Category: JNJ-MEDIA

  • Empat pemain warisan dapat pasport ‘ekspres’

    Empat pemain warisan dapat pasport ‘ekspres’

    PERSEKUTUAN Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mendedahkan empat pemain warisan Harimau Malaya mendapat pasport ‘ekspres’ sebelum mengharungi aksi kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Vietnam, 10 Jun lepas.

    Menerusi alasan penuh keputusan Jawatankuasa Rayuan setebal 63 muka surat yang didedahkan kepada umum awal minggu ini, FIFA turut mengesahkan tarikh semua tujuh pemain warisan yang terpalit dengan isu pemalsuan dokumen memohon pasport.

    “Permohonan Gabriel Palmero bertarikh 17 Mac sementara Hector Hevel pula pada 18 Mac. Permohonan Facundo Garces pula bertarikh 1 Jun.

    “Sementara permohonan daripada Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo dan Jon Irazabal pula bertarikh 3 Jun,” kata FIFA.

    Lebih menarik, FIFA mengesahkan tarikh permohonan Hevel, Holgado, Machuca, Figueiredo dan Irazabal dan ia diluluskan pada hari yang sama permohonan pasport Malaysia dikemukakan.

    Hevel mendapat pasport bertarikh 18 Mac sebelum mengharungi aksi menentang Nepal, manakala Holgado, Machuca, Figueiredo dan Irazabal mendapat pasport dengan tarikh 3 Jun sebelum turun berdepan Vietnam seminggu kemudian.

    Sebelum ini, Harimau Malaya menamatkan kemarau 11 tahun apabila membelasah Vietnam 4-0 dalam aksi kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) hasik jaringan Figueiredo, Holgado, Cools dan La’vere Corbin-On. – KOSMO ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/21/empat-pemain-warisan-dapat-pasport-ekspres/

  • Hanyut 65km dari KL, abang cam tatu, wajah adik masih baik

    Hanyut 65km dari KL, abang cam tatu, wajah adik masih baik

    SHAH ALAM – “Cam mayat, memang adik saya,”

    Itu luahan sayu seorang abang selepas mengenal pasti jasad mendiang adiknya, K. Suresh, 37, yang ditemui di perangkap sampah di kawasan Kampung Sungai Kandis, di sini.

    Difahamkan jarak lokasi penemuan mayat Suresh dari lokasi dia hilang di Pintasan Saloma dianggarkan lebih 40 kilometer.

    Menurutnya yang enggan dikenali berusia 40an berkata, dia bersama seorang lagi adiknya dipanggil polis untuk membuat proses pengecaman selepas dipanggil kira-kira pukul 12 tengah hari susulan penemuan Suresh.

    Katanya, sewaktu itu mereka berada di Pusat Kawalan Tempat Kejadian di Pintasan Saloma.

    “Saya kenal mayat itu sebagai Suresh

    melalui tatu dan wajahnya yang masih dalam keadaan baik. Mayatnya juga elok,” katanya ketika ditemui di pekarangan unit forensik Hospital Shah Alam (HSA) di sini, hari ini.

    Dia turut merakamkan penghargaan kepada pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan polis yang tidak pernah berputus asa sepanjang operasi tersebut.

    “OCPD Dang Wangi (Asisten Komisioner Sazalee Adam) bagi sokongan moral… mereka kata akan cari sampai jumpa. Mereka bagi harapan dan akhirnya jumpa juga.

    “Terima kasih juga kepada semua rakyat Malaysia yang mendoakan dan memberikan kata semangat kepada kami,” katanya.

    Bercerita lanjut, abang mangsa itu memaklumkan kali terakhir bertemu dengan Suresh adalah pada Ahad lalu dan tiada perubahan ditunjukkan mendiang.

    “Kami memang terkejut dengan insiden itu. Adik saya orangnya rajin, berani dan baik dengan semua. Dia tidak pilih bulu.

    “Jujur sebelum ini kami berharap dia selamat. Namun, kami bersyukur dia tetap dijumpai walaupun dalam situasi berbeza,” ujarnya.

    Jelasnya, urusan pengebumian akan dijalankan di kediaman mereka di Rawang setelah selesai bedah siasat di HSA.

    Terdahulu, Kosmo! melaporkan polis mengesahkan penemuan mayat lelaki berkenaan kira-kira pukul 10.30 pagi tadi.

    Mangsa dikatakan dihanyutkan kepala air berhampiran Pintasan Saloma, kira-kira 5.40 petang, Isnin lalu ketika sedang melakukan kerja penambahbaikan Sungai Klang. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/21/hanyut-65km-dari-kl-abang-cam-tatu-wajah-adik-masih-baik/

  • Mana ada saya nak pergi Hollywood, siapa cakap? – Meerqeen

    Mana ada saya nak pergi Hollywood, siapa cakap? – Meerqeen

    KUALA LUMPUR – Bercita-cita mengintai peluang membina nama di Hollywood, pelakon Meerqeen memaklumkan perkara tersebut hanyalah gurauan bersama rakan-rakan.

    Bagaimanapun, pemilik nama lengkap Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam itu tidak menolak sekiranya dapat melebarkan sayap di Hollywood yang sememangnya impian setiap pelakon.

    “Mana ada saya nak pergi Hollywood, siapa cakap? Yang telefon saya itu Fazziq dan cuma gurauan dengan kawan-kawan.

    “Tapi kalau ada rezeki sudah pasti saya akan pergi. Itu impian semua pelakon, kalau ada insha-Allah.

    “Buat masa sekarang itu hanyalah gurauan,” katanya kepada Kosmo! Online pada tayangan perdana filem Klepet, semalam.

    Selain itu, Meerqeen, 24, turut menjelaskan keputusannya ‘menghilang’ dari media sosial hanyalah strategi bagi memberikan kejutan kepada peminat melalui projek lakonan terbaharu.

    “Untuk persiapan filem seterusnya, banyak yang saya tengah ‘prep’ sekarang tapi bukan Hollywood.

    “Saya diam dan tak berkongsi dalam media sosial bukan saya mahu menjauhkan diri atau apa.

    “Cuma saya nak orang nampak perubahan diri saya sewaktu memainkan watak untuk projek seterusnya sahaja. Saya nak bagi kejutan untuk peminat saya,” tambahnya.

    Sebelum ini, Meerqeen pernah menyuarakan keinginannya untuk membina nama di Hollywood selepas menembusi pasaran Indonesia.

    Keputusan berehat dari media sosial kemudiannya mencetus spekulasi bahawa dia menerima tawaran ke sana.

    Dalam perkembangan lain, Meerqeen membintangi filem Klepet yang akan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 27 November depan, dengan sokongan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

    Selain Meerqeen, filem tersebut turut menampilkan barisan pelakon seperti Aedy Ashraf, Nadhir Nasar, Aeril Zafrel, Joey Daud dan Eric Fuzi. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/21/mana-ada-saya-nak-pergi-hollywood-siapa-cakap-meerqeen/

  • Bot fiber laku musim tengkujuh

    Bot fiber laku musim tengkujuh

    KUALA NERUS – Perniagaan bot fiber yang diusahakan seorang pengusaha di sini meningkat mendadak sehingga 60 peratus sejak musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut (MTL) bermula pada minggu lalu. Masduki Mohd., 41, berkata, setakat ini 30 buah bot fiber telah terjual dalam tempoh seminggu dan kedainya akan terus beroperasi 24 jam sehingga bulan Januari tahun depan bagi memudahkan orang ramai membeli bot fiber apabila memerlukan. Katanya, permintaan tinggi daripada pelanggan itu sebagai persediaan menghadapi banjir. Pelanggan-pelanggan yang membeli bot fiber……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/21/bot-fiber-laku-musim-tengkujuh/

  • Lelaki lebih ketara masalah mental, lagi tertekan berbanding wanita

    Lelaki lebih ketara masalah mental, lagi tertekan berbanding wanita

    Namun begitu, perbincangan tentang kesihatan mental bukanlah sesuatu yang mudah, terutamanya dalam kalangan lelaki kerana topik ini sering kali disambut dengan keengganan atau penolakan.

    Statistik menunjukkan trend yang membimbangkan dan data tahun 2015 menganggarkan kadar gangguan mental di Malaysia mencecah 29 peratus. Ia peningkatan hampir tiga kali ganda berbanding tahun 1996, manakala data tahun 2023 pula mendedahkan bahawa sekitar satu juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas mengalami kemurungan, angka yang lebih daripada dua kali ganda berbanding tahun 2019. Hakikatnya, tahap kesihatan mental rakyat Malaysia berada pada paras yang merisaukan dan situasi ini lebih ketara dalam kalangan lelaki.

    Ahli Psikologi Klinikal dan Pensyarah Kanan di Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Dr. Serena In berkata, stigma terhadap isu kesihatan mental masih kuat berakar umbi dalam masyarakat di negara ini terutamanya lelaki.

    “Ini banyak dipengaruhi oleh cara berfikir tradisional tentang peranan lelaki dalam masyarakat, bagaimana mereka sepatutnya bertingkah laku serta batasan terhadap apa yang dianggap ‘boleh diterima’.

    “Dalam banyak keadaan, wanita cenderung untuk lebih terbuka dan mereka lebih mudah mengakui dan berkongsi perasaan dengan rakan-rakan.

    “Namun bagi orang lelaki, mereka sering diharap untuk kekal tabah, kuat dan tidak beremosi,” katanya.

    Tambahnya, sejak kecil lagi, anak lelaki dibesarkan dengan tanggapan bahawa menunjukkan emosi atau meminta pertolongan itu tanda kelemahan.

    Ada kalanya mereka turut diejek atau dikritik apabila melakukannya. Akibatnya, ramai lelaki berasa malu apabila mereka gagal memenuhi harapan diri sendiri atau orang lain.

    Serena menjelaskan, apabila lelaki berasa tertekan kerana tidak mampu menepati harapan tersebut, keadaan ini dikenali sebagai masculine discrepancy stress atau tekanan akibat ketidaksesuaian dengan jangkaan maskuliniti.

    “Hal ini menambah lagi beban mental dan emosi yang mereka tanggung di samping masalah lain yang sedang mereka hadapi.

    “Selain itu, lelaki turut memikul beban tambahan dalam menghadapi cabaran harian kehidupan seperti waktu kerja yang panjang, tuntutan berterusan serta tanggungjawab di tempat kerja dan di rumah,” terangnya.

    Lelaki lazimnya dilihat sebagai pencari nafkah utama keluarga. Apabila berdepan dengan masalah kewangan, tekanan serta perasaan tidak mencukupi mudah timbul.

    Keadaan ini pula sering diperburuk oleh pengaruh media sosial yang menonjolkan gaya hidup ideal dan serba sempurna.Gabungan semua faktor ini boleh menjadi terlalu berat untuk ditanggung sesiapa pun.

    Namun, kesannya lebih mendalam terhadap lelaki yang mudah terkesan dengan pandangan negatif serta kritikan.

    Serena berkata, tanda-tanda gangguan kesihatan mental selalunya tidak jelas kelihatan.

    “Dalam banyak keadaan, masalah ini berkembang secara perlahan- lahan dan ini membuatkan kita mudah terlepas pandang proses itu.

    “Bagi sesetengah orang pula, mereka menyembunyikan pergolakan dalaman di sebalik sikap dan tingkah laku yang kelihatan terkawal,” katanya.

    Tambahnya, mereka sudah terbiasa berlakon seolah-olah semuanya baik-baik saja. Tanda amaran masalah kesihatan mental boleh muncul secara tidak langsung, sama ada pada lelaki mahupun wanita.

    Namun, sesetengah daripadanya lebih kerap dilihat dalam kalangan lelaki.

    Antara tanda amaran adalah perubahan tingkah laku dan emosi seperti mudah marah, gelisah atau cepat naik angin.

    Tingkah laku berisiko atau eskapis (mengelak atau melarikan diri dari kenyataan) iaitu tindakan mengalih perhatian daripada emosi sebenar atau cuba ‘merawat diri sendiri’ seperti penyalahgunaan alkohol atau dadah, sama ada lebih kerap atau dalam jumlah yang berlebihan.

    Mereka juga melakukan tindakan berisiko seperti memandu secara melulu, terlibat dalam sukan ekstrem atau tingkah laku seksual yang berlebihan dan melampau.

    Ahli keluarga, sahabat dan rakan sekerja memainkan peranan penting dalam memerhati perubahan tingkah laku dan menawarkan sokongan. Lakukanlah sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

    Jelas beliau, antara sokongan yang boleh diberikan adalah mendengar dengan penuh perhatian.

    “Bagi ramai lelaki, mengakui emosi dan meluahkan perasaan bukanlah perkara yang mudah. Mereka mungkin menggunakan ungkapan seperti ‘rasa kosong’, ‘tak ada semangat’, ‘letih sepanjang masa’ atau ‘tak ada mood’ untuk menggambarkan keresahan, kemurungan atau kesedihan yang mereka alami,” katanya.

    Selain itu, luangkan masa bersama mereka kerana kehadiran anda amat bermakna.

    “Ada lelaki yang lebih selesa melakukan aktiviti, ajak mereka untuk minum bersama atau bermain sukan mungkin lebih mudah diterima berbanding ajakan untuk berbual tentang perasaan,” ujarnya.

    Selain itu, tawarkan bantuan, ramai yang masih keberatan untuk mendapatkan pertolongan profesional dan lelaki selalunya memerlukan lebih banyak dorongan untuk berbuat demikian.

    Sokongan boleh diberikan dengan membantu mereka membuat janji temu, menemani mereka ke sesi rawatan atau mencadangkan pilihan dalam talian jika pertemuan bersemuka terasa terlalu berat.

    Jelas Serena, emosi itu perlu diakui dan diurus dengan cara yang sihat serta disalurkan melalui ruang yang sesuai.

    “Hal ini boleh dilakukan dengan langkah mudah seperti berbual dengan rakan, bersenam secara teratur dan mendapatkan rehat yang mencukupi.

    “Selain itu, kaum Adam juga perlu melihat kesihatan mental sama seperti kesihatan fizikal. Kita perlu menjaga minda sebagaimana kita menjaga tubuh badan.

    “Sama seperti anda berjumpa doktor apabila rasa tidak sihat secara fizikal, berjumpalah kaunselor atau ahli terapi apabila anda berasa terganggu dari segi mental atau emosi,” tuturnya.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/21/lelaki-lebih-ketara-masalah-mental-lagi-tertekan-berbanding-wanita/

  • ‘Syukur, dapat juga saya bergraduasi’

    ‘Syukur, dapat juga saya bergraduasi’

    ARAU – “Saya sama sekali tidak menyangka pengurusan tertinggi universiti menziarahi rumah saya dan lebih istimewa, saya diberi peluang menyarungkan jubah graduasi di hadapan ayah yang terlantar.”

    Itu luahan graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), ‘Afif Syahmi Ahmad Sukri, 25, selepas menerima sumbangan wang tunai pendanaan awam warga universiti itu bagi menyelesaikan yuran konvokesyennya.

    Pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kimpalan itu hampir tidak dapat bergraduasi akibat masalah kewangan kerana terpaksa menjadi tulang belakang keluarga bagi membantu menyara adik-beradik yang masih bersekolah.

    “Saya sebenarnya sudah melupakan hasrat untuk naik pentas bergraduasi kerana lebih fokus mencari wang untuk membantu keluarga.

    “Terima kasih warga UniMAP, syukur dan terharu atas bantuan kalian kepada saya dan keluarga,” katanya kepada Kosmo! di Guar Sanji di sini kelmarin.

    Afif mula bekerja sambilan sebagai penghantar makanan sambil belajar bagi meringankan beban keluarga selepas bapanya, Ahmad Sukri Abu Seman @ Aziz, 54, yang juga pesara tentera, mengalami kecederaan saraf tunjang akibat kemalangan.

    Terdahulu, Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Mohd. Mustafa Al Bakri Abdullah, mengunjungi kediaman ‘Afif dan menyampaikan sumbangan hasil pendanaan ramai warga universiti.

    Kutipan dana tersebut disumbangkan oleh pelajar, kakitangan dan pensyarah UniMAP sebelum diagihkan kepada beberapa pelajar kurang berkemampuan bagi memastikan mereka dapat bergraduasi tahun ini.

    Mohd. Mustafa Al Bakri berkata, UniMAP terus mengutamakan kebajikan pelajar sebagai asas melahirkan modal insan holistik dan berdaya saing menerusi pelbagai inisiatif HEPA seperti bantuan kecemasan, subsidi makanan, bantuan peranti, sokongan psikososial dan penambahbaikan kemudahan kampus.

    “Sokongan penuh Naib Canselor serta kerjasama institusi zakat, syarikat korporat dan NGO turut mengukuhkan jaringan kebajikan, terutama apabila 65 peratus pelajar UniMAP terdiri daripada keluarga B40 yang memerlukan bantuan bagi meneruskan pengajian.

    “UniMAP juga antara universiti yang menyediakan penginapan 100 peratus dalam kampus bagi memastikan pelajar tinggal di persekitaran selamat, kondusif dan dekat dengan kemudahan akademik selain membantu mengurangkan kos sara hidup,” ujarnya.

    Katanya, fokus kebajikan pelajar diperkukuh melalui Pelan Strategik UniMAP 2020–2025 dan bakal diberi tumpuan lebih mendalam dalam Pelan Strategik 2026–2030 bagi memastikan setiap inisiatif memberi impak nyata kepada kesejahteraan, motivasi dan pencapaian pelajar.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/21/syukur-dapat-juga-saya-bergraduasi/

  • Ranking Harimau Malaya naik

    Ranking Harimau Malaya naik

    PENINGKATAN dua anak tangga kedudukan Harimau Malaya dalam ranking dunia untuk berada di tempat ke 116 memberikan mesej jelas bahawa para pemain sentiasa menjadikan maruah Malaysia sebagai perkara paling utama.

    Disebalik isu pemalsuan dokumen yang membayangi arena bola sepak negara ketika ini, para pemain sudah mengerah segala kudrat untuk memastikan cerita lebih positif mampu diberikan kepada peminat termasuk kemenangan 1-0 ke atas Nepal, Selasa lalu.

    Walaupun masalah luar padang mewarnai bola sepak Malaysia, pemain naturalisasi negara, Paulo Josue tetap melabel 2025 sebagai tahun paling sempurna buat pasukan kebangsaan.

    “Kami mempunyai tahun yang sangat baik, kami menang semua perlawanan termasuk aksi persahabatan. Saya rasa ia satu pencapaian yang hebat untuk kami, untuk barisan kejurulatihan.

    “Saya rasa kami telah menunjukkannya (kemampuan sebenar), saya hanya berharap pada kem latihan seterusnya pada bulan Mac, kami boleh menewaskan Vietnam atau sekurang-kurangnya tidak tewas untuk kami kekal di puncak,” katanya.

    Ketika ini, Harimau Malaya sedang mendahului carta Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 dengan mata maksimum hasil lima perlawanan.

    Kemaskini terbaharu daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) itu juga menyaksikan Malaysia berada di kedudukan ke-21 di benua Asia di belakang Vietnam, naik dua tangga berbanding sebelum ini.

    Bagi kelompok pasukan di Asia Tenggara, skuad negara berada di kedudukan ketiga di belakang Thailand (95) dan Vietnam (110).

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/21/ranking-harimau-malaya-naik/

  • Dari pentas konvo ke cabaran dunia pekerjaan

    Dari pentas konvo ke cabaran dunia pekerjaan

    Ketika ini, musim konvokesyen sedang mewarnai kebanyakan universiti di seluruh negara. Suasananya cukup meriah dan di wajah setiap graduan terpancar rasa kegembiraan. Mereka meraikan detik bersejarah dalam hidup dengan mencipta kejayaan tersendiri sama ada di peringkat diploma, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD). Ada graduan yang menghidap kanser payudara terpaksa menulis tesis di atas katil kerana menjalani rawatan kemoterapi di hospital. Ada pula graduan yang bergelar orang kurang upaya (OKU) bertungkus lumus menimba ilmu serta mengharungi cabaran. Mereka……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/21/dari-pentas-konvo-ke-cabaran-dunia-pekerjaan/

  • Wanita mengamuk, maki hamun di klinik dihantar ke Hospital Bahagia

    Wanita mengamuk, maki hamun di klinik dihantar ke Hospital Bahagia

    GOMBAK – Seorang wanita tempatan lingkungan usia 20-an yang bertindak agresif ketika berada di sebuah klinik kesihatan di sini semalam didakwa di Mahkamah Majistret Selayang pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kejadian itu tercetus apabila suspek datang ke klinik berkenaan bersama anaknya untuk mendapatkan rawatan sebelum tiba-tiba mengamuk.

    “Suspek mengeluarkan kata-kata kesat kepada kakitangan awam dan pesakit lain. Dia turut bertindak agresif dengan meludah serta berdiri di atas kerusi menunggu sambil memaki hamun petugas dan orang awam yang berada di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Noor Ariffin berkata, laporan berhubung insiden itu diterima pada 19 November lalu kira-kira pukul 12.25 tengah hari yang dibuat oleh seorang kakitangan klinik di Balai Polis Gombak.

    “Suspek kemudian ditangkap pada hari yang sama dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya.

    Mahkamah menetapkan 19 Disember depan sebagai tarikh sebutan kes, manakala tertuduh diperintahkan dihantar ke Hospital Bahagia untuk penilaian.

    Terdahulu, tular satu video wanita berkenaan mengamuk di salah sebuah klinik di Gombak ketika hadir mendapatkan rawatan dan disaksikan beberapa pesakit dan petugas. – KOSMO! ONLINE

    A post shared by KongsiViral l Review RM10 ㅤ (@kongsi.viral)

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/20/video-wanita-mengamuk-maki-hamun-di-klinik-dihantar-ke-hospital-bahagia/

  • Penumpang cemas, pindah ke tren lain di tengah landasan

    Penumpang cemas, pindah ke tren lain di tengah landasan

    PETALING JAYA – Seorang wanita berkongsi pengalaman cemas terpaksa berpindah tren di tengah landasan apabila monorel yang dinaiki terkandas di Jalan Sultan Ismail menghala ke Medan Tuanku, hari ini.

    Menerusi perkongsian di TikTok oleh @kunkunikuni, wanita itu memaparkan suasana cemas para penumpang yang dipindahkan di tengah landasan ke tren lain yang berhenti bersebelahan.

    “Terkandas dekat selekoh weh, siapa saja tidak cuak,” tulisnya di ruangan kapsyen.

    Katanya di ruangan komen, keadaan menjadi lebih sukar apabila monorel yang rosak itu mengalami kekurangan udara atau oksigen sehingga ada penumpang yang pengsan.

    Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai yang rata-ratanya risau dengan kejadian berkenaan.

    “Monorel bagi saya lagi uzur daripada KTM Komuter. Waktu terakhir saya naik, memang mengucap saja,” komen Nim.

    “Nanti kalau cakap lebih takut orang cakap tak pandai bersyukur tetapi masalah sebegini hampir setiap minggu ada. Harapnya pihak bertanggungjawab perbaiki dan tambah baik,” kata Thoughts.

    “Okay saja pindah begitu siap ada pemegang lagi kalau risiko tergelincir. Tidaklah bahaya sangat,” komen Nurida. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/20/video-penumpang-cemas-pindah-ke-tren-lain-di-tengah-landasan/