Author: jnj-admin

  • Tunku Azizah ziarah pasangan terima bayi kembar hasil IVF tajaan TAFF

    Tunku Azizah ziarah pasangan terima bayi kembar hasil IVF tajaan TAFF

    PETALING JAYA 25 Dis – Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menziarahi pasangan suami isteri yang dikurniakan bayi kembar hasil rawatan In-Vitro Fertilisation (IVF) tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF), semalam.

    Menerusi hantaran di media sosial, pasangan berkenaan yang telah tujuh tahun mendirikan rumah tangga meluahkan rasa syukur apabila terpilih menjalani rawatan IVF bersama TAFF selepas pelbagai ikhtiar dilakukan bagi memperoleh cahaya mata.

    Pasangan itu, Amru Khalid Sazali, 31, dan isterinya Afifah Syahirah Abdul Karim, 30, dikurniakan bayi kembar yang dilahirkan melalui pembedahan pada 21 Disember lalu.

    “Junjung kasih Tuanku. Terima kasih kepada semua pihak TAFF yang banyak membantu dan menyokong sepanjang perjalanan rawatan kesuburan ini,” menurut hantaran tersebut.

    Bayi kembar berkenaan dinamakan Atiyyah Zahra dengan berat 2.49 kilogram dan Abdullah Zainy seberat 2.15 kilogram.

    Difahamkan, lawatan ke kediaman pasangan itu di Pantai Sepat, Kuantan sekali gus mencatatkan kelahiran bayi ke-148 dan ke-149 hasil inisiatif TAFF.

    Dalam kunjungan berkenaan, Tunku Azizah yang diiringi anakanda Seri Paduka Baginda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah turut meluangkan masa berkongsi nasihat serta tip penjagaan bayi dan ibu berpantang dengan pasangan tersebut.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13300

  • PRK tiga DUN Perlis tidak perlu diadakan – Penganalisis undang-undang

    PRK tiga DUN Perlis tidak perlu diadakan – Penganalisis undang-undang

    KUALA LUMPUR 25 Dis – Pilihan raya kecil (PRK) bagi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis yang melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang dipecat keahlian parti tidak perlu diadakan kerana tempoh hayat DUN Perlis telah melebihi tiga tahun.

    Penganalisis undang-undang, Dr Mohamed Hadi Abd Hamid berkata, DUN Perlis pertama kali bersidang pada 19 Disember 2022 dan mempunyai tempoh hayat selama lima tahun sebelum terbubar secara automatik pada 19 Disember 2027.

    Menurutnya, kekosongan luar jangka hanya perlu diisi melalui PRK sekiranya baki tempoh hayat DUN melebihi dua tahun.

    “Namun memandangkan kenyataan pemecatan tiga ADUN Pas itu dibuat pada 24 Disember 2025, baki tempoh hayat DUN Perlis hanya tinggal setahun 11 bulan dan 25 hari, iaitu kurang daripada dua tahun,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

    Sehubungan itu, katanya, PRK bagi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji tidak perlu diadakan kerana Dewan Negeri Perlis sudah melepasi tempoh tiga tahun selepas bersidang buat kali pertama susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Bagaimanapun, Mohamed Hadi berkata, Perkara 55(5) Perlembagaan memperuntukkan satu pengecualian dan Pas berkemungkinan cuba menggunakannya melalui Yang Dipertua Dewan Negeri Perlis bagi membolehkan PRK diadakan.

    Menurut beliau, Speaker Perlis boleh memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya PRK dilaksanakan sekiranya kekosongan itu menjejaskan kekuatan majoriti parti yang membentuk kerajaan negeri.

    Namun, katanya, keadaan tersebut biasanya terpakai dalam situasi majoriti tipis, sedangkan di Perlis, kedudukan kerajaan negeri tidak terjejas walaupun tiga ADUN Pas digugurkan, memandangkan Pas masih mempunyai enam ADUN lain yang disokong lima ADUN Bersatu.

    “Melainkan Pas enggan bekerjasama dengan Bersatu membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN). Tanpa alasan kukuh, di manakah kewajaran untuk mengadakan PRK sedangkan Dewan Negeri Perlis sudah melepasi tempoh tiga tahun?” katanya.

    Selain itu, beliau turut mempersoalkan legitimasi Pas untuk memecat keahlian tiga wakil rakyat berkenaan memandangkan mereka bertanding menggunakan lambang PN, bukan Pas.

    Menurutnya, berdasarkan tafsiran ketat, walaupun ketiga-tiga ADUN itu tidak lagi mewakili Pas, mereka masih wakil rakyat PN dan hanya Pengerusi PN mempunyai kuasa untuk menamatkan kedudukan mereka.

    “Pilihan yang ada ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail melantik Menteri Besar baharu yang diyakini berkemungkinan memperoleh kepercayaan majoriti ahli Dewan Negeri.

    “PN boleh meneruskan pentadbiran negeri seperti biasa sehingga PRU16,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13302

  • Pemakaian dan perhiasan berkaitan Krismas tidak dibenarkan bagi umat Islam – Mufti Wilayah

    Pemakaian dan perhiasan berkaitan Krismas tidak dibenarkan bagi umat Islam – Mufti Wilayah

    PETALING JAYA 25 Dis – Pemakaian seperti topi Santa Claus serta penggunaan perhiasan dan pakaian berkaitan sambutan Hari Krismas, termasuk meletakkan pokok Krismas, adalah tidak dibenarkan bagi umat Islam.

    Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi satu penerangan memaklumkan, pemakaian atau penggunaan perhiasan berkenaan tidak mempunyai keperluan kerana ia boleh ditafsirkan sebagai pengiktirafan terhadap perayaan tersebut.

    Menurut kenyataan itu, larangan berkenaan lebih wajar dipatuhi sekiranya ia melibatkan rumah, pejabat atau tempat yang majoritinya terdiri daripada orang Islam.

    “Sebagai umat Islam, kita digalakkan untuk menghormati dan mematuhi garis panduan serta hukum yang telah ditetapkan. Jadikan hari cuti perayaan sempena Krismas sebagai ruang untuk mengeratkan perpaduan, menghormati perbezaan budaya dan menjadikan kepelbagaian ini sebagai kekuatan unik rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.

    Penerangan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang dimuat naik di laman web rasminya pada 21 Disember 2020 itu dikongsikan semula oleh pendakwah bebas, Ustazah Asma Harun di Instagram sebagai panduan kepada umat Islam.

    Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa hukum menyambut Krismas bagi umat Islam adalah haram kerana ia merupakan perayaan yang meraikan kelahiran Jesus Christ dan tidak dibenarkan untuk turut serta dalam sambutan perayaan agama lain.

    Bagaimanapun, umat Islam dibenarkan mengucapkan “Selamat Menyambut Krismas” atau ucapan selamat sempena perayaan orang bukan Islam kepada individu beragama Kristian sekiranya perlu, sebagai tanda menjaga hubungan baik sesama manusia.

    Ia tertakluk kepada syarat tidak terdapat sebarang unsur reda terhadap agama lain, tidak memuji atau memuliakan serta tidak menggunakan simbol atau lambang keagamaan dalam ucapan tersebut.

    Selain itu, orang Islam juga dibenarkan menghadiri majlis orang bukan Islam yang diadakan di luar rumah ibadat seperti di dewan orang ramai, padang, pejabat atau kediaman, khususnya bagi tujuan adat seperti jamuan makan dengan syarat makanan yang disediakan adalah halal.

    Namun, sekiranya majlis perayaan diadakan di rumah ibadat pada hari perayaan, kehadiran orang Islam adalah makruh, jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13303

  • 67 mangsa banjir masih berlindung di lima PPS di empat negeri

    67 mangsa banjir masih berlindung di lima PPS di empat negeri

    KUALA LUMPUR 25 Dis – Seramai 67 mangsa banjir daripada 15 keluarga masih ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Sarawak setakat jam 8.58 pagi ini.

    Portal Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan keadaan banjir di keempat-empat negeri berkenaan semakin pulih, dengan Selangor merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 21 orang daripada empat keluarga.

    Ia diikuti Sarawak dengan 18 mangsa daripada tiga keluarga, Negeri Sembilan melibatkan 15 mangsa daripada empat keluarga, manakala Pahang merekodkan 13 mangsa daripada empat keluarga.

    Daripada jumlah keseluruhan, 44 mangsa terdiri daripada lelaki dan wanita dewasa termasuk sembilan warga emas, manakala selebihnya membabitkan 22 kanak-kanak dan seorang bayi.

    Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sebelum ini memaklumkan analisis model cuaca terkini menunjukkan luruan monsun dijangka berlaku bermula hari ini hingga Isnin depan.

    Keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di kawasan timur Semenanjung dalam tempoh berkenaan, selain risiko angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan.

    Sehubungan itu, MET Malaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Kelantan dan Terengganu berkuat kuasa esok hingga Ahad, manakala Pahang dan Johor pula dari Jumaat hingga Selasa depan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13304

  • Geng mat rempit pakat langgar lampu isyarat hingga akibatkan kemalangan dengan 4WD

    Geng mat rempit pakat langgar lampu isyarat hingga akibatkan kemalangan dengan 4WD

    LAHAD DATU 25 Dis – Tindakan berbahaya sekumpulan penunggang motosikal melakukan aktiviti lumba haram, termasuk melanggar lampu isyarat merah hingga menyebabkan kemalangan, akhirnya membawa padah apabila salah seorang daripada mereka ditahan polis susulan rakaman video kejadian yang tular di media sosial.

    Suspek lelaki berusia 21 tahun itu berjaya dikesan sebelum ditahan di kediamannya di Felda Sahabat, pada Selasa lalu.

    Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, rakaman kejadian berkenaan mula tular kira-kira jam 3.50 pagi Ahad lalu dan memaparkan sekumpulan penunggang motosikal disyaki terlibat dalam aktiviti lumba haram.

    “Salah seorang penunggang motosikal dilihat melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di laluan menuju ke Lapangan Terbang Lahad Datu.

    “Tindakan itu bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah pengguna jalan raya lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

    Beliau berkata, hasil maklumat awam dan tindakan pantas Unit Penguatkuasa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, suspek berjaya dikesan dan ditahan kira-kira jam 4.15 petang Selasa lalu.

    Suspek kemudian dibawa ke IPD Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan suspek telah direman selama empat hari bagi membantu siasatan,” katanya.

    Dalam pada itu, polis meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian berkenaan tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau hadir ke IPD Lahad Datu.

    Dzulbaharin turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar memantau pergerakan anak-anak supaya tidak terlibat dalam aktiviti tidak sihat seperti lumba haram.

    “Pengguna jalan raya, khususnya golongan belia, diminta mematuhi undang-undang lalu lintas dan menjauhi aktiviti ‘mat rempit’ serta samseng jalanan.

    “Di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak kurang RM5,000,” tegasnya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13306

  • SPRM dah panggil 3 individu, siasat dakwaan rasuah perolehan projek tentera

    SPRM dah panggil 3 individu, siasat dakwaan rasuah perolehan projek tentera

    KUALA LUMPUR 25 Dis – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempergiatkan siasatan berkaitan dakwaan rasuah dalam perolehan projek tentera apabila memanggil tiga individu bagi merakamkan keterangan, semalam.

    Menurut sumber, ketiga-tiga individu berkenaan dipanggil bagi membantu siasatan yang bermula sejak 23 Disember lalu, termasuk penelitian terhadap beberapa akaun yang disyaki mempunyai kaitan dengan amalan rasuah melibatkan projek ketenteraan.

    “Semalam, SPRM memanggil tiga individu untuk merakamkan keterangan dan siasatan awal mendapati bahawa dari 2023 hingga 2025, terdapat 158 projek perolehan tentera bernilai lebih RM500,000, manakala sebanyak 4,521 projek lagi bernilai di bawah RM500,000.

    “Pemeriksaan awal ke atas semua projek ini mendapati beberapa syarikat kerap memperoleh projek bernilai tinggi, yang dilihat agak meragukan.

    “Bagaimanapun, semakan terperinci terhadap pemprofilan syarikat-syarikat yang dianugerahkan kontrak berkenaan masih belum dijalankan,” kata sumber itu.

    Dalam perkembangan sama, SPRM turut menerima satu aduan dan merakamkan keterangan Ketua BERSATU Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, yang hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada tengah hari semalam bagi menyalurkan maklumat berkaitan dakwaan perolehan projek ketenteraan.

    Aktivis itu mendakwa terdapat ‘aliran tunai besar’ dikesan dalam akaun bank seorang pegawai dan ahli keluarganya yang disyaki berpunca daripada syarikat-syarikat yang memperoleh projek ketenteraan.

    Chegubard, dengan merujuk kepada audit forensik dokumen yang diterimanya secara tanpa nama, mendakwa pegawai berkenaan menerima wang antara RM50,000 hingga RM60,000 setiap bulan ke dalam akaun banknya.

    Dokumen berkenaan, menurutnya, turut menunjukkan pemindahan wang dalam jumlah lebih besar, mencecah ratusan ribu ringgit, ke dalam akaun yang dikaitkan dengan pegawai tersebut.

    Beliau juga mendakwa dana itu dipindahkan daripada akaun syarikat-syarikat yang telah memperoleh projek ketenteraan.

    Susulan dakwaan berkenaan, SPRM pada Selasa mengunjungi ibu pejabat Kementerian Pertahanan bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek tentera bermula 2023, dengan fokus kepada projek melalui kaedah tender terbuka serta perolehan di bawah pusat tanggungjawab tentera.

    Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan menegaskan semua siasatan dijalankan secara bebas dan profesional, berasaskan fakta serta bukti, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13307

  • Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, mengulas reaksi politik susulan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan berkaitan Royal Addendum melibatkan Datuk Seri Najib Razak, dengan menegaskan ugutan untuk keluar kerajaan yang dibuat berulang kali tanpa tindakan tegas akhirnya akan menjadi “tumpul” di mata rakyat.

    Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, mengulas reaksi politik susulan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan berkaitan Royal Addendum melibatkan Datuk Seri Najib Razak, dengan menegaskan ugutan untuk keluar kerajaan yang dibuat berulang kali tanpa tindakan tegas akhirnya akan menjadi “tumpul” di mata rakyat.

    Menurut Rafizi, isu pengampunan Najib sepatutnya dinilai berlandaskan undang-undang dan proses perlembagaan, bukannya dijadikan alat tekanan politik.

    Katanya, setiap parti mempunyai hak untuk menarik diri daripada kerajaan, namun jika isu itu benar-benar dianggap sebagai garis merah, keputusan perlu dibuat secara jelas dan konsisten.Beliau menambah, ugutan politik yang tidak pernah diterjemahkan kepada tindakan hanya akan melemahkan mesej sendiri dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keikhlasan pendirian pimpinan politik.Sumber: FB Rafizi Ramli

    🔗 Source: https://www.facebook.com/share/14QcXnmapxC/

  • Malaysia mencatatkan pelaburan mencecah RM285.

    Malaysia mencatatkan pelaburan mencecah RM285.

    2 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kejayaan ini adalah hasil usaha Kerajaan MADANI untuk memastikan pertumbuhan ekonomi memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan.Terdapat lima sektor bernilai tinggi yang menjadi pemacu utama iaitu perkhidmatan (termasuk hab pusat data), elektrikal dan elektronik, kimia, tenaga hijau dan aeroangkasa, serta ekonomi digital.

    Sektor-sektor strategik ini menyumbang sebanyak RM137.9 bilion atau hampir separuh daripada keseluruhan nilai pelaburan yang diterima negara.Impak positif pelaburan ini bakal menyediakan 152,766 peluang pekerjaan baharu, iaitu peningkatan sebanyak 7.3 peratus.

    Langkah ini secara tidak langsung menyasarkan penurunan kadar pengangguran negara ke arah 3.3 peratus sekali gus menjamin kesejahteraan hidup rakyat dan daya saing ekonomi Malaysia di peringkat global.

    Sumber: FB Anwar Ibrahim

    🔗 Source: https://www.facebook.com/share/1BxEFCAW3d/

  • Hat Yai kini dilaporkan sepi dan lengang selepas dilanda banjir besar yang mengakibatkan kerosakan harta benda mencecah RM1.

    Hat Yai kini dilaporkan sepi dan lengang selepas dilanda banjir besar yang mengakibatkan kerosakan harta benda mencecah RM1.

    3 bilion.

    Lokasi tumpuan seperti Pasar Terapung dan Plaza Lee Garden yang biasanya padat dengan pelancong Malaysia kini hanya dipenuhi kesan kemusnahan, manakala banyak premis perniagaan serta hotel terjejas teruk.Ketiadaan pelancong dari Malaysia memberi impak besar kepada ekonomi wilayah tersebut memandangkan hampir 70 peratus pelanggan mereka adalah rakyat kita.

    Ramai peniaga mengalami kerugian besar selepas stok barangan untuk jualan musim cuti Krismas dan Tahun Baharu musnah sepenuhnya dalam bencana tersebut.Peniaga tempatan kini bertungkus-lumus melakukan kerja pembersihan dan berharap agar Hat Yai dapat segera bangkit semula.

    Mereka merayu agar pelancong Malaysia kembali berkunjung bagi membantu memulihkan sektor pelancongan di sana yang kini kian pudar serinya tanpa kelibat pelawat dari negara jiran.Sumber: Utusan

    🔗 Source: https://www.facebook.com/share/1NpZw42KNC/

  • Seramai 77 penjawat awam termasuk pegawai dan anggota polis serta guru ditahan di Kedah sepanjang tahun ini kerana disyaki terlibat dengan dadah.

    Seramai 77 penjawat awam termasuk pegawai dan anggota polis serta guru ditahan di Kedah sepanjang tahun ini kerana disyaki terlibat dengan dadah.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah menegaskan bahawa PDRM tidak akan berkompromi dan tidak malu untuk mendedahkan penglibatan warga sendiri demi membersihkan negeri daripada najis dadah.Statistik menunjukkan peningkatan ketara dengan 26,907 kes direkodkan sehingga 21 Disember lalu, meningkat 13.2 peratus berbanding tahun lepas.

    Nilai rampasan dadah termasuk ketum turut melonjak drastik sebanyak 500 peratus dengan nilai mencecah RM47.6 juta berbanding hanya RM8.8 juta pada tahun sebelumnya.Antara dadah yang paling banyak dirampas ialah bunga ganja seberat 426 kg diikuti syabu dan heroin.

    Pihak polis komited meneruskan tindakan tegas berdasarkan risikan dan maklumat awam bagi memastikan rantaian pengedaran serta penagihan dadah di Kedah dapat diputuskan sepenuhnya.Sumber: Harian Metro

    🔗 Source: https://www.facebook.com/share/17i7rko9BF/