KUALA LUMPUR 23 Dis – Pemangku Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abdul Aziz mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penolakan permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Tun Razak, yang disifatkannya sebagai pelik dan tidak wajar.
Menurut Amira Aisya, adalah janggal apabila Perdana Menteri yang juga mengetuai PKR dan Pakatan Harapan (PH) mengeluarkan kenyataan sedemikian, sedangkan ramai aktivis serta tokoh politik yang menentang Najib sebelum ini datang daripada PKR sendiri.
“Saya rasa pelik dan tak patut bila PMX yang mengetuai PKR dan PH keluarkan kenyataan begini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut menegaskan bahawa tindakan sebahagian pihak yang menyuarakan kegembiraan susulan keputusan Mahkamah Tinggi bukanlah berpunca daripada dendam peribadi, sebaliknya sebagai tanda meraikan kedaulatan undang-undang dan kemenangan rakyat pada Pilihan Raya Umum 2018.
“Ia bukan soal dendam. Ini tentang menyambut kedaulatan undang-undang dan kemenangan rakyat pada 2018,” katanya.
Mengulas lanjut, Amira Aisya berkata beliau memahami kemarahan sebahagian ahli UMNO terhadap keputusan mahkamah serta reaksi pihak yang menyambut keputusan itu, memandangkan Najib merupakan tokoh utama parti berkenaan.
Namun, beliau mengakui sukar memahami sikap segelintir wakil rakyat PKR yang turut mengecam reaksi tersebut.
“Yang saya tak faham bila ada wakil rakyat PKR sibuk nak marah juga. Make it make sense,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri menyeru semua pihak agar menangani isu penolakan permohonan semakan kehakiman Najib berkaitan pelaksanaan Titah Adendum dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan, selain mengingatkan agar suasana tidak dikeruhkan dalam keadaan sensitif.
Anwar turut menegaskan Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan undang-undang serta pengasingan kuasa, sambil menghormati keputusan kehakiman.
Semalam, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk melaksanakan Titah Adendum bagi membolehkannya menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah.
Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan bahawa isu tahanan rumah itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan pada 29 Januari tahun lalu, selain mendapati Titah Adendum berkenaan tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan.
Najib sebelum ini memohon perintah mandamus bagi memaksa kerajaan melaksanakan titah tersebut dengan memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediaman sendiri untuk meneruskan hukuman di bawah tahanan rumah.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13269