Category: JNJ-MEDIA

  • Kajian sains menunjukkan bahawa bayi mula mengenali individu yang menjaga mereka seawal usia beberapa bulan pertama.

    Kajian sains menunjukkan bahawa bayi mula mengenali individu yang menjaga mereka seawal usia beberapa bulan pertama.

    Penyelidikan mengenai senyuman sosial bayi mengesahkan bahawa mereka lebih kerap memberikan senyuman kepada individu yang membuatkan mereka rasa selamat serta selesa.Respons ini sangat berkait rapat dengan pembentukan ikatan awal di mana bayi belajar mengenali siapa yang sentiasa memenuhi keperluan mereka secara konsisten.

    Hasilnya bayi secara semula jadi akan menunjukkan lebih banyak kegembiraan dan senyuman apabila berada di samping ibu bapa atau penjaga yang mereka percayai.Oleh itu senyuman si kecil bukan sekadar reaksi biasa malah ia adalah cara mereka membina hubungan dengan orang dewasa yang dipercayai.

    Kehadiran anda yang memberikan rasa tenang menjadi faktor utama mengapa bayi lebih cenderung tersenyum lebar hanya kepada anda.Sumber: Verywell Family, Science DailyGambar Hiasan

    🔗 Source: https://www.facebook.com/share/1DJguw9HRW/

  • Lelaki cedera dipukul guna pengunci stereng akibat salah faham di jalan raya

    Lelaki cedera dipukul guna pengunci stereng akibat salah faham di jalan raya

    JOHOR BAHRU 28 Dis – Seorang lelaki cedera di bahagian muka selepas dipukul menggunakan alat pengunci stereng dalam satu kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham ketika memandu di Jalan Lingkaran Dalam, berhampiran simpang keluar sebuah stesen minyak, semalam.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.21 petang.

    Menurutnya, polis menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pemandu e-hailing berhubung insiden tersebut.

    “Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila mangsa dipercayai keluar dari stesen minyak secara melulu sehingga menyebabkan suspek yang memandu di laluan sama terpaksa membrek secara mengejut.

    “Suspek yang tidak berpuas hati kemudian keluar dari kenderaannya sebelum bertindak memukul muka mangsa menggunakan alat pengunci stereng,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian muka sebelah kiri dan mendapatkan rawatan lanjut.

    Bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang juga penganggur bagi membantu siasatan serta merampas alat pengunci stereng yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

    Raub Selamat berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan semakan lanjut mendapati lelaki itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dan permohonan reman terhadap suspek dijangka dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.

    Terdahulu, tular satu video berdurasi tujuh saat memaparkan seorang individu mengambil alat pengunci kereta dari bonet sebelum memukul kenderaan dipercayai milik mangsa.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13340

  • Anwar: Kejayaan Kerajaan MADANI hasil kestabilan dasar dan kepercayaan rakyat

    Anwar: Kejayaan Kerajaan MADANI hasil kestabilan dasar dan kepercayaan rakyat

    KUALA LUMPUR 28 Dis – Kejayaan yang dicapai Kerajaan MADANI pada hari ini adalah hasil kestabilan dasar, keberanian melaksanakan reformasi serta kepercayaan yang diberikan oleh rakyat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Menurut beliau, di peringkat domestik, ekonomi negara terus diperkukuh menerusi kemasukan pelaburan berkualiti, penciptaan peluang pekerjaan serta pelaksanaan agenda pertumbuhan yang inklusif.

    Selain itu, Anwar berkata, hubungan Malaysia di peringkat antarabangsa juga semakin diperkasakan melalui kerjasama dengan pelbagai negara dan kumpulan pemimpin dunia, sekali gus membuka ruang kepada pelaburan strategik serta mengukuhkan kedudukan negara di persada global.

    “Segala pencapaian ini bukan sekadar angka dan statistik, sebaliknya diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat, merangkumi kesejahteraan keluarga, peluang ekonomi baharu serta jaminan masa depan yang lebih berdaya tahan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Tambah beliau, dengan sokongan padu keluarga, sahabat serta seluruh rakyat Malaysia, Kerajaan MADANI diyakini akan terus melangkah ke hadapan dengan berpegang kepada amanah, selain komited membina sebuah negara yang adil, makmur dan berdaya saing untuk semua.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13341

  • Aura Thalapathy Vijay luar biasa, lebih 85,000 peminat banjiri Bukit Jalil

    Aura Thalapathy Vijay luar biasa, lebih 85,000 peminat banjiri Bukit Jalil

    KUALA LUMPUR 28 Dis – Stadium Nasional Bukit Jalil bertukar lautan manusia apabila kira-kira 85,000 peminat membanjiri venue berkenaan, malam tadi, bagi menyaksikan pelancaran audio filem terbaharu aktor popular Selatan India, Vijay, Jana Nayagan.

    Kehadiran aktor berusia 51 tahun itu yang juga bergelar ahli politik nyata mencetuskan keterujaan luar biasa dalam kalangan peminat tempatan.

    Digelar ‘Thalapathy’, yang membawa maksud komander atau pemimpin, aura bintang besar Vijay jelas dirasai sepanjang acara berlangsung.

    Menerusi entri dimuat naik Astro Ulagam di media sosial, acara pelancaran audio berkenaan turut mencipta sejarah apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR).

    “Tahniah atas kejayaan mencatatkan rekod MBR bagi penyertaan terbesar dalam pelancaran audio filem Tamil yang berlangsung di Malaysia,” menurut keterangan hantaran itu.

    Pada majlis tersebut, peminat turut dihiburkan dengan segmen imbas kembali lagu-lagu ikonik Vijay selain persembahan lagu-lagu baharu daripada filem Jana Nayagan.

    Pelancaran audio berkenaan dianggap sebagai pencapaian penting menjelang tayangan filem itu, yang menampilkan barisan pelakon serta tenaga produksi berprofil tinggi.

    Jana Nayagan diarahkan oleh H Vinoth dan diterbitkan oleh KVN Productions, dibintangi Vijay bersama Pooja Hegde, Bobby Deol, Mamitha Baiju, Gautham Vasudev Menon, Prakash Raj, Narain dan Priyamani.

    Majlis berprestij itu berlangsung dalam dua segmen utama, bermula dengan Thalapathy Thiruvizha, iaitu konsert penghargaan yang menampilkan kira-kira 30 penyanyi sebelum diteruskan dengan pelancaran audio rasmi.

    Difahamkan, Jana Nayagan merupakan filem terakhir Vijay sebelum beliau beralih sepenuhnya ke arena politik.

    Terdahulu, penganjur acara, Malik Streams Corporation memaklumkan Vijay berlepas dari Chennai menaiki jet peribadi sebelum mendarat di Subang Skypark pada kira-kira jam 4.30 petang. Ketibaan aktor itu mencuri perhatian ramai dan tular di pelbagai platform media sosial.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13342

  • Rasa seperti renjatan elektrik di dada ketika latihan – Remy Ishak

    Rasa seperti renjatan elektrik di dada ketika latihan – Remy Ishak

    KUALA LUMPUR 28 Dis – Pelakon terkenal, Remy Ishak, terpaksa mendapatkan rawatan di hospital selepas mengalami sensasi seperti renjatan elektrik di bahagian dada ketika menjalani sesi latihan fizikal, baru-baru ini.

    Perkara itu dikongsikan Remy menerusi Instagram Story miliknya apabila memaklumkan kejadian tersebut berlaku semasa menjalani latihan Super Saturday.

    Menurut Remy, dia secara tiba-tiba merasai seperti ‘electric shot’ di kawasan dada sebanyak tiga kali, sekali gus menyebabkan dia panik seketika.

    “Masa tengah latihan Super Saturday, tiba-tiba macam ada electric shot di area dada, tiga kali. Panik sekejap tapi berjaya kawal pernafasan dan habiskan sesi workout,” tulisnya.

    Susulan kejadian itu, Remy berkata, dia segera ke hospital untuk menjalani pemeriksaan lanjut bagi memastikan keadaannya berada dalam keadaan baik.

    Beliau turut berkongsi secara berseloroh bahawa doktor memaklumkan dirinya seolah-olah menerima ‘tenaga baharu’, namun menegaskan aspek kesihatan tetap menjadi keutamaan.

    Bagaimanapun, Remy memaklumkan doktor menasihatkannya supaya memperbanyakkan rehat bagi mengelakkan sebarang komplikasi lanjut.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13343

  • Pemuda UMNO anjur konvensyen khas bincang hala tuju parti dalam Kerajaan Perpaduan

    Pemuda UMNO anjur konvensyen khas bincang hala tuju parti dalam Kerajaan Perpaduan

    MELAKA 28 Dis – Pemuda UMNO akan menganjurkan satu konvensyen khas bagi membincangkan, meneliti dan membuat keputusan berhubung hala tuju parti, khususnya berkaitan kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, awal bulan depan.

    Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, konvensyen bertajuk Hala Tuju UMNO: Kekal atau keluar daripada Kerajaan Perpaduan itu dijadualkan berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 3 Januari ini.

    Menurutnya, penganjuran konvensyen berkenaan susulan kegagalan Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin memohon maaf seperti dituntut oleh Pemuda UMNO Selangor dalam tempoh 24 jam, sekali gus mencetuskan kekecewaan dalam kalangan akar umbi parti.

    “Sehingga hari ini tiada sebarang permohonan maaf dibuat. Justeru, saya merakamkan penghargaan kepada Pemuda UMNO Selangor dan UMNO Bahagian Puchong yang berani mengambil pendirian dengan memutuskan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) di kawasan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Semalam, UMNO Bahagian Puchong mengumumkan secara rasmi keputusan memutuskan semua bentuk kerjasama politik dengan PH di kawasan berkenaan, berkuat kuasa serta-merta.

    Setiausaha UMNO Bahagian Puchong, Mohamad Yusof Mohamed Yassin dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat susulan kegagalan Bee Yin, yang juga Setiausaha Publisiti DAP, memohon maaf dalam tempoh 24 jam yang berakhir pada 24 Disember lalu berhubung kenyataannya berkaitan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

    Bee Yin sebelum ini dikritik kerana memuat naik hantaran berbunyi ‘Another reason to celebrate this year end’ bersama pautan berita bertajuk ‘No house arrest for Najib’, beberapa jam selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman Najib berhubung pelaksanaan Titah Adendum bagi menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.

    Dr Muhamad Akmal berkata, beliau menggesa semua ahli UMNO supaya hadir ke konvensyen berkenaan bagi menyuarakan pandangan dan isi hati mereka secara terbuka serta berani.

    Menurutnya, pendirian yang dibawa Pemuda UMNO bukan bersifat pandangan peribadi, sebaliknya mencerminkan sentimen sebenar akar umbi yang masih setia kepada perjuangan parti.

    Katanya, hasil perbincangan dan resolusi yang dicapai pada konvensyen itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum diserahkan secara rasmi kepada Presiden parti.

    “Saya menggesa seluruh kepimpinan dan ahli UMNO, sama ada yang memegang jawatan atau tidak, supaya hadir bagi mendengar dan memahami suara akar umbi dalam menentukan masa depan parti,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13344

  • ADUN Kuala Perlis dilantik sebagai Menteri Besar Perlis baharu

    ADUN Kuala Perlis dilantik sebagai Menteri Besar Perlis baharu

    KANGAR 28 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu.

    Abu Bakar, 57, mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perlis ke-12 di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis yang berlangsung pada jam 4.04 petang hari ini.

    Beliau merupakan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis serta Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Perlis.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Abu Bakar memenangi kerusi DUN Kuala Perlis dengan majoriti 1,254 undi.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13345

  • Wanita ditahan kes dera bayi di taska

    Wanita ditahan kes dera bayi di taska

    KUALA LUMPUR 28 Dis – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang wanita warganegara tempatan pada 16 Disember lalu bagi membantu siasatan kes penderaan membabitkan bayi berusia antara enam hingga sembilan bulan.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima tiga laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

    Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras mengesahkan menerima laporan mengenai kes penderaan terhadap mangsa yang berlaku di sebuah pusat asuhan kanak-kanak.

    “Kes ini disiasat oleh Bahagian D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

    “Sebanyak tiga laporan polis diterima dan satu tangkapan melibatkan seorang wanita tempatan telah dibuat pada 16 Disember lalu. Kes masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.

    Terdahulu, beberapa rakaman video tular di media sosial memaparkan perbuatan sekumpulan wanita dipercayai melakukan penderaan terhadap bayi di sebuah taska, sekali gus mencetuskan kemarahan orang ramai.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13346

  • ‘Jika mampu beli kereta RM300,000, takkan insurans RM2,000 beri alasan’

    ‘Jika mampu beli kereta RM300,000, takkan insurans RM2,000 beri alasan’

    KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita sebanyak 915 buah kenderaan mewah termasuk Aston Martin, Ferrari dan Lamborghini dalam Ops Luxury yang dilaksanakan sejak 1 Julai lalu hingga semalam.

    Pengarah Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, masih terdapat pemilik kenderaan mewah yang enggan memperbaharui cukai jalan dan insurans walaupun telah berulang kali diingatkan.

    Katanya, antara alasan yang sering diberikan oleh pemilik terlibat adalah terlupa serta menghadapi masalah kewangan, namun alasan tersebut disifatkan tidak munasabah.

    “Walaupun terdapat peningkatan dalam pembayaran cukai jalan, namun masih ramai pemilik yang ingkar. Ada yang mendakwa terlupa, ada juga yang memberi alasan kewangan.

    “Namun, jika mampu memiliki kenderaan mewah bernilai lebih RM300,000, tidak wajar insurans sekitar RM2,000 dijadikan alasan untuk tidak diperbaharui,” katanya pada sidang akhbar selepas Ops Pelbagai JPJ Kuala Lumpur di Jalan Ampang, di sini, malam tadi.

    Muhammad Kifli berkata, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana kenderaan mewah yang tidak memiliki cukai jalan dan perlindungan insurans yang sah.

    Katanya, kenderaan terlibat boleh disita pada bila-bila masa sekiranya dikesan melakukan kesalahan tersebut.

    Sebelum ini, pada 1 Ogos lalu, JPJ memaklumkan pihaknya mempunyai senarai kira-kira 1,000 kenderaan mewah yang gagal memperbaharui cukai jalan.

    Susulan itu, sehingga 12 Disember lalu, JPJ merekodkan sebanyak 706 kenderaan mewah disita di seluruh negara sejak Ops Luxury dilancarkan, termasuk 78 kenderaan mewah yang ditahan dalam Ops Luxury 4.0. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/28/culas-cukai-jalan-915-kereta-mewah-kena-sita/

  • Ramai anak cemerlang di sekolah, tak lepas masuk asrama

    Ramai anak cemerlang di sekolah, tak lepas masuk asrama

    PETALING JAYA – Ramai ibu bapa meluahkan rasa sedih apabila anak mereka mendapat keputusan cemerlang termasuk dinobatkan sebagai tokoh pelajar, namun masih tidak mendapat tempat di asrama sekolah.

    Tawaran itu melibatkan Sekolah Khusus iaitu Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk kemasukan tingkatan satu tahun 2026.

    Seorang daripada ibu, Hidayu Kamal memuat naik pada TikTok berkenaan pencapaian cemerlang anaknya, namun turut tidak berjaya untuk permohonan tersebut.

    “Maaf meluah, saya tahu ramai mengalami nasib sama. Saya sedih kerana kasihankan anak saya. Dia dah berusaha sehabis baik.

    “Saya saksi penat lelah dia selama ini. Kalau ada yang tahu, tahap apa yang diukur supaya lulus untuk ke sekolah khusus. Merata saya cari jawapan,” katanya.

    Hidayu berkata, antara pencapaian anaknya di sekolah ialah dinobatkan Tokoh Akademik, Tokoh Kokurikulum, Anugerah Pencapaian Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) Terbaik, Ketua Pengawas, penyertaan pelbagai pertandingan, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah, Majlis Sukan Sekolah Johor dan antarabangsa serta keputusan 9A Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK).

    “Cikgu kelasnya pun terkejut bila dapat tahu pagi tadi,” katanya menjawab komen seorang cikgu lain.

    Seorang lagi ibu, Qaseh Iman turut berdepan nasib sama apabila anaknya sudah sampai ke peringkat temu duga, namun tiada rezeki buatnya.

    “Kita senasib, dah lulus Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK). Dah panggil temu duga, tapi tak ada rezeki. Allah dah atur macam tu. Mungkin nak anak selalu dekat dengan kita,” katanya.

    Pengguna TikTok, Lina Wan juga memberitahu, anaknya tidak mendapat tempat di Sekolah Khusus tersebut dan dia akan menghantarnya ke sebuah sekolah agama yang lain.

    “Anak saya pun sama, aktif dan semua keputusan A dan Mumtaz bagi Penilaian Sekolah Rendah Agama. Tak dapat SBP, MRSM, SMKA. Tapi Allah tahu yang terbaik untuk anak. Kami berlapang dada. Alhamdulillah, anak sekarang rezeki di madrasah,” katanya.

    Terdahulu, Kementerian Pendidikan memaklumkan, Semakan Tawaran Kemasukan ke Sekolah Khusus dan MRSM Tahun 2026 bagi murid tingkatan satu, tingkatan empat dan tahun satu Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dibuka mulai semalam hingga 13 Januari 2026.

    Murid yang tidak ditawarkan ke mana-mana sekolah khusus atau MRSM boleh mengemukakan rayuan secara dalam talian yang mana tarikh rayuan bermula semalam hingga 13 Januari 2026, manakala tarikh semakan rayuan bermula 6 hingga 10 Februari 2026. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/27/ramai-anak-cemerlang-di-sekolah-tak-lepas-masuk-asrama/