KUALA LUMPUR 25 Dis – Seramai 67 mangsa banjir daripada 15 keluarga masih ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Sarawak setakat jam 8.58 pagi ini.
Portal Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan keadaan banjir di keempat-empat negeri berkenaan semakin pulih, dengan Selangor merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 21 orang daripada empat keluarga.
Ia diikuti Sarawak dengan 18 mangsa daripada tiga keluarga, Negeri Sembilan melibatkan 15 mangsa daripada empat keluarga, manakala Pahang merekodkan 13 mangsa daripada empat keluarga.
Daripada jumlah keseluruhan, 44 mangsa terdiri daripada lelaki dan wanita dewasa termasuk sembilan warga emas, manakala selebihnya membabitkan 22 kanak-kanak dan seorang bayi.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sebelum ini memaklumkan analisis model cuaca terkini menunjukkan luruan monsun dijangka berlaku bermula hari ini hingga Isnin depan.
Keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di kawasan timur Semenanjung dalam tempoh berkenaan, selain risiko angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan.
Sehubungan itu, MET Malaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Kelantan dan Terengganu berkuat kuasa esok hingga Ahad, manakala Pahang dan Johor pula dari Jumaat hingga Selasa depan.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13304









