Author: jnj-admin

  • 40 lubang ‘congkak puaka’ dekat LTU Gua Musang ditampal

    40 lubang ‘congkak puaka’ dekat LTU Gua Musang ditampal

    GUA MUSANG – Lebih 40 kawasan berlubang di laluan sementara Lingkaran Tengah Utama (LTU) 3BC dekat Taman Wangi di sini sudah ditampal malam tadi.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Datuk Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, tindakan segera itu dilakukan kerana laluan itu dijangka sesak dengan kenderaan sempena pembukaan sesi persekolahan.

    “Kerja-kerja tampalan dilakukan bermula kira-kira pukul 10 malam. Aliran trafik dijangka sesak apabila anak-anak tahun satu dan tingkatan satu mula mendaftar. Saya minta tolong kontraktor 3D untuk tampal segera lubang-lubang puaka depan jalan Taman Wangi.

    “Terima kasih pihak konsensi Roadcare (M) Sdn. Bhd. dan Jabatan Kerja Raya (JKR) LTU. Lebih 40 lubang ditutup malam ini (tadi). Nampaknya semua letih, tetapi tanggungjawab mesti ditunaikan,” katanya.

    Mohd. Syahbuddin memberitahu, isu kerosakan jalan dekat Taman Wangi bukan masalah baharu, sebaliknya sudah berlarutan sejak bertahun lamanya tanpa penyelesaian muktamad.

    Katanya, jalan tersebut mengalami kerosakan yang sama apabila hanya ditampal sementara sebelum kembali rosak dalam tempoh singkat, sekali gus membahayakan keselamatan pengguna. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/10/lebih-40-lubang-puaka-dekat-ltu-taman-wangi-ditampal/

  • Tun Mahathir jalani fisioterapi, proses pemulihan agak lama

    Tun Mahathir jalani fisioterapi, proses pemulihan agak lama

    PUTRAJAYA- Proses pemulihan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) akibat patah tulang pinggul dijangka mengambil masa lama ekoran faktor usia.

    Pegawai Pejabat Tun Dr. Mahathir Mohamad, Sufi Yusoff berkata, selain itu, rawatan terbaik terhadap beliau juga diputuskan secara fisioterapi tanpa pembedahan.

    “Setelah berbincang dengan doktor pakar di IJN, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Kuala Lumpur, diputuskan bahawa rawatan fisioterapi tanpa pembedahan adalah pilihan yang terbaik baginya.

    “Mengambil kira faktor usia Dr. Mahathir juga, proses pemulihan ini akan memakan jangka masa yang agak lama,” katanya dalam satu kenyataan ringkas di sini sebentar tadi.

    Sufi berkata, Tun M masih meneruskan rawatan di IJN bagi pemulihan tulang pinggul yang patah akibat jatuh pada 6 Januari lepas di kediamannya di The Mines.

    “Dr. Mahathir dan keluarga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan semua pihak yang sentiasa mendoakan kesihatan dan kesejahteraan beliau.

    “Buat masa ini juga, Dr. Mahathir tidak dibenar menerima pelawat kecuali keluarga terdekat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/10/patah-tulang-pinggul-proses-pemulihan-tun-m-makan-masa/

  • Ibu sabar menanti ‘kepulangan’ Zarif hilang di Pantai Sauh

    Ibu sabar menanti ‘kepulangan’ Zarif hilang di Pantai Sauh

    KUALA NERUS – Seorang ibu tidak tidur semalaman menunggu pasukan penyelamat melakukan operasi mencari dan menyelamat anak lelakinya, Muhammad Zarif Mohd. Hazahari, 5, yang dikhuatiri lemas di Pantai Sauh, Kampung Pengkalan Atap di sini.

    Siti Hajar Ismail, 42, berkata, dia berharap jasad Muhammad Zarif dapat ditemui segera tidak kira sama ada masih hidup ataupun sebaliknya.

    “Sewaktu kejadian anak saya, Muhammad Zarif dan kakaknya serta dua sepupu lelakinya mengikut ibu saudara, Siti Nurul Aina Sahirah Ismail, 31, ambil angin di tepi pantai.

    “Tak sangka jadi begini. Saya terus bergegas ke lokasi kejadian dari rumah di Kampung Batu Rakit berhampiran sebaik mengetahui musibah tersebut,” katanya ketika ditemui di Pantai Sauh di sini hari ini.

    Turut menanti di lokasi kejadian, nenek Muhammad Zarif, Khatijah Yusof, 65, yang tidak putus-putus membaca al-Quran bagi memudahkan operasi mencari cucu lelakinya.

    Terdahulu, Muhammad Zarif dikhuatiri lemas setelah dibawa arus laut ekoran dipukul ombak besar sewaktu sedang membasuh kaki di Pantai Sauh di sini pada pukul 6.32 petang semalam.

    Siti Hajar berkata, Muhammad Zarif sepatutnya memasuki pra sekolah di salah sebuah pusat asuhan tunas islam (Pasti) berhampiran rumah mereka esok. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/10/ibu-sabar-menanti-kepulangan-zarif-hilang-di-pantai-sauh/

  • Penduduk Kelantan pakai jaket tebal, suhu serendah 19°C

    Penduduk Kelantan pakai jaket tebal, suhu serendah 19°C

    PETALING JAYA – Cuaca sejuk luar biasa melanda Kelantan apabila kebanyakan jajahan di negeri itu dijangka merekodkan suhu paling rendah sekitar 19 darjah Celsius bermula Isnin hingga Selasa, sekali gus mencuri perhatian ramai penduduk.

    Menurut pemerhatian dan perkongsian penduduk tempatan, keadaan sejuk itu bukan sahaja dirasai pada waktu malam, malah berlarutan hingga awal pagi, menyebabkan sebahagian kawasan mencatat suhu harian sekitar 21 hingga 22 darjah Celsius sepanjang minggu ini.

    Tinjauan Kosmo! mendapati, beberapa jajahan termasuk Kota Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh mengalami cuaca dingin yang jarang berlaku, dengan angin sejuk dan suhu rendah ketara terutama pada waktu Subuh.

    Lebih mengejutkan, kawasan tanah tinggi Lojing, Gua Musang dilaporkan mencatat suhu di bawah 15 darjah Celsius, menjadikannya antara kawasan paling sejuk di Semenanjung ketika ini.

    Seorang pengguna media sosial, Mohd. Azlan Rahim, berkata cuaca sejuk yang dialami sejak beberapa hari lalu adalah antara paling ketara pernah dirasainya.

    “Pagi-pagi memang rasa macam berada di Cameron Highlands. Nafas pun berasap, air paip sangat sejuk dan terpaksa pakai jaket tebal,” katanya.

    Di media sosial, rata-rata netizen turut berkongsi pengalaman sama dengan ada yang berseloroh Kelantan kini ‘berasa seperti luar negara’, selain memuat naik gambar termometer dan suasana berkabus pada waktu pagi.

    Seorang penduduk Kota Bharu, Siti Nabila, berkata cuaca dingin itu memberi kelainan kepada rutin harian.

    “Jarang Kelantan rasa sejuk macam ni. Tidur malam pun tak perlu kipas, selimut memang wajib,” katanya.

    Difahamkan, fenomena cuaca sejuk tersebut dipercayai dipengaruhi oleh tiupan angin monsun timur laut serta keadaan atmosfera yang lebih stabil, sekali gus menyebabkan penurunan suhu terutama pada awal pagi.

    Orang ramai dinasihatkan agar menjaga kesihatan, terutama golongan kanak-kanak dan warga emas, selain mengambil langkah berjaga-jaga terhadap perubahan cuaca yang luar biasa itu. – KOSMO! ONLINE.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/10/penduduk-kelantan-pakai-jaket-tebal-suhu-serendah-19c/

  • Ibu sabar tunggu Zarif ‘pulang’

    Ibu sabar tunggu Zarif ‘pulang’

    KUALA NERUS – Kegirangan lima kanak-kanak dibawa ibu saudara mereka bersiar-siar beriadah bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas selepas ditarik ombak besar di Pantai Sauh, Kampung Pengkalan Atap di sini kelmarin.

    Sewaktu kejadian pada pukul 6.32 petang itu, mangsa, Muhammad Zarif Mohd. Hazahari, 5, dikatakan ke gigi air untuk membasuh kaki sebelum ditarik ombak besar ke tengah laut.

    Ibu mangsa terkejut apabila dimaklumkan anaknya hilang dalam kejadian itu dan tidak berganjak menunggu pasukan penyelamat melakukan operasi mencari dan menyelamat anak lelakinya, Muhammad Zarif yang dikhuatiri lemas itu.

    Siti Hajar Ismail, 42, berkata, dia berharap jasad Muhammad Zarif dapat ditemui segera tidak kira sama ada masih hidup ataupun sebaliknya.

    “Sewaktu kejadian anak saya, Muhammad Zarif dan kakak­nya serta dua sepupu lelakinya mengikut ibu saudara, Siti Nurul Aina Sahirah Ismail, 31, ambil angin di tepi pantai.

    “Tak sangka jadi begini. Saya terus bergegas ke lokasi kejadian dari rumah di Kampung Batu Rakit berhampiran sebaik me­ngetahui musibah tersebut,” katanya ketika ditemui di Pantai Sauh di sini semalam.

    Turut menanti di lokasi kejadian, nenek Muhammad Zarif, Khatijah Yusof, 65, yang tidak putus-putus membaca al-Quran bagi memudahkan operasi mencari cucu lelakinya.

    Siti Hajar berkata, Muhammad Zarif sepatutnya memasuki prasekolah di salah sebuah Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) berhampiran rumah mereka pada hari ini (semalam).

    Dia berkata, begitupun anak lelakinya itu seakan-akan tidak teruja mahu memasuki Pasti dengan alasan tidak mahu berpisah dengan adik bongsunya yang berusia tiga tahun.

    “Dia (Muhammad Zarif) juga kata mahu tidur (tidak mahu bangun awal) dan menyuruh saya pula yang bersekolah. “Tidak sangka itu keletahnya yang terakhir,” katanya.

    Terdahulu, Muhammad Zarif dikhuatiri lemas setelah dibawa arus laut ekoran dipukul ombak besar sewaktu sedang membasuh kaki di Pantai Sauh di sini pada pukul 6.32 petang kelmarin.

    Ibu saudara mangsa, Siti Nu­rul Aina Sahirah Ismail, 31, berkata, sebelum kejadian, dua anaknya, Mohd. Sharim Sameer, 4, Muhammad Darwish Uwais, 7, dan Muhammad Zarif te­lah dibawa bersiar-siar di pesisir Pantai Saung pada pukul 6 petang.

    “Sebelum pulang, anak saya, Muhammad Darwish Uwais dan Muhammad Zarif mahu mem­basuh kaki di gigi air.

    “Mereka tiba-tiba ditarik om­bak besar lalu mula diha­nyutkan ke tengah laut. Saya yang panik segera mahu me­nye­lamatkan mereka,” katanya ketika ditemui di Pantai Saung di sini semalam.

    Siti Nurul Aina Sahirah ber­kata, dia cuba mampu menye­lamatkan Muhammad Da­wish Uwais, ma­na­kala Muhammad Zarif yang berada lebih di depan terus ha­nyut ke tengah laut.

    Katanya, dia sendiri hampir lemas sebelum diselamatkan penduduk kampung.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/10/ibu-sabar-tunggu-zarif-pulang/

  • Tayar treler tercabut dari ‘flyover’, hempap kereta di IOI

    Tayar treler tercabut dari ‘flyover’, hempap kereta di IOI

    PETALING JAYA – Seorang pemandu berdepan detik cemas apabila keretanya dihempap tayar treler yang tercabut dari sebuah ‘flyover’ berhampiran pusat beli-belah IOI Putrajaya, hari ini.

    Menerusi perkongsian akaun Threads thebokoson, kejadian itu berlaku betul-betul di hadapan mata mereka, hanya selang dua buah kenderaan dari lokasi kejadian.

    “Selang dua kete je depan kami. Kereta brader ni yang tak bernasib baik kena. Tayar treler dari atas flyover tertanggal dan jatuh, mantul-mantul atas kereta dia. Allah lindung dia dan kami,” katanya.

    Sementara itu, kakak kepada mangsa, Anis Suraya, meluahkan rasa syukur apabila adiknya terselamat walaupun kenderaan yang dipandu mengalami kerosakan teruk.

    “Kesiannya adikku, dia jaga kereta tu dari buruk. Alhamdulillah tak kena apa-apa dekat dia,” katanya.

    Menurut Anis ketika dihubungi, adiknya telah membuat laporan di ibu pejabat Polis Daerah Sepang.

    Perkongsian itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-ratanya meluahkan rasa simpati serta mempersoalkan aspek keselamatan kenderaan berat di jalan raya, khususnya melibatkan treler dan lori. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/10/tayar-treler-tercabut-dari-flyover-hempap-kereta-di-ioi/

  • Liga Super: Pan-gon pastikan debut sempurna bersama Selangor FC

    Liga Super: Pan-gon pastikan debut sempurna bersama Selangor FC

    BRUNEI – Empat gol Chrigor Moraes memastikan permulaan era gemilang Kim Pan-gon bersama Selangor FC apabila membelasah DPMM FC 5-2 pada aksi Liga Super di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, sebentar tadi.

    Keputusan itu mematahkan momentum positif DPMM FC dan turut menafikan hasrat kelab dari Brunei itu untuk mendapatkan kemenangan kelima berturut-turut.

    Terdahulu, sentuhan Pan-gon menyaksikan The Red Devils memulakan perlawanan dengan aksi luar biasa apabila memperoleh dua gol dalam tempoh 10 minit menerusi Moraes pada minit ke-5 dan 10.

    Bagaimanapun, tiga minit sebelum babak pertama DPMM FC mula menyerlahkan semangat melawan apabila berjaya merapatkan jurang menerusi Hakeme Yazid.

    Tiga minit selepas aksi bersambung, kedudukan pelawat makin selesa dan kali ini giliran Nooa Laine meledak gol ketiga sebelum Moraes melengkapkan hatriknya pada minit ke-58.

    Empat minit selepas itu, Miguel Oliveira sekali lagi menghukum kealpaan benteng Selangor FC apabila menghasilkan jaringan kedua DPMM FC.

    Walaupun permainan berlangsung agak perlahan ekoran padang becak, kedua-dua pasukan saling mengatur serangan namun sering digagalkan oleh gerakan akhir sekali gus menafikan tambahan jaringan terhasil.

    Bagaimanapun, sebaik aksi memasuki masa tambahan, Moraes melengkapkan malam gemilang buatnya apabila melengkapkan jaringan keempat peribadinya dalam perlawanan ini bagi menutup sisa perjuangan tuan rumah. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/10/liga-super-pan-gon-pastikan-debut-sempurna-bersama-selangor-fc/

  • Kurikulum Prasekolah 2026 permulaan era baharu pendidikan negara

    Kurikulum Prasekolah 2026 permulaan era baharu pendidikan negara

    PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan Kurikulum Persekolahan baharu bermula tahun hadapan dengan menjadikan Kurikulum Prasekolah 2026 sebagai langkah pertama ke arah pembaharuan sistem pendidikan di negara ini.

    Dalam konteks ini, pelaksanaan Kurikulum Prasekolah 2026 merupakan antara inisiatif utama yang akan dilaksanakan KPM tahun ini bagi mengukuhkan agenda pendidikan negara, sekali gus memastikan potensi akademik pelajar terus diperkasa.

    Berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2026, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pelbagai inisiatif yang dirancang sebelum ini kini memasuki fasa pelaksanaan dengan tahun 2026 menjadi tempoh penting bagi memastikan ia sampai ke kumpulan sasar.

    “Hakikatnya, kita kini berada di persimpangan penting dalam perjalanan pendidikan negara. Di hadapan kita, tersedia Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2026-2035 (PPPM) yang akan memandu strategi dan keputusan untuk sedekad akan datang.

    “Pada masa yang sama, kita sedang melangkah ke Kurikulum Persekolahan baharu pada tahun hadapan, yang mana langkah pertamanya akan bermula melalui pelaksanaan Kurikulum Prasekolah 2026.

    “Inilah tahun di mana benih-benih perancangan hampir sedekad lalu mula kita semaikan sepenuhnya,” katanya baru-baru ini.

    Dalam pada itu, Fadhlina berkata, Audit Keselamatan Murid dan Asrama yang dilaksanakan tahun lalu turut memberi terjemahan bahawa keselamatan murid memerlukan pendekatan secara menyeluruh.

    “Berdasarkan dapatan itu, KPM mewujudkan Polisi Perlindungan Murid yang menjadi antara fokus utama dalam gerakan reformasi segera bagi menekankan pencegahan, intervensi awal dan akauntabiliti bersama.

    “Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat pula membentuk kerangka kerja komprehensif, di mana pihak terlibat seperti polis dan Kementerian Kesihatan perlu terus berganding bahu.

    “Teras panduan itu ialah Jawatankuasa 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan) dengan pengurusan risiko menjadi antara komponen kritikal,” katanya.

    Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM turut mengenal pasti beberapa inisiatif segera yang perlu diberi tumpuan utama dalam melayari pelaksanaan PPPM 2026-2035.

    “Dalam konteks infrastruktur, sebanyak 17 sekolah baharu akan beroperasi tahun ini, iaitu dua sekolah rendah dan 15 sekolah menengah.

    “Langkah itu menangani isu sekolah padat yang diwarisi dari tahun-tahun sebelumnya selain memberi ruang belajar yang lebih selesa kepada murid,” katanya.

    Selain itu, sebanyak 50 sekolah daif akan dinaik taraf pada tahun ini yang mana proses baik pulih membolehkan murid di sekolah terlibat dapat belajar dalam persekitaran yang lebih selamat dan kondusif.

    Fadhlina berkata, sebanyak 1,801 sekolah juga bakal dilengkapi dengan peralatan makmal komputer selain 333 sekolah asrama harian akan dilengkapi sistem televisyen litar tertutup (CCTV) bagi meningkatkan keselamatan murid di asrama.

    “Pada masa sama, sebanyak 200 kelas Pendidikan Khas baharu dibuka, seterusnya memberi peluang lebih ramai murid berkeperluan khas untuk belajar dalam persekitaran yang sesuai dan menyokong perkembangan mereka secara optimum.

    “Program Sekolah Model Khas Komprehensif K11 juga akan diperluaskan yang mana tujuh buah sekolah dilibatkan iaitu tiga pada 2026 dan empat pada 2027.

    “Ini khusus untuk anak-anak di pedalaman, memastikan mereka mendapat pendidikan berkualiti tanpa perlu mengorbankan jarak dan akses,” katanya.

    Lebih menarik, Sekolah Sukan Malaysia Pendidikan Khas (SSMPK) yang terletak di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan juga akan mula beroperasi tahun ini.

    Seterusnya, bagi menghargai dan memberikan sokongan kepada guru dan pentadbir, Fadhlina berkata, sebanyak 1,470 pembantu guru (MyPG) akan ditempatkan pada 2026 dan 2027 dengan 564 orang ditempatkan pada 20 Januari 2026.

    “Pada masa sama, sebanyak 600 MyStep Pembantu Warden Asrama (MyPWA) akan dilantik mulai Mac depan sekali gus meningkatkan pengurusan asrama dan kesejahteraan murid.

    “Semua guru prasekolah juga akan dilatih secara dalam talian untuk memperkasakan penguasaan Bahasa Inggeris, sekali gus memastikan generasi awal mempunyai asas bahasa yang mantap,” katanya.

    Bagi aspek teknologi dan inovasi pembelajaran pula, 800 buah sekolah akan melaksanakan Program Bilik Darjah Dikuasakan oleh Kecerdasan Buatan (AI) melibatkan 260 buah sekolah pada 2026 dan 540 pada 2027.

    “Bagi memberikan peluang kepimpinan dan pengalaman global kepada anak-anak kita, seramai 500 murid B40 akan diberi peluang mengikuti Kem Kepimpinan Bahasa Inggeris di luar negara.

    “Selain itu, 200 kanak-kanak Penan di Belaga, Sarawak pula akan menyertai Program Khas Pendidikan Manusiawi bagi memastikan pendidikan sampai ke pedalaman dengan cara yang inklusif dan bermakna,” jelas Fadlina.

    Dalam hal ini, beliau berkata, inisiatif segera itu menjadi jawapan kepada cabaran nyata dalam menyelesaikan pelbagai isu melibatkan warga KPM.

    “Ia menunjukkan bahawa PPPM bukan hanya rancangan jangka panjang, tetapi langkah-langkah praktikal yang memberi impak segera,” katanya.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/11/kurikulum-prasekolah-2026-permulaan-era-baharu-pendidikan-negara/

  • Hamidin kembali sebagai Presiden FAM?

    Hamidin kembali sebagai Presiden FAM?

    BEKAS presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd. Amin boleh kembali menjawat ‘kerusi panas’ selaku Presiden FAM sekali lagi jika bertanding pada kongres tahunan badan induk itu yang akan dilangsungkan pada tahun ini.

    Perkara itu disahkan oleh pemangku presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi apabila menyifatkan sesiapa sahaja bebas untuk bertanding termasuk Hamidin yang sudah dilantik selaku Presiden Kehormat FAM pada tahun lalu.

    Menurut Mohd. Yusoff, segala kemungkinan boleh berlaku tetapi hanya Hamidin yang boleh menjawab sekiranya berminat untuk bertanding semula atau sebaliknya.

    “Beliau (Hamidin) yang boleh jawab untuk dirinya dan saya tidak boleh jawab perkara itu tetapi segala kemungkinan boleh berlaku terutama kalau kita bubarkan Exco (Ahli Jawatankuasa) ketika ini.

    “Kemudian kita adakan semula kongres pemilihan dan sesiapa sahaja boleh bertanding (jawatan Presiden) termasuk Hamidin,” katanya.

    Sebagai rekod, Hamidin yang juga Ahli Majlis Tertinggi FIFA memilih untuk tidak mengekalkan jawatan selaku Presiden FAM pada kongres pemilihan tahun lalu dengan kerusi panas itu dimenangi oleh Datuk Mohd. Joehari Ayub.

    Namun, Mohd. Joehari meletakkan jawatan secara mengejut pada Ogos lepas dengan jawatan itu disandang secara sementara oleh Mohd. Yusoff sehingga pemilihan baharu dibuat pada kongres akan datang.

    Mengulas mengenai kesediaan untuk melepaskan jawatannya, Mohd. Yusoff mengakui tiada masalah kalau majoriti exco merasakan itu jalan terbaik untuk pulihkan reputasi FAM.

    “Kalau majoriti rasa itu yang terbaik untuk FAM, kita ikut. Tapi mesti sepakat dan tidak boleh bergerak seorang-seorang,” katanya.

    Pada pertemuan khas yang dilakukan Khamis lepas, Exco FAM telah berbincang mengenai rancangan untuk meletakkan jawatan tetapi perlu menunggu keputusan dalam mesyuarat rasmi penghujung bulan ini.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/11/hamidin-kembali-sebagai-presiden-fam/

  • ‘Tunggang agama’ kutip duit berjuta masuk akaun peribadi, SPRM sahkan sedang pantau 3 NGO ‘popular’

    ‘Tunggang agama’ kutip duit berjuta masuk akaun peribadi, SPRM sahkan sedang pantau 3 NGO ‘popular’

    PUTRAJAYA 10 Jan – Sekurang-kurangnya tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ‘popular’ berada dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dikesan mengumpulkan ‘harta haram’ hasil kutipan dana jutaan ringgit.

    Menurut laporan Harian Metro, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata risikan dan siasatan sudah dilakukan pihaknya terhadap NGO berkenaan.

    Beliau melahirkan rasa kecewa berikutan masih ada segelintir NGO yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan dan mengumpul kekayaan melalui kutipan dana awam.

    “Dalam masa terdekat, akan ada lagi pertubuhan (NGO) yang bakal diambil tindakan mahkamah (oleh SPRM).

    “Mereka masih ‘menunggang’ agama, mengutip duit berjuta-juta (tetapi wang) masuk ke dalam akaun peribadi chairman (pengerusi NGO). Mereka ini akan dituduh di mahkamah, tidak lama lagi,” katanya, kelmarin.

    Beliau berkata, sikap dermawan rakyat Malaysia yang mudah bersimpati dan menghulurkan bantuan, diambil kesempatan oleh golongan tidak jujur berkenaan.

    “Rakyat tertipu kerana mereka suka membantu (golongan memerlukan) melalui dana awam. Mereka sangkakan duit didermakan itu untuk (membantu) orang susah. Contohnya, mangsa bencana banjir besar di Aceh, Sumatera.

    “Namun (sifat pemurah) diambil kesempatan organisasi ini. Saya dapati ada organisasi ini (NGO) termasuk yayasan (disiasat SPRM) didaftarkan bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS),” katanya.

    Namun, beliau mempersoalkan pihak yang seharusnya memantau kegiatan NGO dan yayasan itu.

    “Ini duit rakyat. (tetapi) rakyat kena tipu. Katanya duit (derma) dihantar ke Palestin tetapi ada ditukar kepada bentuk emas. Kenapa? Ke mana duit derma itu?

    “Kami (SPRM) bukanlah agensi yang mengetuai semua perkara. Jabatan masing-masing perlu peka tentang apa yang berlaku. Kementerian-kementerian tertentu perlu pantau dan buka mata,” katanya.

    Menurutnya, SPRM sebelum ini sudah mengambil inisiatif membabitkan tindakan terhadap beberapa NGO yang melakukan penyelewengan dana awam.

    “Ada ribuan NGO di luar sana yang berdaftar bawah ROS (namun) kami fokuskan kepada NGO yang terlalu obvious (ketara). NGO sebegini sentiasa bawah pemantauan SPRM,” katanya.

    SPRM sebelum ini pernah mengambil tindakan terhadap beberapa NGO berkaitan penyelewengan dana derma membabitkan NGO Kemanusiaan Syria dan Palestin kerana penyelewengan hampir RM100 juta.

    Kes-kes itu membabitkan penyalahgunaan wang sumbangan orang ramai untuk tujuan peribadi, pembelian aset mewah, pembelian mata wang digital kripto, atau kegunaan selain objektif asal NGO.

    Tindakan membabitkan pengerusi dan pegawai kewangan NGO berkenaan menerusi pembekuan akaun, selain tindakan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13517