Category: JNJ-MEDIA

  • Sukan SEA: Skuasy dalam kelas tersendiri

    Sukan SEA: Skuasy dalam kelas tersendiri

    BANGKOK – Dominasi skuad skuasy negara di pentas Asia Tenggara ternyata sukar digugat sejurus kejayaan menyapu bersih empat pingat emas pada Sukan SEA 2025 sekali gus membuktikan Malaysia berada dalam kelas tersendiri.

    Ketua jurulatih negara, Ajaz Azmat mengakui berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang bukan sahaja menepati sasaran empat emas yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN), malah membuktikan keupayaan barisan pelapis yang disifatkannya sudah bersedia menggalas tanggungjawab lebih besar.

    Menurut Ajaz, apa yang lebih membanggakan adalah kejayaan itu dilakar meskipun Malaysia sekadar menghantar barisan kedua untuk mencipta kejutan di Thailand.

    “Saya rasa kami beraksi dengan cukup baik pada temasya kali ini. Kita boleh melihat generasi baharu skuasy Malaysia yang membuat penampilan sulung di Sukan SEA.

    “Apa yang boleh saya lihat, di Sukan SEA, standard kita memang agak jauh dan tinggi sedikit berbanding negara lain. Pemain yang beraksi di Thailand adalah barisan kedua pemain kami (lelaki), manakala wanita hampir kepada barisan ketiga, jadi kami selesa di peringkat itu,” katanya semalam.

    Pada aksi terakhir di Kolej Vajiravudh semalam, Malaysia mengesahkan status selaku kuasa besar rantau ini apabila Sanjay Jeeva melengkapkan kutipan emas keempat.

    Dalam aksi final sesama sendiri itu, Sanjay yang diletakkan sebagai pilihan utama kejohanan bangkit daripada ketinggalan di set pertama untuk menewaskan pilihan kedua, Duncan Lee menerusi kemenangan 6-11, 11-6, 11-5, 11-4 ke atas rakan senegaranya itu.

    Terdahulu, Noor Ainaa Amani Ampandi menepati ramalan meraih emas perseorangan wanita apabila berjaya menewaskan rakan sepasukan, Yee Xin Ying 11-7, 12-10, 8-11, 11-4 dalam pertarungan yang memakan masa 35 minit.

    Pada Rabu lalu, kem skuasy negara terlebih dahulu menjelmakan dua pingat emas menerusi acara beregu jumbo lelaki dan campuran.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/20/sukan-sea-skuasy-dalam-kelas-tersendiri/

  • ‘Tak lagi nak jadi artis paling berjaya’

    ‘Tak lagi nak jadi artis paling berjaya’

    PERNAH mencuba nasib di negara Uncle Sam saat semangat masih membara memetakan nama Malaysia di mata dunia, Yuna kini memilih untuk tidak terlalu menjadikan Amerika Syarikat sebagai ‘kiblat’ untuk memasarkan seni muzik.

    Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai, 39, berpendapat, motivasinya untuk membikin seni masih sama, namun kompas berbuat demikian tidak lagi terarah sepenuhnya di sana.

    “Sekarang dah berbeza sebab kini saya kembali bergerak secara indie. Kalau saya bernaung di bawah mana-mana label (macam waktu dahulu), tiada kebebasan bersuara pun.

    “Motivasi nak buat muzik sekarang bertukar sikit. Sekarang dah tak lagi nak cuba jadi artis paling berjaya di mana-mana.

    “Bukan macam itu lagi. Saya hanya nak buat muzik dan itu sahaja,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

    Ditebak pertanyaan karya-karya lamanya masih setia didengari dan masih antara penyanyi tempatan dengan jumlah strim tertinggi di platform muzik, Yuna bersyukur masih diterima, namun tidak pernah mendabik dada.

    Baginya, akan ada masa seseorang artis berada di atas dan adakalanya berada di bawah.

    “Saya gembira orang masih dengar lagu saya sampai sekarang. Lagu saya yang paling tinggi jumlah penstriman sehingga sekarang adalah Crush (featuring Usher).

    “Saya yag tulis lagu itu dan Crush adalah lagu ciptaan anak tempatan. Dahulu, semasa saya masih aktif di AS, kadang-kadang saya lupa yang orang dengar lagu saya di mana-mana, dari Chicago, New York dan tempat-tempat lain seluruh dunia.

    “Saya harap dengan lahirnya EP terbaharu nanti (The Valour Hour), orang masih sudi mendengar walaupun stepping stone (batu loncatan) sekarang tak sebesar dahulu.

    “Dahulu batu besar, sekarang kecil sikit tapi tak mengapa,” ujarnya lagi.

    Menyentuh tentang The Valour Hour, Yuna bekerjasama dengan komposer juga pemenang Anugerah Grammy ke-66, Olmo Zucca, bagi penghasilan tiga lagu dalam diskografi terbaharunya itu.

    “Saya bertuah kerana dapat bekerja dengannya ketika dia masih baharu dalam bidang muzik. Dari situ, kami berkawan dan terus berkongsi idea kreatif.

    “Sama seperti ketika dia menghasilkan lagu untuk Tyla, ketika itu pun (dia) masih bertatih sebagai penerbit. Kami sudah pun bekerjasama dalam tiga lagu sewaktu saya berada di Los Angeles, termasuk dalam mini album sebelum ini, Wasting Away.

    “Kali ini, kami sambung kerjasama untuk The Valour Hour, namun stail EP ini lebih kembali kepada R&B. Olmo sendiri teruja apabila saya kembali kepada genre itu, begitu juga peminat saya yang biasa dengan lagu Crush,” katanya menggulung perbualan.

    Kolaborasi tersebut lahir daripada hubungan persahabatan yang terjalin sejak beberapa tahun lalu, sebelum Olmo meraih perhatian global menerusi lagu Water nyanyian Tyla yang memenangi kategori Best African Music Performance pada Anugerah Grammy 2024.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/20/tak-lagi-nak-jadi-artis-paling-berjaya/

  • Madnor buat Gen Z gerun, sedar diri

    Madnor buat Gen Z gerun, sedar diri

    MAHU mendidik generasi muda bijak menabung dan tidak membazir untuk perkara yang tidak perlu, itu yang kini kerap dilakukan pempengaruh media sosial, Muhammad Noor Zakaria atau lebih dikenali sebagai Madnor.

    Tindakan tersebut bagus sebenarnya, namanya sering ‘dipetik’ netizen yang cuba melanggar prinsip Madnor iaitu jangan sesekali membazir dalam berbelanja.

    Pantang larang tersebut sekali gus membuatkan ramai generasi muda naik gerun untuk berkongsi aktiviti yang dilakukan dalam media sosial kerana bimbang dilihat Madnor.

    “Periksa kiri kanan dulu, takutlah kalau Madnor nampak bila baru je habis belajar tapi sibuk beli kereta baharu. Nak kongsi konten minum macha pun risau kalau Madnor nampak, nanti kena marah kata membazir,” usik netizen.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/20/madnor-buat-gen-z-gerun-sedar-diri/

  • Anak tidak diserahkan, impian percutian Cik Epal ke Harbin lebur

    Anak tidak diserahkan, impian percutian Cik Epal ke Harbin lebur

    KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial, Cik Epal berdepan kerugian puluhan ribu ringgit apabila percutian impian bersama dua anaknya terpaksa dibatalkan pada saat akhir, sekali gus memadamkan perancangan ke Harbin, China yang sudah lama dirancang.

    Cik Epal atau nama sebenarnya Nor Munirah Mahmud, 34, berkata, keputusan pahit itu dibuat kerana tidak dapat bersama anak-anak seperti direncanakan, menyebabkan semua perbelanjaan percutian berkenaan hangus begitu sahaja.

    “Saya terpaksa batalkan percutian itu, kira hanguslah semua wang sudah dibelanjakan.

    “Kalau boleh memang saya nak bawa anak-anak bercuti, namun disebabkan tak dapat bersama mereka, rancangan itu tak boleh diteruskan.

    “Saya berhabis puluhan ribu ringgit untuk percutian ini. Niat saya cuma mahu bercuti dengan anak-anak,” katanya kepada Kosmo! Online.

    Menurutnya, punca utama pembatalan percutian tersebut adalah kerana ketidakmampuan mendapatkan anak-anak daripada bekas suami, Jofliam, namun memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan.

    “Sebenarnya saya tak dapat anak-anak saya. Saya tak mahu panjangkan isu ini.

    “Sekarang saya sudah malas nak ulas di media sosial. Saya mahu bersuara di mahkamah saja.

    “Apa-apa biar mahkamah uruskan, perkara ini sudah saya bawa ke sana,” ujarnya pada sidang media Anugerah Paling Viral Online sebuah portal hiburan, di sini, malam tadi.

    Cik Epal menegaskan pendiriannya untuk tidak lagi menjadikan isu berkaitan keluarga sebagai kandungan media sosial, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada proses perundangan.

    Terdahulu, pempengaruh Ashhry Atan atau Mohamad Asri Atan memuat naik hantaran di Threads meluahkan rasa kecewa apabila perancangannya untuk bercuti ke Harbin bersama Cik Epal tidak kesampaian.

    Susulan perkongsian itu, rata-rata netizen membuat spekulasi pembatalan percutian tersebut berkait rapat dengan isu anak-anak Cik Epal, Han dan Yuki, dipercayai tidak diserahkan oleh bekas suaminya, Jofliam.

    Untuk rekod, Cik Epal pernah mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan tersebut pada 1 Jun 2014 sebelum bercerai pada Oktober tahun lalu.

    Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Han dan Yuki. – KOSMO! ONLINE.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/20/anak-tidak-diserahkan-impian-percutian-cik-epal-ke-harbin-lebur/

  • Polis tahan pembunuh upahan umur 12 tahun

    Polis tahan pembunuh upahan umur 12 tahun

    STOCKHOLM – Seorang pembunuh upahan berumur 12 tahun di Sweden ditahan selepas melepaskan tembakan ke arah sasaran yang salah semasa menjalankan ‘tugas’ dengan ganjaran sebanyak £20,000 (RM109,255), lapor akhbar The Sun UK.

    Tangkapan dibuat setelah seorang pemuda berumur 21 tahun ditembak mati di dalam sebuah kereta di Malmo, selatan Sweden.

    Tembakan berlaku sekitar pukul 10.30 malam (waktu tempatan) ketika mangsa menaiki kereta jenis Audi bersama rakan-rakannya di Galgebacksvägen, Oxie.

    Penumpang lain bergegas ke pusat bandar sebelum meninggalkan kereta itu di tepi jalan dan menghubungi polis.

    Suspek bawah umur itu diberkas Selasa lalu, lapor akhbar Sydsvenskan.

    Dia merupakan pembunuh upahan paling muda di Sweden, lapor media tempatan. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/20/polis-tahan-pembunuh-upahan-umur-12-tahun/

  • Menteri Indonesia mohon maaf remehkan bantuan Malaysia

    Menteri Indonesia mohon maaf remehkan bantuan Malaysia

    JAKARTA – Menteri Dalam Negeri Indonesia, Tito Karnavian memohon maaf berhubung kenyataannya sebelum ini yang dianggap meremehkan bantuan daripada Malaysia kepada mangsa bencana alam banjir kilat dan tanah runtuh di Pulau Sumatera, lapor portal berita Sindo News semalam.

    Tito berkata, beliau sama sekali tidak berniat untuk memperkecilkan bantuan mahupun sokongan yang diberikan oleh Malaysia.

    “Cuma mungkin kenyataan saya telah disalah tafsir. Saya sama sekali tidak berniat untuk memperkecilkan bantuan dan sokongan rakyat Malaysia kepada Aceh, tidak, langsung tidak berniat sedemikian.

    “Jika ada yang salah faham, saya memohon maaf,” kata Tito di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta Timur.

    Tito mengaku kenyataannya sebelum ini bertujuan untuk menjelaskan bahawa Kerajaan Indonesia telah melaksanakan banyak usaha di kawasan bencana sejak hari pertama kejadian, hujung bulan lalu .

    “Apa yang saya maksudkan ialah sangat banyak perkara telah dilaksanakan sejak hari pertama oleh kerajaan Indonesia,” ujarnya.

    Sebelum ini, dalam satu hantaran di media sosial, Tito menyatakan bahawa nilai bantuan kemanusiaan daripada Malaysia kepada Aceh dianggarkan tidak sampai 1 bilion rupiah (RM244,000).

    “Nilainya tidak sampai 1 bilion rupiah. Kalau pun mencecah 1 bilion rupiah, kita mempunyai peruntukan yang jauh lebih besar daripada itu.

    “Mungkin jumlah tersebut tidak seberapa jika dibandingkan dengan kemampuan kita yang jauh melebihi jumlah tersebut,” katanya seperti dilaporkan agensi berita Antara. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/20/menteri-indonesia-mohon-maaf-remehkan-bantuan-malaysia/

  • Penduduk cemas langit merah seperti darah

    Penduduk cemas langit merah seperti darah

    JAKARTA – Penduduk di Pandeglang, wilayah Banten digemparkan dengan pemandangan langit bertukar warna merah seperti darah, lapor portal berita Lambe Turah.

    Kejadian berlaku sekitar pukul 6 petang (waktu tempatan) di daerah Panimbang kelmarin.

    Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @kumparan menunjukkan penunggang motosikal melintasi jalan dengan berlatarbelakangkan langit berwarna merah darah.

    Seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Doni berkata, fenomena itu berlaku selepas hujan.

    “Sepanjang 10 tahun saya tinggal di sini, ini pertama kali saya melihat langit berwarna merah seperti darah. Jika matahari terbenam, langit biasanya berwarna kekuningan.

    “Penduduk mula cemas kerana dianggap petanda buruk,” kata Doni.

    Ketua Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) Wilayah II, Hartanto menjelaskan bahawa fenoma langit merah tercetus apabila habuk dan zarah kecil terperangkap di atmosfera disebabkan tekanan tinggi. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/20/penduduk-cemas-langit-merah-seperti-darah/

  • Hidup minimalis, jiwa tenang, kurang beli barang

    Hidup minimalis, jiwa tenang, kurang beli barang

    DALAM beberapa tahun kebelakangan ini, gaya hidup minimalis semakin mendapat tempat dalam kalangan mereka yang mencari ketenangan di tengah kesibukan dunia moden. Konsepnya ringkas iaitu memiliki kurang barangan yang bersifat material, tetapi hidup dengan lebih sederhana. Bagi golongan ini, rumah bukan lagi ruang yang sarat dengan perabot dan barang simpanan, sebaliknya menjadi tempat bernafas yang lapang, tenang dan berfungsi. Ada yang memilih untuk mengosongkan hampir keseluruhan ruang kediaman, hanya menyimpan keperluan asas. Almari pakaian diringkaskan, koleksi beg dihadkan kepada satu……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/21/hidup-minimalis-jiwa-tenang-kurang-beli-barang/

  • Sukan SEA: Emas tetap emas

    Sukan SEA: Emas tetap emas

    NAKHON PATHOM – Skuad sepak takraw negara melabuhkan Sukan SEA 2025 dengan penuh kemanisan apabila menghadiahkan pingat emas terakhir yang cukup bermakna buat kontinjen Malaysia semalam.

    Trio negara dibarisi Farhan Adam, Mohamad Azlan Alias (perejam) serta tekong berbisa, Syahir Rosdi selaku juara dunia 2024, memastikan pingat emas bagi menamatkan kemarau emas kali terakhir digenggam regu negara pada edisi Kuala Lumpur 2017/

    Dalam aksi final di Gimnasium Stadium Nakhon Pathom, jurang kualiti nyata memihak kepada regu negara apabila mudah menjinakkan Vietnam menerusi keputusan straight set 15-9, 15-9.

    Vietnam yang cuba bangkit pada set kedua dengan corak permainan lebih agresif terpaksa akur apabila percaturan ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun memasukkan Haziq Hairul Nizam bagi menggantikan Syahir ternyata membuahkan hasil lumayan.

    “Ini adalah pencapaian terbaik untuk saya secara peribadi dan negara. Sudah lama kita tak dapat pencapaian sebegini. Jadi tahun ini, dua emas adalah satu yang sangat membanggakan. Bukan sahaja untuk kami tapi buat rakyat Malaysia,” kata Farhan.

    Mengulas ketiadaan Thailand yang tewas mengejut kepada Vietnam di separuh akhir, Farhan mengakui ketiadaan tuan rumah itu disebabkan kehebatan Vietnam.

    “Final tetap final, emas tetap emas. Acara ini bukannya seperti sebelum ini di mana Thailand tak ambil bahagian. Kali ini Thailand ada dalam acara regu, tapi kalah di separuh akhir.

    “Jadi kami tetap nak buktikan kami menang di final menentang Vietnam, menolak kata-kata orang yang mengatakan final tak best (seronok). Kita kena terima Vietnam pasukan yang kuat sehingga mampu mengalahkan Thailand,” jelasnya.

    Ditanya mengenai masa depannya bersama skuad kebangsaan memandangkan usia semakin meningkat, Farhan menyerahkan nasibnya kepada barisan kejurulatihan, namun berikrar untuk terus menabur bakti selagi kudratnya diperlukan.

    “Saya pun sedar umur makin meningkat, jadi saya akan cuba sehabis mungkin. Kalau tidak dipanggil pun, saya tetap akan menyokong. Kita kena teruskan dan tambah baik pasukan kita,” ujar Farhan yang mengimpikan peluang beraksi di Sukan Asia 2026. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/21/sukan-sea-emas-tetap-emas/

  • Tarikan terkini naik ‘cruise’ dari Selangor ke Pulau Pinang

    Tarikan terkini naik ‘cruise’ dari Selangor ke Pulau Pinang

    TIDAK seperti perjalanan darat yang sesak dengan trafik atau penerbangan yang terlalu singkat, menaiki kapal persiaran dari Selangor ke Pulau Pinang memberikan pengalaman yang berbeza. Dari dek kapal, mata dapat mengembara sejauh horizon, melihat gelombang berkilau di bawah cahaya matahari, pulau-pulau kecil yang menghijau serta kapal-kapal lain di sekeliling. Pemandangan Selat Melaka yang terbentang luas menjadi paling memukau ketika matahari menyinari ufuk pada waktu senja dan pagi. Selain pemandangan alam, penumpang turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti di atas kapal persiaran……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/21/tarikan-terbaharu-naik-cruise-dari-selangor-ke-pulau-pinang/