Category: JNJ-MEDIA

  • Ahli Pas diminta bertenang, beri kepercayaan kepada kepimpinan

    Ahli Pas diminta bertenang, beri kepercayaan kepada kepimpinan

    KANGAR 1 Jan – Semua ahli Pas diminta supaya bertenang dan memberikan kepercayaan penuh kepada kepimpinan parti dalam menangani segala permasalahan yang berlaku ketika ini.

    Pesuruhjaya Pas Perlis, Ahmad Ali berkata, ahli parti di semua peringkat perlu mematuhi arahan Pas Pusat serta mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan.

    “Saya tegaskan sekali lagi, sebagai ahli Pas, berikan kepercayaan (tsiqah) kepada kepimpinan kita dan serahkan kepada kebijaksanaan mereka untuk menangani permasalahan yang berlaku,” katanya hari ini.

    Menurut beliau, satu kenyataan telah dikeluarkan sebelum ini yang mengarahkan semua ahli, khususnya di peringkat pimpinan, supaya tidak membuat sebarang kenyataan secara bersendirian tanpa merujuk kepadanya atau Pejabat Agung Pas.

    “Hendaklah rujuk dahulu kepada saya sebelum membuat sebarang kenyataan, atau rujuk kepada Pejabat Agung. Malangnya, ada pihak yang tidak mematuhi arahan tersebut.

    “Sebagai contoh, kenyataan yang disampaikan oleh Ketua Dewan Ulama Pas Perlis dibuat tanpa pengetahuan dan rujukan kepada saya. Saya menganggap perkara itu tidak sepatutnya berlaku,” katanya.

    Terdahulu, Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Ahmad Adnan Fadzil dilaporkan menyatakan bahawa punca utama kemelut politik di negeri itu adalah kegagalan pihak tertentu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

    Beliau juga menegaskan tiada unsur pengkhianatan dalam polemik semasa yang melibatkan kepimpinan Pas Perlis, termasuk tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang digantung keahlian, serta menafikan penglibatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kemelut berkenaan.

    Mengulas tuduhan bahawa pimpinan Pas Pusat kononnya menyembunyikan fakta, Ahmad Ali menyifatkan dakwaan tersebut sebagai berniat jahat.

    “Ada pihak mendakwa pimpinan Pas Pusat menyembunyikan fakta sehingga keputusan yang dibuat oleh Tuan Guru Presiden adalah tidak betul.

    “Itu satu tuduhan berniat jahat. Kita menaruh kepercayaan kepada pimpinan dan saya yakin dakwaan sedemikian memerlukan asas, dalil serta hujah yang kukuh, namun setakat ini tiada hujah dikemukakan,” katanya.

    Beliau turut menegaskan bahawa terdapat perbezaan jelas antara tidak bersetuju dengan pandangan kepimpinan dan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti.

    “Kita boleh tidak bersetuju dengan pandangan pimpinan, tetapi jangan sampai ke peringkat hilang kepercayaan.

    “Ada beza antara tidak bersetuju dan hilang kepercayaan kerana dalam Islam, syarat utama kepimpinan ialah meletakkan kepercayaan kepada mereka,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13427

  • Peguam ditahan disyaki bersubahat seludup dadah masuk ke Penjara Marang

    Peguam ditahan disyaki bersubahat seludup dadah masuk ke Penjara Marang

    KUALA TERENGGANU 1 Jan – Taktik menyeludup dadah ke dalam penjara terbongkar apabila seorang banduan dikesan membawa bahan terlarang dalam tubuh badannya, sekali gus membawa kepada penahanan seorang peguam lelaki yang disyaki bersubahat dalam kegiatan tersebut.

    Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, kes itu terbongkar hasil pemeriksaan terhadap banduan berkenaan yang baru selesai menjalani perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 23 Disember lalu.

    Menurutnya, pemeriksaan awal menggunakan mesin pengimbas oleh pegawai kanan Penjara Marang kira-kira jam 5 petang mendapati terdapat objek asing mencurigakan di dalam tubuh badan banduan terbabit.

    “Banduan terbabit telah diasingkan dan diletakkan di bawah pemantauan rapi di klinik Penjara Marang sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Merchang pada keesokan harinya bagi pemeriksaan lanjut.

    “Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa objek asing di dalam tubuh badan banduan tersebut dan disyaki dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, Khamis.

    Mohd Khairi berkata, pada hari sama banduan itu membuang air besar dan mengeluarkan sebanyak 12 ketulan yang disyaki mengandungi dadah jenis pil kuda dan ganja.

    “Pada 25 Disember pula, banduan berkenaan sekali lagi mengeluarkan 14 ketulan disyaki mengandungi dadah jenis pil kuda dan Erimin 5.

    “Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ialah 123 gram pil yaba, 21 gram ganja dan 13 gram Erimin 5 dengan nilai rampasan dianggarkan RM16,000, yang boleh digunakan oleh kira-kira 800 orang penagih,” katanya.

    Susulan kejadian itu, pihak penjara membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali,” jelas beliau.

    Menurut Mohd Khairi, hasil risikan berterusan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Terengganu membawa kepada penahanan seorang peguam berusia 32 tahun bagi membantu siasatan, dan ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.

    “Suspek telah direman selama enam hari bermula 30 Disember 2025 hingga 4 Januari depan dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 107(c) dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana bersubahat,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, polis turut meminta kerjasama orang awam untuk mengesan seorang wanita bernama Nurul Norasikin Aldin, 30, yang beralamat di A-808, Kampung Batin, Seberang Takir, Kuala Nerus bagi membantu siasatan.

    “Polis sedang giat mengesan Nurul Norasikin bagi membantu melengkapkan siasatan berkenaan kes ini.

    “Orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, ASP Mohammad Azmi Awang Lah di talian 010-9213516,” ujarnya.

    Dalam sidang media sama, Mohd Khairi turut memaklumkan peguam terbabit disiasat dalam satu kes lain melibatkan kurungan salah dan pemaksaan menyerahkan harta di sebuah bengkel kereta di Paka, Dungun.

    Menurutnya, kejadian pada 8 Disember lalu itu melibatkan seorang ahli perniagaan hartanah bersama rakannya yang dikurung oleh tiga individu dipercayai ejen pemungut hutang sebelum dipaksa menyerahkan lima buah kenderaan serta satu geran tanah sebagai cagaran.

    “Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 348 Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan individu terlibat serta kedudukan kenderaan yang diserahkan oleh mangsa,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13428

  • Masa itu akan tiba – Azam tahun baharu Syed Saddiq

    Masa itu akan tiba – Azam tahun baharu Syed Saddiq

    PETALING JAYA – “Insya-Allah masa itu akan tiba.”

    Demikian respons Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq mengenai azam tahun baharu 2026.

    Paling mencuri perhatian apabila Syed Saddiq berkata azam tersebut akan diketahui keluarganya dan pelakon, Bella Astillah.

    “Ya, semua orang ada azam yang tersendiri. Tahun 2025 dan 2026, saya juga ada azam.

    “Tetapi itu untuk keluarga Bella dan saya sahaja tahu. Insya-Allah masa itu akan tiba,” katanya.

    Dalam pada itu, ditanya mengenai perkara paling penting berlaku dalam hidupnya tahun ini ialah setiap kali bertemu dengan Bella yang disifatkan sebagai wanita luar biasa.

    Namun, perkara paling mengejutkan ramai apabila dia memakai baju-t bercorakkan wajah Bella pada bahagian depan.

    “Bertemu dengan wanita hebat yang berdiri di sebelah saya ini.

    “Tidak susah pun nak jawab ini, kalau tidak saya tak akan berada di sini memakai baju-t memaparkan foto wanita hebat ini.

    “Saya kalau ada pom pom, akan angkat pom pom tetapi tiada (beri sokongan kepada Bella).

    “Jadi, saya letaklah muka wanita istimewa ini di dada saya,” katanya lagi.

    Sementara Bella pula dilihat tersipu malu di sisi pentas sepanjang Syed Saddiq berkongsi pelbagai perkara mengenainya.

    Terdahulu, nama Bella dan Syed Saddiq menjadi fenomena sejak tahun lalu sehingga mendapat gelaran sebagai BASS.

    Meski tidak pernah mengumumkan sama ada menjalin hubungan istimewa atau tidak, rata-rata peminat mendakwa hari bahagia pasangan tersebut bakal tiba tidak lama lagi.

    Terdahulu, Bella pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi Aliff Aziz pada 9 September 2016, namun bercerai buat kali kedua pada 13 Jun 2023.

    Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna yang kini berusia lima tahun. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/01/masa-itu-akan-tiba-azam-tahun-baharu-syed-saddiq/

  • Mulai 2026 dengan ‘terperangkap’ dalam parkir pusat beli-belah

    Mulai 2026 dengan ‘terperangkap’ dalam parkir pusat beli-belah

    PETALING JAYA – Seorang pengunjung meluahkan rasa tidak puas hati selepas terperangkap hampir dua jam di tempat parkir sebuah pusat membeli-belah terkemuka pada malam tahun baharu.

    “Dari pukul 1 pagi nak keluar parkir, sekarang 2.36 pagi, masih dalam parkir. Apa pengurusan ini? Sampai lampu semua dah tutup,” katanya.

    Video berdurasi 21 saat itu memaparkan deretan kenderaan yang tersangkut dalam ruang parkir tertutup dan gelap, selain bunyi hon kereta yang saling bersahutan.

    Perkongsian itu meraih perhatian netizen yang rata-ratanya berkongsi pengalaman ketika keluar dari parkir pusat beli-belah tersebut pada waktu puncak.

    “Di ruang parkir motosikal nak bayar tiket parkir pun beratur macam ular dengan tiada talian internet. Sampai berasap dekat 40 minit juga,” komen @Nieysaazni.

    “Semalam dah ada amaran nak keluar parkir pun dua jam pada tahun lepas. Nasib baik kita dengar,” komen @Idayu.khair.

    “Tadi 2.30 pagi baru lepas keluar. Pengurusan buka palang sebab dah tersekat lama sangat. Tak pastilah bagi percuma parking ke apa,” komen @M_hanif.s. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/01/1-pagi-keluar-parkir-2-36-pagi-belum-lepas-palang/

  • ‘Saya tak ambil dadah, tapi positif ganja’

    ‘Saya tak ambil dadah, tapi positif ganja’

    KUALA LUMPUR – Perjalanan pulang selepas menghantar teman wanita bertukar mimpi ngeri buat seorang lelaki apabila dia disahkan positif ganja ketika melalui sekatan jalan raya Op Ambang Tahun Baharu 2026 di Plaza Tol Jalan Duta.

    Lelaki berusia 24 tahun itunyang tinggal di Pantai Dalam mendakwa, terkejut apabila keputusan ujian air kencing yang dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terhadap dirinya menunjukkan kehadiran dadah jenis ganja.

    Jelas lelaki berkenaan, dia mendakwa tidak pernah mengambil bahan terlarang berkenaan.

    Menurutnya, sebelum kejadian dia hanya menghisap rokok elektronik (vape) yang dibeli di kedai dengan harga sekitar RM19 hingga RM23.

    “Saya tak pernah isap ganja, rokok pun tidak. Dua bulan lepas pernah buat ujian air kencing, tak sangkut apa-apa (dadah).

    “Tapi kali ini dengan tiga kali ujian saringan air kencing, mereka (AADK mendapati) saya positif dadah jenis ganja,” katanya ketika ditemui pemberita pagi tadi.

    Dia turut mengakui sudah dua tahun menghisap vape dan mendakwa tidak pernah mengetahui mengenai dadah jenis ganja.

    Dalam operasi sama, seorang lagi lelaki tempatan berusia 32 tahun turut ditahan selepas didapati positif syabu.

    Suspek yang memandu Toyota Unser ketika itu membawa isteri, abang ipar dan adiknya, mengaku mengambil syabu kira-kira tiga hari sebelum ditahan kerana terpengaruh dengan rakan.

    Dia mengaku pernah mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan mendakwa menggunakan bahan berkenaan ‘sekali sekala’ kira-kira dua minggu sekali.

    “Lepaskan saya bang (abang) sebab isteri sedang sarat mengandung,” katanya yang mengakui membeli pek kecil syabu dengan harga RM35.

    Kedua-dua mereka antara yang ditahan positif dadah untuk siasatan lanjut di bawah undang-undang berkaitan penyalahgunaan dadah.

    Sementara itu, Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd. Rozi Jidin memaklumkan, secara keseluruhan sebanyak 240 lokasi operasi dilaksanakan di seluruh negara termasuk 25 di sekitar ibu negara.

    Beliau berkata, operasi itu dijalankan bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya sentiasa terjamin selain memfokuskan aktiviti lumba haram pada tengah malam.

    “Kita juga akan mengesan pemandu yang menggunakan alkohol dan dadah.

    “Polis ingin mendisiplinkan pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan lalu lintas dan diingatkan agar semua menggunakan jalan raya dengan penuh berhemah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/01/saya-tak-ambil-dadah-tapi-positif-ganja/

  • 41 meninggal dunia selepas bersunat

    41 meninggal dunia selepas bersunat

    CAPE TOWN – Sekurang-kurangnya 41 pemuda meninggal dunia selepas menjalani prosedur berkhatan mengikut kaedah tradisional yang dijalankan di Afrika Selatan pada November hingga Disember lalu, lapor portal berita MailOnline semalam.

    Berkhatan merupakan amalan tradisional sebagai tanda peralihan ke alam dewasa bagi remaja dan diamalkan setiap tahun oleh pelbagai kumpulan etnik di Afrika, termasuk di beberapa bahagian Afrika Selatan.

    Amalan itu lazimnya dilakukan semasa cuti sekolah musim sejuk (Jun hingga Julai) dan musim panas (November hingga Disember).

    Menteri Hal Ehwal Tradisional Afrika Selatan, Velenkosini Hlabisa memberitahu penyiar tempatan bahawa 41 peserta yang menyertai majlis khatan meninggal dunia sepanjang musim panas 2025.

    Beliau menyalahkan kecuaian pihak ‘sekolah peralihan ke alam dewasa’ serta ibu bapa kerana gagal mematuhi piawaian keselamatan serta nasihat perubatan.

    Menurut Hlabisa, antara nasihat tidak terbukti yang sering diberikan kepada peserta adalah mengelakkan minum air dengan alasan ia dapat mempercepatkan proses penyembuhan.

    “Terdapat kecuaian dari segi pematuhan kepada piawaian kesihatan di beberapa sekolah itu.

    “Jika anda menghantar anak ke sekolah tersebut tetapi tidak membuat susulan, memantau dan tidak pergi ke sana untuk memastikan sama ada mereka minum air atau tidak, anda sebenarnya meletakkan anak anda dalam keadaan berisiko,” katanya.

    Di Afrika Selatan, secara tradisinya pemuda diasingkan di sekolah inisiasi di mana mereka diajar nilai-nilai budaya dan tanggungjawab apabila memasuki alam dewasa. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/01/41-orang-meninggal-dunia-selepas-bersunat/

  • ‘Saya pun manusia biasa, pendosa, banyak perlu diperbaiki’

    ‘Saya pun manusia biasa, pendosa, banyak perlu diperbaiki’

    PETALING JAYA – Bertalu-talu dikecam susulan tidak lagi bertudung ketika menjalani penggambaran sebuah drama baru-baru ini, pelakon Aprena Manrose menegaskan dia hanyalah seorang manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

    Menurut Aprena atau Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 35, meski tidak bertudung, dia akan terus mengisi dirinya dengan ilmu agama dan menyebarkan kepada orang ramai.

    “Saya pun manusia biasa yang tak lari dari melakukan kesalahan, pendosa dan banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki.

    “Namun, saya tidak akan berhenti menuntut ilmu serta sebarkan tentang hal agama walaupun tak mampu menutup aurat dengan sempurna.

    “Nak tunggu sempurna baru nak buat kebaikan memang sampai matilah saya hanyut,” katanya dalam InstaStory.

    Ujarnya, setiap manusia pasti bergelut dan mempunyai cara tersendiri untuk menyelesaikan setiap masalah yang dilalui dalam hidup termasuk dirinya sendiri.

    “Saya pernah cakap, yang baik sila ikut, yang tak elok jangan sesekali ikut dan tidak akan membela diri kerana benar, menutup aurat adalah wajib.

    “Alhamdulillah ramai yang mesej beri kata-kata positif. Saya hargai dan sebak, semoga kebaikan berbalik kepada kalian.

    “Kepada yang memberi komen bahasa terlalu kesat itu, siasat diri dulu okey. Pastikan tidak tinggal solat lima waktu,” katanya lagi.

    “Saya tahu kalian hanya bercakap daripada apa yang kalian nampak, jadi saya tak salahkan pun. Tidak mahu mendoakan pun tak apa, jaga saja keluarga masing-masing.

    “Saya hanya perlu jaga keluarga dan orang yang sayang saya. Sama juga peminat yang masih menyokong, hanya Allah SWT saja yang akan membalas kebaikan kalian, terima kasih,” ujarnya.

    Dalam pada itu, dia juga sempat memohon kepada orang ramai agar berhenti melemparkan kecaman kepada sepupunya yang juga pelakon, Uqasha Senrose mengenai kemelut rumah tangga dilalui ketika ini.

    “Saya harap masuk tahun baharu ini, kalian semua berhentilah sebarkan keburukan tentang Uqasha, suaminya, Kamal Adli dan anak buah saya yang comel itu, Hawra Uqaira.

    “Jaga percakapan kita dan doa yang baik baik sahaja. Kita kan ada keluarga serta rumah tangga, nanti takut berbalik pada diri sendiri.

    “Terakhir, semoga tahun baru ini akan menjadi tahun yang lebih baik Allah memberi berita gembira dan rezeki yang tidak pernah putus, pengakhiran yang baik untuk semua,” ujarnya.

    Terdahulu, penampilan Aprena mencuri perhatian apabila dilihat tidak memakai tudung ketika menjalani penggambaran drama Nur Untuk Ariff yang turut dibintangi Nazim Othman. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/01/saya-pun-manusia-biasa-pendosa-banyak-perlu-diperbaiki/

  • Bangun pagi senyum lebar, dividen ASB dah masuk

    Bangun pagi senyum lebar, dividen ASB dah masuk

    PETALING JAYA – Ramai pelabur Amanah Saham Bumiputera (ASB) menarik nafas lega apabila pagi ini mendapat notifikasi memaklumkan dividen serta bonus pelaburan mereka sudah pun dikreditkan ke dalam akaun masing-masing.

    Tinjauan di media sosial mendapati, rata-rata pengguna berkongsi keterujaan apabila melihat jumlah dividen ASB yang diterima, sekali gus menjadi penyuntik semangat pada awal tahun baharu selepas Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit, 19 Disember lalu.

    “Bangun pagi terus buka aplikasi bank, senyum tak hilang. Dividen ASB dah masuk, boleh tampung perbelanjaan awal tahun,” tulis Syukri Azli di Facebook.

    Tidak kurang juga yang menyifatkan kemasukan dividen tersebut sebagai ‘rezeki anak sekolah’, memandangkan ramai ibu bapa kini berdepan perbelanjaan tinggi bagi persiapan persekolahan.

    “Alhamdulillah, dividen ASB dah masuk, bonus pun besar juga. Boleh guna sikit untuk beli buku dan kelengkapan sekolah anak-anak. Lega sangat,” komen Fatin.

    Dalam pada itu, ada juga yang berazam untuk tidak mengusik dividen berkenaan dan memilih untuk melaburkannya semula demi simpanan jangka panjang.

    “Masuk je dividen, terus niat tak nak keluarkan. Biar berganda tahun depan,” ujar Nawab di platform X.

    Semakan dividen ASB boleh dilakukan di aplikasi myASNB atau portal rasmi ASNB di pautan www.asbn.com.my – KOSMO! ONLINE

    Hak cipta terpelihara © 2025 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H)Satu lagi produk Media Mulia Sdn. Bhd.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/01/bangun-pagi-senyum-lebar-dividen-asb-dah-masuk/

  • Dua beradik lemas di Pantai Sura Tengah

    Dua beradik lemas di Pantai Sura Tengah

    Aktiviti perkelahan sebuah keluarga di Pantai Sura Tengah, Dungun, Terengganu berakhir dengan tragedi apabila dua beradik dilaporkan lemas ketika mandi di pantai berkenaan, pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira jam 10.27 pagi itu, kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Paya Balai Besar dipercayai dihanyutkan ombak ketika berkelah bersama ahli keluarga.

    Mayat seorang wanita, Nor Baizura Shafie, 39, ditemukan tidak lama kemudian, manakala adiknya, Mohd Fazir Shafie, 37, masih belum ditemui setakat ini.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sharizal Samsuddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.27 pagi sebelum mengerahkan 10 anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian.

    Menurut beliau, sebaik tiba, pasukan penyelamat segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat meskipun berdepan ombak besar serta arus laut yang kuat.

    “Seorang mangsa wanita berjaya ditemui kira-kira 25 minit kemudian sebelum dibawa ke daratan, namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian,” katanya.

    Sharizal berkata, operasi mencari dan menyelamat seorang lagi mangsa diteruskan dengan menggunakan bot dan pencarian di sekitar pesisir pantai, dengan bantuan anggota polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, sebelum kejadian, keluarga terbabit yang terdiri daripada tujuh orang dewasa dan lapan kanak-kanak sedang berkelah di pantai tersebut.

    Menurutnya, kejadian berlaku apabila Nor Baizura dipercayai lemas ketika mandi sebelum adiknya cuba menyelamatkan mangsa, namun kedua-duanya dihanyutkan ombak.

    Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat, manakala operasi mencari dan menyelamat Mohd Fazir masih diteruskan setakat ini.

    Sumber: Sinar Harian, Harian Metro

    🔗 Source: https://thereporter.my/dua-beradik-lemas-di-pantai-sura-tengah/

  • KKM nafi dakwaan Klinik Kesihatan tidak terima pesakit walk-in

    KKM nafi dakwaan Klinik Kesihatan tidak terima pesakit walk-in

    Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan mesej yang tular di media sosial bahawa Klinik Kesihatan tidak lagi menerima pesakit walk-in. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan,KKM menegaskan bahawa dakwaan itu adalah tidak benar.

    Menurut KKM, walaupun sistem janji temu kini menjadi kaedah utama untuk mengurus kunjungan pesakit, perkhidmatan walk-in masih disediakan, terutamanya bagi kes kecemasan, warga emas, dan individu yang menghadapi kekangan akses teknologi.

    “Pesakit walk-in tetap akan dilayan tetapi perlu melalui proses penilaian (triage) terlebih dahulu sebelum rawatan diberikan.

    “Pesakit yang mempunyai janji temu akan diberikan keutamaan mengikut slot masa yang telah ditetapkan. KKM amat memahami bahawa akses teknologi berbeza bagi setiap individu.

    “Oleh itu, perkhidmatan walk-in terus diteruskan bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat akses rawatan yang adil dan saksama,” kata pihak KKM dalam kenyataan rasmi.

    Terdahulu, tular satu hantaran yang mendakwa Klinik Kesihatan tidak lagi menerima pesakit secara walk-in mulai Januari 2026. Hantaran itu turut menyatakan bahawa semua akses rawatan akan dilakukan melalui sistem MySejahtera sahaja.

    🔗 Source: https://thereporter.my/kkm-nafi-dakwaan-klinik-kesihatan-tidak-terima-pesakit-walk-in/