Category: JNJ-MEDIA

  • EPL: Dua pemain tengah sasaran Man. United

    EPL: Dua pemain tengah sasaran Man. United

    MANCHESTER – Manchester United tidak menolak kemungkinan untuk menyertai pasaran perpindahan musim sejuk bulan depan untuk mendapatkan khidmat pemain tengah.

    Selain minat yang ditunjukkan untuk mendapatkan khidmat pemain tengah Bournemouth, Antoine Semenyo, United dilapor mahu membuat perubahan pada jentera tengah dengan mendapatkan sekurang-kurangnya dua pemain di posisi itu yang berpengalaman.

    Pengendali United, Ruben Amorim dilapor memerlukan khidmat pemain di posisi No. 6 yang memiliki kriteria mampu memenangi bola ketika perebutan serta mempunyai kelajuan pada bahagian tengah.

    Beberapa nama dilapor berada dalam senarai ketika masa depan Bruno Fernandes, Kobbie Mainoo dan Casemiro masih lagi tidak menentu sekali gus menyaksikan mereka terdesak membawa masuk pemain baharu.

    Bagaimanapun, dua nama yang paling kuat dikaitkan adalah pemain Atletico Madrid, Conor Gallagher dan bintang Al Hilal, Ruben Neves selain Elliot Anderson, Adam Wharton, Tyler Adam dan Angelo Stiller.

    Gallagher dilapor berminat untuk kembali ke England, namun United memerlukan usaha yang lebih apabila Atletico tidak bersedia melepaskan khidmat pemain itu kecuali tawaran itu tiba dengan status pinjaman.

    Sementara itu, Neves juga turut bersedia mempertimbangkan tawaran United apabila menolak untuk menerima tawaran baharu daripada Al Hilal ketika dia juga berminat untuk kembali ke Eropah dan menyempurnakan impiannya beraksi di Liga Juara-Juara. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/25/epl-dua-pemain-tengah-sasaran-man-united/

  • Zii Jia kembali ke gelanggang

    Zii Jia kembali ke gelanggang

    PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia dijangka kembali daripada rehat panjang menjelang Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 6 hingga 11 Januari nanti.

    Kemungkinan itu diperkuatkan lagi menerusi kemas kini dibuat Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menyaksikan Zii Jia yang mendapat perlindungan ranking akan turun sebagai pilihan ketujuh pada Jelajah Dunia Super 1000 itu.

    Perkembangan terbaharu itu disambut baik legenda badminton tanah air, Ong Ewe Hock yang menganggap kepulangan semula Zii Jia sebagai satu perkara positif di kala pemain-pemain lain terus bergelut dengan prestasi tidak menentu.

    Justeru, beliau berharap bekas juara Asia dan All England itu akan menampilkan prestasi terbaik apabila turun beraksi kerana sudah lama berehat daripada aksi kompetitif selain bermain di laman sendiri.

    “Ini memang satu perkara positif kerana dia pun sudah lama berehat akibat masalah kecederaan. Sudah tentu ia memberi kelegaan dan saya harap dia dapat mempamerkan aksi terbaik di Terbuka Malaysia nanti.

    “Tambahan pula dia akan bermain di laman sendiri. Oleh itu, gunakan peluang ini untuk mendapatkan semula sentuhan terbaik. Kita sebagai peminat, gembira apabila bekas pemain No. 1 negara kembali,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

    Sebelum ini, Zii Jia yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2020 terpaksa berehat panjang pada Mac lalu bagi memberi perhatian kepada kecederaan buku lali serta belakang.

    Bagaimanapun, dia membuat kepulangan semula dengan menyertai Kejohanan Badminton Dunia Ogos lalu diikuti Terbuka Hong Kong dan China Masters pada September sebelum mengambil keputusan berehat hingga akhir musim.

    Sementara itu, Ewe Hock juga menganggap kepulangan semula Zii Jia ke pentas kompetitif tepat pada masanya di kala pasukan negara dalam persiapan bagi menghadapi saingan Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark April depan.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/25/zii-jia-kembali-ke-gelanggang/

  • Isteri meninggal saat jenazah suami dimandikan

    Isteri meninggal saat jenazah suami dimandikan

    SEBERANG PERAI – Sepasang suami isteri dari Penaga, Butterworth di sini bagaikan berjanji untuk sehidup semati apabila kematian mereka hanya berselang tujuh jam pada Ahad lalu. Syed Abu Bakar Syed Omar, 75, meninggal dunia pada pukul 2 pagi setelah menderita kanser hati, manakala isterinya, Marina Awang, 60, pula menyusul pukul 9 pagi ketika jenazah suaminya mahu dimandikan. Anak saudara Syed Abu Bakar, Wan Sahalina Mohamed Rabu, 42, berkata, pemergian ibu dan bapa saudara pada hari sama mengejutkan ramai pihak. Katanya,……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/25/isteri-meninggal-saat-jenazah-suami-dimandikan/

  • ‘Percaya dan perdaya, mohon DBP gugur salah satu’

    ‘Percaya dan perdaya, mohon DBP gugur salah satu’

    THERE’S a sign on the wall, but she wants to be sure, ‘cause you know sometimes words have two meanings. Demikian bait lirik dalam lagu Stairway to Heaven, sebuah masterpiece daripada kumpulan Led Zeppelin. Secara keseluruhannya lirik ini menggambarkan manusia yang mencari makna hidup. Dalam perjalanan tersebut akan diuji keraguan meskipun petunjuk, nasihat hidup sudah ada. Pencarian makna yang lebih dalam. Bukan sekadar melihat apa yang terzahir di permukaan. Ia menekankan bahawa sesuatu petunjuk pun boleh disalah tafsir. Kadang-kadang apa……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/25/percaya-dan-perdaya-mohon-dbp-gugur-salah-satu/

  • International Monsoon Casting Tournament 2025 tarik pemancing dunia

    International Monsoon Casting Tournament 2025 tarik pemancing dunia

    ACARA International Monsoon Casting Tournament (IMCT) sebenarnya telah mula dianjurkan seawal tahun 2009. Acara ini bermula sebagai wadah mengumpulkan peminat-pe­minat mengilat gewang untuk ‘bermandi hujan’ di hujung tahun. Penyertaan awal seramai 22 orang kini telah mencapai jumlah ter­tinggi iaitu seramai 700 orang peserta pada tahun 2023. Pada tahun ini, penyertaan dikurangkan bagi memberi tumpuan kepada peserta antarabangsa selaras dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Terengganu 2027. Tahun ini, IMCT mencatat penyertaan seramai 289 orang peserta dari Malaysia, Indonesia,……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/25/international-monsoon-casting-tournament-2025-tarik-pemancing-dunia/

  • 10 jajahan di Kelantan berisiko banjir hingga 30 Disember

    10 jajahan di Kelantan berisiko banjir hingga 30 Disember

    KOTA BHARU 26 Dis – Sebanyak 10 jajahan di Kelantan dikenal pasti berisiko dilanda banjir bermula Jumaat hingga 30 Disember ini susulan Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

    Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi hebahan ramalan awal banjir memaklumkan, situasi itu dijangka berlaku membabitkan beberapa lembangan sungai utama iaitu Sungai Kelantan, Sungai Golok, Sungai Lebir, Sungai Galas dan Sungai Nenggiri.

    Menurut kenyataan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), hebahan berkenaan dikeluarkan pada jam 12.30 tengah hari Jumaat susulan jangkaan hujan lebat berterusan dari 26 hingga 30 Disember ini.

    Jajahan terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Bachok, Machang, Kota Bharu, Pasir Puteh, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang.

    Bagi Tumpat dan Pasir Mas, kawasan berisiko melibatkan lembangan Sungai Golok dan Sungai Kelantan, manakala Bachok membabitkan lembangan Sungai Semerak dan Sungai Kemasin.

    Machang, Kota Bharu dan Tanah Merah turut dikenal pasti berisiko banjir di lembangan Sungai Kelantan, sementara Pasir Puteh melibatkan lembangan Sungai Semerak termasuk Sungai Buaya Ikat.

    JPS turut memaklumkan risiko lebih tinggi dijangka di kawasan pedalaman seperti Kuala Krai dan Gua Musang yang membabitkan beberapa lembangan utama termasuk Sungai Lebir, Sungai Galas, Sungai Nenggiri dan Sungai Jelai.

    Menurut JPS, ramalan awal ini dikeluarkan bagi membolehkan penduduk di kawasan berisiko membuat persediaan awal, selain memberi ruang kepada pihak berkuasa dan agensi pengurusan bencana memperkukuh tahap kesiapsiagaan.

    Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap perubahan cuaca, mengikuti amaran banjir terkini serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya pemindahan perlu dilaksanakan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13323

  • Polis buru lelaki tempatan dipercayai dalang pembuatan puluhan bahan letupan di Nilai

    Polis buru lelaki tempatan dipercayai dalang pembuatan puluhan bahan letupan di Nilai

    SEREMBAN 26 Dis – Polis sedang memburu seorang lelaki warga tempatan yang disifatkan sebagai antara individu paling berbahaya, dipercayai menjadi dalang utama pembuatan puluhan peranti bahan letupan buatan sendiri atau Improvised Explosive Device (IED) dalam kejadian di Desa Palma, Nilai, Isnin lalu.

    Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, suspek dikenali sebagai Yeoh Hock Sun, 63, atau dikenali sebagai ‘Ah Yang’, dipercayai bertindak secara bersendirian dan mempunyai kepakaran teknikal tahap tinggi dalam menghasilkan bahan letupan berbahaya.

    Menurutnya, hasil siasatan mendapati suspek telah menyewa sebuah rumah kedai di tingkat tiga di kawasan Desa Palma sejak kira-kira enam bulan lalu dan menjadikan lokasi berkenaan sebagai makmal lengkap bagi pembuatan IED.

    “Dalam kejadian pada pagi Isnin lalu, salah satu peranti yang dibawa dan dimasukkan ke dalam sebuah kereta jenis Proton Wira telah meletup, dipercayai berpunca daripada kesilapan semasa pengendalian,” katanya.

    Beliau berkata, susulan kejadian itu, Pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) telah digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan pemusnahan secara terkawal menggunakan kaedah in-situ.

    “Kesemua peranti berbahaya yang ditemui berjaya dimusnahkan sepenuhnya tanpa melibatkan sebarang kecederaan kepada orang awam,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, hari ini.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13325

  • KPDN Johor siasat pasar raya mini jual minyak masak subsidi melebihi harga kawalan

    KPDN Johor siasat pasar raya mini jual minyak masak subsidi melebihi harga kawalan

    JOHOR BAHRU 26 Dis – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menjalankan siasatan terhadap sebuah pasar raya mini di Ulu Tiram susulan video tular yang mendakwa premis berkenaan menjual minyak masak subsidi paket satu kilogram (kg) pada harga lebih tinggi daripada kadar ditetapkan.

    Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, premis terbabit didakwa menjual minyak masak paket pada harga RM3.50 sepaket, sedangkan harga kawalan yang ditetapkan kerajaan ialah RM2.50.

    Menurutnya, sebaik menerima maklumat berhubung video tular itu, anggota penguat kuasa KPDN Johor telah menjalankan pemeriksaan ke atas premis berkenaan semalam.

    “Hasil pemeriksaan mendapati premis itu melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan tindakan penguatkuasaan sewajarnya telah diambil,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan sebarang aduan berkaitan isu harga, bekalan atau penyelewengan barangan kawalan melalui saluran rasmi KPDN bagi membolehkan tindakan segera diambil, berbanding menularkan perkara tersebut di media sosial.

    Dalam pada itu, Lilis Saslinda berkata, pengguna boleh mendapatkan bekalan minyak masak paket di 55 pusat operasi skim (POS) termasuk pasar raya terpilih di seluruh daerah di Johor dengan menggunakan aplikasi eCOSS.

    Katanya, penggunaan aplikasi itu bertujuan memastikan urus niaga minyak masak paket lebih telus serta mengelakkan kejadian penjualan melebihi harga kawalan daripada berulang.

    Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan seorang lelaki mendakwa sebuah pasar raya mini menjual minyak masak paket 1 kg bersubsidi pada harga RM3.50 selain tidak mengeluarkan resit pembelian, sekali gus menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap pematuhan peraturan harga barangan subsidi.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13326

  • Najib didapati bersalah atas semua 25 pertuduhan membabitkan dana 1MDB RM2.3 bilion

    Najib didapati bersalah atas semua 25 pertuduhan membabitkan dana 1MDB RM2.3 bilion

    PUTRAJAYA 26 Dis – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.

    Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi.

    Beliau memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua 25 pertuduhan terhadap Najib melampaui keraguan munasabah.

    Najib, 72, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB melalui cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan antara 24 Feb 2011 hingga 19 Disember 2014.

    Beliau didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan tersebut di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

    Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Najib, yang mengenakan sut biru, kelihatan tenang sepanjang prosiding. Turut hadir ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, anak-anak perempuan, Nooryana Najwa dan Puteri Norlisa serta anak-anak lelaki, Datuk Mohd Nazifuddin dan Datuk Mohd Nizar.

    Pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib dan Datuk Kamal Baharin Omar, dibantu oleh Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Deepa Nair Thevarahan, Nadia Mohd Izhar, Najwa Bistamam, Hazmida Harris Lee dan Siti Aina Rodhiah Shikh Md Saud.

    Najib diwakili oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dibantu oleh Datuk Tania Scivetti, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin, Wan Mohammad Arfan Wan Othman, Hartrisha Kaur Sandhu dan Naresh Mayachandran.

    Bekas Perdana Menteri itu pertama kali didakwa pada 20 September 2018, dan perbicaraan bermula hampir setahun kemudian, pada 28 Ogos 2019, sebelum pihak pendakwa menutup kesnya pada 30 Mei 2024.

    Perbicaraan kes berprofil tinggi itu berlangsung selama tujuh tahun, menarik perhatian antarabangsa, melibatkan 50 saksi dan sembilan hari hujahan lisan pada peringkat pendakwaan.

    Antara saksi utama bagi pihak pendakwaan ialah bekas Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohamad Bakke Salleh, bekas peguam 1MDB Jasmine Loo Ai Swan, dan Pegawai Penyiasat SPRM Superintendan Kanan Nur Aida Ariffin.

    Pada 30 Oktober 2024, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie dan memerintahkan Najib untuk mengemukakan pembelaan terhadap semua pertuduhan.

    Kes pembelaan didengar dari 2 Disember 2024 hingga 6 Mei 2025 selama 58 hari, dengan 26 saksi dipanggil memberi keterangan.

    Saksi utama bagi pihak pembelaan termasuk bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Che Lodin Wok Kamarudin,Tengku Datuk Rahimah Sultan Mahmud, adik kepada Sultan Terengganu, serta bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

    Pendengaran hujah lisan dalam perbicaraan 1MDB berjumlah RM2.3 bilion itu diselesaikan pada 4 November selepas kedua-dua pihak, pendakwaan dan pembelaan, menamatkan hujah terakhir masing-masing.

    Najib kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang berhubung kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd. – BERNAMA

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13328

  • Kes 1MDB: Azam Baki puji ketekunan pasukan penyiasat, pendakwaan penat lelah selama 10 tahun

    Kes 1MDB: Azam Baki puji ketekunan pasukan penyiasat, pendakwaan penat lelah selama 10 tahun

    KUALA LUMPUR 26 Dis – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Razak adalah manifestasi pelaksanaan amanah institusi penguat kuasa, hasil usaha panjang dan berterusan pasukan penyiasat serta pendakwaan sejak hampir sedekad lalu.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki hari ini menzahirkan penghargaan dan tahniah kepada pegawai penyiasat serta pasukan pendakwaan yang disifatkan bekerja tanpa mengenal penat lelah sejak siasatan 1MDB dimulakan pada Julai 2015 sehingga membawa kepada keputusan penghakiman kes berkenaan.

    “Penghargaan ini diberikan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan ketekunan luar biasa pegawai penyiasat, khususnya dalam mendapatkan keterangan dan bukti sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.

    “Siasatan ini berdepan dengan pelbagai cabaran perundangan, teknikal dan bidang kuasa, namun pasukan penyiasat kekal beriltizam untuk memenuhi piawaian perundangan yang ketat bagi membolehkan kes ini dibawa dan dibicarakan di mahkamah.

    “Saya juga ingin merakamkan penghargaan ikhlas kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama sepanjang tempoh siasatan ini, khususnya Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Azam berkata, kerjasama rakan penguat kuasa luar negara turut memainkan peranan penting dalam proses mendapatkan bukti rentas sempadan melalui mekanisme Bantuan Perundangan Bersama (Mutual Legal Assistance).

    Katanya, antara agensi yang memberikan bantuan amat bernilai termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS), Pusat Penyelarasan Antirasuah Antarabangsa (IACCC) United Kingdom (UK), Pejabat Peguam Negara Switzerland, Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura serta pihak berkuasa berkaitan dari Belanda dan Barbados.

    “Profesionalisme serta komitmen berterusan mereka dalam kerjasama rentas sempadan ini amat dihargai,” katanya.

    Bagaimanapun, Azam menegaskan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan bekas Perdana Menteri itu tidak wajar dijadikan detik untuk diraikan atau dibanggakan.

    Sebaliknya, beliau berkata, keputusan berkenaan mencerminkan pelaksanaan tanggungjawab dan amanah kepada negara selaras dengan mandat serta kepercayaan yang diberikan kepada SPRM.

    “SPRM akan kekal untuk menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih.

    “Siasatan kami akan berpandukan sepenuhnya kepada fakta, bukti dan kepentingan awam,” katanya.

    Hari ini, Najib disabitkan bersalah menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13329