KUALA LUMPUR 29 Dis – Seorang pegawai kanan Tentera Darat Malaysia yang disiasat berhubung kes rasuah melibatkan projek perolehan tentera masih belum tampil memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut sumber, pegawai berkenaan dijadual hadir ke Ibu Pejabat SPRM pada 28 Disember 2025, namun terpaksa dikejarkan ke hospital sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari sama. Setakat ini, suspek masih menerima rawatan.
Dalam perkembangan siasatan, SPRM kini memberi tumpuan kepada penelitian aliran wang yang disyaki dimasukkan ke dalam akaun milik pegawai terbabit, yang disiasat sebagai suspek utama dalam kes rasuah berkenaan.
Sumber turut memaklumkan, SPRM telah menjalankan operasi penggeledahan di pejabat Tentera Darat di Kementerian Pertahanan (Mindef) serta di kediaman rasmi suspek pada 27 Disember lalu, bermula sekitar jam 5 petang hingga 12 tengah malam.
Bagaimanapun, penggeledahan itu tidak menemukan sebarang wang tunai. Sebaliknya, SPRM menyita beberapa barangan mewah bernilai tinggi termasuk jam tangan dan beg tangan mewah yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan.
Sementara itu, siasatan diteruskan dengan pemanggilan saksi utama, khususnya kontraktor yang dipercayai terlibat dalam projek berkaitan Tentera Darat.
“Setakat ini, SPRM telah merakam keterangan lima pemilik syarikat, manakala keseluruhan saksi yang dipanggil bagi membantu siasatan berjumlah 10 orang,” kata sumber itu.
Tambahnya, SPRM juga sedang menyiasat kira-kira 40 syarikat yang disyaki terlibat dalam pemberian rasuah, dengan siasatan dijalankan secara berperingkat.
“Skop siasatan dijangka diperluaskan merangkumi aspek aliran kewangan, perolehan projek serta kaitan individu dan syarikat yang terlibat, selaras dengan peruntukan Akta SPRM 2009,” katanya.
Pada Selasa lalu, pegawai SPRM hadir ke Mindef dengan tumpuan siasatan menjurus kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Beliau turut memaklumkan bahawa penggeledahan telah dijalankan di beberapa syarikat yang dipercayai terbabit bagi mendapatkan dokumen serta bahan bukti berkaitan, selain mengesahkan enam akaun bank milik suspek dan ahli keluarganya telah disita bagi tujuan siasatan.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13364