PUTRAJAYA 26 Dis – Mahkamah Tinggi malam ini menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta denda RM11.38 bilion terhadap Datuk Seri Najib Razak selepas beliau disabitkan bersalah atas keseluruhan pertuduhan berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah pada jam 9 malam, selepas mahkamah mendapati bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu bersalah terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
Bagi empat pertuduhan menggunakan kedudukan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun, manakala bagi setiap 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dihukum penjara lima tahun.
Mahkamah turut memerintahkan semua hukuman penjara itu berjalan serentak dan hanya bermula selepas Najib selesai menjalani hukuman penjara bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Selain itu, Sequerah memerintahkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani hukuman penjara tambahan selama 40 tahun sekiranya gagal membayar denda RM11.38 bilion yang dikenakan ke atasnya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13330









