Category: JNJ-MEDIA

  • UMNO nafi terima surat peletakan jawatan Dr Akmal, Asyraf Wajdi tegur jangan ambil hati

    UMNO nafi terima surat peletakan jawatan Dr Akmal, Asyraf Wajdi tegur jangan ambil hati

    KUALA LUMPUR 9 Jan – UMNO menegaskan sebarang perubahan kepimpinan parti hanya akan diputuskan berdasarkan saluran dan prosedur rasmi, susulan tular dakwaan di media sosial mengenai peletakan jawatan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh.

    Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, setakat ini parti tidak menerima sebarang surat rasmi berhubung peletakan jawatan berkenaan dan menegaskan UMNO tidak bersandarkan spekulasi atau khabar angin dalam menentukan kedudukan kepimpinan.

    “Tidak ada. Setakat ini tiada surat rasmi diterima. Sebagai Setiausaha Agung parti, kita tidak berpandukan kepada apa yang diperkatakan di media sosial atau cakap-cakap yang berlegar,” katanya ketika diminta mengulas perkara itu.

    Sebelum ini, sebuah portal melaporkan bahawa Dr Akmal didakwa telah menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pemuda UMNO dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau.

    Menurut sumber yang rapat dengan UMNO, Dr Akmal memaklumkan perkara itu kepada sekumpulan pemimpin Pemuda menerusi mesej dalam aplikasi WhatsApp semalam.

    Sumber itu turut memaklumkan bahawa Dr Akmal ketika ini berada di Shanghai, China.

    Dalam pada itu, Asyraf Wajdi secara peribadi menasihatkan Dr Akmal supaya tidak mengambil hati terhadap perbezaan pendapat yang berlaku dalam parti ketika ini.

    “Secara peribadi, sebagai abang kepada Dr Akmal yang juga bertanggungjawab meletakkan dia di situ (Ketua Pemuda), perbezaan pandangan itu biasa.

    “Saya dulu pun pernah jadi Ketua Pemuda, pada satu ketika pandangan saya tidak diterima oleh semua Majlis Kerja Tertinggi (MKT), tetapi itu tidak menyebabkan kita harus mengundur diri ataupun lemah semangat kerana itu biasa di dalam tradisi berorganisasi.

    “Kadang-kala pandangan kita itu diterima kadang-kala ia tidak diterima, Tapi paling penting dalam prinsip UMNO ini kita sentiasa berpandukan kepada syura. Agree to disagree dan kalau tak bersetuju, akhirnya kita akan ada kata sepakat,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13514

  • Tender TDM: SPRM sita jongkong emas, SVR dan wang asing bernilai RM6.9 juta

    Tender TDM: SPRM sita jongkong emas, SVR dan wang asing bernilai RM6.9 juta

    KUALA LUMPUR 9 Jan – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan projek tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM) membawa kepada sitaan pelbagai aset mewah termasuk emas, kenderaan utiliti sukan berprestasi tinggi (SVR) serta wang tunai pelbagai mata wang asing yang dianggarkan bernilai kira-kira RM6.9 juta.

    Sumber memaklumkan, wang tunai yang disita melibatkan mata wang Dolar Amerika Syarikat (USD), Euro, Pound, Yen (Jepun) dan Riyal (Arab Saudi).

    Menurut sumber itu, sitaan berkenaan dilakukan hasil pemeriksaan ke atas sebuah SVR di sebuah bengkel sekitar Lembah Klang yang dipercayai ditinggalkan untuk tujuan pembaikan.

    “Barang kemas yang disita adalah tiga unit jongkong emas 999 yang setiap satu seberat satu kilogram (kg) yang nilai semasanya kira-kira RM1.8 juta.

    “Turut disita sembilan keping emas yang setiap satunya seberat 100 gram (g) yang nilai semasanya adalah lebih setengah juta ringgit (lebih RM500,000) di samping SVR dianggarkan bernilai RM360,000 dan dipercayai dibeli secara tunai,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan sitaan berkenaan.

    Menurut beliau, kes tersebut sedang disiasat mengikut Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13515

  • Bekas Menteri Agama Indonesia dinamakan sebagai suspek rasuah kuota haji

    Bekas Menteri Agama Indonesia dinamakan sebagai suspek rasuah kuota haji

    JAKARTA 9 Jan – Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia mengesahkan bekas Menteri Agama, Yaqut Cholil Qoumas, dinamakan sebagai suspek dalam siasatan kes dakwaan rasuah berkaitan pengurusan kuota haji negara itu.

    Pengesahan tersebut dibuat oleh Timbalan Pengerusi KPK, Fitroh Rohcahyanto hari ini, seperti dilaporkan Agensi Berita ANTARA.

    Bagaimanapun, Fitroh tidak memperincikan jumlah keseluruhan suspek yang terlibat atau sama ada Yaqut merupakan satu-satunya individu yang disiasat dalam kes berkenaan.

    Menurut laporan ANTARA, KPK telah memulakan siasatan terhadap dakwaan rasuah melibatkan kuota haji itu pada 29 Ogos 2025. Hasil siasatan awal menganggarkan potensi kerugian negara melebihi 1 trilion rupiah (1 juta rupiah = RM241.90).

    Susulan siasatan tersebut, tiga individu telah dikenakan larangan ke luar negara bagi tempoh enam bulan, termasuk Yaqut.

    Dua lagi individu yang turut dikenakan sekatan perjalanan ialah Ishfah Abidal Aziz atau dikenali sebagai Gus Alex, bekas kakitangan khas kepada Yaqut, serta Fuad Hasan Masyhur, pemilik agensi pelancongan haji Maktour.

    Sehingga 18 September 2025, KPK turut mengenal pasti sebanyak 13 persatuan serta kira-kira 400 agensi pelancongan haji yang disyaki terbabit dalam kes rasuah berkenaan. – BERNAMA

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13516

  • Khidmat peneman wanita, caj bermula RM15

    Khidmat peneman wanita, caj bermula RM15

    PETALING JAYA – Rasa takut, cemas dan tidak selesa untuk keluar bersendirian dalam kala­ngan wanita memberi idea baharu kepada seorang penuntut universiti untuk mengambil inisiatif berani dengan memperkenalkan perkhidmatan khusus kepada golongan hawa. Pelajar tersebut, Darwisyah Adeebah Shahron Nizam, 22, berkata, dia telah memulakan Servis Pemandu dan Pembantu Wanita sejak sebulan lalu khusus untuk memberi perkhidmatan pengangkutan dan bantuan kepada kaum wanita. Biarpun konsep tersebut masih baharu di Malaysia, Darwisyah mengakui idea tersebut sesuai untuk dipraktikkan dan mendapat permintaan baik.……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/10/khidmat-peneman-wanita-caj-bermula-rm15/

  • Manusia terancam, AI ambil alih kerja

    Manusia terancam, AI ambil alih kerja

    KESELAMATAN pekerjaan pada era kecerdasan buatan (AI) menjadi topik yang semakin penting masuk tahun 2026 apabila teknologi ini semakin meluas digunakan dalam pelbagai sektor industri. Antara kebimbangan utama ialah kemungkinan penggantian tenaga manusia oleh automasi dan sistem pintar, terutamanya tugasan rutin serta berulang yang semakin mudah diambil alih oleh mesin. Laporan Masa Depan Pekerjaan 2025 oleh Forum Ekonomi Dunia menjangka 92 juta pekerjaan di seluruh dunia, termasuk Malaysia akan terjejas menjelang 2030 disebabkan oleh penstrukturan semula hasil automasi dan kemajuan……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/10/manusia-terancam-ai-ambil-alih-kerja/

  • ‘Koma, saya seperti berterbangan di atas awan, ibarat sudah mati’

    ‘Koma, saya seperti berterbangan di atas awan, ibarat sudah mati’

    BUKAN sekali dua usaha memujuk penerbit terkenal Datuk A. Aida untuk berkongsi pengalaman kisah komplikasi kesihatan yang pernah dialaminya ini dilakukan.

    Ada sahaja halangan, malah wanita asal Terengganu itu juga menolak untuk ditemu bual. Mungkin ketika itu, pemilik nama penuh Zaidah Awang, 56, itu masih dalam proses menghadam pengalaman antara hidup dan mati yang dialaminya serta mesyukuri peluang kedua yang diberikan Allah SWT.

    Khalayak tahu, beliau terpaksa ditidurkan selepas menjalani pembedahan lutut pada hujung September tahun lalu. Satu situasi mengejutkan, keadaannya juga kritikal.

    Sabar HibGlam menunggu kesediaannya, lantas keterbukaan A. Aida yang ditemui pada Khamis lalu disambut penuh rasa hormat.

    Ternyata, dia wanita yang sama masih ceria dan kuat berseloroh. Kongsinya, kesihatan semakin baik tetapi belum pulih sepenuhnya. Pergerakan harian masih terbatas, berjalan hanya mampu perlahan, manakala aktiviti seperti berlari atau turun tangga masih terasa sakit.

    “Kesihatan saya masih 50-50. Berjalan boleh, tapi berlari memang tidak boleh. Turun tangga masih sakit, solat pun kena duduk. Hakikatnya, saya sangat menyesal buat pembedahan lutut itu,” luahnya jujur.

    Sebenarnya, sebelum pembedahan, lututnya tidaklah serius. Bengkak hanya berlaku selepas melakukan aktiviti lasak seperti berkuda dan surut apabila berehat.

    “Keadaan berlarutan hampir setahun. Kawan-kawan larang saya buat pembedahan sebab lutut tidak sakit, cuma bengkak. Tapi niat saya cuma satu, saya mahu sihat untuk tunaikan haji,” katanya.

    Keputusan menjalani pembedahan dibuat selepas diyakinkan dengan janji doktor, boleh keluar hospital dalam tempoh tiga hari sahaja.

    Siapa sangka, pembedahan tersebut bagaimanapun membawa komplikasi serius sehingga beliau koma selama beberapa hari dan hampir meragut nyawa. Bahkan semasa koma doktor menjelaskan harapan untuk pulih tipis dan meminta keluarga bersedia dengan segala kemungkinan.

    “Doktor beritahu anak saya supaya panggil semua ahli keluarga dan bacakan Yasin. Doktor sendiri kata saya sudah tiada harapan,” katanya bernada sebak.

    Sungguhpun begitu, doa keluarga dan orang sekeliling menjadi asbab beliau kembali sedar.

    Saat itulah A. Aida menyedari betapa besar nikmat hidup yang dipinjamkan semula kepadanya.

    “Saya sangat bersyukur. Allah beri saya peluang hidup buat kali kedua. Sebab itu saya ingin menasihati orang ramai, kalau lutut tidak sakit, jangan sesekali buat pembedahan. Sendi jangan diusik melainkan memang sudah tiada ikhtiar lain,” jelasnya.

    Saat ditanya tentang pengalaman semasa koma, lama beliau terdiam. Cuba mencari perkataan yang tepat barangkali. Tetapi apa yang pasti pengalaman itu masih segar dalam ingatan dan meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya.

    “Paling saya tidak boleh lupa sepanjang koma, saya rasa seolah-olah berterbangan di atas awan putih, ibarat saya sudah mati.

    “Saya juga rasa teramat sakit yang tidak pernah saya rasai sebelum ini. Mungkin itulah rasa sakit orang hendak meninggal. Walaupun koma, saya masih ingat waktu itu saya berdoa agar diampunkan segala dosa dan minta Allah ambil nyawa kerana terlalu sakit,” ujarnya dengan mata yang mula berkaca.

    Sambungnya, ketika memandang ke bawah dia nampak berjuta-juta manusia cuba menggapainya. Antara yang berjaya menariknya turun adalah adik, abang dan beberapa ahli keluarga terdekat.

    “Setiap kali mereka tarik saya ke bawah, rasa sakit itu hilang sebentar. Apabila saya naik semula ke atas, rasa sakit itu kembali. Kejadian itu berulang sebanyak lima kali sehinggalah saya sedar,” katanya.

    Merujuk perkara tersebut kepada seorang ustaz, A. Aida dimaklumkan bahawa pengalaman itu adalah keadaan ‘antara dua alam’ dan manusia yang cuba menggapainya itu adalah simbolik terhadap doa dititipkan keluarga dan orang ramai.

    “Tidak tahu doa siapa yang diangkat Allah, tetapi saya berterima kasih kepada semua tidak kira keluarga, saudara-mara dan orang ramai yang prihatin serta ambil masa mendoakan saya,” ucapnya.

    Meskipun masih menjalani rawatan fisioterapi dan rawatan PRP (Platelet-Rich Plasma), semangatnya untuk menunaikan haji sedikit pun tidak luntur.

    “Saya berazam hendak menunaikan haji tahun ini. Saya tidak culas buat fisioterapi yang sudah masuk bulan ketiga. Kata doktor sekitar Mei (musim haji) keadaan saya akan okey. Insya-Allah, saya yakin dan doa setiap hari dapat menunaikan rukun Islam yang kelima,” katanya.

    Beliau juga sudah membuat rayuan haji selepas mendaftar sejak 2008 dan berharap diberi peluang untuk menunaikan haji buat kali pertama.

    “Kalau tiada niat haji, mungkin saya tidak buat pembedahan itu. Tapi mungkin Allah bagi saya hidup semula sebab Allah hendak saya tunaikan haji,” ujarnya penuh pengharapan.

    Biarpun kesihatan teruji, empayar seninya berjalan seperti biasa. Produksi A. Aida masih aktif dan kini sudah 10 tahun menerbitkan program untuk saluran Salam HD di Unifi TV.

    Terbaharu, beliau membuka sebuah sayap penerbitan, Hello Production, khas untuk anak keduanya, Azeva Natassha.

    “Impian saya mahu dia teruskan perjalanan A. Aida Production, tetapi dia mahu perniagaan yang ada identiti sendiri, bukan dibayangi saya.

    “Jadi, Hello Production khas untuk dia dan menerusi produksi ini saya bakal menerbitkan sebuah filem berjudul Bisikan Nafsu, lakonan anak saya bersama Aniq Suhair,” tuturnya.

    Tahun ini juga, beliau fokus perniagaan resort miliknya, D’Manggis Janda Baik di Janda Baik, Pahang.

    “Resort saya boleh muat 100 orang untuk hari keluarga, ada mini zoo dan ada macam-macam kemudahan yang mampu menarik pelancong dalam serta luar negara. Insya-Allah doakan yang baik-baik buat saya,” katanya.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/10/koma-saya-seperti-berterbangan-di-atas-awan-ibarat-sudah-mati/

  • ‘Anak bapak’ suara sedap, serupa ‘copy paste’

    ‘Anak bapak’ suara sedap, serupa ‘copy paste’

    DUNIA hiburan terutama arena seni suara dibanjiri ramai bakat baharu selain penyanyi sedia ada yang mempunyai pelbagai kelebihan tersendiri.

    Di persada seni tempatan, ada dalam kalangan anak seni yang bertuah dilahirkan daripada keluarga popular juga penghibur hebat.

    Begitupun, ramai di antara penyanyi muda yang mempunyai bapa atau ibu bergelar artis tidak hanya menumpang populariti orang tua, sebaliknya mampu berdiri di kaki sendiri.

    HibGlam menyenaraikan empat penyanyi muda yang menyerlah menerusi bakat serta vokal hebat seperti bapa masing-masing.

    Syafik Farhain – Saleem

    MULA dikenali ramai selepas aktif dalam platform Smule, Syafiq Farhain seterusnya menyertai program pertandingan realiti Big Stage musim pertama pada tahun 2016.

    Ketika itu populariti anak kepada penyanyi Saleem itu melonjak selepas identitinya sebagai putera vokalis kumpulan popular Iklim tersingkap.

    Vokal pegawai bomba yang saling tidak tumpah membuatkan ramai peminat menyamakannya dengan Saleem.

    Kini, pada usia 31 tahun, pemilik nama lengkap Nursyafiq Farhain A.M Salim itu terus melangkah di arena suara dan menempah tempat tersendiri selepas pemergian bapanya pada 14 Oktober 2018.

    Zaki Yamani – Jamal Abdillah

    BARU mencecah usia 18 tahun, namun bakat dimiliki anak kedua kepada Raja Pop Datuk Jamal Abdillah, Zaki Yamani tidak mampu disangkal.

    Seperti ayahnya, penyanyi remaja yang berjinak-jinak di arena seni suara mempunyai vokal unik dengan lontaran padu sehingga meraih pujian ramai.

    Juara program realiti Famili Duo musim dua bersama abangnya, Osama itu nyata membina langkah tersendiri tanpa menumpang nama Jamal.

    Seiring waktu, Zaki atau nama sebenarnya Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah kini mempunyai kelompok peminat tegar, selain tampil bersama single solo serta lagu duet bersama bapanya dan Osama.

    Putra Ahmad Merrah – Awie

    ANAK lelaki vokalis Wings Datuk Awie, Putra Ahmad Merrah semakin dikenali kerana mewarisi bakat vokal seperti bapanya. Lebih dahulu diperkenalkan ke dunia lakonan, hakikatnya bakat pelajar Sekolah Seni itu cenderung ke arah muzik dan nyanyian. Nama Merrah menjadi sebutan selepas duetnya dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu Senja Nan Merah. Ini kerana rata-rata teruja melihat perwatakannya yang mengikuti Awie, bahkan suaranya juga mirip penghibur tersohor itu. Merrah kini semakin banyak menerima tawaran menyanyi, malah impiannya berubah mahu mengikuti jejak Awie bergelar penyanyi.

    Hadie Elfardie – Suhaimi Saad

    BARU berkecimpung dalam dunia nyanyian atas galakan ibu, Hadie Elfardie anak kepada penyanyi nasyid Allahyarham Suhaimi Saad dikatakan mempunyai personaliti istimewa.

    Biarpun suaranya seakan-akan si bapa, kecenderungan anak sulung daripada empat bersaudara itu lebih terarah ke jalur pop dan rock.

    Momentum kerjaya seni remaja berusia 17 tahun itu semakin serius selepas menyertai program realiti Talk To My Manager.

    Kini walau masih hijau melangkah di arena serba mencabar ini, bakat anak muda terbabit tetap meraih pujian apabila mampu membina identiti sendiri.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/10/anak-bapak-suara-sedap-serupa-copy-paste/

  • Kabhi Khushi Kabhie Gham ada sekuel?

    Kabhi Khushi Kabhie Gham ada sekuel?

    PENGARAH terkenal Karan Johar dikatakan berhasrat menerbitkan sekuel filem box-office Kabhi Khushi Kabhie Gham. Dikhabarkan, Karan kini sedang giat menyiapkan skrip Khabi Kushi Khabie Gham 2.

    Difahamkan juga, dia mengambil keputusan untuk menerbitkan sekuel filem tersebut gara-gara banyak filem terbitannya gagal pada 2025.

    Filem Kabhi Khushi Kabhie Gham yang diterbitkan pada 2001 dibintangi Amitabh Bachchan, Jaya Bachchan, Shah Rukh Khan, Hrithik Roshan, Kajol dan Kareena Kapoor.

    Sejak berita mengenai desas-desus Karan mahu menerbitkan Kabhi Khushi Kabhie Khushi 2 tersebar dengan meluas, ramai peminat yang tidak sabar menantikan filem tersebut menjadi kenyataan. Peminat turut berharap barisan pelakon asal filem tersebut dikekalkan.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/10/kabhi-khushi-kabhie-gham-ada-sekuel/

  • Geramkan pemandu tiada otak, Leona marah pun comel

    Geramkan pemandu tiada otak, Leona marah pun comel

    SEJAK memiliki kereta sendiri, Kasih Iris Leona atau Leona sering berkongsi pengalamannya sebagai pemandu dalam media sosial. Ada yang lucu dan sebaliknya.

    Antara yang mencuri perhatian ramai baru-baru ini apabila dia meluahkan rasa geram menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam TikTok apabila perlu berdepan dengan sikap kurang sabar pemandu lain.

    “Sebenarnya, memandu itu bukannya sukar tetapi yang susah adalah memikirkan perangai bodoh pemandu lain.

    “Ada sebuah bas bergerak lebih 100 kilometer (km) sejam, macam terbang. Kemudian ada pula yang tak reti sabar dan suka tekan hon sedangkan ada bas di depan saya ketika itu.

    “Sejujurnya, memandu boleh belajar dalam seminggu tetapi yang ambil masa lama untuk belajar ialah meramal sikap orang lain di atas jalan raya sebab ada yang memandu tak guna otak,” ujarnya.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/10/geramkan-pemandu-tiada-otak-leona-marah-pun-comel/

  • Hrithik Roshan ganti Ranveer Singh dalam Don 3?

    Hrithik Roshan ganti Ranveer Singh dalam Don 3?

    SEJAK mengumumkan menarik diri daripada filem Don 3, ramai peminat tertanya-tanya siapa pelakon yang akan menggantikan posisi Ranveer Singh sebagai watak utama. Pelbagai nama mula diperkatakan untuk menggalas tanggungjawab melakonkan watak ikonik itu.

    Namun khabar yang semakin bertiup kencang mengatakan aktor kacak, Hrithik Roshan memiliki peluang paling cerah untuk menggalas watak Don.

    Selain mempunyai hubungan baik dengan pengarah filem itu iaitu Farhan Akhtar, Hrithik juga pernah muncul sebagai penampilan khas dalam filem Don 2 pada tahun 2011. Selain Ranveer, dua lagi pelakon asal filem tersebut turut menarik diri iaitu Kiara Advani dan Vikrant Massey.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/10/hrithik-roshan-ganti-ranveer-singh-dalam-don-3/