Category: JNJ-MEDIA

  • ‘Bersolek di KL, buat rambut di Kuching, huru-hara, menang!’

    ‘Bersolek di KL, buat rambut di Kuching, huru-hara, menang!’

    KUCHING – Pelakon Sweet Qismina mengakui kemenangan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik ASEAN International Film Festival & Awards 2025 (AIFFA2025) tidak pernah berada dalam kotak fikirannya sebelum ini.

    Menurut Sweet atau nama penuhnya Farhanna Qismina Supandi, 28, selama bergelar anak seni, dia tidak pernah meletakkan sebarang jangkaan tinggi apatah lagi memenangi anugerah di peringkat antarabangsa.

    “Trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik AIFFA ini memang sesuatu yang tidak pernah wujud dalam diri dan otak saya.

    “Saya sudah berlakon sejak kanak-kanak. Jadi, untuk terima anugerah ini adalah satu perkara yang sangat bermakna dalam kanvas kerjaya saya,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, semalam.

    Dia juga memberitahu tidak mempunyai perancangan untuk terbang ke Kuching bagi menghadiri AIFFA2025 kerana terikat dengan jadual kerja yang padat.

    Namun, selepas dipujuk produser filem Babah, dia mengambil keputusan untuk ke Kuching saat akhir tanpa sebarang persiapan.

    “Kalau tidak, saya memang tak hadir pun acara ini sebab kerja. Produser Babah pun tanya saya, jadi saya ubah keputusan untuk datang juga.

    “Lucunya, saya sudah siap bersolek di Kuala Lumpur tetapi tata rias rambut pula dilakukan di Kuching. Memang huru-hara jugalah.

    “Bila hadir, menang pula. Memang betul-betul rahsia Tuhan,” ujarnya.

    Masih menegaskan prinsip akan terus menambaik kualiti lakonan selepas ini, isteri kepada pelakon Adam Lee itu mengakui kemenangan berganda yang diraih termasuk trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) memberi beban besar buatnya.

    “Sangat-sangat berat sebab masa FFM34 lalu, saya beritahu tidak mudah nak bawa kemenangan itu. Kemudian terima lagi anugerah lain dan jadi wakil Malaysia.

    “Bertambah satu lagi tanggungjawab yang besar. Saya tak tahu kenapa Allah bagi rezeki ini, mungkin Dia nak saya beri hasil kerja lebih baik selepas ini.

    “Kemenangan ini bukan satu perkara yang saya boleh buat main-mainlah. Pilihan juri ini bukan sebab populariti tetapi kualiti,” jelasnya.

    Dalam masa sama, dia sekali lagi menzahirkan ucapan terima kasih kepada produksi filem Babah iaitu Nads Media Entertainment kerana menawarkan watak Maya sekali gus membuka banyak ruang dan rezeki buat dirinya.

    “Tanpa kepercayaan mereka, saya tidak akan ada dalam filem ini.

    “Saya masih hilang kata-kata dengan kemenangan ini, terima kasih semua yang tak berhenti menyokong,” ujarnya lagi.

    Semalam, Sweet terus memahat satu lagi kejayaan apabila diumumkan sebagai pemilik trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik AIFFA2025 yang berlangsung di sini, semalam.

    Dia menewaskan Hong Dao dari Vietnam, Imelda Budiman (Indonesia), Zulfa Maharani (Indonesia) dan

    Katrina Halili (Filipina) untuk kategori tersebut.

    Sebelum ini, Sweet juga dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik FFM34 menerusi filem sama.

    Kemenangan dalam AIFFA2025 sekali gus menjadi trofi kedua dimenangi Sweet Qismina sejak dua dekad bergelar anak seni.

    Kemuncak AIFFA2025 yang mula diperkenalkan sejak 2013 dan mengangkat tema Under The Star tahun ini berlangsung di Colosseum Ballroom, Pullman Hotel, Kuching.- KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/16/bersolek-di-kl-buat-rambut-di-kuching-huru-hara-menang/

  • ‘Memenatkan, ada lelaki fikir dia dapat uji bakat filem 18+’

    ‘Memenatkan, ada lelaki fikir dia dapat uji bakat filem 18+’

    PETALING JAYA – Pelakon Amelia Christie penat berdepan gangguan lelaki tidak beradab yang sering menghantui akaun media sosialnya dengan menghantar pelbagai mesej menjijikkan.

    Ujar Amelia atau nama sebenarnya Amelia Christie Lim, 25, situasi berlarutan itu bukan sahaja menyerabutkan malah menimbulkan rasa takut dan keresahan pada dirinya dan ramai lagi kaum wanita yang mungkin berdepan isu sama.

    “Macam-macam berlaku bila saya post gambar di Instagram Story terutama gambar terbaharu yang berada di pantai.

    “Tiba-tiba ada lelaki secara ‘random’ fikir dia dapat uji bakat untuk filem 18+ (18SX).

    “Cara mereka menaip, emoji digunakan, keyakinan mereka, saya sendiri tak tahu nak gelak, menangis atau terus block,” katanya dalam Threads.

    Tegas bintang drama Gamers Mangkuk itu, kaum wanita hanya mahu menikmati media sosial tanpa diganggu orang luar selain menasihatkan golongan lelaki supaya bersikap sopan apabila berinteraksi dalam platform digital.

    “Perkara ini sering berlaku pada wanita. Memang memenatkan. Kami cuma mahu enjoy media sosial tanpa diganggu ‘strangers’ yang macam hilang adab sejak 2010.

    “Satu peringatan lembut buat lelaki, bercakap dengan wanita secara hormat sentiasa beri kesan lebih baik daripada bertindak seperti ‘broken NPC’ (gila seks) dalam DM,” ujarnya.

    Rata-rata netizen senada dengan Amelia selain menyifatkan manusia kini seperti sudah hilang pedoman dan kurang hormat antara satu sama lain.

    “Setuju! Sopan santun tak susah pun, kenapa semua macam dah hilang arah sangat,” komen netizen.

    “Memang ada yang tak reti jaga batas dalam sosial media terutama jantan miang, otak dia macam tiada benda lain nak fikir,” tulis pengikut.

    Perkara sebegini bukanlah kali pertama berlaku kepada artis tempatan malah sebelum ini selebriti seperti Nadia Brian, Rezza Shah dan Sophia Albarakbah turut terpalit pengalaman sama. – KOSMO! ONLINE.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/16/memenatkan-ada-lelaki-fikir-dia-dapat-uji-bakat-filem-18/

  • ‘Dah lama nak kahwin jaga Mahriah tapi saya buta huruf’

    ‘Dah lama nak kahwin jaga Mahriah tapi saya buta huruf’

    MELAKA – “Saya cuma mahu jaga dia sampai habis rawatan, sampai bila-bila,” luah Leman Jantan, 62, yang kini sah bergelar suami kepada pesakit kanser payudara tahap dua, Mahriah Abdul Majid, 59.

    Menurut Leman, dia mengenali Mahriah selepas tiga tahun berjiran dan memendam hasrat untuk memperisterikan wanita itu hampir dua tahun.

    Katanya, hajat itu bagaimanapun terbantut selepas dia mengalami kesukaran untuk menguruskan proses dokumen pernikahan susulan buta huruf.

    “Saya memang sudah lama nak nikah dengan dia tetapi saya tak pandai urus dokumen, takut salah, jadi kali ini ada orang bantu barulah kami dapat teruskan.

    “Saya kenal rapat dengan Mahriah selepas dia tak mampu ke hospital seorang diri untuk rawatan kimoterapi. Saya yang bawakan dan uruskan hal-hal hospital kerana saya tak sampai hati, saya bantu selepas tengok dia macam hilang harapan,” katanya.

    Pasangan itu selamat diijabkabulkan kelmarin di Masjid Cina Krubong dengan bantuan Kumpulan Sokongan Kanser Power of Love, Majlis Kanser Nasional (Makna) dan Jabatan Kerja Sosial Hospital Melaka.

    Jelas Leman, dia mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan sebelum ini, namun isterinya itu telah meninggal dunia dan pernah berkahwin buat kali kedua tetapi ia juga berakhir dengan kisah sama.

    “Dahulu proses pernikahannya lebih mudah, sekarang ada bahagian yang perlu dibuat secara dalam talian serta pelbagai borang perlu diisi.

    “Tapi saya tak pernah pakai busana songket pengantin dan diraikan begini, sebab kehidupan saya pun bukan senang, kami ini dikategorikan sebagai golongan asnaf dan sebelum ini saya cuma buat kerja-kerja kampung saja,” ujarnya.

    Sementara itu, Mahriah yang hidup seorang diri sejak 15 tahun lalu setelah berpisah dengan bekas suami mengakui, kesihatannya telah banyak berubah selepas Leman mula membawanya menjalani rawatan secara konsisten.

    “Dulu rasa macam tak ada perubahan, kadang-kadang putus harap tetapi bila dia tolong, saya jadi kuat, rasa sihat sikit dan semangat naik balik,” katanya.

    Dalam pada itu, Pengasas Kumpulan Sokongan Kanser Power of Love, Deewi Ismail berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai hajat pasangan itu pada 2 Oktober lalu sebelum menghubungi agensi berkaitan untuk membantu menguruskan dokumen pernikahan.

    “Kami berusaha mendapatkan semula dokumen diperlukan seperti sijil kelahiran, nikah ibu dan bapa serta tajaan daripada pelbagai pihak supaya majlis ini diraikan dengan penuh bermakna.

    “Beberapa pihak turut tampil membantu pasangan mereka termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Makna bagi meringankan kos rawatan serta kehidupan harian,” katanya.-KOSMO! ONLINE

    A post shared by Kosmo! Online | Akaun Rasmi (@kosmo_online)

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/15/video-dah-lama-nak-kahwin-jaga-mahriah-tapi-saya-buta-huruf/

  • Untunglah Caprice, isteri bayarkan kos guaman

    Untunglah Caprice, isteri bayarkan kos guaman

    PENYANYI rap dan aktivis, Caprice berkongsi khabar yang buat ramai pengikutnya berasa sayu. Menurut Caprice, dia yang berdepan kes saman berhadapan masalah kewangan berikutan kos yang perlu dikeluarkan.

    Namun kata pemilik nama Ariz Ramli itu, dia pelik apabila dimaklumkan yuran peguamnya sudah dilunaskan isteri, Farra Inalis tanpa pengetahuannya. Sebagai suami dan bapa, tentu dia terharu kerana insan tercinta sanggup membantu biarpun baru berjinak-jinak berniaga produk kecantikan.

    Sebelum ini difahamkan Farra hanya fokus kepada bayi mereka tetapi tetap membantu meringankan beban suaminya. Begitulah sepatutnya suami isteri, jangan pula apabila salah seorang susah pasangan angkat kaki. Jangan ye.

    DIVA: Ramai suka sekiranya Syamel jadi penyampai berita

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/16/untunglah-caprice-isteri-bayarkan-kos-guaman/

  • Cinta dan ilmu seiring, suami isteri genggam PhD serentak

    Cinta dan ilmu seiring, suami isteri genggam PhD serentak

    KUANTAN – Pasangan suami is­teri yang bergraduasi di Universi­ti Malaysia Pahang al-Sultan Ab­dullah (UMPSA) pada majlis konvokesyen ke–20 baru-baru ini membuktikan cinta dan ilmu boleh berjalan seiring apabila mereka berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Dasar Awam dan Pentadbiran secara serentak.

    Pasangan tersebut, Dr. Mohd. Ro­zaimy Ridzuan dan Dr. Noor Amira Syazwani Abd Rahman, berasal dari Kuala Lumpur dan Pahang kini bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Raub.

    Menariknya, kisah mereka bu­kan sekadar tentang pencapaian aka­demik, tetapi juga tentang per­jalanan dua insan yang saling menyokong dari awal hingga ke puncak kejayaan.

    Sejak di universiti, mereka telah bergraduasi bersama-sama di pelbagai peringkat pengajian iaitu diploma, sarjana muda dan sarjana di Universiti Malaya (UM) diikuti pengajian sarjana di UiTM, sebelum melangkah ke peringkat tertinggi di UMPSA.

    “Namun pada semester pertama isteri mendaftarkan pengajian saya secara dalam talian agar kami dapat menempuh perjalanan kedoktoran bersama. Antara cabaran terbesar kami ialah menyeimbangkan masa sebagai pelajar, pekerja dan ibu bapa.

    “Kami sentiasa percaya, setiap pengorbanan hari ini adalah ha­diah untuk masa depan,” katanya di sini semalam.

    Dalam pada itu, beliau turut berkongsi bahawa kunci utama kejayaan mereka ialah disiplin dan perancangan rapi dalam setiap fasa penyelidikan.

    Selain itu, katanya, sokongan kedua-dua belah keluarga turut menjadi pendorong utama untuk terus berusaha menyiapkan tesis hingga berjaya.

    “Kami sentiasa menetapkan sasaran kecil setiap minggu dan akan raikan setiap pencapaian kecil, itu membantu kami kekal fokus hingga ke akhir.

    “Sokongan moral keluarga amat penting. Mereka sentiasa mendoakan dan memahami perjalanan kami, terutama ketika kami perlu berkorban masa untuk menyiapkan penulisan dan penyelidikan,” katanya.

    Sementara itu, mengulas ­mengenai kejayaan mereka pasangan tersebut berkata, kejayaan menamatkan PhD bukan hanya tentang memperoleh gelaran doktor falsafah, tetapi tentang nilai kesabaran, kepercayaan dan kekuatan dalam menghadapi cabaran bersama.

    “Kisah kami ini membuktikan bahawa apabila cinta, sokongan, dan semangat ilmu digabungkan, tiada halangan yang tidak mampu ditempuhi, bahkan segulung PhD pun boleh diraikan bersama di pentas yang sama.

    “Kami harap kisah ini menjadi inspirasi kepada pasangan muda di luar sana bahawa ilmu tidak pernah menjadi penghalang kepada keluarga, malah ia boleh memperkukuh hubungan dan menambah makna dalam kehidupan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/16/cinta-dan-ilmu-seiring-suami-isteri-genggam-phd-serentak/

  • Melawifornia hidupkan ‘beach vibes’ Pantai Melawi

    Melawifornia hidupkan ‘beach vibes’ Pantai Melawi

    SIAPA sangka, di tengah-tengah deretan pokok kelapa di tepi pantai, wujud sebuah lokasi yang mampu mengubah wajah pelancongan di Kelantan. Itulah Melawifornia, ‘port’ santai moden di Pantai Melawi, Bachok yang kini menjadi bualan ramai dalam dan luar negeri.

    Jika dahulu Pantai Melawi hanya menjadi lokasi bersiar-siar keluarga setempat, kini suasananya berubah 360 darjah dengan kemunculan Melawifornia yang membawa konsep santai berinspirasikan pantai California, Amerika Syarikat, namun tetap mengekalkan jiwa Timur yang masih kental.

    Terletak hanya 10 minit dari pekan Bachok, Pantai Melawi kini menjadi destinasi wajib kunjung bagi pencinta laut terutama mereka yang gemar bersantai, berkemah dan memburu keindahan panorama matahari terbit serta terbenam.

    Pantai ini memiliki pesona tersendiri dengan pasir putih lembut dan angin laut yang mendamaikan. Ditambah dengan fasiliti awam yang lengkap seperti surau, tandas, tempat parkir serta gerai makanan tempatan, ia benar-benar menjanjikan keselesaan buat pelancong.

    Namun yang paling mencuri perhatian kini tentulah Melawifornia, kafe pertama di Kelantan yang dibangunkan dalam ladang kelapa di tepi pantai.

    Ia mula beroperasi pada 16 Julai 2023 hasil idea kreatif seorang anak muda tempatan, Ahmad Syaheed Aris Pazilah, 25, yang berani mencabar norma.

    “Saya mahu bawa pengalaman santai gaya dunia, tapi tetap dengan suasana tropika Kelantan. Melawifornia bukan sekadar kafe malah satu gaya hidup.

    “Dengan keluasan 0.4 hektar, Melawifornia dibina dengan konsep terbuka dan berwarna-warni. Payung besar, meja rotan, lampu bulat dan suasana muzik akustik menjadikan kawasan itu seolah-olah lebih segar dan tenang,” katanya ketika ditemui CitaRasa baru-baru ini.

    Menurutnya, konsep tahun ini juga tampil lebih menarik dengan Open Vendor 2025, yang membuka peluang kepada usahawan tempatan atau penduduk kampung menjual makanan dan produk mereka di sekitar kawasan pantai itu.

    Katanya, mereka yang gemar aktiviti lasak atau laut, Melawifornia turut menawarkan pengalaman berkuda, stand-up paddleboard serta aktiviti surfing, khususnya ketika musim monsun apabila ombak lebih kuat dan sesuai untuk peluncur air.

    “Selain itu, pantai ini juga terkenal dengan panorama matahari terbit yang menakjubkan. Ramai pengunjung sanggup datang seawal pukul 6 pagi hanya untuk menyaksikan mentari muncul dari ufuk laut sambil menikmati kopi panas di kafe tepi pantai itu,” katanya.

    Ahmad Syaheed berkata, pihaknya dalam perancangan membina hostel backpacker dan homestay menjelang tahun 2026, sekali gus menjadikannya destinasi lengkap untuk percutian bajet di pesisir Bachok.

    Seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Nur Hidayah Hassan, 32, ketika ditemui berkata, rasa tenang bila dapat menyaksikan matahari naik sambil minum kopi dengan deru angin pagi laut memang luar biasa.

    Katanya, lokasi ini memang menjadi tumpuan mereka yang cintakan alam dan laut kerana Melawifornia turut menyediakan tapak perkhemahan dengan kemudahan asas lengkap yang menjadi pilihan keluarga dan komuniti luar yang mahu berkelah dan tidur di bawah bintang.

    “Tidak hairanlah, nama Melawifornia kini jadi sebutan di media sosial. Foto-foto bertema tropika dan lautan biru menjadikan tempat ini ‘port wajib singgah’ bagi mereka yang mencari lokasi outfit of the day (OOTD), healing dan percutian santai.

    “Kewujudan Melawifornia bukan sahaja menghidupkan Pantai Melawi, malah turut memberi nafas baharu kepada sektor pelancongan Bachok apabila semakin ramai pelancong luar termasuk saya mula kenali keindahan pantai di negeri Cik Siti Wan Kembang ini,” katanya.

    Suatu ketika dahulu, Pantai Melawi hanya dikenali sebagai lokasi biasa bagi penduduk tempatan melepaskan lelah hujung minggu. Namun kini, ia berubah wajah menjadi destinasi tumpuan baharu yang menyatukan keindahan semula jadi dan gaya santai moden.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/16/melawifornia-hidupkan-beach-vibes-pantai-melawi/

  • 5 kucing terkaya dunia, kalah manusia!

    5 kucing terkaya dunia, kalah manusia!

    JIKA dahulu kucing dibela sebagai haiwan peliharaan yang menyerikan suasana di dalam rumah tetapi kini haiwan comel itu sudah dianggap sebagai anak dan teman baik. Keletah kucing yang comel dan manja mampu menggembirakan pemiliknya sekali gus membantu mengurangkan rasa kesepian.

    Disebabkan itu, ramai yang menjadikan kucing sebagai teman paling rapat dan pemiliknya percaya ia mampu memahami setiap perasaan tuannya lantas menjadi tempat meluahkan perasaan paling selamat kerana rahsianya disimpan kemas. Betapa sayangnya pemilik kucing itu kepada haiwan peliharaannya sehingga ada yang mewariskan sebahagian harta kepada si bulus itu.

    Di samping itu, kucing-kucing ini juga menjadi selebriti di laman sosial dan mencipta kekayaan sendiri. Berikut CitaRasa kongsikan lima kucing popular dan terkaya di dunia menurut Hindustan Times.

    MENDIANG pereka fesyen terkenal, Karl Lagerfeld adalah ‘bapa’ kepada kucing Birman yang cantik ini. Apabila Lagerfeld meninggal dunia pada 2019, Choupette mewarisi sebahagian daripada kekayaannya yang bernilai AS$300 juta (RM1.2 bilion).

    Lagerfeld merupakan pereka fesyen legenda yang pernah bekerja di bawah jenama fesyen terkemuka dunia seperti Balmain, Patou dan Chloé, Chanel dan Fendi.

    Bukan sahaja sedia menjalani kehidupan mewah yang disediakan oleh Lagerfeld, kucing ini juga muncul sebagai model untuk pelbagai jenama mewah termasuk Chanel dan Shu Uemura dengan nilai kekayaan (net worth) dianggarkan sekitar AS$13 juta (RM53 juta) hasil kerja kerasnya sekali gus menambah lagi kekayaannya.

    KUCING campuran Siam-Tabby dari California ini berasal dari tempat perlindungan haiwan dan ketika berusia lima bulan ia diambil sebagai haiwan peliharaan oleh Pookie Methachittiphan. Pada tahun 2012 Methachittiphan telah membangunkan profil Instagramnya dan kini Nala miliki 4.4 juta pengikut dan nilai kekayaan lebih AS$100 juta (RM413 juta).

    Kucing itu juga memegang gelaran kucing paling banyak diikuti di Instagram oleh Guinness World Records pada Mei 2020. Populariti besar Nala turut meletakkannya dalam Senarai Forbes Pengaruh Teratas dalam kategori Haiwan Peliharaan pada 2017. Nala gunakan popularitinya dengan sebaik mungkin dan membina jenama dengan membangunkan barangan kucing premium, e-buku dan laman web.

    DIMILIKI oleh penyanyi dan penulis lagu Taylor Swift memberi kelebihan besar bagi Olivia Benson yang ‘menumpang’ populariti selebriti itu.

    Kucing ini mula dibela oleh Swift pada 2014 dan dinamakan sempena watak Mariska Hargitay dalam Law & Order: SVU. Menurut data pada 2023, Olivia mempunyai nilai bersih sebanyak AS$97 juta (RM400 juta).

    Olivia telah menjadi sebahagian daripada pelbagai muzik video Taylor bersama adik-beradik kucingnya yang lain iaitu Meredith Grey dan Benjamin Button (tambahan terbaru kepada keluarga kucing Swift). Fakta yang tidak diketahui secara meluas ialah Olivia digelar ‘Dibbles’ dan dikenali dengan sikap tidak ambil peduli (nonchalant) berbanding adik-beradiknya.

    4- Coffee cat aka Mr. White

    KUCING British Shorthair ini terkenal dengan mata biru yang menyerlah dan bulu putih bersalji, merupakan pesakit kanser buah pinggang yang terselamat dan kini sedang melawan penyakit limfoma hidung. Dengan kira-kira 2.1 juta pengikut di Instagram, Mr. White memperoleh kira-kira AS$6,786 (RM28,000) untuk setiap hantaran (post) di media sosial.

    Ia diambil sebagai anak angkat oleh saudara perempuan Pookie, Ping Methachittiphan keluarga sama yang membela Nala. Ia kerap muncul dalam rakaman foto bertema dan gambar bersantai yang selesa.

    MEMPUNYAI wajah yang unik iaitu dua tona simetri yang sempurna sehingga Venus mendapat jolokan ‘kucing chimaera’. Ia adalah salah satu kucing yang paling menarik secara visual dan disayangi.

    Sebelah mukanya berwarna hitam pekat dengan mata hijau dan sebelah lagi berwarna oren dengan mata biru. Venus mempunyai lebih dua juta pengikut merentas platform media sosial dan memperoleh kira-kira AS$6,770 (RM27,900) untuk satu hantaran di Instagram.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/16/5-kucing-terkaya-dunia-kalah-manusia/

  • Kelas masakan tradisi, ‘Minah Saleh’ belajar buat karipap

    Kelas masakan tradisi, ‘Minah Saleh’ belajar buat karipap

    PAGI itu, Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur hidup dengan warna-warni hasil segar, bau rempah ratus yang harum dan bunyi penjual menawarkan barangan mereka. Di tengah kesibukan itu, Tonya Vaughan dari United Kingdom mengamati setiap bahan sambil merasai keterujaan pengalaman baharu ini. Lawatan ke pasar tempatan bersama tenaga pengajar, Doreen Eu Sek Hong, memberi peluang untuk memahami bahan masakan dan budaya makanan Malaysia. Di antara gerai-gerai, Tonya, 41, diperkenalkan dengan aneka sayur-sayuran, ikan-ikan segar, rempah ratus dan mi……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/16/kelas-masakan-tradisi-minah-saleh-belajar-buat-karipap/

  • Masih berharap Kamal tak putus asa pujuk Uqasha

    Masih berharap Kamal tak putus asa pujuk Uqasha

    SETIAP hari ada sahaja cerita tentang kemelut rumah tangga Kamal Adli dan Uqasha Senrose. Bukanlah berperang tetapi Kamal dan Uqasha saling memuat naik konten media sosial tentang anak mereka, Hawra Uqaira.

    Kamal menzahirkan rasa rindu, manakala Uqasha pula beritahu dia tak boleh hidup tanpa Uqaira dan sanggup lakukan apa sahaja demi permata hatinya itu. Adakalanya nampak mereka saling berbalas, tapi itu cuma telahan Diva sahaja.

    Dalam kemelut yang masih berlarutan itu, ramai terus memberikan kata-kata semangat kepada Kamal dan Uqasha. Malah peminat berharap Kamal tidak berhenti memujuk isterinya dan mahu melihat mereka kembali bahagia

    Harap tiada mana-mana pihak sudah tawar hati, tidak sanggup lagi lihat pasangan selebriti bercerai.

    Semoga ada sinar harapan untuk rumah tangga mereka ya.

    DIVA: Ramai masih tertanya-tanya fungsi ‘coach’ cerai yang membantu Uqasha. Lebih berpengalaman daripada peguam ke?

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/16/masih-berharap-kamal-tak-putus-asa-pujuk-uqasha/

  • Wu Kang-ren Pelakon Lelaki Terbaik, Tenement Filem Terbaik AIFFA2025

    Wu Kang-ren Pelakon Lelaki Terbaik, Tenement Filem Terbaik AIFFA2025

    KUCHING – Naskhah seram adaptasi novel dari Kemboja, Tenement berjaya diangkat sebagai Filem Terbaik di ASEAN International Film Festival & Awards 2025 (AIFFA2025) yang berlangsung di sini, hari ini.

    Kemenangan tersebut sekali gus melenyapkan impian naskhah dari Malaysia iaitu Abang Adik dan lima lagi filem iaitu Inside the Yellow Cocoon Shell (Vietnam), Some Nights I Feel Like Walking (Filipina), The Gospel of the Beast (Filipina), Crocodile Tears (Indonesia) dan Home Sweet Loan (Indonesia) untuk membawa pulang trofi kategori tersebut.

    Manakala, kategori Pengarah Terbaik pula menjadi milik Pham Thien An iaitu sutradara Vietnam menerusi filem Inside the Yellow Cocoon Shell.

    Aktres, Sweet Qismina pula mengharumkan nama negara apabila memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi lakonan hebat dalam filem Babah.

    Pelakon utama filem Abang Adik iaitu Wu Kang-ren pula membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik, bagaimanapun dia tidak hadir ke AIFFA malam ini.

    Pada acara sama, aktor popular Hong Kong, Simon Yam turut menerima penghargaan menerusi Anugerah Inspirasi ASEAN yang sebelum ini pernah dibawa pulang penyanyi serta pelakon Korea Selatan, Bi Rain pada AIFFA2023.

    Anugerah sama turut diterima pengarah dan pengkritik filem dari Filipina, Lav Diaz.

    Kategori Anugerah Khas Juri pertama pula diberikan kepada filem Tegkang arahan Josh Nawan yang mengangkat keunikan budaya dan kehidupan masyarakat suku kaum Kelabut di Sarawak.

    Bagi anugerah kedua diberikan kepada filem Waiters dari Brunei.

    AIFFA2025 dihoskan oleh Tony Eusoff dan acara dimeriahkan dengan beberapa persembahan penyanyi ternama seperti Ruth Sahanaya, Datuk M. Nasir, Mimi Fly dan Vince Chong.

    Kesemua 200 penyertaan disaring barisan juri terdiri dari beberapa negara diketuai oleh sutradara tersohor U-Wei Saari, Herman Van Eykeni (Belgium), Mohanad Hayal (Iraq), Nik Amir Mustapha (Malaysia) dan Embi C Noer (Indonesia).

    Tahun ini, AIFFA berjaya menarik sebanyak 200 penyertaan daripada penggiat filem dari negara-negara Asia termasuk Brunei, Indonesia, Thailand dan Filipina. – KOSMO! ONLINE

    Senarai pemenang AIFFA2025:

    Filem Terbaik: Tenement (Kemboja)

    Pengarah Terbaik: Pham Thien An – Inside the Yellow Cocoon Shell (Vietnam)

    Lakon Layar Terbaik: The Gospel of the Beast (Filipina)

    Suntingan Filem Terbaik: Inside the Yellow Cocoon Shell (Vietnam)

    Sinematografi Terbaik: Some Nights I Feel Like Walking (Filipina)

    Pelakon Wanita Terbaik: Yunita Siregar – Home Sweet Loan (Indonesia)

    Pelakon Lelaki Terbaik: Wu Kang-ren – Abang Adik (Malaysia)

    Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Sweet Qismina – Babah (Malaysia)

    Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Ronnie Lazaro – The Gospel of the Beast (Filipina)

    Anugerah Khas Juri:

    1. Tegkang (Malaysia)

    2. Waiters (Brunei)

    Anugerah Inspirasi ASEAN: Simon Yam

    Spirit Award: Mbutik (Indonesia)

    Anugerah Sepanjang Zaman: Lav Diaz (Pengarah Filipina)

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/11/15/wu-kang-ren-pelakon-lelaki-terbaik-tenement-filem-terbaik-aiffa2025/