Author: jnj-admin

  • Mulai 2026 dengan ‘terperangkap’ dalam parkir pusat beli-belah

    Mulai 2026 dengan ‘terperangkap’ dalam parkir pusat beli-belah

    PETALING JAYA – Seorang pengunjung meluahkan rasa tidak puas hati selepas terperangkap hampir dua jam di tempat parkir sebuah pusat membeli-belah terkemuka pada malam tahun baharu.

    “Dari pukul 1 pagi nak keluar parkir, sekarang 2.36 pagi, masih dalam parkir. Apa pengurusan ini? Sampai lampu semua dah tutup,” katanya.

    Video berdurasi 21 saat itu memaparkan deretan kenderaan yang tersangkut dalam ruang parkir tertutup dan gelap, selain bunyi hon kereta yang saling bersahutan.

    Perkongsian itu meraih perhatian netizen yang rata-ratanya berkongsi pengalaman ketika keluar dari parkir pusat beli-belah tersebut pada waktu puncak.

    “Di ruang parkir motosikal nak bayar tiket parkir pun beratur macam ular dengan tiada talian internet. Sampai berasap dekat 40 minit juga,” komen @Nieysaazni.

    “Semalam dah ada amaran nak keluar parkir pun dua jam pada tahun lepas. Nasib baik kita dengar,” komen @Idayu.khair.

    “Tadi 2.30 pagi baru lepas keluar. Pengurusan buka palang sebab dah tersekat lama sangat. Tak pastilah bagi percuma parking ke apa,” komen @M_hanif.s. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/01/1-pagi-keluar-parkir-2-36-pagi-belum-lepas-palang/

  • ‘Saya tak ambil dadah, tapi positif ganja’

    ‘Saya tak ambil dadah, tapi positif ganja’

    KUALA LUMPUR – Perjalanan pulang selepas menghantar teman wanita bertukar mimpi ngeri buat seorang lelaki apabila dia disahkan positif ganja ketika melalui sekatan jalan raya Op Ambang Tahun Baharu 2026 di Plaza Tol Jalan Duta.

    Lelaki berusia 24 tahun itunyang tinggal di Pantai Dalam mendakwa, terkejut apabila keputusan ujian air kencing yang dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terhadap dirinya menunjukkan kehadiran dadah jenis ganja.

    Jelas lelaki berkenaan, dia mendakwa tidak pernah mengambil bahan terlarang berkenaan.

    Menurutnya, sebelum kejadian dia hanya menghisap rokok elektronik (vape) yang dibeli di kedai dengan harga sekitar RM19 hingga RM23.

    “Saya tak pernah isap ganja, rokok pun tidak. Dua bulan lepas pernah buat ujian air kencing, tak sangkut apa-apa (dadah).

    “Tapi kali ini dengan tiga kali ujian saringan air kencing, mereka (AADK mendapati) saya positif dadah jenis ganja,” katanya ketika ditemui pemberita pagi tadi.

    Dia turut mengakui sudah dua tahun menghisap vape dan mendakwa tidak pernah mengetahui mengenai dadah jenis ganja.

    Dalam operasi sama, seorang lagi lelaki tempatan berusia 32 tahun turut ditahan selepas didapati positif syabu.

    Suspek yang memandu Toyota Unser ketika itu membawa isteri, abang ipar dan adiknya, mengaku mengambil syabu kira-kira tiga hari sebelum ditahan kerana terpengaruh dengan rakan.

    Dia mengaku pernah mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan mendakwa menggunakan bahan berkenaan ‘sekali sekala’ kira-kira dua minggu sekali.

    “Lepaskan saya bang (abang) sebab isteri sedang sarat mengandung,” katanya yang mengakui membeli pek kecil syabu dengan harga RM35.

    Kedua-dua mereka antara yang ditahan positif dadah untuk siasatan lanjut di bawah undang-undang berkaitan penyalahgunaan dadah.

    Sementara itu, Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd. Rozi Jidin memaklumkan, secara keseluruhan sebanyak 240 lokasi operasi dilaksanakan di seluruh negara termasuk 25 di sekitar ibu negara.

    Beliau berkata, operasi itu dijalankan bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya sentiasa terjamin selain memfokuskan aktiviti lumba haram pada tengah malam.

    “Kita juga akan mengesan pemandu yang menggunakan alkohol dan dadah.

    “Polis ingin mendisiplinkan pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan lalu lintas dan diingatkan agar semua menggunakan jalan raya dengan penuh berhemah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/01/saya-tak-ambil-dadah-tapi-positif-ganja/

  • 41 meninggal dunia selepas bersunat

    41 meninggal dunia selepas bersunat

    CAPE TOWN – Sekurang-kurangnya 41 pemuda meninggal dunia selepas menjalani prosedur berkhatan mengikut kaedah tradisional yang dijalankan di Afrika Selatan pada November hingga Disember lalu, lapor portal berita MailOnline semalam.

    Berkhatan merupakan amalan tradisional sebagai tanda peralihan ke alam dewasa bagi remaja dan diamalkan setiap tahun oleh pelbagai kumpulan etnik di Afrika, termasuk di beberapa bahagian Afrika Selatan.

    Amalan itu lazimnya dilakukan semasa cuti sekolah musim sejuk (Jun hingga Julai) dan musim panas (November hingga Disember).

    Menteri Hal Ehwal Tradisional Afrika Selatan, Velenkosini Hlabisa memberitahu penyiar tempatan bahawa 41 peserta yang menyertai majlis khatan meninggal dunia sepanjang musim panas 2025.

    Beliau menyalahkan kecuaian pihak ‘sekolah peralihan ke alam dewasa’ serta ibu bapa kerana gagal mematuhi piawaian keselamatan serta nasihat perubatan.

    Menurut Hlabisa, antara nasihat tidak terbukti yang sering diberikan kepada peserta adalah mengelakkan minum air dengan alasan ia dapat mempercepatkan proses penyembuhan.

    “Terdapat kecuaian dari segi pematuhan kepada piawaian kesihatan di beberapa sekolah itu.

    “Jika anda menghantar anak ke sekolah tersebut tetapi tidak membuat susulan, memantau dan tidak pergi ke sana untuk memastikan sama ada mereka minum air atau tidak, anda sebenarnya meletakkan anak anda dalam keadaan berisiko,” katanya.

    Di Afrika Selatan, secara tradisinya pemuda diasingkan di sekolah inisiasi di mana mereka diajar nilai-nilai budaya dan tanggungjawab apabila memasuki alam dewasa. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/01/41-orang-meninggal-dunia-selepas-bersunat/

  • ‘Saya pun manusia biasa, pendosa, banyak perlu diperbaiki’

    ‘Saya pun manusia biasa, pendosa, banyak perlu diperbaiki’

    PETALING JAYA – Bertalu-talu dikecam susulan tidak lagi bertudung ketika menjalani penggambaran sebuah drama baru-baru ini, pelakon Aprena Manrose menegaskan dia hanyalah seorang manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

    Menurut Aprena atau Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 35, meski tidak bertudung, dia akan terus mengisi dirinya dengan ilmu agama dan menyebarkan kepada orang ramai.

    “Saya pun manusia biasa yang tak lari dari melakukan kesalahan, pendosa dan banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki.

    “Namun, saya tidak akan berhenti menuntut ilmu serta sebarkan tentang hal agama walaupun tak mampu menutup aurat dengan sempurna.

    “Nak tunggu sempurna baru nak buat kebaikan memang sampai matilah saya hanyut,” katanya dalam InstaStory.

    Ujarnya, setiap manusia pasti bergelut dan mempunyai cara tersendiri untuk menyelesaikan setiap masalah yang dilalui dalam hidup termasuk dirinya sendiri.

    “Saya pernah cakap, yang baik sila ikut, yang tak elok jangan sesekali ikut dan tidak akan membela diri kerana benar, menutup aurat adalah wajib.

    “Alhamdulillah ramai yang mesej beri kata-kata positif. Saya hargai dan sebak, semoga kebaikan berbalik kepada kalian.

    “Kepada yang memberi komen bahasa terlalu kesat itu, siasat diri dulu okey. Pastikan tidak tinggal solat lima waktu,” katanya lagi.

    “Saya tahu kalian hanya bercakap daripada apa yang kalian nampak, jadi saya tak salahkan pun. Tidak mahu mendoakan pun tak apa, jaga saja keluarga masing-masing.

    “Saya hanya perlu jaga keluarga dan orang yang sayang saya. Sama juga peminat yang masih menyokong, hanya Allah SWT saja yang akan membalas kebaikan kalian, terima kasih,” ujarnya.

    Dalam pada itu, dia juga sempat memohon kepada orang ramai agar berhenti melemparkan kecaman kepada sepupunya yang juga pelakon, Uqasha Senrose mengenai kemelut rumah tangga dilalui ketika ini.

    “Saya harap masuk tahun baharu ini, kalian semua berhentilah sebarkan keburukan tentang Uqasha, suaminya, Kamal Adli dan anak buah saya yang comel itu, Hawra Uqaira.

    “Jaga percakapan kita dan doa yang baik baik sahaja. Kita kan ada keluarga serta rumah tangga, nanti takut berbalik pada diri sendiri.

    “Terakhir, semoga tahun baru ini akan menjadi tahun yang lebih baik Allah memberi berita gembira dan rezeki yang tidak pernah putus, pengakhiran yang baik untuk semua,” ujarnya.

    Terdahulu, penampilan Aprena mencuri perhatian apabila dilihat tidak memakai tudung ketika menjalani penggambaran drama Nur Untuk Ariff yang turut dibintangi Nazim Othman. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/01/saya-pun-manusia-biasa-pendosa-banyak-perlu-diperbaiki/

  • Bangun pagi senyum lebar, dividen ASB dah masuk

    Bangun pagi senyum lebar, dividen ASB dah masuk

    PETALING JAYA – Ramai pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) menarik nafas lega apabila pagi ini mendapat notifikasi memaklumkan dividen serta bonus pelaburan mereka sudah pun dikreditkan ke dalam akaun masing-masing.

    Tinjauan di media sosial mendapati, rata-rata pengguna berkongsi keterujaan apabila melihat jumlah dividen ASB yang diterima, sekali gus menjadi penyuntik semangat pada awal tahun baharu selepas Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit, 19 Disember lalu.

    “Bangun pagi terus buka aplikasi bank, senyum tak hilang. Dividen ASB dah masuk, boleh tampung perbelanjaan awal tahun,” tulis Syukri Azli di Facebook.

    Tidak kurang juga yang menyifatkan kemasukan dividen tersebut sebagai ‘rezeki anak sekolah’, memandangkan ramai ibu bapa kini berdepan perbelanjaan tinggi bagi persiapan persekolahan.

    “Alhamdulillah, dividen ASB dah masuk, bonus pun besar juga. Boleh guna sikit untuk beli buku dan kelengkapan sekolah anak-anak. Lega sangat,” komen Fatin.

    Dalam pada itu, ada juga yang berazam untuk tidak mengusik dividen berkenaan dan memilih untuk melaburkannya semula demi simpanan jangka panjang.

    “Masuk je dividen, terus niat tak nak keluarkan. Biar berganda tahun depan,” ujar Nawab di platform X.

    Semakan dividen ASB boleh dilakukan di aplikasi myASNB atau portal rasmi ASNB di pautan www.asbn.com.my – KOSMO! ONLINE

    Hak cipta terpelihara © 2025 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H)Satu lagi produk Media Mulia Sdn. Bhd.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/01/bangun-pagi-senyum-lebar-dividen-asb-dah-masuk/

  • Dua beradik lemas di Pantai Sura Tengah

    Dua beradik lemas di Pantai Sura Tengah

    Aktiviti perkelahan sebuah keluarga di Pantai Sura Tengah, Dungun, Terengganu berakhir dengan tragedi apabila dua beradik dilaporkan lemas ketika mandi di pantai berkenaan, pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira jam 10.27 pagi itu, kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Paya Balai Besar dipercayai dihanyutkan ombak ketika berkelah bersama ahli keluarga.

    Mayat seorang wanita, Nor Baizura Shafie, 39, ditemukan tidak lama kemudian, manakala adiknya, Mohd Fazir Shafie, 37, masih belum ditemui setakat ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sharizal Samsuddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.27 pagi sebelum mengerahkan 10 anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian.

    Menurut beliau, sebaik tiba, pasukan penyelamat segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat meskipun berdepan ombak besar serta arus laut yang kuat.

    “Seorang mangsa wanita berjaya ditemui kira-kira 25 minit kemudian sebelum dibawa ke daratan, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian,” katanya.

    Sharizal berkata, operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa diteruskan dengan menggunakan bot dan pencarian di sekitar pesisir pantai, dengan bantuan anggota polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, sebelum kejadian, keluarga terbabit yang terdiri daripada tujuh orang dewasa dan lapan kanak-kanak sedang berkelah di pantai tersebut.

    Menurutnya, kejadian berlaku apabila Nor Baizura dipercayai lemas ketika mandi sebelum adiknya cuba menyelamatkan mangsa, namun kedua-duanya dihanyutkan ombak.

    Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat, manakala operasi mencari dan menyelamat Mohd Fazir masih diteruskan setakat ini.

    Sumber: Sinar Harian, Harian Metro

    🔗 Source: https://thereporter.my/dua-beradik-lemas-di-pantai-sura-tengah/

  • KKM nafi dakwaan Klinik Kesihatan tidak terima pesakit walk-in

    KKM nafi dakwaan Klinik Kesihatan tidak terima pesakit walk-in

    Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan mesej yang tular di media sosial bahawa Klinik Kesihatan tidak lagi menerima pesakit walk-in. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan,KKM menegaskan bahawa dakwaan itu adalah tidak benar.

    Menurut KKM, walaupun sistem janji temu kini menjadi kaedah utama untuk mengurus kunjungan pesakit, perkhidmatan walk-in masih disediakan, terutamanya bagi kes kecemasan, warga emas, dan individu yang menghadapi kekangan akses teknologi.

    “Pesakit walk-in tetap akan dilayan tetapi perlu melalui proses penilaian (triage) terlebih dahulu sebelum rawatan diberikan.

    “Pesakit yang mempunyai janji temu akan diberikan keutamaan mengikut slot masa yang telah ditetapkan. KKM amat memahami bahawa akses teknologi berbeza bagi setiap individu.

    “Oleh itu, perkhidmatan walk-in terus diteruskan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat akses rawatan yang adil dan saksama,” kata pihak KKM dalam kenyataan rasmi.

    Terdahulu, tular satu hantaran yang mendakwa Klinik Kesihatan tidak lagi menerima pesakit secara walk-in mulai Januari 2026. Hantaran itu turut menyatakan bahawa semua akses rawatan akan dilakukan melalui sistem MySejahtera sahaja.

    🔗 Source: https://thereporter.my/kkm-nafi-dakwaan-klinik-kesihatan-tidak-terima-pesakit-walk-in/

  • Tragedi Pantai Sura Tengah: Jasad Mohd Fazir Shafie Ditemui

    Tragedi Pantai Sura Tengah: Jasad Mohd Fazir Shafie Ditemui

    Operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di Pantai Sura Tengah akhirnya berakhir apabila jasad Mohd Fazir Shafie, 35, ditemukan sekitar jam 12.30 pagi, awal pagi tadi.

    Perkara itu dimaklumkan oleh Jabatan AMAL Dungun menerusi satu kenyataan, memaklumkan jasad mangsa ditemui di kawasan berhadapan YY Gemilang.

    “Alhamdulillah, mangsa lemas telah ditemui jam 12.30 pagi. Semoga Allah SWT mengampuni dosanya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman. Takziah buat seluruh ahli keluarga,” menurut kenyataan itu.

    Penemuan jasad Mohd Fazir turut disahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin, yang berharap ia dapat memberi sedikit ketenangan buat keluarga mangsa.

    “Jasad seorang lagi mangsa lemas, Mohd Fazir Shafie di Pantai Sura pagi tadi, telah ditemui sebentar tadi. Semoga penemuan ini memberi sedikit ketenangan buat keluarga yang menunggu dengan penuh harapan dan sabar,” katanya.

    Terdahulu, aktiviti perkelahan sebuah keluarga di Pantai Sura Tengah, Dungun bertukar tragedi apabila dua beradik dilaporkan lemas ketika mandi di pantai berkenaan kira-kira jam 10.27 pagi semalam.

    Dalam kejadian itu, mangsa wanita Nor Baizura Shafie, 37, ditemui kira-kira 25 minit selepas operasi mencari dan menyelamat dilancarkan, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir, berkata sebelum kejadian, keluarga terbabit yang terdiri daripada tujuh orang dewasa dan lapan kanak-kanak sedang berkelah di pantai berkenaan.

    Menurutnya, Nor Baizura dipercayai lemas ketika mandi sebelum adiknya, Mohd Fazir, cuba menyelamatkan mangsa, namun kedua-duanya dihanyutkan ombak.

    🔗 Source: https://thereporter.my/tragedi-pantai-sura-tengah-jasad-mohd-fazir-shafie-ditemui/

  • Tindakan memasang khemah di ruang tamu sebuah rumah kampung di Kluang terbongkar apabila seorang duda dan seorang wanita ditahan dalam serbuan khalwat jam 3.

    Tindakan memasang khemah di ruang tamu sebuah rumah kampung di Kluang terbongkar apabila seorang duda dan seorang wanita ditahan dalam serbuan khalwat jam 3.

    30 pagi, kelmarin.Bertindak atas maklumat awam, penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mendapati rumah berkenaan dalam proses ubah suai daripada rumah papan kepada rumah batu dan belum siap sepenuhnya, dengan pintu serta tingkap masih belum dipasang.Hasil pemeriksaan menemukan lelaki dan wanita masing-masing berusia 40-an keluar dari khemah, lelaki berbaju dan berseluar panjang manakala wanita berkain batik dan baju T.

    Siasatan mendapati wanita berkenaan kerap datang dan bermalam bersama-sama di rumah tersebut, walaupun mereka bukan suami isteri dan tiada hubungan mahram.Pasangan itu ditahan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor.Sumber: JAINJ

    🔗 Source: https://www.facebook.com/share/1YSF5xx7Vu/

  • ‘Makan budu, terus elok dialek Kelantan saya’

    ‘Makan budu, terus elok dialek Kelantan saya’

    BERTITIK tolak daripada komen-komen peminat dalam media sosial yang kerap meninggalkan komen membuat permintaan agar tampil dengan sebuah lagu berdialek Kelantan sementelah hasrat dipermudahkan komposer popular, Eddie Hamid, Baby Shima tidak teragak-agak untuk muncul dengan lagu baharu, Bey Kelik Bey.

    “Sebenarnya ceritanya sangat ringkas. Ramai orang Kelantan selalu tinggalkan komen, ‘Shima, cuba la nyanyi lagu Kelate sikit!’. Lama-kelamaan saya pun terpengaruh. Dialek Kelantan pun mempunyai keunikan tersendiri di mana, walaupun orang marah pun bunyinya tetap comel,” jelas Baby Shima.

    Untuk mendapatkan sebutan dialek Kelantan yang tepat, Baby Shima mengakui mengambil masa kira-kira seminggu lebih untuk berlatih. Beliau turut berkongsi pengalaman lucu semasa sesi rakaman single tersebut.

    “Kadang-kadang bila menyanyi, terkeluar juga loghat Semenanjung, jadi rasa tak sedaplah. Semasa sesi rakaman pun, ada masa saya tersasul, terutama bila lapar. Tapi bila makan budu, terus elok balik dialek Kelantan saya itu,” katanya, berseloroh.

    Baby Shima atau nama sebenar Nor Ashima Ramli berkata, lagu Bey Kelik La Bey masih mengekalkan identitinya selaku penyanyi dangdut namun diberi suntikan elemen moden.

    “Saya sangat berbesar hati dipilih komposer Eddie untuk menyanyikan lagu Bey Kelik La Bey ini, ditambah saya sendiri tertarik dengan keunikan melodi serta lirik yang ketengahkan iaitu dialek Kelantan.

    “Bagi saya, seni dan muzik tak kenal sempadan negeri. Bahkan, peluang bekerjasama dengan Eddie Hamid merupakan pengalaman kerana beliau sangat teliti dan tahu kesesuaian seseorang penyanyi dengan lagu ciptaannya.

    “Saya rakamkan lagu ini beberapa bulan lalu dan bergenre dangdut moden memang selari dengan identiti saya, tapi pada masa sama saya tetap menjaga keaslian serta sebutan loghat Kelantan,” katanya.

    Mengenai dakwaan netizen bahawa lagu Bey Kelik La Bey sinonim dengan penyanyi Eda Ezrin yang pernah popular menerusi lagu Bey Soba Bey, Baby Shima berkata, dia melihat hal tersebut secara positif.

    “Pada saya, setiap penyanyi ada keunikan dan kekuatan masing-masing. Kalau ada rasa orang lain lebih sesuai, itu hak mereka. Namun saya percaya, apabila lagu ini diberikan kepada saya oleh komposer sendiri, itu kepercayaan besar.

    “Sebagai penyanyi, saya cuba bawakannya dengan penuh hormat selain mengikut kehendak komposer. Semoga lagu Bey Kelik La Bey boleh dinikmati semua pendengar, tidak kira siapa yang menyanyikannya.

    “Saya sudah cuba sebaik mungkin dan diharapkan walaupun bukan anak jati Kelantan, usaha menyampaikan dendangan ini diterima kerana saya juga sukakan dialek Kelantan,” ujarnya.

    Sebelum ini, Baby Shima yang membina nama sebagai penyanyi dangdut di Indonesia sejak 2017 pernah popular dengan kumpulan Floor 88 menerusi lagu Roadblock Hatiku dan lagu genre pop, Island Boi. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/31/makan-budu-terus-elok-dialek-kelantan-saya/