Category: JNJ-MEDIA

  • EPL: Berita lega buat Liverpool

    EPL: Berita lega buat Liverpool

    LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot menerima berita gembira menjelang pertemuan menentang Leeds United di Anfield awal pagi Jumaat nanti apabila mampu membariskan skuad yang lebih mantap.

    The Reds terlepas peluang menggunakan khidmat Dominik Szoboszlai ketika mencatat kemenangan ke atas Wolves sebelum ini yang berdepan penggantungan, namun pemain itu dilapor bakal disenaraikan berdepan Leeds.

    Ketika aksi sebelum ini juga, Slot hanya menyenaraikan dua pemain, Conor Bradley dan Cody Gakpo sebagai pemain yang dimasukkan dari bangku simpanan ketika kedua-dua mereka baru sahaja pulih daripada masalah kecederaan.

    Bagaimanapun, mereka dijangka berada dalam senarai kesebelasan utama skuad untuk perlawanan menentang Leeds sekali gus mampu menambah kekuatan pasukan itu bersama Szoboszlai.

    Tahap kecergasan pemain yang ada sangat dituntut oleh Slot ketika beliau terpaksa melupakan khidmat lima pemain, Alexander Isak dan Giovanni Leoni yang cedera jangka panjang, Wataru Endo mengalami kecederaan buku lali dan Mohamed Salah sedang beraksi bersama Mesir.

    Kehadiran Szoboszlai, Gakpo dan Bradley dalam skuad utama sangat diharapkan oleh Slot ketika Liverpool berdepan kesukaran untuk menamatkan perlawanan menentang Wolves dalam keadaan selesa biarpun mendahulu dengan dua gol pada babak pertama, namun gawang mereka bolos pada babak kedua.

    Sementara itu, bekas pemain Liverpool, Ray Houghton menggesa Slot mengubah sedikit corak permainan pasukan itu dengan menghantar lebih ramai pemain untuk berada dalam kotak penalti ketika mereka melakukan serangan.

    “Kami seperti tidak cukup pemain dalam kotak penalti ketika menyerang terutama untuk menerima bola menerusi hantaran lintang. Aksi di tempat sendiri nanti memerlukan Alexis Mac Allister, Curtis Jones dan Ryan Gravenberch untuk berada dalam kotak itu,” jelasnya. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/31/epl-berita-lega-buat-liverpool/

  • ‘Memang puas hati dapat diskaun bayar saman’

    ‘Memang puas hati dapat diskaun bayar saman’

    PETALING JAYA – Orang ramai menyerbu pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara untuk menjelaskan saman lalu lintas pada hari terakhir semalam. Rata-rata mereka tidak mahu melepaskan peluang menikmati dis­kaun sehingga 70 peratus ber­­mula 1 November sehingga semalam yang terpakai untuk semua jenis saman kecuali yang tidak boleh dikompaun. Kekangan masa disebabkan tun­tutan kerja antara alasan diberikan untuk menjelaskan saman pada saat akhir. Di Shah Alam, tinjauan di Ibu Pejabat JPJ Selangor mendapati orang……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/31/memang-puas-hati-dapat-diskaun-bayar-saman/

  • Macam filem ‘Ocean’s Eleven’, perompak gerudi dinding bank

    Macam filem ‘Ocean’s Eleven’, perompak gerudi dinding bank

    BERLIN – Segerombolan perompak memecah masuk ke dalam sebuah bank di Jerman menggunakan gerudi untuk melarikan wang tunai dan barang berharga yang dianggarkan bernilai €30 juta (RM142.7 juta), lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

    Jurucakap Polis Gelsenkirchen menyamakan rompakan itu seperti filem Ocean’s Eleven dan memberitahu agensi berita AFP bahawa ia dilakukan dengan cekap.

    Lebih 3,000 peti deposit keselamatan yang mengandungi wang, emas dan barang kemas dipecahkan di bank simpanan Sparkasse, bandar Gelsenkirchen.

    “Kecurian itu terbongkar selepas sistem penggera kebakaran berbunyi pada awal pagi Isnin. Tiada tangkapan dibuat setakat ini.

    “Mereka menggunakan peluang pada Hari Natal yang sunyi untuk melancarkan rompakan,” kata jurucakap tersebut.

    Rakaman video kejadian menunjukkan kumpulan pencuri itu melarikan diri melalui garaj di De-La-Chevallerie-Strasse dengan menaiki kereta jenis Audi RS 6 berwarna hitam pada awal pagi Isnin.

    Polis turut menemui lubang yang membawa ke bilik penyimpanan peti besi bawah tanah selepas menggeledah bangunan tersebut.

    Bank Sparkasse dalam satu kenyataan berkata, kira-kira 95 peratus peti deposit keselamatan yang menempatkan simpanan pelanggan telah dipecahkan. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/31/macam-filem-oceans-eleven-perompak-gerudi-dinding-bank/

  • ‘Masalahnya parking halang laluan, kalau sekejap tak apa’

    ‘Masalahnya parking halang laluan, kalau sekejap tak apa’

    PETALING JAYA – Pemandu treler didakwa melanggar tiga kereta yang diletakkan di tepi laluan masuk di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Ayer Keroh menjelaskan, dia terpaksa berbuat demikian berikutan desakan selain mendakwa telah menunggu satu jam lebih di situ.

    Menerusi video dimuat naik pada TikTok Wan Asyraf, lelaki tersebut memberikan perjelasan berhubung situasi yang didakwa berlaku pada hari kejadian.

    “Desakan banyak sangat. Kita tunggu sejam lebih sebelum buat ‘live’, kita tunggu dah. Masalahnya dia parking halang laluan. Kalau sekejap tak apa, masalahnya kita tunggu lama. Orang belakang berjujuk bersusun. Kalau kita seorang, okey saja. Masalah kita fikir driver bas, orang dalam bas. Orang tua, budak-budak ada, bukan kita tak fikir.

    “Kita fikir orang belakang. Kalau kereta tu, mampuh mu lah. Menyusahkan orang, jadi susah belaka. Kita nak tolong biar lepah (lepas) belaka,” katanya dalam video berkenaan.

    Menerusi ruangan komen, orang ramai memberikan kata-kata semangat kepada pemandu tersebut sekiranya berdepan dengan tindakan undang-undang.

    “Abang ‘deal’ dengan pemandu bas tu untuk jadi saksi. Sebab angkara tiga kereta tu, habis semua orang punya kerja tersangkut. Orang macam ni jenis tak nak mengaku salah,” komen seorang pengguna TikTok Azmi.

    “Boleh lawan lagi jangan risau. Dia betul nak lawan, pasang peguam,” kata Lipan Karat.

    “Lawan bang, jangan takut. Saksi ada, bukti pun ada. Semoga dipermudah,” kata Aiman.

    Kelmarin, Kosmo! melaporkan, sebuah treler dilaporkan melanggar tiga kereta yang diletakkan di tepi laluan di kawasan R&R Jejantas Ayer Keroh, daerah Alor Gajah, Melaka.

    Menerusi rakaman video dikongsi di TikTok, beberapa kenderaan yang diletakkan di bahu jalan itu mengalami kerosakan selepas dilanggar dan diheret treler yang mahu memasuki laluan ke R&R tersebut.

    Susulan itu, polis mengesahkan empat kenderaan mengalami kerosakan dan kemalangan berlaku akibat kenderaan yang diparkir di bahu jalan berkenaan menghalang pergerakan treler. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/31/video-masalahnya-parking-halang-laluan-kalau-sekejap-tak-apa/

  • Laluan Cameron Highlands-Gua Musang dibuka, dikenakan caj RM5

    Laluan Cameron Highlands-Gua Musang dibuka, dikenakan caj RM5

    PETALING JAYA – Laluan Cameron Highlands-Gua Musang yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh kini boleh dilalui semula menerusi laluan sementara dibina oleh pihak syarikat perladangan.

    Menerusi perkongsian video pengguna TikTok @nashtemiar2025, dia memaklumkan pengguna yang melalui laluan tersebut akan dikenakan bayaran RM5 bagi perjalanan sehala dan RM10 untuk perjalanan pergi dan balik.

    “Info terkini pada 30 Disember, sekarang kita sudah boleh guna laluan yang dibina oleh pihak syarikat perladangan. Cuma dikenakan bayaran RM5 sehala. Kalau pergi balik, sediakan RM10. Mungkin bayaran untuk pihak kontraktor yang membina laluan ini,” katanya.

    Bagaimanapun, pengguna dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati memandangkan keadaan cuaca masih dalam musim tengkujuh.

    Perkongsian tersebut turut mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang rata-ratanya bersyukur laluan tersebut kembali boleh digunakan, namun berharap aspek keselamatan terus diberi keutamaan.

    “Saya sanggup bayar RM10 daripada menggunakan laluan Sungai Koyan. Tetapi kalau hujan agak tidak sesuai lah sebab takut licin,” komen Etty Ezzaty.

    “Dari Gua Musang ke Perak, saya sanggup bayar RM30 kalau boleh lalu jalan ni. Perjalanan cuma tiga jam tetapi ikut jalan lain, enam jam baru sampai kampung,” kara Asyraf Syazwan.

    “Okay la tu bayaran RM5. Dia nak buat kos jalan tu pun bukan sikit pakai duit. Kalau jimat kilometer dan dapat juga jimat minyak kereta. Pada aku, aku nak cepat sampai saja cuma mungkin kurang sesuai untuk laluan belah malam,” komen Zahar. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/31/laluan-cameron-highlands-gua-musang-dibuka-dikenakan-caj-rm5/

  • ‘Ada kubur lebih 100 tahun, dikebumi zaman perang dunia’

    ‘Ada kubur lebih 100 tahun, dikebumi zaman perang dunia’

    PETALING JAYA – Ratusan kubur lama dipercayai berusia lebih 100 tahun di Kota Tinggi, Johor dipindahkan ke tempat lain untuk rancangan tambatan banjir di kawasan berkenaan.

    Menerusi video dikongsikan seorang kakitangan Jabatan Mufti Johor, Muhammad Nazrul Salleh memperlihatkan proses pemindahan kubur lama tersebut dengan kawasan sekitarnya kelihatan seperti belukar.

    “Hari pertama pemindahan kubur lama. Doakan kami moga dipermudah urusan,” menurut kapsyen pada video dimuat naik kelmarin, disusuli dengan video hari kedua pada semalam.

    Menerusi ruangan komen, Muhammad Nazrul memaklumkan, terdapat 260 lebih kubur melibatkan tiga tapak perkuburan dipindahkan dari tempat berkenaan.

    “Tadi ada waris si mati datang. Cucu si mati, cucu pun umur dah 75 tahun. Bayangkan datuknya umur dah berapa tahun. Tahun akhir kebumi pada 1948. Ada yang dah 100 tahun lebih waktu zaman perang dunia.

    “74 tahun dah ditinggalkan. Ni pun dah nampak bersih. Kalau tak, dah macam hutan tebal. Sebelum gali memang kita buat tanda dulu. Macam kubur ni, kebanyakan tiada batu nisan sebab kubur dah lama.

    “Untuk waris pula, kita dah maklumkan cuma ada sembilan waris yang dapat kesan. Untuk kebumikan semula, kita memang buat liang macam biasa, cuma tiga kaki dalam sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE

    ♬ PadaMu Kubersujud – Religi Islam – Afgan

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/31/video-ada-kubur-lebih-100-tahun-dikebumi-zaman-perang-dunia/

  • Amirul sempat ‘call’ sebelum maut kemalangan

    Amirul sempat ‘call’ sebelum maut kemalangan

    GEORGE TOWN – Pemergian pemain skuad futsal Pulau Pinang, Muhammad Amirul Md Radzi, 23, disifatkan satu kehilangan besar buat pasukan selain diangkat sebagai pemain paling konsisten setiap musim.

    Pengurusnya, Mohd. Faizul Abd Rashid berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kematian pemain posisi pivot itu daripada ahli keluarga arwah, kira-kira pukul 7.30 pagi tadi.

    Menurutnya, Muhammad Amirul dikatakan terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Semarak, Kuala Lumpur ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya, pada pukul 6.30 pagi.

    “Pemergiannya memberi impak besar kepada pasukan. Arwah bermain di posisi pivot (penyerang) dan kami kehilangan barisan pemain di bahagian serangan. Memang terasa kehilangannya kerana setiap musim di Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) dia antara penjaring terbanyak.

    “Tahun ini, arwah juga kekal antara penjaring terbanyak selain pernah dinobatkan Anugerah Kasut Emas pada aksi Piala Malaysia pada 2022,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.

    Mengulas lanjut, beliau memberitahu, kali terakhir mereka berhubung menerusi panggilan telefon pada dua minggu lalu dan bertemu ketika perlawanan akhir Liga Divisyen 2, Liga Premier Futsal Malaysia di Arena Futsal FAM, 20 Julai lalu.

    “Dua minggu lalu, arwah ada WhatsApp bertanyakan kepada saya tentang sesi latihan untuk perlawanan akan datang tapi dia ada menghubungi rakan pasukannya menerusi panggilan video pada pukul 1 pagi tadi, sebelum beberapa jam dia terlibat kemalangan. Itu panggilan terakhir daripadanya,” ujarnya lagi.

    Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang menerusi kenyataan di facebook merakamkan ucapan takziah atas pemergian Muhammad Amirul, pemain yang mula beraksi dengan pasukan Futsal Pulau Pinang sejak tahun 2022.

    “Seluruh warga persatuan amat berdukacita atas kehilangan ini dan merakamkan simpati yang mendalam kepada keluarga Allahyarham serta seluruh rakan sepasukan.

    “Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada arena futsal tempatan,” tulisnya.-KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/31/amirul-sempat-video-call-sebelum-maut-kemalangan/

  • Orang ramai sambung bercuti, ada pilih KL sambut tahun baharu

    Orang ramai sambung bercuti, ada pilih KL sambut tahun baharu

    KUALA LUMPUR – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama seluruh negara bergerak perlahan petang ini susulan orang ramai menyambung percutian hujung tahun, selain ada yang memilih memasuki ibu negara bagi menyambut ambang tahun baharu.

    Berdasarkan kemas kini Pusat Pengurusan Trafik, Lembaga Lebuhraya Malaysia pada pukul 4.22 petang, keadaan trafik perlahan dikesan di laluan E1 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan melibatkan laluan Persimpangan Juru ke Plaza Tol Juru, Bidor ke Sungkai serta Tanjung Malim ke Lembah Beringin.

    Bagi laluan E2 Lebuh Raya Utara-Selatan, trafik bergerak perlahan dilaporkan di Kempas ke Pasir Gudang dan Senawang ke Port Dickson bagi kedua-dua arah, selain Kulai ke Senai arah selatan serta selepas Plaza Tol Sungai Besi menuju ke pusat bandar arah utara.

    LLM memaklumkan, kesesakan turut berlaku di Tambak Johor serta Lebuh Raya Hubungan Kedua Malaysia-Singapura dari Tuas ke Kompleks CIQ Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.

    Dalam pada itu, Lebuh Raya Shah Alam arah timur mencatatkan trafik perlahan dari Kota Kemuning ke Hicom susulan maklumat awal kemalangan di Kilometer 32.3, selain dari Plaza Tol Sunway ke Kinrara.

    Kesesakan turut dilaporkan di Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah, Lebuh Raya Cheras-Kajang, Lebuh Raya Sungai Besi, Lebuh Raya Pantai Baru, Lebuh Raya Damansara-Puchong, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya, Lebuh Raya Skim Lenyuraian Trafik KL-Barat serta Lebuh Raya Lembah Klang Selatan. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/31/orang-ramai-sambung-bercuti-ada-pilih-kl-sambut-tahun-baharu/

  • Safari memancing Afrika habitat ‘Nile Perch’ perkasa

    Safari memancing Afrika habitat ‘Nile Perch’ perkasa

    AIR Terjun Murchison ini terletak di dalam Taman Negara Uganda, Afrika. Aliran airnya datang dari Sungai Victoria Nile yang menerobos melalui sebuah gaung sempit sekitar tujuh meter (m) lebar sebelum menjunam 45m ke dalam kawah berlubuk yang digelar Devil’s Cauldron. Tujahan air ini menghasilkan bunyi dentuman yang menggegarkan dan menerbitkan kabus tebal yang sentiasa menyelubungi kawasan tersebut. Paling menyeramkan, pusaran air yang kuat ini juga menghasilkan buih-buih membukit dan dihuni ikan Nile Perch gergasi bersama-sama buaya Nil yang ganas! Trip……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/01/safari-memancing-afrika-habitat-nile-perch-perkasa/

  • FAM perlukan perubahan total

    FAM perlukan perubahan total

    TAHUN 2026 wajar dijadikan sebagai masa terbaik buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ‘reset’ semula dengan berubah secara total dalam usaha memulihkan semula maruah yang telah tercalar sejak dua tahun lalu.

    Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli menyifatkan apa yang berlaku khususnya kontroversi melibatkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada tahun lalu wajar dijadikan sebagai pengajaran.

    Menurut Pekan, walaupun kes FIFA masih lagi berjalan dan menanti keputusan akhir di Mahkamah Timbang Tara (CAS), tidak ada masalah untuk badan induk bola sepak negara itu melakukan perubahan lebih awal.

    Pekan berkata, antara langkah yang boleh dibuat adalah untuk melakukan kongres tahunan lebih awal bagi memilih presiden tetap selepas Datuk Mohd Joehari Ayub meletakkan jawatan pada Ogos lepas.

    “Saya rasa tiada masalah jika FAM melakukan kongres lebih awal kerana sudah ramai pihak luar yang mendesak, tetapi mereka buat pekak sahaja.

    “Kalau mereka pemegang taruh yang sayang kepada FAM, mungkin mereka sudah fikir bagaimana cara untuk perbetulkan keadaan dan lebih baik reset balik persatuan.

    “Antara langkah terbaik seperti meletakkan jawatan secara sukarela dengan mengadakan pemilihan semula untuk membentuk kepimpinan baharu bagi pulihkan semula bola sepak negara dengan lebih cepat,” katanya kepada Kosmo! semalam.

    Mengulas lanjut, Pekan masa depan bola sepak negara ketika ini masih nampak tergantung memandangkan semua pihak sedang menunggu keputusan CAS dan hukuman yang akan diberikan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) terhadap FAM.

    “Tidak banyak harapan yang boleh kita berikan kerana semua masih menanti keputusan CAS. Selagi kes FIFA belum berakhir, sukar untuk kita melihat hala tuju khususnya buat skuad Harimau Malaya,” katanya.

    Sebagai rekod, FAM digegarkan dengan isu pemalsuan dokumen sehingga denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala tujuh pemain warisan Harimau Malaya didenda CHF2,000 (RM10,000) serta digantung selama 12 bulan.

    Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi telah mewakili badan induk itu untuk membuat laporan polis pada minggu lalu dan menghantar kes FIFA untuk dirujuk ke CAS dengan persidangan dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/01/fam-perlukan-perubahan-total/