpanjangan antara pasangan tersebut.

    Namun, Kamal enggan berbuat demikian dengan alasan masih menyayangi anak perempuan tunggal mereka.

    Terdahulu, Uqasha memfailkan cerai terhadap Kamal pada Oktober tahun lalu atas alasan tiada persefahaman dan pergolakan rumah tangga berterusan.

    Untuk rekod, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam majlis tertutup di Janda Baik, Pahang dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, kini berusia setahun lapan bulan.

    Pada 18 Disember lalu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan mengesahkan kegagalan JKP mencapai kata sepakat serta mensabitkan kewujudan shiqaq dalam rumah tangga pasangan selebriti tersebut. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/12/dah-hujung-tanduk-kalau-memang-tiada-jodoh-allahualam/