Author: jnj-admin

  • 20分钟穿越天山南北 世界最长高速公路隧道通车

    20分钟穿越天山南北 世界最长高速公路隧道通车

    世界最长高速公路隧道–新疆天山胜利隧道于26日中午通车,这标志着乌鲁木齐至尉犁的G0711高速公路全线投入使用。中国再创造隧道建设的世界新奇迹。

    新华社报道,作为乌鲁木齐通往南疆的最快公路通道,乌尉高速全长324.7公里,总投资人民币467亿元,历经5年多攻坚克难建成。乌尉高速沿线地形地貌非常复杂,一段仅11公里的路段就串联14座桥梁、5座隧道,桥隧比超90%,这是“在路上架路”。

    天山胜利隧道是其中最难的工程,堪称世界建设难题。这条隧道全长22.13公里,相当于5座南京长江大桥公路桥总长;隧道里最大地应力值将近22兆帕,相当于一块手指盖大小的岩石就要承受200多公斤重量。

    面对挑战,建设者们投用中国自主研制的全球首创新型压注式工法硬岩掘进机,还创造性地采用“三洞+四竖井”施工方案,将整条隧道切割成段、分段施工,降低单洞掘进难度,缩短工期四分之一以上。

    通车后,乌鲁木齐市至库尔勒市驾车时长由此前的7小时缩短至3.5小时。

    🔗 Source: https://www.kwongwah.com.my/?p=1731648

  • FAM yakin Ong Kim Swee mampu perkasa pembangunan bola sepak akar umbi

    FAM yakin Ong Kim Swee mampu perkasa pembangunan bola sepak akar umbi

    KUALA LUMPUR 26 Dis – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menaruh keyakinan tinggi terhadap kredibiliti bekas ketua jurulatih kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee untuk memulihkan dan memperkukuh kekuatan bola sepak negara di peringkat akar umbi.

    Keyakinan itu susulan pelantikan rasmi Ong Kim Swee, 55, sebagai Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang baharu berkuat kuasa 1 Disember lalu, menggantikan Oscar Francisco Gonzalez.

    Menurut FAM dalam satu kenyataan, pelantikan tersebut diputuskan oleh Jawatankuasa Teknikal NFDP yang dipengerusikan Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram bersama Majlis Sukan Negara (MSN).

    “Ong Kim Swee yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) dilihat sebagai calon paling layak berdasarkan reputasi cemerlang serta pengalaman luas dalam pembangunan dan kejurulatihan bola sepak,” menurut kenyataan itu.

    FAM memaklumkan, pengalaman Ong Kim Swee merangkumi peranan penting bermula di peringkat Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), menerajui skuad Harimau Muda dan seterusnya dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada 2016.

    Rekod kejurulatihannya turut menyaksikan beliau membawa pasukan bimbingan menjuarai Piala Belia 2007, Liga Premier 2009, selain melakar sejarah memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 dan Pestabola Merdeka 2013.

    Beliau juga membantu skuad negara meraih pingat perak Sukan SEA 2017, mara ke suku akhir Kejohanan Bawah 23 Tahun AFC 2018 serta layak ke pusingan kalah mati Sukan Asia 2018.

    Dari sudut pengurusan teknikal, Ong Kim Swee pernah menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Unit Belia FAM, Penolong Pengarah Teknikal FAM serta Pengarah Teknikal FAM pada 2021.

    Di peringkat kelab, bekas pemain tengah era 1990-an itu pernah membimbing Melaka dan Sabah FC sebelum menimba pengalaman di Indonesia sebagai ketua jurulatih Persis Solo dan Persik Kediri dari 2024 hingga 2025, sebelum kembali berkhidmat di tanah air.

    FAM berharap Ong Kim Swee mampu memainkan peranan penting sebagai peneraju baharu NFDP melalui perancangan dan pelaksanaan program yang lebih berkesan demi menjamin masa depan bola sepak negara.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13311

  • Keputusan kes 1MDB RM2.3 bilion Najib ditentukan hari ini

    Keputusan kes 1MDB RM2.3 bilion Najib ditentukan hari ini

    KUALA LUMPUR 26 Dis – Selepas tujuh tahun melalui proses perbicaraan, hari ini menjadi penentu nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.

    Mahkamah Tinggi dijadualkan memutuskan sama ada Najib yang juga Menteri Kewangan ketika kejadian dibebaskan atau disabitkan bersalah atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM2.3 bilion dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) menetapkan tarikh keputusan itu pada prosiding hujahan akhir pembelaan yang berlangsung di Istana Kehakiman pada 31 Oktober lalu, dengan keputusan dijangka dibacakan sekitar jam 9 pagi ini.

    Sekiranya mahkamah mendapati pihak pembelaan yang diketuai peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, Najib akan dibebaskan serta-merta, namun pendakwaan masih boleh mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

    Bagaimanapun, jika sebaliknya, Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan akan disabitkan dan dijatuhkan hukuman, dengan hak untuk merayu keputusan tersebut.

    Pembelaan menutup kes pada 6 Mei lalu selepas memanggil 26 saksi pembelaan sepanjang 58 hari perbicaraan. Secara keseluruhan, perbicaraan kes berprofil tinggi itu mengambil masa 293 hari, melibatkan 50 saksi pendakwaan dan 26 saksi pembelaan.

    Najib didakwa pada 20 September 2018, dengan perbicaraan pendakwaan bermula pada 28 Ogos 2019 dan berakhir pada 30 Mei 2024, membabitkan 235 hari perbicaraan. Pada 30 Oktober 2024, mahkamah memerintahkan beliau membela diri, dengan prosiding bela diri berlangsung dari 2 Disember 2024 hingga 6 Mei 2025.

    Beliau berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan RM2.3 bilion dana 1MDB di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014, mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Jika sabit kesalahan, Najib boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

    Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, beliau didakwa melakukan kesalahan di bank sama antara 22 Mac hingga 30 Ogos 2013 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta AMLATFA, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

    Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. Hukuman penjara beliau telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta selepas Lembaga Pengampunan membuat keputusan pada Januari lalu.

    Isnin lalu, Mahkamah Tinggi turut menolak permohonan semakan kehakiman Najib bagi melaksanakan Titah Adendum untuk menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.

    Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan bahawa isu tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan dan Titah Adendum itu didapati tidak sah serta tidak boleh dilaksanakan.

    Kes 1MDB RM2.3 bilion ini merupakan kes jenayah terakhir yang masih di peringkat perbicaraan melibatkan Najib, 72.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13313

  • Kongsi foto pokok Krismas, Salah dikecam sekali lagi

    Kongsi foto pokok Krismas, Salah dikecam sekali lagi

    LONDON 26 Dis – Bintang Liverpool dan Mesir, Mohamed Salah sekali lagi menjadi tumpuan apabila berkongsi foto pokok Krismas di media sosial, sekali gus mengundang kecaman sebahagian pengikut Muslim, namun dalam masa sama menerima sokongan besar daripada peminat pelbagai latar belakang.

    Pemain berusia 33 tahun itu menjadikan perkongsian foto pokok Krismas sebagai tradisi tahunan meskipun beragama Islam. Tahun ini, Salah memuat naik gambar dua anak perempuannya, Makka, 11, dan Kayan, lima tahun, duduk di sisi pokok Krismas yang dihiasi bebola serta reben merah, disertai kapsyen ringkas “#MerryChristmas”.

    Seperti tahun-tahun sebelumnya, perkongsian itu mencetuskan perdebatan hangat di media sosial. Ada pengikut yang mempersoalkan tindakannya, mendakwa perbuatan tersebut bercanggah dengan ajaran Islam dan boleh mengelirukan peminat, khususnya golongan muda.

    Antara komen yang diterima termasuk teguran agar Salah menghormati agama dan budaya sendiri, malah ada yang menyifatkannya sebagai sesuatu yang “dikesali” bagi seorang figura Muslim berpengaruh. Tidak kurang juga yang memberi peringatan supaya beliau “takut kepada Tuhan” kerana dianggap mempromosikan perkara yang dilarang agama.

    Bagaimanapun, Salah turut menerima sokongan padu daripada peminat Muslim dan bukan Muslim yang melihat perkongsian itu sebagai mesej muhibah serta tanda hormat terhadap kepelbagaian.

    Ramai memuji sikap terbukanya dan menegaskan toleransi serta kemanusiaan wajar diutamakan dalam dunia yang semakin berpecah. Ada yang menyifatkan perkongsian itu sebagai simbol kasih sayang sejagat tanpa mengira perbezaan agama dan kepercayaan.

    Ketika ini, Salah berada di Maghribi bagi menyertai Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) bersama skuad Mesir. Hari Krismas dilalui seperti biasa oleh pemain yang digelar ‘Raja Mesir’ itu apabila dia menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan.

    Salah sebelum ini menjaringkan gol kemenangan ketika Mesir menewaskan Zimbabwe 2-1 dan skuad itu kini berazam meneruskan momentum dalam usaha memburu gelaran AFCON pertama buat bintang Liverpool berkenaan.

    Mesir merupakan pasukan paling berjaya dalam sejarah kejohanan itu dengan tujuh kejuaraan, namun kali terakhir menjulang trofi adalah pada 2010, setahun sebelum Mohamed Salah menyarung jersi kebangsaan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13314

  • Tiga penjawat awam antara 18 orang Islam ditahan minum arak di pusat hiburan

    Tiga penjawat awam antara 18 orang Islam ditahan minum arak di pusat hiburan

    JOHOR BAHRU 26 Dis– Tiga penjawat awam antara 18 individu Muslim yang ditahan dalam satu operasi berkala dijalankan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di sebuah pusat hiburan di bandar raya ini, lewat malam Khamis.

    Menurut sumber JAINJ, serbuan dilakukan kira-kira jam 11.30 malam ketika kesemua individu terbabit sedang berhibur dengan alunan muzik kuat sehingga tidak menyedari kehadiran anggota penguat kuasa di premis berkenaan.

    “Mereka yang ditahan terdiri daripada 14 warga tempatan dan empat wanita warga asing beragama Islam, masing-masing dari Singapura dan Indonesia. Turut ditahan tiga penjawat awam,” katanya.

    Hasil pemeriksaan mendapati kesemua individu berkenaan disyaki melakukan kesalahan minum arak di bawah Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997.

    “Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

    Kesemua yang ditahan kemudiannya dibawa ke Pejabat Penguat Kuasa JAINJ bagi tujuan siasatan lanjut.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13315

  • Kes 1MDB RM2.3 bilion: Prosiding ditangguh sementara untuk solat Jumaat

    Kes 1MDB RM2.3 bilion: Prosiding ditangguh sementara untuk solat Jumaat

    PUTRAJAYA 26 Dis – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan sementara prosiding keputusan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion selepas lebih tiga jam dapatan dibacakan, pada jam 12.15 tengah hari ini.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan) yang bersidang di Istana Kehakiman di sini menghentikan prosiding bagi memberi ruang kepada solat Jumaat.

    Beliau memaklumkan mahkamah masih memerlukan kira-kira satu jam lagi untuk menyelesaikan pembacaan baki keputusan.

    “Mohon diaturkan supaya tertuduh dibawa semula ke mahkamah ini dan prosiding bersambung pada jam 3 petang,” katanya.

    Pendakwaan dikendalikan pasukan Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai Datuk Ahmad Akram Gharib bersama Datuk Kamal Baharin Omar, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Deepa Nair Thevaharan, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md Saud.

    Sementara itu, pembelaan Najib Tun Razak diwakili antara lain oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Datuk Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, Wan Mohammad Arfan Wan Othman dan Effa Azuin.

    Najib, 72, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

    Kesalahan didakwa berlaku di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon, Kuala Lumpur antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014, manakala pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan tempoh 22 Mac hingga 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

    Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13317

  • Kekasih dituduh bunuh Suri

    Kekasih dituduh bunuh Suri

    TAMPIN – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan membunuh Suri Narudin, 53, dalam kejadian di Pedas, Rembau, awal bulan ini.

    Tertuduh yang memakai seluar jeans serta t-shirt lengan pendek berwarna kelabu tiba di mahkamah kira-kira pukul 8.25 pagi.

    Zainizan Zainal, 51, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah membunuh Suri di kawasan belakang sebuah rumah di Jalan Pedas Linggi di antara 7 Disember hingga 18 Disember lalu. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/26/kekasih-dituduh-bunuh-suri/

  • Oyen cari bomba lepas sesat sampai Sekinchan

    Oyen cari bomba lepas sesat sampai Sekinchan

    PETALING JAYA – Gelagat seekor kucing yang dipercayai sesat mencuri perhatian ramai apabila ke Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan.

    Menerusi hantaran di TikTok, kucing berwarna oren itu dibelai sebelum seorang pegawai bomba menghubungi nombor telefon pemilik kucing di

    “Sudah tiga ke empat hari kucing ini di balai, baru kami perasan ada nombor telefon pemilik pada rantai kucing.

    “Hari Sabtu pemilik akan datang ambil. Nanti kami buat video serah dia (kucing) pada tuannya. Kalau tak ada halangan, kami buat siaran langsung nanti,” katanya.

    Difahamkan, kucing berkenaan berasal dari Bukit Kayu Hitam, Kedah dan dipercayai menaiki sebuah lori tanpa disedari pemandunya sebelum turun di kawasan Sekinchan, Selangor, sekali gus menyebabkan haiwan itu sesat jauh dari rumahnya.

    Aksi comel haiwan berkenaan mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya terhibur selain memuji sikap prihatin pegawai bomba.

    “Kucing pun pandai. Hilang terus ke balai bomba. Dia tahu bomba penyelamat,” komen @Kuzai.

    “Kalau dah letak nombor telefon ini mesti oyen pernah buat hal sebelum ini. Pandai pula dia cari balai bomba,” komen @Galau.

    “Musim cuti sekolah, mungki pemilik tak bawa pergi bercuti. Sudahnya dia pergi bercuti sendiri,” komen @AnakMatEusof. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/26/video-oyen-cari-bomba-lepas-sesat-sampai-sekinchan/

  • 1MDB: Empat surat derma Arab Saudi adalah palsu – Hakim

    1MDB: Empat surat derma Arab Saudi adalah palsu – Hakim

    PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi di sini mendapati tiada pengesahan empat surat yang dikemukakan daripada Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung bukti derma daripada pemerintah Arab Saudi.

    Dalam prosiding yang berlangsung di Istana Kehakiman di sini, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata tiada salinan asal surat berkaitan derma tersebut selain pihak pembelaan tidak pernah mengemukakan kepada mahkamah bagi memastikan dana itu dibuat pemerintah Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah.

    “Surat itu dipalsukan kerana ada keterangan menunjukkan wang tersebut sebenarnya berpunca daripada dana 1MDB. Ada jejak kewangan pengesanan dana itu yang menunjukkan ia disalurkan melalui pihak ketiga iaitu Vista Equity, Blackstone dan Tanore iaitu entiti yang dimiliki oleh ahli kewangan buruan Eric Tan,” katanya.

    Tambah Hakim Collin, menjadi suatu yang luar biasa apabila tiada surat balasan dihantar kepada keluarga diraja itu, sebagai salah satu tanda berterima kasih di atas sumbangan yang diperoleh.

    Beliau yang mengangkat sumpah sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 3 Disember lalu katanya, mahkamah mendapati dana tersebut boleh dianggap sangat mencurigakan.

    Hakim Collin menangguhkan prosiding dan menetapkan pukul 3 petang ini bagi menyambung penghakimannya selepas solat Jumaat.

    Mengikut pertuduhan, Najib didakwa empat pertuduhan menggunakan kedudukan ketika itu bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

    Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan berkait suapan berkenaan di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini, antara 24 Februari 2011 hingga 19 Disember 2014.

    Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

    Bekas Menteri Kewangan itu berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

    Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

    Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/26/1mdb-empat-surat-derma-arab-saudi-adalah-palsu-hakim/

  • Polis Johor keluarkan 4,433 saman dalam dua hari Op Krismas, Op Ambang Tahun Baru

    Polis Johor keluarkan 4,433 saman dalam dua hari Op Krismas, Op Ambang Tahun Baru

    ISKANDAR PUTERI 25 Dis – Polis Johor mengeluarkan sebanyak 4,433 saman trafik dalam tempoh dua hari pertama pelaksanaan Op Krismas dan Op Ambang Tahun Baru yang bermula Selasa lalu hingga 12.30 tengah hari semalam.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, dua operasi serentak yang diteruskan sehingga 1 Januari depan itu membabitkan seramai 1,681 pegawai dan anggota di seluruh negeri yang ditugaskan secara bergilir setiap hari.

    Menurutnya, penugasan operasi melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Jabatan Pengurusan serta semua jabatan dan cawangan lain di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    “Saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk pengubahsuaian kenderaan, tiada nombor pendaftaran, nombor pendaftaran diubah suai, tiada lesen memandu serta tiada perlindungan insurans,” katanya pada sidang media sempena Op Krismas dan Op Ambang Tahun Baru di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, awal pagi ini.

    Beliau berkata, fokus utama operasi adalah mencegah kemalangan, jenayah jalanan dan mengekalkan ketenteraman awam susulan peningkatan aliran trafik berikutan cuti hujung minggu, sambutan Krismas, cuti sekolah serta kemasukan pelancong dari dalam dan luar negara.

    Dalam satu operasi khas motosikal di Iskandar Puteri dari jam 5 petang hingga 11 malam semalam, polis memeriksa 52 motosikal, mengeluarkan 143 saman dan menyita kesemua kenderaan terbabit di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan sehingga pemilik membaiki kesalahan masing-masing.

    Selain itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan 14 notis atas kesalahan pelepasan gas dan bunyi bising, manakala Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan 32 saman membabitkan pelbagai kesalahan termasuk pengubahsuaian kenderaan dan isu nombor pendaftaran.

    Ab Rahaman berkata, pihaknya turut melaksanakan Ops Lancar bermula hari ini hingga 1 Januari depan dengan tumpuan di lokasi utama yang merekodkan pergerakan trafik tinggi.

    “Data PLUS menunjukkan purata 22,000 hingga 24,000 kenderaan keluar masuk Johor setiap hari melalui Plaza Tol Senai Utara dan Lima Kedai sejak 19 Disember lalu, dengan 47 lokasi ‘hotspot’ dikenal pasti termasuk lebuh raya, pusat bandar serta pintu masuk utama seperti Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah,” katanya.

    Beliau berkata, operasi itu bertujuan memastikan Johor tidak mengalami kesesakan trafik yang teruk sepanjang tempoh perayaan hujung tahun.

    Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai memanfaatkan aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) untuk mendaftarkan maklumat balik kampung bagi memastikan keselamatan harta benda dan ketenteraman awam.

    Bagaimanapun, katanya, jumlah pendaftaran melalui aplikasi berkenaan masih rendah dengan hanya 232 pendaftaran direkodkan setakat semalam.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13299