Category: JNJ-MEDIA

  • Muka bengkak, mata kanan terjojol derita ‘germ cell tumor’

    Muka bengkak, mata kanan terjojol derita ‘germ cell tumor’

    IPOH – Tiada impian yang lebih besar bagi seorang bapa melainkan mahu melihat bayinya, Firas Affan yang berusia 14 bulan kembali sihat selepas disahkan menghidap germ cell tumor di belakang mata.

    Mohd. Fauzi Saad, 43, berkata, bayinya dikesan menghidap penyakit itu pada Oktober lalu selepas mata kanan anak bongsu daripada empat beradik tersebut seperti terjojol dan bengkak luar biasa pada muka.

    “Firas kerap menangis mungkin sebab tidak selesa. Disebabkan itu, saya membawanya ke hospital.

    “Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan Firas menghidap germ cell tumor dengan ketumbuhan itu bermula dari belakang bebola mata,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Lahat Baru di sini semalam.

    Katanya, melihat wajah anak­nya membengkak dengan ketumbuhan keluar dari hidung merupakan detik paling sukar dalam hidup sehingga menyebabkan dia hampir hilang semangat.

    “Ketika itu mukanya teruk, matanya tidak dapat dibuka dan kemerah-merahan seperti hampir pecah. Alhamdulillah ketumbuhan itu ‘jatuh’ selepas Firas menjalani rawatan kemoterapi,” katanya.

    Pemandu lori itu berkata, kekangan kewangan menjadi cabaran buatnya kerana dia terpaksa mengambil banyak cuti untuk menghantar Firas menjalani ra­watan.

    Ketika ini dia merupakan pe­nanggung tunggal keluarga kerana isterinya, Anis Azwanie Azmi, 29, hanya suri rumah.

    “Pendapatan saya RM2,000 sebulan, jika kerap ambil cuti, gaji akan ditolak. Mujur keluarga dan kawan-kawan banyak membantu menghulurkan sumba­ngan,” katanya. Orang ramai yang ingin membantu meri­ngankan beban boleh menghubungi Mohd. Fauzi di talian 011-11983431.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/21/muka-bengkak-mata-kanan-terjojol-derita-germ-cell-tumor/

  • PM ucap takziah kepada Dr. Zaliha

    PM ucap takziah kepada Dr. Zaliha

    PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah atas pemergian ibu kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.

    Anwar berkata, beliau dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berada dukacita menerima khabar pemergian Allahyarhamah Halimah Yaacob.

    “Kami menzahirkan ucapan takziah serta mendoakan roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa, diterima seluruh amal kebajikan dan ditempatkan dalam kalangan para solihin serta orang yang beriman.

    “Semoga Allah S.W.T mengurniakan ketabahan, kekuatan jiwa dan ketenangan hati kepada Dr. Zaliha serta seluruh ahli keluarga dalam menghadapi ujian yang berat ini,” katanya dalam satu hantaran di media sosial malam tadi.

    Terdahulu, media melaporkan, Allahyarham Halimah, 77, menghembuskan nafas terakhir pukul 8.23 malam tadi di kediaman Dr. Zaliha di Putrajaya.

    Jenazahnya kemudian diuruskan di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, Putrajaya sebelum dibawa pulang ke Kulai, Johor bagi urusan pengebumian. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/21/pm-ucap-takziah-kepada-dr-zaliha/

  • Zara Zya hidap kanser buah pinggang sejak tahun lalu

    Zara Zya hidap kanser buah pinggang sejak tahun lalu

    PETALING JAYA – Pelakon Zara Zya mengesahkan dirinya menghidap kanser buah pinggang atau renal cell carsinoma yang dikesan tahun lalu.

    Begitupun, Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 40, berkata, barah yang dihadapinya itu masih di peringkat awal.

    “Sehingga tahun lepas, semuanya terjawab apabila saya disahkan menghidap renal cell carsinoma tahap satu,” katanya dalam satu hantaran di Threads.

    Menurut pelakon drama Mencari Nur itu, pelbagai petanda dialaminya terutama dengan tahap kesihatan turun naik tetapi kurang disedari.

    “Bertahun badan beri isyarat. Cepat penat, hidung kerap berdarah, denyutan yang berulang,.

    ”Tolonglah, jangan abaikan isyarat tubuh kita,” katanya dalam hantaran di Threads.

    Zara berkata, simptom lain yang dihadapi ialah denyutan di belakang kawasan buah pinggang dan kanser itu hanya dikesan menerusi ujian imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI).

    Malah menerusi komen balas, dia mengakui sudah menjalani pembedahan pada 2024.

    “Saya telah menjalani pembedahan buang sebahagian (buah pinggang) pada tahun,” ujarnya

    Pada masa sama, Zara turut menzahirkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan kesembuhanannya.

    Terdahulu aktres itu juga pernah mendedahkan bergelut masalah kesihatan berkaitan tulang leher, tulang belakang dan arthritis.

    Januari lalu, dia berkongsi keadaan dirinya yang menjalani pembedahan membuang fibroid serta cyst pada buah pinggang selain mengalami kekurangan hormon dan vitamin tertentu selain. – KOSMO ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/21/zara-zya-hidap-kanser-buah-pinggang-sejak-tahun-lalu/

  • ‘Belum keluar keputusan, kotak rayuan dah penuh’

    ‘Belum keluar keputusan, kotak rayuan dah penuh’

    PETALING JAYA – Tindakan ibu bapa yang memenuhkan kotak rayuan kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sebelum keputusan rasmi diumumkan, mengejutkan ramai orang.

    Menerusi perkongsian di Facebook oleh Hashim Zainal, dia terkejut melihat keadaan kotak rayuan yang sudah dipenuhi surat, sedangkan keputusan kemasukan akan diumumkan minggu hadapan.

    “Terkejut saya apabila tengok kotak rayuan SBP ini sudah penuh dengan surat rayuan daripada ibu bapa. Padahal keputusan kemasukan ke SBP, sekolah khusus dan MRSM ni akan hanya diumumkan pada 26 Disember 2025 pukul 12.01 tengah malam.

    “Pening sekejap dengan tindakan ibu bapa yang buat rayuan sebelum keputusan. Ayuh ibu bapa sekalian, yakin la yang anak dapat tempat pengambilan kemasukan pertama pada 26 Disember nanti,” tulisnya di ruangan kapsyen.

    Katanya, rayuan bagi pengambilan kedua hanya perlu dibuat secara dalam talian dan tidak memerlukan penghantaran surat fizikal.

    Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai yang rata-rata turut meluahkan rasa tidak senang dengan sikap segelintir ibu bapa yang tidak mengikut prosedur ditetapkan.

    “Kotak ini adalah kotak yang sama untuk rayuan sesi 2025 yang telah pun ditutup. Kotak itu ada dekat situ sebagai kotak pelbagai guna bagi sebarang surat menyurat untuk mengelakkan ibu bapa naik atas. Rayuan pertama selepas 26 Disember dan akan melalui sistem atas talian. Harap faham prosedur,” komen Doc Kelate.

    “Pening kepala nak susun nanti. Terpaksa susun semula yang mana dapat keputusan berjaya dan tidak nanti. Sepatutnya hantar rayuan selepas 26 Disember atau selepas kemasukan kedua,” kata Noriah Suria.

    “Aduhai ibu bapa sekalian, keputusan belum keluar. Rayuan tu bukan siapa dulu hantar dia dulu dapat,” komen Zulriyana Yusof. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/21/belum-keluar-keputusan-kotak-rayuan-dah-penuh/

  • Enam negeri capai penggunaan 100 peratus Sara

    Enam negeri capai penggunaan 100 peratus Sara

    KUALA LUMPUR – Sebanyak enam negeri dilaporkan telah mencapai penggunaan 100 peratus bagi pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (Sara).

    Perkembangan itu sekali gus mencerminkan tahap penerimaan dan keberkesanan inisiatif bantuan kerajaan tersebut kepada golongan sasar.

    Negeri-negeri yang merekodkan penggunaan penuh Sara adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah, Perak, Perlis serta Wilayah Persekutuan Labuan.

    Pencapaian itu juga menunjukkan bantuan disalurkan di negeri berkenaan telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima yang layak.

    Ia khususnya bagi menampung keperluan asas harian seperti barangan makanan dan keperluan isi rumah.

    Bagaimanapun, negeri lain dilaporkan masih belum mencapai tahap penggunaan 100 peratus Sara termasuk Sabah dan Sarawak.

    Inisiatif Sara antara langkah kerajaan untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

    Bantuan kewangan tersebut sejajar dengan agenda kesejahteraan rakyat yang menjadi keutamaan semasa Kerajaan Madani. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/21/enam-negeri-capai-penggunaan-100-peratus-sara/

  • ‘Gender reveal’ depan Kaabah, suami Neera Azizi digantung tugas

    ‘Gender reveal’ depan Kaabah, suami Neera Azizi digantung tugas

    PETALING JAYA – Dikenakan tindakan tegas, suami kepada penyampai radio, Neera Azizi, Muhammad Hafizi Mohd. Noor, digantung daripada tugas berikutan penularan video sambutan ‘gender reveal’ di hadapan Kaabah, baru-baru ini.

    Pengurusan agensi umrah, In Saff Travel & Tours Sdn. Bhd. dalam satu kenyataan menjelaskan mereka memandang serius isu itu selain menjalankan siasatan menyeluruh sebelum mengerjakan tindakan tersebut.

    “Hasil siasatan mendapati wujud pelanggaran terhadap etika dan Standard Operating Procedure (SOP) syarikat yang telah ditetapkan bagi setiap petugas.

    “Susulan pelanggaran tersebut, pihak agensi mengambil tindakan tatatertib terhadap Hafizi.

    Dalam kenyataan sama, syarikat memaklumkan mutawif terbabit tidak dibenarkan terlibat dalam sebarang tugasan operasi atau membimbing jemaah ke tanah suci.

    “Pihak In Saff Travel menegaskan sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan kesucian ibadah di Tanah Suci, etika, serta imej syarikat tidak akan dikompromi sama sekali,” katanya.

    Terdahulu, video pasangan itu mengumumkan jantina bayi mereka di hadapan Kaabah mencetuskan komen negatif netizen yang menyifatkan tindakan dibuat tidak menghormati tempat suci umat Islam.

    Susulan kecaman, Neera memadam video tersebut di semua platform media sosial selain meminta maaf atas kekhilafan mereka. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/21/gender-reveal-depan-kaabah-suami-neera-azizi-digantung-tugas/

  • Bakal suami ‘pergi’ sebelum akad nikah

    Bakal suami ‘pergi’ sebelum akad nikah

    PETALING JAYA – Debaran menunggu saat akad nikah bertukar menjadi detik terpilu dan menyedihkan buat seorang wanita apabila bakal suaminya itu me­ninggal dunia lapan jam sebelum diijabkabulkan dalam kejadian di Sungai Dua, Pulau Pinang baru-baru ini.

    Mohamad Faiz Md. Rozi, 34, disahkan menemui ajal ketika sedang tidur di dalam bilik rumahnya pada pukul 2.44 pagi Jumaat lalu.

    Lebih memilukan, tarikh pe­mergian Allahyarham jatuh sehari selepas ulang tahun kelahirannya iaitu 18 Disember.

    Mengimbau semula kejadian itu, tunang Allahyarham, Nor Izzati, 32, berkata, jiwanya seperti dirobek ketika berita duka tersebut dimaklumkan oleh kakak sulung Mohamad Faiz tidak lama selepas lelaki itu meninggal dunia.

    Wanita dari Penaga, Pulau Pinang itu berkata, bakal suaminya itu ‘pergi’ dalam keadaan tidak disangka-sangka dan ketika semua persiapan perkahwinan sudah siap disediakan.

    “Terkejut…rasa macam mimpi. Tak sangka debaran tunggu akad nikah bertukar jadi berita paling menyedihkan dalam hidup saya.

    “Dia tidak mempunyai sebarang penyakit atau masalah kesihatan, namun pernah mengadu sakit kepala yang telah berlanjutan beberapa hari,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

    Menurut Nor Izzati, kali terakhir mereka bertemu ialah pada 5 Disember lalu ketika dia menemani arwah pergi menggunting rambut.

    Tambahnya, ketika itu Mohamad Faiz ada merenungnya dalam tempoh yang lama dan dia tidak sangka ia merupakan pertemuan terakhir mereka.

    “Arwah seorang lelaki yang baik, menjaga ikhtilat (percampuran atau pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram), solat dan rajin ber­puasa sunat,” ujarnya.

    Ujar Nor Izzati, dia terkilan kerana tidak sempat bertemu Allahyarham sebelum mereka bernikah seperti dirancang termasuk hasrat membawakan kek dan hadiah hari lahir bakal suaminya itu.

    “Majlis akad nikah yang dijadualkan pada pukul 10 pagi di Pejabat Agama Kepala Batas terpaksa dibatalkan serta-merta. Persiapan nikah sudah 100 peratus siap, malah arwah sendiri sempat menggosok baju nikah dan menyediakan mas kahwin berupa satu dinar.

    “Persiapan majlis sanding kami pada Khamis ini pula sudah sekitar 50 peratus dengan sebahagian bayaran dibuat. Kami reda. Ada yang dapat pulangkan deposit, ada juga yang hangus. Semua itu tak penting berbanding kehilangan ini,” katanya.

    Menurut Nor Izzati, pada masa sama dia bersyukur ke­rana diziarahi oleh ramai kena­lan yang bersimpati dan memberinya semangat ketika dia berdepan dengan situasi sukar itu.

    “Keluarga juga turut berduka seolah-olah kehilangan seorang menantu, bukan sekadar bakal menantu,” katanya.

    Kata Nor Izzati, dia membuat perkongsian di media sosial dengan niat untuk menjelaskan keadaan sebenar agar tiada kekeliruan mengenai pembatalan majlis perkahwinan secara mengejut.

    “Tidak disangka, coretan tersebut menjadi tular dan me­ngundang simpati ramai, terma­suk doa daripada mereka yang tidak pernah mengenali arwah.

    “Ramai yang meratap dan mendoakan arwah. Itu kekuatan untuk saya terus bertahan,” katanya.

    Jenazah Allahyarham Faiz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Haji Abdul Rashid, Sungai Dua, Pulau Pinang selepas solat Jumaat. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/21/bakal-suami-pergi-sebelum-akad-nikah/

  • Mangsa banjir Sumatera bakal terima elaun RM2.40 sehari

    Mangsa banjir Sumatera bakal terima elaun RM2.40 sehari

    JAKARTA – Mangsa banjir pulau Sumatera akan menerima bantuan pemerintah termasuk elaun sara hidup harian, bantuan ganti rugi isi rumah dan pampasan untuk ahli keluarga yang terkorban dalam bencana yang telah meragut lebih 1,000 nyawa di tiga wilayah itu, lapor saluran berita Channel News Asia (CNA).

    Menteri Hal Ehwal Sosial, Saifullah Yusuf berkata, pemerintah sedang mempertimbangkan skim elaun sara hidup harian untuk mangsa yang kehilangan tempat tinggal.

    “Sebaik sahaja terdapat perumahan sementara atau perumahan tetap (tersedia untuk mereka), mereka akan menrima elaun sara hidup yang disediakan selama tiga bulan.

    Beliau menambah, jumlah elaun yang dicadangkan masih dalam perbincangan dengan Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Hal Ehwal Kebudayaan, Pratikno bagi memastikan ia memenuhi taraf hidup semasa.

    Selain itu, pemerintah juga merancang untuk mengagihkan 3 juta rupiah (RM730) untuk membantu isi rumah yang terjejas membeli dan menggantikan perabot serta barang keperluan lain yang rosak atau hilang, lapor media tempatan.

    “Ini bertujuan untuk membantu menggantikan barangan rumah seperti peralatan dapur, kerusi, meja dan keperluan asas lain,” katanya Khamis lalu.

    Pemerintah juga sedang menyediakan pampasan untuk mangsa yang meninggal dunia dan cedera parah.

    “Keluarga mangsa yang meninggal dunia akan menerima 15 juta rupiah (RM3,700), manakala mangsa yang mengalami kecederaan parah akan menerima 5 juta rupiah (RM1,200)”, kata Saifullah.

    Sehingga kelmarin, jumlah kematian mencecah 1,068 orang, dengan lebih 190 orang masih hilang dan kira-kira 7,000 cedera di Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara selepas Siklon Senyar melanda pada akhir November lalu. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/21/mangsa-banjir-sumatera-bakal-terima-elaun-rm2-40-sehari/

  • Warga Australia bangga pencapaian Malaysia di Sukan SEA

    Warga Australia bangga pencapaian Malaysia di Sukan SEA

    KUALA LUMPUR – Kontinjen negara akhirnya menutup tirai temasya Sukan SEA Thailand 2025 dengan mengutip 231 pingat keseluruhan, melepasi sasaran 200 pingat yang ditetapkan sebelum ini.

    Membawa pulang 57 pingat emas, 57 perak dan 117 gangsa, Malaysia sekali gus memperbaiki prestasi di Kemboja dua tahun lalu di mana kontinjen negara hanya meraih 34 emas, 45 perak dan 97 gangsa.

    Pencapaian itu bukan sahaja diraikan seluruh rakyat Malaysia, malah turut menjadi kebanggaan Matthew Barsing, iaitu seorang warga Australia yang sudah menetap di negara ini selama 25 tahun.

    Beliau yang merupakan Pengarah dan Ketua Pegawai Komersial EPS Consultants mengakui bangga dengan pencapaian diraih kontinjen negara, lebih-lebih lagi melakar sejarah kutipan pingat terbanyak pada Sukan SEA di luar Kuala Lumpur.

    “Malaysia sudah pun memecahkan rekod kutipan pingat Sukan SEA di luar Malaysia menerusi catatan 231 pingat. Ini merupakan sejarah dan ia bukan mengenai nasib ataupun kisah seorang bintang.

    “Ini merupakan pencapaian yang lahir daripada disiplin serta keyakinan dalam seluruh sistem sukan itu, termasuk atlet, jurulatih serta pasukan sokongan. Tidak siapa tahu pengorbanan mereka selama ini.

    “Saya sebagai seseorang yang berasal dari Australia tetapi sudah menetap di sini selama 25 tahun dan boleh memanggil Malaysia sebagai laman sendiri. Saya sangat bangga dan tahniah pasukan Malaysia,” tulisnya menerusi satu hantaran di laman sosial.

    Pencapaian itu turut dianggap hasil daripada sentuhan mantan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang banyak memberikan sumbangan dalam persiapan kontinjen ke arah temasya sukan dwitahunan berkenaan.

    Dengan berakhirnya edisi ke-33 di Bangkok itu, ‘baton’ penganjuran diserahkan kepada Malaysia selaku tuan rumah bagi temasya Sukan SEA 2027 yang akan berlangsung dua tahun lagi. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/21/warga-australia-bangga-pencapaian-malaysia-di-sukan-sea/

  • Pengsan ternampak hantu hisap ‘pad’

    Pengsan ternampak hantu hisap ‘pad’

    DALAM masyarakat Melayu tradisional, terdapat banyak pantang larang yang diwarisi turun-temurun, termasuk yang berkaitan dengan tuala wanita atau ‘pad’. Orang Melayu percaya bahawa tuala wanita yang dibuang merata-rata boleh menarik roh atau makhluk halus kerana masih ‘mempunyai tenaga hidup’ daripada wanita yang menggunakannya. Biarpun perkara itu sudah tidak begitu diendahkan oleh masyarakat masa kini, Ayu (bukan nama sebenar) tidak menyangka bahawa kepercayaan lama itu akan muncul secara nyata dalam kehidupannya sendiri. Berkongsi kepada CitaRasa, Ayu berkata, suatu hari, ibunya lewat……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/21/pengsan-lihat-hantu-hisap-pad/