Author: jnj-admin

  • Keluarga Allahyarham Amirul Hafiz tuntut pampasan lebih RM1 juta

    Keluarga Allahyarham Amirul Hafiz tuntut pampasan lebih RM1 juta

    KLANG – Keluarga Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, merancang menuntut pampasan lebih RM1 juta demi menuntut keadilan untuk isteri dan tiga anak mereka yang kehilangan tempat bergantung dan kasih sayang seorang bapa.

    Peguam keluarga, Mohd. Faizi Che Abu, berkata, jumlah sebenar pampasan akan ditentukan berdasarkan pengiraan gaji, sumbangan arwah dan tanggungan keluarga.

    Katanya, tuntutan itu berdasarkan kepada prinsip undang-undang dan ketetapan kes-kes sebelum ini.

    “Ia ada pengiraan. Dari segi undang-undang memperuntukkan berapa sumbangan diberikan arwah (kepada keluarga mereka sebelum ini).

    “Kita akan buat pengiraan dari segi gaji, sumbangan dan tanggungan dan penggandaan kepada berapa umur. Semua itu ada formula dan saya berbincang (dengan keluarga). Tetapi kita ada angka.

    “(Ada bayangan lebih RM 1juta) Mungkin dalam jumlah tersebut. Insya-Allah,” katanya pada sidang akhbar di lobi pekarangan Mahkamah Klang di sini, hari ini.

    Mohd. Faizi menambah, beliau akan mewakili keluarga sepanjang prosiding kes tersebut selain menasihati kes jenayah dan tindakan sivil yang akan diambil nanti.

    “Dari segi keluarga berpuas hati disebabkan mula-mula kita ingatkan bahawa pertuduhan dibawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mabuk dan sebagainya.

    “Tetapi, Alhamdulillah pihak pendakwaan mengambil pendirian yang tegas untuk mengenakan satu pertuduhan bunuh.

    “Bagaimana bukti itu kita serahkan kepada pihak pendakwaan dan Mahkamah tentukan. Kita menghormati dan menghargai keputusan diambil pihak pendakwaan dalam kenakan pertuduhan hari ini,” jelasnya.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/04/01/keluarga-allahyarham-amirul-hafiz-tuntut-pampasan-lebih-rm1-juta/

  • Giliran Itali ‘tutup’ pangkalan tentera kepada AS

    Giliran Itali ‘tutup’ pangkalan tentera kepada AS

    ROM – Itali enggan membenarkan pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) mendarat di pangkalan udara Sigonella di Sicily sebelum menuju ke Asia Barat ekoran tindakan Washington yang tidak meminta kebenaran terlebih dahulu daripada kerajaannya, kata sumber semalam seperti laporan akhbar Arab News.

    Menurut akhbar Corriere della Sera yang pertama kali melaporkan berita itu, beberapa pesawat pengebom AS dijadualkan mendarat di pangkalan di timur Sicily sebelum terbang ke Asia Barat.

    Laporan itu tidak menyatakan bila pesawat tersebut dijadualkan mendarat tetapi mengatakan bahawa kebenaran dinafikan kerana AS tidak meminta kelulusan, manakala kepimpinan tentera Itali tidak dirujuk.

    Perkara itu tertakluk di bawah perjanjian yang mengawal penggunaan instalasi tentera AS di Itali.

    Sumber itu mengesahkan laporan tersebut tetapi tidak menyatakan jumlah pesawat yang terlibat. Sumber kedua mengatakan bahawa Itali menolak kebenaran pada 27 Mac lalu.

    “Merujuk kepada laporan media mengenai penggunaan pangkalan tentera, kerajaan menegaskan semula bahawa Itali bertindak dengan mematuhi sepenuhnya perjanjian antarabangsa sedia ada dan garis panduan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan kepada parlimen,” kata satu kenyataan kerajaan.

    Ia menambah, semua permintaan untuk menggunakan kemudahan tersebut diperiksa dengan teliti berdasarkan kes demi kes, serta mengatakan tiada isu kritikal atau masalah dengan rakan kongsi antarabangsa.

    Isnin lalu, Sepanyol mengatakan bahawa ia menutup ruang udaranya kepada pesawat AS yang terlibat dalam serangan ke atas Iran, satu langkah melebihi penolakannya sebelum ini untuk membenarkan penggunaan pangkalan tentera yang dikendalikan bersama. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/04/01/giliran-itali-tutup-pangkalan-tentera-kepada-as/

  • ‘Bila lihattular, terbayang segala penat lelah ayah’

    ‘Bila lihattular, terbayang segala penat lelah ayah’

    PORT DICKSON – Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, Sekolah Menengah Agama Telok Kemang, di sini melahirkan rasa sayu dan sebak apabila rakaman video dia mengambil keputusan cemerlang 11A+ sambil ditemani ayahnya menjadi tular di media sosial.

    Fakhrul Iman Zainudin, 18, berkata, video berkenaan seolah-olah mengimbau kembali segala susah payah ayahnya, Zainudin Abdul Latif, 63, dalam bertungkus-lumus menjual laksa serta pisang goreng di tepi jalan Batu 9, di sini, sejak sebelum dia dilahirkan lagi.

    “Saya tidak tahu akan dapat keputusan cemerlang seperti ini tapi saya memang nak balas budi mak, Zarina Sood, 54, serta ayah yang sanggup bersusah payah mencari rezeki buat kami sekeluarga.

    “Saya memang mahu kedua-duanya teman saya ambil keputusan, namun, mak tak dapat teman sebab buat persiapan meniaga waktu petang. Bila ayah teman dan keputusannya sangat cemerlang, saya tak dapat nak tahan rasa sebak serta bersandar pada ayah.

    “Insya Allah, jika ada rezeki saya sedang memohon untuk mendapatkan tajaan belajar ke luar negara terutamanya Timur Tengah kerana saya berminat untuk menjadi pensyarah aliran agama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.

    Terdahulu, tular video berdurasi 51 saat memaparkan saat-saat sebak seorang anak memeluk ayahnya yang sudah kelihatan berusia selepas mendapat keputusan cemerlang dalam SPM 2025.

    Fakhrul Iman yang merupakan tahfiz sejak di tingkatan 3 berjaya mendapat semua A+ dalam matapelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains, Bahasa Arab, Prinsip Perakaunan, Pendidikan al-Quran dan al-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, Hifz Al-Quran dan Maharat al-Quran.

    Lebih manis lagi, anak keempat dari lima beradik berkenaan merupakan calon ketiga terbaik di negeri ini bagi keputusan SPM 2025 berkenaan, manakala, SMA Telok Kemang yang merupakan sekolah aliran tafiz di bawah KPM mencatatkan Gred Purata Sekolah 2.13. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/04/01/bila-lihat-video-tular-terbayang-segala-penat-lelah-ayah/

  • Pesawat pengangkut tentera Russia terhempas, 29 maut

    Pesawat pengangkut tentera Russia terhempas, 29 maut

    MOSCOW – Sekurang-kurangnya 29 orang terkorban selepas pesawat pengangkut tentera Russia yang dinaiki mereka terhempas di kawasan tebing bukit Semenanjung Crimea, lapor portal berita Arab News.

    Kementerian Pertahanan Russia melaporkan bahawa lokasi nahas dikenal pasti di Crimea, sebuah semenanjung yang menghubungkan Laut Hitam dan dirampas oleh Moscow dari Kyiv pada 2014.

    “Seramai 23 penumpang dan enam anak kapal terkorban,” kata kementerian itu.

    Media tempatan tidak menyatakan jumlah penumpang yang berada di dalam pesawat serta jumlah mangsa yang terselamat.

    “Pesawat pengangkut tentera jenis An-26 itu terputus hubungan sebelum terhempas ke tebing,” lapor agensi berita TASS.

    Penilaian awal mendapati bahawa masalah teknikal menjadi punca nahas, demikian menurut agensi berita RIA. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/04/01/pesawat-pengangkut-tentera-russia-terhempas-29-maut/

  • ‘Saya antara terawal bereksperimen, baik buruk bawa pengajaran’

    ‘Saya antara terawal bereksperimen, baik buruk bawa pengajaran’

    PETALING JAYA – Kembali diingatkan terhadap perangai gemar mengundang sensasi satu ketika dahulu, pelakon Sharifah Sakinah mengakui setiap perkara tersebut kekal mennjadi memori yang tersimpan kemas dalam ingatannya.

    Akuinya, dia antara selebriti terawal yang bereksperimentasi (mencari perhatian menerusi media sosial) sebelum kelakuan sebegitu menjadi amalan ramai ketika ini.

    “Saya masih menyimpan memori itu. Jika ditemui, insya-Allah akan saya kongsikan semula.

    “Dahulu, saya antara yang terawal bereksperimen sebelum semuanya menjadi arus biasa.

    “Hari ini, ramai memilih jalan perhatian. Namun saya percaya, baik atau buruk segalanya tetap membawa pelajaran,” katanya dalam Threads.

    Bagaimanapun, pelakon drama Girlfriend Dari Neraka itu bersyukur proses pendewasaan sebelum ini menjadikannya seorang wanita yang lebih matang dan berjaya.

    “Perjalanan ini mendidik saya daripada sekadar hiburan kepada sebuah titik tolak menjadi insan yang lebih matang dan berjaya,” ujarnya lagi.

    Hantaran tersebut dikongsi selepas seorang netizen memberi bayangan mengenai kontroversi yang pernah dicetuskan Sakinah ketika awal penglibatannya dalam industri seni.

    “Siapa ingat kes Kinah (Sharifah Sakinah) gincu merah dan seluar dalam merah.

    “Walaupun dia dah popular, jangan ingat dia boleh selamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/04/01/saya-antara-terawal-bereksperimen-baik-buruk-bawa-pengajaran/

  • Pemandu mabuk didakwa bunuh penunggang motosikal

    Pemandu mabuk didakwa bunuh penunggang motosikal

    KLANG – Seorang pembantu makmal yang memandu dalam keadaan mabuk dan khayal sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal, Ahad lalu, didakwa atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

    R. Saktygaanapathy, 28, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret A. Khartiyayini.

    Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang memakai baju T berkolar berwarna putih dan berseluar pendek kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Amirul Hafiz Omar, 33, di Jalan Raya Barat, kira-kira pukul 11.47 pagi pada 29 Mac lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Dalam pada itu, lelaki itu mengaku bersalah telah memasukkan dadah jenis benzo dan tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badan sendiri di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, kira-kira pukul 3.30 petang, pada hari sama.

    Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama.

    Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 dan perintah pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih tiga tahun.

    Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon tarikh baharu bagi serahan dokumen bagi laporan bedah siasat, patologi dan forensik.

    Tertuduh tidak diwakili peguam. Prosiding itu turut diikuti isteri Allahyarham, Nurul Nadia Abdul Majid, 32, yang diwakili peguam pemerhati, Mohd. Faizi Che Abu.

    Sebutan semula kes pada 3 Jun depan.

    Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang penunggang motosikal, Amirul Hafiz, maut dalam keadaan tragis apabila badannya melambung sebelum tercampak atas kenderaan lain selepas dilanggar kereta pada pukul 10.40 pagi.

    Lebih menyayat hati, insiden itu berlaku ketika Amirul keluar bagi membeli buku matematik untuk anak sulungnya.

    Siasatan awal mendapati kereta jenis Honda City yang dipandu suspek dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum melanggar motosikal mangsa.

    Ujian saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah selain memandu di bawah pengaruh alkohol. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/04/01/pemandu-mabuk-didakwa-bunuh-penunggang-motosikal/

  • ‘Saya mahu nyawa balas nyawa sahaja’

    ‘Saya mahu nyawa balas nyawa sahaja’

    KLANG – Isteri kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar menuntut keadilan dan mahu lelaki yang menyebabkan kematian suaminya menerima hukuman setimpal.

    Nur Nadia Abdul Majid, 32, berkata, sebagai isteri dia hanya mahu pembelaan terhadap apa yang menimpa suaminya.

    “Saya mahu nyawa dibalas nyawa,” katanya ringkas ketika hadir ke Mahkamah Klang, di sini hari ini.

    Terdahulu, Nur Nadia tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9.18 pagi bagi mengikut prosiding pertuduhan di Mahkamah Majistret Klang.

    Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan, pemandu mabuk dan khayal dadah yang mengakibatkan kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat di sini, tiba di Mahkamah Klang bagi menghadapi pertuduhan, hari ini.

    Lelaki berusia 20-an tiba kira-kira pukul 8.50 pagi dengan dikawal ketat anggota dan pegawai polis. – KOSMO! ONLINE

    A post shared by Kosmo! Online | Akaun Rasmi (@kosmo_online)

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/04/01/video-saya-mahu-nyawa-balas-nyawa-sahaja/

  • PSG mungkin destinasi baharu Salah

    PSG mungkin destinasi baharu Salah

    MADRID – Masa depan pemain antarabangsa Mesir, Mohamed Salah terus menjadi tanda tanya apabila didakwa menerima tawaran daripada dua kelab gergasi Eropah termasuk Paris Saint-Germain (PSG) dan Bayern Munich.

    Sebagai rekod, Salah yang kini berusia 34 tahun itu bakal meninggalkan Liverpool pada penghujung musim ini selepas sembilan tahun berbakti di Anfield sehingga dianggap antara pemain terbaik sepanjang zaman The Reds.

    Pengarah skuad kebangsaan Mesir, Ibrahim Hassan mendedahkan beberapa kelab elit Eropah telah menunjukkan minat terhadap khidmat Salah dan berharap kapten pasukannya agar terus kekal beraksi di pentas tertinggi di Eropah.

    “Secara jujur, saya mahu dia kekal di Eropah. Saya dengar ada tawaran daripada PSG, Bayern Munich dan juga kelab di Itali (untuk dia pertimbangkan).

    “Jika ke MLS (Liga Bola Sepak Amerika Syarikat), dia akan jauh daripada tumpuan dan peminat mungkin tidak lagi mengingati bakatnya seperti sekarang,” kata Hassan.

    Bagaimanapun, Bayern pantas menepis spekulasi tersebut apabila pengarah sukan mereka, Max Eberl menegaskan tiada sebarang tawaran dibuat terhadap Salah meskipun boleh ditandatangani secara percuma.

    “Tidak, Salah tidak menerima sebarang tawaran daripada Bayern (setakat ini),” katanya. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/04/01/psg-mungkin-destinasi-baharu-salah/

  • ‘Saya OKU, tidak lagi mampu buat kerja berat’

    ‘Saya OKU, tidak lagi mampu buat kerja berat’

    PONTIAN – Kehidupan seorang lelaki yang menderita penyakit gout sejak usia remaja semakin rumit apabila dia sukar untuk bekerja lebih-lebih lagi selepas turut terlibat dalam kemalangan jalan raya pada lapan tahun lalu.

    Menurutnya, keadaan itu bertambah buruk apabila dia terlibat dalam kemalangan pada tahun 2018 ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja sebagai pengawal keselamatan.

    Katanya, kemalangan itu meng­akibatkan tangan kiri dan kaki kanannya patah sehingga memerlukan dua pembedahan.

    “Akibat kecederaan itu, saya kini dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) dan tidak lagi mampu melakukan kerja berat seperti dahulu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Indah di sini.

    Tambahnya, sebelum ini dia merupakan pelajar di Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang, Perak dan mengambil jurusan penyelenggaraan bangunan, namun tidak berjaya menamatkan pengajian.

    “Ketika itu saya terpengaruh dengan perniagaan pemasaran berbilang tingkat (MLM) hingga mengabaikan pelajaran, sedangkan hanya tinggal dua semester lagi untuk tamatkan pengajian,” katanya.

    Nurnashren berkata, penyakit gout yang dialaminya sering menyerang secara tiba-tiba se­hingga menyebabkan dia terpaksa mengambil cuti panjang kerana tidak mampu berdiri lama.

    Katanya, kini dia bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran makanan ‘shellout’ di Bandar Pontian kerana minatnya dalam bidang masakan termasuk makanan barat.

    “Namun keadaan kesihatan yang tidak menentu menyebabkan saya terpaksa berhenti sementara dan hanya akan kembali bekerja selepas Hari Raya jika keadaan kesihatan mengizinkan,” katanya.

    Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, sebelum ini dia menerima bantuan RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun jumlah itu dikurangkan kepada RM300 selepas dia bekerja.

    “Jika saya dapat menamatkan pengajian dahulu, mungkin saya sudah menjadi juruteknik dengan pendapatan tetap untuk membantu keluarga.

    “Sekarang, adik bongsu saya yang berusia 22 tahun terpaksa membantu membayar sewa rumah sebanyak RM600 sebulan di kawasan Perindustrian SILC, Gelang Patah,” katanya.

    Dalam pada itu, orang ramai yang ingin tampil membantu meringankan beban Nurnashren boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional miliknya bernombor 0112241100044349.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/04/01/saya-oku-tidak-lagi-mampu-buat-kerja-berat/

  • Dram Shop Laws atasi isu pemandu mabuk

    Dram Shop Laws atasi isu pemandu mabuk

    PETALING JAYA – Kerajaan disaran mewujudkan Undang-undang Dram Shop atau ‘Dram Shop Laws’ dalam menangani isu pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah. Pengasas dan Penasihat Ke­selamatan Jalan Raya, Persa­tuan Pakar Keselamatan Jalan Raya, Jamil Manan Supri berkata, ia melibatkan hukuman minimum mandatori bagi kes kematian selain ganti rugi kepada mangsa atau keluarga, program pemulihan wajib kepada pesalah dan penggunaan teknologi. Beliau yang juga pakar sukan permotoran berkata, Dram Shop Laws seperti diperkenalkan di United Kingdom sebagai undang-undang pihak ketiga……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/04/01/dram-shop-laws-atasi-isu-pemandu-mabuk/