Category: JNJ-MEDIA

  • Bukti ‘peluang kedua’ bermakna, 22 klien AADK lulus SPM 2025

    Bukti ‘peluang kedua’ bermakna, 22 klien AADK lulus SPM 2025

    KAJANG 1 April – Seramai 22 klien Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) membuktikan kegagalan masa lalu bukan penamat apabila berjaya lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

    Kejayaan itu melibatkan sebahagian besar daripada 27 klien yang menduduki peperiksaan tersebut di bawah seliaan Program Akses Pendidikan Klien (PAPK).

    Ketua Pengarah AADK, Dato’ Ruslin bin Jusoh berkata, calon-calon tersebut merupakan penghuni yang sedang mengikuti program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Karangan (Kedah), Papar (Sabah) dan Sungai Besi (Kuala Lumpur).

    “Program PAPK ini menawarkan modul khas khususnya kepada klien di bawah umur 18 tahun sebagai peluang kedua dalam kebajikan pendidikan. Mereka mengikuti jadual kelas sistematik yang diajar oleh guru berpengalaman dengan bantuan tenaga pengajar Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau menambah, kesemua klien yang lulus kini berpeluang cerah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di institusi kemahiran seperti IKM, ILP, IKBN, GiatMara dan politeknik.

    Langkah ini dilihat sebagai inisiatif penting bagi mempersiapkan klien dengan sijil akademik dan kemahiran teknikal (TVET) demi menjamin masa depan serta mengekalkan kepulihan sepanjang hayat.

    “PAPK menjadi titik tolak kepada perubahan persepsi bahawa keciciran sekolah tidak semestinya berakhir tanpa ada ruang untuk memperbaikinya,” jelas beliau lagi.

    Dalam peperiksaan tersebut, para klien menduduki enam mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Sejarah dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/15007

  • Juruteknik dijel lima tahun tayang ‘anu’ kepada pelajar sekolah

    Juruteknik dijel lima tahun tayang ‘anu’ kepada pelajar sekolah

    SEREMBAN 1 April – Tindakan tidak bermoral seorang juruteknik yang menunjukkan kemaluan kepada pelajar sekolah di sebuah perhentian bas membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini, pada Selasa.

    Hakim, Surita Budin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap K. Jason Joshua, 32, selepas meneliti rayuan mitigasi tertuduh serta hujahan pemberatan oleh pihak pendakwaan di akhir kes pembelaan.

    Selain hukuman penjara, mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraan serta berada di bawah pengawasan polis selama setahun selepas tamat hukuman.

    “Mahkamah berpendapat, kesalahan yang dilakukan walaupun nampak kecil tetapi serius kerana dilakukan di pekarangan sekolah terhadap seorang pelajar yang tidak dikenali.

    “Ini menjadikan suasana persekitaran sekolah yang sepatutnya selamat menjadi tidak selamat,” katanya.

    Beliau turut menegaskan bahawa mahkamah tidak boleh bertolak ansur dengan kes amang seksual, khususnya yang melibatkan pelajar dan kawasan sekolah, kerana ia memberi kesan besar terhadap keselamatan serta kesejahteraan mangsa.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/15006

  • Hampir 50,000 pili bomba sebenarnya rosak, JBPM bimbang jejas operasi kecemasan

    Hampir 50,000 pili bomba sebenarnya rosak, JBPM bimbang jejas operasi kecemasan

    KUALA LUMPUR 1 April – Tahap integriti aset pili bomba di seluruh negara kini membimbangkan apabila puluhan ribu unit dikesan mengalami kerosakan dan kegagalan fungsi sepanjang tahun lalu.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan sebanyak 49,794 pili bomba atau kira-kira 13.7 peratus daripada 363,340 unit yang diperiksa didapati rosak dalam operasi pemeriksaan berkala.

    Menurut JBPM, analisis terperinci mendapati punca utama kerosakan berpunca daripada kehilangan komponen logam penting.

    “Statistik merekodkan 10,424 kes membabitkan kehilangan ‘outlet pillar cap’, 8,109 kes membabitkan ketiadaan penutup ‘chamber’ dan 3,359 kes membabitkan kerosakan fizikal serius seperti tiang pili patah atau rosak teruk.

    “Ketiadaan komponen ini bukan sahaja mendedahkan sistem dalaman kepada risiko kemasukan bendasing dan kerosakan mekanikal, malah menjejaskan kelancaran penyambungan hos semasa tempoh kritikal atau golden time dalam operasi pemadaman,” katanya.

    Dalam pada itu, JBPM menegaskan perbuatan merosakkan atau mengganggu fungsi pili bomba bukan sekadar kesalahan kecil, sebaliknya boleh memberi kesan besar terhadap pengurusan insiden kebakaran.

    “Apabila anggota tiba di lokasi dan mendapati pili bomba dihalang, ditimbus atau komponen kritikalnya hilang, pelan tindakan asal perlu dirombak serta-merta.

    “Kelewatan ini memaksa pasukan bomba menggunakan alternatif seperti bekalan tangki jentera yang terhad atau teknik relay pumping yang menuntut tenaga kerja dan masa tambahan. Sebarang kelewatan dalam mengaktifkan sumber air berisiko menyebabkan kebakaran kecil berkembang menjadi insiden berskala besar serta mengancam keselamatan nyawa,” katanya.

    Sehubungan itu, JBPM mengingatkan orang ramai bahawa perbuatan merosakkan atau menghalang akses kepada pili bomba merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 26, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/15005

  • Misteri beg bertulis ‘STONE’ terdampar di Pantai Tanjung Gosong, rupanya berisi kokain RM7.31 juta

    Misteri beg bertulis ‘STONE’ terdampar di Pantai Tanjung Gosong, rupanya berisi kokain RM7.31 juta

    KUANTAN 1 April – Sebanyak 16.26 kilogram dadah jenis kokain bernilai RM7.31 juta ditemui terdampar di pesisir Pantai Tanjung Gosong, Pekan, dalam satu penemuan luar biasa pada Selasa lalu.

    Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pemeriksaan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) kira-kira jam 2.45 petang itu membawa kepada penemuan sebuah beg mencurigakan hasil maklumat orang awam.

    Hasil pemeriksaan lanjut mendapati beg tersebut mengandungi 14 bungkusan ketulan mampat berwarna hitam bertanda ‘STONE’ yang masih dalam keadaan baik, manakala enam bungkusan lagi telah terlarut akibat terendam lama di dalam air.

    “Nilai keseluruhan rampasan ini dianggarkan mencecah RM7.318 juta berdasarkan harga pasaran semasa iaitu kira-kira RM450,000 bagi setiap satu kilogram.

    “Keadaan fizikal bungkusan menunjukkan dadah ini dipercayai telah hanyut di laut dalam tempoh yang lama sebelum terdampar di pesisir pantai tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang hari ini.

    Yahaya menyifatkan rampasan kokain dalam jumlah sebesar itu sebagai kes yang jarang berlaku di negeri ini dan dianggarkan mampu membekalkan kepada lebih 80,000 penagih sekiranya berjaya diedarkan.

    Setakat ini, pihak polis telah merakam keterangan seorang saksi bagi membantu siasatan, namun belum ada sebarang tangkapan dibuat.

    Pihak polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau rakaman video berkaitan untuk menghubungi JSJN Pahang di talian 09-4221222 bagi membantu siasatan lanjut.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/15004

  • Keluarga mangsa pemandu mabuk bakal tuntut pampasan RM1 juta

    Keluarga mangsa pemandu mabuk bakal tuntut pampasan RM1 juta

    KLANG 1 April – Isteri kepada Allahyarham Amirul Hafiz Omar, mangsa yang maut dirempuh pemandu mabuk Ahad lalu, dijangka bakal mengemukakan tuntutan sivil mencecah RM1 juta terhadap pelaku.

    Peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa, Mohd Faizi Che Abu berkata, tuntutan tersebut akan dibuat terhadap tertuduh dan pihak insurans berdasarkan prinsip undang-undang serta rujukan kes-kes terdahulu.

    Menurut beliau, jumlah pampasan itu dikira berdasarkan faktor umur, pendapatan bulanan serta jumlah tanggungan yang ditinggalkan oleh mangsa.

    “Kami dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang sivil. Pihak keluarga sedang mendapatkan dokumen serta maklumat daripada pihak berkuasa sebelum tindakan selanjutnya diambil.

    “Berdasarkan gandaan tuntutan pampasan merangkumi gaji dan sumbangan mangsa kepada tanggungan, mungkin jumlahnya mencecah angka tersebut (RM1 juta),” katanya ketika ditemui di lobi Kompleks Mahkamah Klang hari ini.

    Terdahulu, seorang juruteknik berusia 20-an telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa menyebabkan kematian Amirul Hafiz, 33, yang bertugas sebagai penghantar makanan di Jalan Raya Barat kira-kira jam 11.47 pagi, 29 Mac lalu.

    Kejadian tragis itu mencetuskan kemarahan orang ramai selepas ujian saringan mendapati pemandu kereta jenis Honda City tersebut berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah ketika melakukan pemanduan berbahaya sehingga meragut nyawa mangsa.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/15003

  • Konflik Asia Barat: Malaysia bersedia hadapi kenaikan bahan api – Suruhanjaya Tenaga

    Konflik Asia Barat: Malaysia bersedia hadapi kenaikan bahan api – Suruhanjaya Tenaga

    PUTRAJAYA 1 April – Malaysia perlu bersiap sedia menghadapi kemungkinan peningkatan kos tenaga dalam tempoh terdekat susulan konflik geopolitik berterusan di Asia Barat yang memberi tekanan kepada harga bahan api global.

    Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Siti Safinah Salleh bagaimanapun berkata, kesan terhadap sistem tenaga negara ketika ini masih terkawal berikutan kebergantungan tinggi kepada sumber gas domestik.

    Menurut beliau, kira-kira 80 peratus gas yang digunakan bagi penjanaan elektrik di Malaysia diperoleh daripada sumber tempatan, sekali gus mengurangkan pendedahan langsung kepada turun naik harga di pasaran antarabangsa.

    “Namun, kita masih terkesan kerana ia berkait dengan harga rujukan pasaran (MRP),” katanya dalam sesi soal jawab bersama media selepas membentangkan Semakan Kawal Selia Tahunan Suruhanjaya Tenaga 2026, di sini pada Rabu.

    Beliau menjelaskan, peningkatan kos bahan api dijangka mula diterjemahkan dalam sistem tenaga melalui mekanisme Pelarasan Automatik Kos Bahan Api (AFA).

    “Masyarakat perlu bersedia untuk kenaikan kos walaupun kenaikan itu mungkin tidak terlalu tinggi atau tidak terkesan berbanding dengan beberapa negara lain tetapi masih ada kenaikan kos,” ujarnya.

    Katanya, pelarasan melalui AFA dibuat secara bulanan selagi perubahan kos berada dalam ambang 10 peratus, manakala sebarang peningkatan melebihi paras itu memerlukan kelulusan kerajaan.

    “Kos itu tetap kos, ia perlu dibayar tetapi bagaimana ia disalurkan bergantung kepada keputusan kerajaan,” jelas beliau.

    Dalam pada itu, Siti Safinah berkata, kurang 20 peratus bekalan gas yang diimport turut menyumbang kepada pendedahan terhadap harga global, khususnya kontrak yang diindeks kepada pasaran minyak.

    Tambahnya, perkembangan global turut menyaksikan peningkatan harga arang batu apabila negara-negara lain beralih kepada sumber tersebut berikutan kekangan bekalan gas.

    Menurut beliau, Malaysia yang mengimport sepenuhnya arang batu bagi penjanaan elektrik tidak terkecuali daripada tekanan kenaikan harga tersebut.

    “Seperti yang kita lihat dalam situasi krisis sebelum ini khususnya pada 2022 semasa krisis Ukraine–Rusia, apabila bekalan gas menjadi ketat secara global, dunia cenderung beralih semula kepada arang batu. Ini menyebabkan harga arang batu meningkat.

    “Jadi di bahagian arang batu, kita juga mula melihat harga meningkat secara perlahan. Ia tidak melonjak, tidak meningkat secara mendadak, tetapi mula naik. Oleh itu, kita masih mempunyai pendedahan,” katanya.

    Sehubungan itu, katanya, pelarasan kos dijangka berlaku dalam tempoh terdekat apabila peningkatan harga bahan api mula diserap ke dalam sistem.

    Dalam masa sama, beliau menjelaskan terdapat kelewatan dalam pelarasan kos disebabkan faktor rantaian bekalan termasuk proses pembelian dan pembayaran.

    “Walaupun kita membuat pelarasan secara bulanan sekarang, masih terdapat kesan kelewatan. Ini semata-mata disebabkan cara rantaian bekalan berfungsi.

    “Kerana anda membeli bahan api, anda membuat invois, anda mengutip bayaran dan sebagainya. Jadi akan sentiasa ada kelewatan dari segi bagaimana kos sebenar direfleksikan dalam kerangka pelarasan bahan api.

    “Di sinilah bagi memastikan ia lebih telus serta membantu industri merancang dengan lebih baik, pihak pembeli tunggal menerbitkan unjuran bahan api secara suku tahunan iaitu unjuran tiga bulan ke hadapan supaya perancangan boleh dibuat lebih awal dan sudah tentu unjuran ini boleh berubah,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/15002

  • Kejam: kanak-kanak disyaki dera kucing, JPV Terengganu sahkan siasatan sedang dijalankan

    Kejam: kanak-kanak disyaki dera kucing, JPV Terengganu sahkan siasatan sedang dijalankan

    Oleh AZIM SAID

    DUNGUN 1 April – Penduduk di Dungun, Terengganu dikejutkan dengan satu rakaman penderaan haiwan yang tular di media sosial.

    Susulan penularan video tersebut, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Terengganu dalam satu kenyataan media mengesahkan telah menerima sejumlah besar aduan daripada orang awam berhubung insiden berkenaan.

    Menurut jabatan itu, pihaknya memandang serius kejadian tersebut kerana ia melibatkan perbuatan zalim terhadap haiwan dan merupakan satu pelanggaran undang-undang.

    Siasatan kini sedang dijalankan secara menyeluruh di bawah peruntukan Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap pihak bertanggungjawab.

    “Jabatan komited untuk memastikan siasatan dijalankan dengan telus dan menyeluruh bagi mengesan serta mendakwa pihak terlibat,” menurut kenyataan itu.

    Dalam masa sama, pihak JPV Negeri Terengganu menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi.

    Orang awam mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu juga digalakkan tampil bagi membantu siasatan.

    Dalam rakaman video berdurasi 18 saat itu, seekor kucing dilihat diperlakukan dengan kejam apabila diikat dan diseret oleh seorang kanak-kanak dipercayai pelaku.

    Manakala seorang lagi kanak-kanak dilihat menyepak dan memukul kepala kucing menggunakan selipar.

    Insiden ini terus mengundang reaksi netizen, dengan ramai menggesa agar tindakan sewajarnya diambil.

    Namun, ada segelintir netizen turut menyalahkan individu yang merakam kerana tidak bertindak menegur kanak-kanak tersebut.

    “Tak tegur ke budak tu?, pastu sibuk pergi rakam jer, komen imanarif_.

    Kes ini membuka mata banyak pihak tentang pentingnya peranan ibu bapa, sekolah dan masyarakat dalam membentuk nilai empati sejak kecil.

    Tanpa didikan yang betul, tingkah laku agresif boleh berkembang menjadi masalah lebih serius pada masa hadapan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/15000

  • ‘Soundbox tak bunyi, dia kata dah bayar’ – Helah tipu resit pembayaran hampir perdaya peniaga

    ‘Soundbox tak bunyi, dia kata dah bayar’ – Helah tipu resit pembayaran hampir perdaya peniaga

    Oleh AZIM SAID

    JOHOR BAHRU 1 April – Seorang peniaga mendedahkan taktik licik seorang individu yang dipercayai menjalankan penipuan pembayaran menggunakan resit palsu pada jam 1.42 petang semalam.

    Menerusi satu hantaran, peniaga tersebut mendakwa suspek menggunakan modus operandi yang sama di beberapa premis.

    KLIK SINI UNTUK TONTON VIDEO PENUH

    Individu terbabit dikatakan akan meminta kata laluan WiFi dengan alasan talian internet tidak stabil.

    “Lepas dia dapat akses WiFi, dia akan duduk dan buka galeri dalam telefon sebelum mula buat kerja untuk menipu resit pembayaran,” katanya.

    Menurutnya, penipuan itu hanya disedari selepas semakan dibuat melalui sistem pembayaran digital yang menunjukkan tiada transaksi sebenar direkodkan.

    “Saya guna sistem yang bersambung terus ke iPad, jadi boleh check terus.

    “Memang sah tiada bayaran masuk,” jelasnya lagi.

    Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut dikongsikan, memaparkan suspek berada di dalam premis ketika kejadian dipercayai berlaku.

    Peniaga tersebut bagaimanapun memaklumkan premisnya terselamat kerana prosedur operasi yang lebih ketat.

    Perkongsian itu mendapat perhatian ramai pengguna media sosial yang rata-rata menggesa peniaga lain supaya lebih berwaspada.

    “Dapat tangkap tu, lapor polis jer tak boleh dibiarkan orang macam ni,” komen zieyatiesue.

    Bagi deeanarif17, kepantasan dalam mengedit resit pembayaran tersebut jelas menunjukkan banyak kedai sudah menjadi mangsa individu tersebut.

    “Macam dah biasa buat, laju betul dia edit resit pembayaran tu,” jelasnya.

    Seorang pengguna media sosial, akma_raz turut berkongsi pengalaman hampir sama melibatkan taktik berkenaan.

    “Dia ni yang datang nak isi minyak kereta RM20, ‘soundbox’ tak bunyi langsung, dia kata dah bayar.

    “Aku berkeras cakap takde, tolong jangan terpedaya,” katanya.

    Terdapat juga komen dari moisellenoor, mendakwa kedainya terkena modus operandi yang sama.

    “Kedai kami Momoyo sebelah pun dah jadi mangsa, katanya baru jer pelanggan tu datang.

    “Aduhai memang nak kena buat laporan polis ker apa ni,” katanya.

    Orang ramai juga dinasihatkan agar segera membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14999

  • Pakai lebih 600kWj akan bayar lebih, bil elektrik dijangka naik bulan ini, rebat TNB dikurangkan

    Pakai lebih 600kWj akan bayar lebih, bil elektrik dijangka naik bulan ini, rebat TNB dikurangkan

    KUALA LUMPUR 1 April – Isi rumah di Semenanjung yang menggunakan elektrik pada kadar tinggi dijangka berdepan peningkatan bil bermula April ini susulan pengurangan rebat oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).

    Menurut laporan Malaysiakini, isi rumah yang menggunakan lebih daripada 600kWj sebulan, bersamaan bil melebihi RM215.98, akan membayar lebih berikutan rebat di bawah sistem Pelarasan Bahan Api Secara Automatik (AFA) dikurangkan.

    Rebat TNB melalui AFA diturunkan daripada RM0.0215 setiap kWj kepada RM0.0047 setiap kWj.

    Sebagai gambaran, TNB menyatakan isi rumah yang menggunakan 800kWj akan membayar RM329.68 bagi tempoh bil 1 hingga 30 April selepas mengambil kira rebat sebanyak RM3.76.

    Sebagai perbandingan, isi rumah yang sama menerima rebat RM17.20 pada bulan Mac dengan jumlah bil lebih rendah iaitu RM316.24.

    Sistem AFA mengira kos bahan api yang diperlukan untuk menjana elektrik berdasarkan harga pasaran dan kadar pertukaran asing, dan dikemas kini setiap bulan.

    Pengurangan rebat ini berlaku di tengah-tengah isu rantaian bekalan global yang disebabkan oleh perang di Iran yang menyebabkan kenaikan harga arang batu dan gas asli – kedua-duanya diimport oleh Malaysia dalam jumlah yang besar untuk penjanaan elektrik.

    TNB meramalkan bahawa kos AFA akan terus berubah-ubah dalam beberapa bulan akan datang, dengan rebat yang lebih rendah pada bulan Mei pada RM0.039 setiap kWj, sebelum meningkat kepada RM0.091 pada bulan Jun.

    Walau bagaimanapun, pada bulan Julai, kadar tersebut diramalkan akan bertukar menjadi surcaj sebanyak RM0.0008 (atau 0.08 sen).

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/15001

  • Pemandu mabuk berdepan hukuman mati didakwa bunuh penunggang motosikal di Klang

    Pemandu mabuk berdepan hukuman mati didakwa bunuh penunggang motosikal di Klang

    KLANG 1 April – Seorang juruteknik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penunggang motosikal dalam kejadian di Jalan Raya Barat, Ahad lalu.

    Tertuduh, R. Saktygaanapathy, 28, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret A. Khartiyayini.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kematian Amirul Hafiz Omar, 33, di Jalan Raya Barat kira-kira pukul 11.47 pagi pada 29 Mac lalu.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

    Dalam prosiding sama, tertuduh mengaku bersalah atas kesalahan memasukkan dadah jenis benzo dan tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badan sendiri di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada hari sama.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 serta perintah pengawasan antara dua hingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon tarikh baharu bagi serahan dokumen termasuk laporan bedah siasat, patologi dan forensik.

    Tertuduh tidak diwakili peguam. Prosiding turut dihadiri isteri mangsa, Nurul Nadia Abdul Majid, 32, yang diwakili peguam pemerhati Mohd Faizi Che Abu.

    Mahkamah menetapkan 3 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Sebelum ini, media melaporkan mangsa maut dalam keadaan tragis apabila badannya tercampak selepas dilanggar sebuah kereta ketika keluar membeli buku matematik untuk anak sulungnya.

    Siasatan awal mendapati kenderaan jenis Honda City yang dipandu tertuduh dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum melanggar motosikal mangsa, manakala ujian air kencing menunjukkan lelaki itu positif dadah selain memandu di bawah pengaruh alkohol.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/14998