Category: JNJ-MEDIA

  • Warden penjara ditemui mati di ruang tamu rumah dinaiki air di Kuantan

    Warden penjara ditemui mati di ruang tamu rumah dinaiki air di Kuantan

    KUANTAN 18 Dis – Kehilangan seorang warden penjara yang keluar daripada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk melihat keadaan rumahnya awal pagi tadi terjawab apabila mangsa ditemui mati di rumahnya di Taman Sri Inderapura di sini hari ini.

    Mangsa, Muhammad Hariri Kamarudin,26, ditemui dalam keadaan tertiarap di dalam air di ruang tamu rumahnya oleh bapanya yang datang mencari mangsa yang tidak pulang selepas keluar daripada PPS Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa di sini.

    Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan siasatan awal mangsa keluar daripada PPS seorang diri pada pukul 1 pagi untuk melihat keadaan rumahnya yang ditenggelami banjir sedalam kira-kira 0.3 meter.

    “Pada pukul 10 pagi ayah mangsa mendapati mangsa belum pulang ke PPS dan juga gagal dihubungi.

    “Ayah mangsa pulang ke rumah dan mendapati mangsa dalam keadaan tertiarap di dalam air kawasan ruang tamu rumah,”katanya di sini hari ini.

    Menurutnya, ayah mangsa dengan dibantu orang awam telah mengangkat mayat mangsa ke dalam kenderaan sebelum dibawa ke PPS.

    Katanya, pihak polis yang tiba di PPS mendapati mangsa terbaring di tempat duduk belakang kenderaan jenis Mitsubishi Triton.

    Ujarnya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13174

  • Anwar ingatkan timbalan menteri galas amanah sebaik mungkin

    Anwar ingatkan timbalan menteri galas amanah sebaik mungkin

    KUALA LUMPUR 18 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan semua timbalan menteri yang baharu dilantik agar menggalas amanah dan tanggungjawab yang diberikan sebaik mungkin bagi memastikan setiap dasar serta polisi kerajaan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberi manfaat nyata kepada rakyat.

    Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan timbalan-timbalan menteri berkenaan hari ini.

    Menurut Anwar, hubungan baik dengan semua pihak perlu sentiasa dipelihara, bukan sahaja di peringkat kementerian dan agensi kerajaan, malah melibatkan seluruh lapisan masyarakat.

    “Saya menegaskan kepentingan untuk terus memelihara hubungan yang baik dengan semua pihak.

    “Peri pentingnya juga, aspek komunikasi diperkasakan secara berterusan supaya maklumat yang disampaikan jelas, tepat dan sampai ke semua lapisan masyarakat, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang berteraskan keterangkuman dan kebertanggungjawaban,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

    Semalam, seramai tujuh menteri termasuk dua yang baharu dilantik mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Negara.

    Selain itu, lapan timbalan menteri yang baharu dilantik turut mengangkat sumpah jawatan masing-masing.

    Perdana Menteri turut hadir pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan serta Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia yang berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara pada pukul 10 pagi.

    Istiadat tersebut dimulakan dengan lafaz ikrar sumpah jawatan dan taat setia, diikuti majlis menandatangani dokumen rasmi pelantikan yang disaksikan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13176

  • Prasarana tanggung rugi RM20.6 juta akibat kecurian kabel sejak 2023

    Prasarana tanggung rugi RM20.6 juta akibat kecurian kabel sejak 2023

    KUALA LUMPUR 18 Dis – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengalami kerugian mencecah RM20.6 juta akibat kecurian kabel sejak tahun 2023.

    Prasarana dalam kenyataan hari ini berkata, pada tahun lepas, sebanyak 41 kes kecurian kabel direkodkan manakala tahun ini pula jumlah tersebut meningkat kepada 69 kes, iaitu kenaikan sebanyak 68 peratus.

    Menurut Prasarana, pihaknya memandang serius insiden kecurian kabel yang kerap menjejaskan operasi perkhidmatan rel serta memberi kesan langsung kepada jutaan pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang.

    “Kesan sebenar isu ini melangkaui kerugian kewangan semata-mata, malah ia turut menyebabkan gangguan perkhidmatan, kelewatan perjalanan serta menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna pengangkutan awam yang tidak boleh dipandang ringan.

    “Trend peningkatan kes juga semakin ketara. Peningkatan ini didorong oleh permintaan dan harga pasaran kabel, khususnya tembaga, yang semakin tinggi dan menjadikan jenayah ini lebih menguntungkan kepada sindiket,” ujarnya.

    Mengulas mengenai isu ini, Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti, Alam Sekitar dan Pembangunan Lestari Kumpulan Prasarana, Idzqandar Abu Bakar berkata, kecurian kabel bukan sekadar isu kerugian kewangan, tetapi melibatkan keselamatan operasi.

    “Aktiviti haram itu memberi kesan langsung kepada jutaan penumpang yang bergantung kepada perkhidmatan rel setiap hari. Setiap insiden kecurian menyebabkan operasi perkhidmatan terjejas kerana tren tidak dapat beroperasi seperti biasa.

    “Kerja-kerja pembaikan serta penggantian kabel perlu dilaksanakan dengan segera bagi memulinkan sistem kritıkal dan memastikan perkhidmatan dapat kembali berjalan secara normal. Dalam situasi ini, penumpanglah yang paling terkesan,” ujarnya.

    Tambah Idzqandar, isu kecurian kabel yang semakin membimbangkan ini bukan sahaja melibatkan operasi perkhidmatan rel kendalian Prasarana, malah turut menjejaskan operator rel lain serta syarikat telekomunikasi.

    Sehubungan itu, beliau berkata Prasarana telah melaksanakan pelbagai langkah pencegahan secara berterusan, daripada penempatan anggota keselamatan, rondaan bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

    “Selain itu Prasarana turut memasang televisyen litar tertutup berteknologi tinggi, sehinggalah kepada pengujian penggunaan anjing pengesan di Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya.

    “Kami juga telah bekerjasama dengan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) bagi memperkukuh ciri keselamatan fizikal di lokasi-lokasi tertentu.

    “Namun realitinya, dengan jajaran rel yang melebihi 200 kılometer, kamı tidak boleh menanganinya secara bersendirian tanpa sokongan ekosistem penguatkuasaan dan kawal selia yang lebih menyeluruh,” katanya.

    Ujarnya, walaupun semua langkah mitigasi ini telah dan sedang dilaksanakan, kejadian kecurian masih berterusan, malah terdapat kes yang melibatkan individu yang sama berulang kali.

    Prasarana menegaskan bahawa selagi sindiket jenayah ini masih mempunyai ruang untuk menjual kabel secara terbuka dan meraih kentungan yang besar, selagi itulah kes kecurian kabel akan terus berulang.

    Keadaan ini katanya menuntut pendekatan nasional yang lebih tegas dan bersepadu, termasuk kawal selia lebih ketat terhadap rantaian penjualan kabel serta hukuman yang lebih berat terhadap pesalah berulang.

    Sehubungan itu, Prasarana menyeru kerjasama semua pihak berkepentingan, termasuk agensi penguatkuasa, penggubal undang-undang, pemain industri dan orang awam untuk berganding bahu dalam menangani isu ini secara kolektif.

    “Orang ramai turut digalakkan untuk segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan, khususnya di kawasan jajaran rel, kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan pantas dan berkesan diambil,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13178

  • Budak 3 tahun lebam mata ditumbuk anak pengasuh berusia 18 tahun di Batu Muda

    Budak 3 tahun lebam mata ditumbuk anak pengasuh berusia 18 tahun di Batu Muda

    KUALA LUMPUR 18 Dis – Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun lebam mata kiri didakwa dipukul anak kepada pengasuhnya di sebuah rumah di Batu Muda, di sini, kelmarin.

    Kejadian itu disedari pada 4.30 petang selepas ibu mangsa datang untuk mengambil anaknya di rumah pengasuh berkenaan.

    Ibu bapa kanak-kanak terbabit kemudian membawa anak mereka ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan sebelum membuat laporan di Balai Polis Jinjang untuk tindakan selanjutnya.

    Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

    “Suspek adalah remaja lelaki berusia 18 tahun yang juga anak kepada pengasuh kanak-kanak terbabit.

    “Usaha mengesan dan menahan suspek sedang dijalankan,” katanya kepada Harian Metro hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13182

  • Salji turun di Arab Saudi

    Salji turun di Arab Saudi

    RIYADH – Salji melitupi beberapa kawasan di utara Arab Saudi semalam ketika cuaca sejuk dan hujan lebat melanda beberapa bandar serta wilayah lain di negara berkenaan, lapor portal berita Arab News.

    Trojena yang merupakan destinasi pergunungan untuk aktiviti mendaki turut diliputi salji.

    Ia terletak di Jebel Al-Lawz dalam wilayah Tabuk dan berada pada ketinggian 2,600 meter dari paras laut.

    Menurut agensi berita SPA, hujan renyai sehingga sederhana turut berlaku di Bir Bin Hermas, Al-Ayinah, Ammar, Shaqra dan kawasan sekitarnya.

    Pusat Meteorologi Kebangsaan Arab Saudi memaklumkan terdapat kemungkinan salji akan berlaku di utara wilayah Riyadh dan wilayah Al-Qassim.

    Ia adalah susulan kejadian salji di wilayah Tabuk dan Hail semalam. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13181

  • Sukan SEA: Kabaddi lelaki lakar sejarah raih emas sulung

    Sukan SEA: Kabaddi lelaki lakar sejarah raih emas sulung

    BANGKOK 18 Dis – Skuad kabaddi lelaki negara mencipta sejarah di pentas Sukan Sea Thailand apabila merangkul pingat emas sulung acara itu, hari ini.

    Pada perlawanan bertaraf tiga bintang di Universiti Teknologi Rajamangala, Bangkok, pasukan negara menewaskan tuan rumah Thailand 28-16 untuk menghadiahkan emas bersejarah buat Malaysia.

    Bagaimanapun, kem kabaddi negara terlepas peluang meraikan kegembiraan berganda apabila skuad wanita terpaksa akur tewas tipis 22-23 kepada Indonesia pada perlawanan akhir.

    Kabaddi dipertandingkan buat kali pertama dalam temasya dwitahunan Sukan Sea.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13183

  • Pembentung rosak balik lepas sebulan dibaiki

    Pembentung rosak balik lepas sebulan dibaiki

    TAMPIN – Pekebun di Jalan Haji Jamin, Kampung Air Ati-Ati di Gemencheh, di sini, kesal apabila pembentung baharu dibina didakwa rosak kira-kira sebulan selepas projek ber­kenaan disempurnakan.

    Suzainie Mohtar, 51, berkata, kerosakkan disedari perte­nga­han bulan lalu sebelum mela­porkannya dalam Sistem Pengurusan Aduan Awam pada 21 Oktober lalu.

    Menurutnya yang merupakan bekas pegawai pemulihan anggota (fisioterapi) hospital swasta, dia kesal apabila dimaklumkan kerja-kerja baik pulih akan dilaksanakan dalam peruntukan akan datang.

    “Harap mendapan dan runtuhan struktur pembentung ini dapat dibaik pulih segera bagi mengelakkan laluan pekebun terputus susulan sekarang musim hujan,” katanya.

    Jalani Md Saleh, 67, pula berkata, dia berhasrat untuk mengusahakan tanaman kelapa sawit di kebunnya itu, namun bimbang apabila laluan di pembentung tersebut mendap.

    “Kami timbunkan sendiri tanah bagi elak runtuhan lebih teruk. Ikutkan, jalan baharu ni memang bagus, cantik, mudahkan kita, namun pembentung tak sesuai,” katanya. -KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/18/pembentung-rosak-balik-lepas-sebulan-dibaiki/

  • Shila Amzah beruntung ‘time travel’ zaman surat peminat, kaset, CD

    Shila Amzah beruntung ‘time travel’ zaman surat peminat, kaset, CD

    PERJALANAN seni selama 25 tahun bukan satu tempoh yang mudah dan singkat buat figura bernama Shila Amzah.

    Bermacam liku yang dilaluinya sejak memulakan langkah sebagai penyanyi pada usia 10 tahun.

    Bagi meraikan lebih dua dekad bergelumang dalam bidang nyanyian, pemilik nama penuh Nurshahila Amir Amzah itu meluncurkan sebuah album berjudul SA25 yang disifatkan sebagai karya paling bermakna buat dirinya.

    Diisi dengan 10 buah lagu, Shila berkata, SA25 dilihat sebagai satu bentuk jurnal kerjaya seni, selain menjadi ruang berkongsi idea kreatif bersama pemuzik tanah air.

    “Sudah lama saya impikan album ini dan akhirnya muncul pada waktu yang tepat, ketika banyak perkara yang baik berlaku dalam hidup saya.

    “Inilah album yang menceritakan perjalanan karier saya selama 25 tahun.

    “Album ini simbolik kepada kematangan saya sebagai anak seni yang kini bebas menentukan karya dan hala tuju kerjaya,” katanya.

    Menerusi album ini, Shila bekerjasama dengan ramai komposer berbakat besar antaranya Raja Nazrin Shah, Aubrey Suwito dan Amylea.

    “Perjalanan saya dalam dunia seni ini bukan sekejap, sudah lebih dua dekad lamanya.

    “Saya merentas beberapa zaman. Surat peminat, kaset, compact disc (CD) dan hari ini, digital.

    “Tempoh 25 tahun itu saya lalui. Alhamdulillah saya masih di sini dan sentiasa yakin bahawa usaha tidak pernah khianati hasil serta jangan sesekali berputus asa,” katanya pada majlis pelancaran album SA25 baru-baru ini.

    Berkongsi mengenai salah satu lagu dalam albumnya iaitu Sirna Hati, Shila berkata, karya tersebut mengangkat isu penderaan fizikal, mental dan kewangan yang pernah dilaluinya sebelum ini.

    Kata Shila, album tersebut juga boleh menjadi medium untuk pendengar mencari kekuatan dan ketenangan.

    “Selalunya suara mangsa jarang didengari, harapnya lagu ini memberi kekuatan kepada mereka yang terperangkap dalam hubungan toksik.

    “Menariknya, selepas menulis dan menyanyikannya, segala rasa sakit serta trauma itu perlahan-lahan memudar,” katanya lagi.

    Antara lagu yang dimuatkan adalah Kamu, Untukmu, Pernah Punya Aku, Walau Hati Telah Beku, Bersama Mimpi, Tinggal Kenangan serta beberapa karya baharu lain.

    Lebih istimewa, Shila turut merakam semula lagu popular Memori Tercipta, yang pernah melonjakkan namanya selepas program One In A Million, sebagai hadiah buat peminat yang membesar bersamanya.

    Bercerita mengenai perjalanan seni, penyanyi berusia 35 tahun itu mengakui untuk kekal relevan sepanjang lebih dua dekad, tidak mudah bahkan dia juga pernah berada dalam fasa ‘jatuh tersungkur’.

    Dia juga mengakui status sebagai anak kepada selebriti memudahkan dirinya dikenali, namun tetap memiliki cabaran tersendiri, termasuk perlu ‘lari’ daripada bayang-bayang populariti bapanya, Datuk ND Lala.

    “Saya tak nafikan apabila kita jadi anak artis, memang satu batu loncatan tetapi dalam masa sama, keburukannya adalah kita akan sering dikira macam bayang-bayang.

    “Orang susah nak ingat nama kita, nama sebenar kita. Orang akan macam, ‘oh anak itu, anak ini. Begitulah. Tapi itulah perjalanan dia. Kita perlu jalani hari-hari itu.

    “Namun, sekarang sesiapa pun boleh dikenali melalui platform digital. Ramai berjaya dengan usaha sendiri dan itu menunjukkan bakat tetap boleh menyerlah tanpa bergantung kepada sesiapa,” ujarnya.

    Sikap positif dan tidak mudah melatah apabila dihambat kontroversi juga perlu ada dalam diri setiap anak seni dan pendekatan sebegitulah yang dilakukannya sejak dahulu.

    “Jadi, lebih kepada tingkatkan rasa bersyukurlah dengan apa kita ada. Sebab dalam kehidupan ini, orang lain pun nak berada dekat kehidupan kita juga. Benda sama saja.

    “Cuba fikir positif dan banyakkan bersyukur untuk benda-benda kita ada ini sebab akhirnya semua benda bersifat sementara. Memang kita tahu benda itu, semua takkan kekal.

    “Jadi apa ada, bersyukurlah seadanya dia. Saya cuba elakkan perkara toksik.

    “Kalau saya rasa orang itu lebih baik, kita tak tahu apa dia lalui di sebalik tabir,” katanya.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/18/shila-amzah-beruntung-time-travel-zaman-surat-peminat-kaset-cd/

  • Sukan SEA: Perlu waspada muslihat Thailand

    Sukan SEA: Perlu waspada muslihat Thailand

    BANGKOK – Jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun melaungkan amaran kepada anak buahnya supaya tampil lebih agresif dan tidak terperangkap dengan tekanan seawal mata pertama dalam regu yang dijangka menjadi pentas kebangkitan Thailand memburu emas.

    Ahmad Jais berkata, tahap fokus dan disiplin perlu berada pada tahap tertinggi di Sukan SEA 2025 kerana tuan rumah pastinya turun dengan misi menebus kekecewaan selepas kecundang dalam acara berpasukan sebelum ini.

    Katanya, kesilapan mudah termasuk ketinggalan awal seperti 0-6 yang pernah berlaku sebelum ini tidak boleh diulangi kerana ia akan membuka ruang tekanan kepada regu negara.

    “Kita tak boleh beri ruang awal kepada lawan. Pemain kena bersedia dari mata pertama dan serap tekanan dengan baik tanpa buat kesilapan mudah.

    “Saya yakin Thailand akan turunkan regu terbaik mereka kerana mereka mahu tebus kekalahan dalam acara berpasukan,” katanya.

    Mengulas barisan pemain, Ahmad Jais mengekalkan kepercayaan kepada regu utama dibarisi tekong, Syahir Rosdi, Azlan Alias (perejam) serta pengumpan Farhan Adam selain Muhammad Haziq Hairul (tekong) dan Hafizul Hayazi (perejam) sebagai pilihan kedua.

    Bagaimanapun, beliau mengakui masih belum mendapat gambaran jelas mengenai percaturan taktikal Thailand memandangkan kelebihan tuan rumah yang membolehkan rombakan pemain dibuat pada saat akhir.

    “Setakat ini kita belum tahu barisan mereka. Sebagai tuan rumah, mereka ada kelebihan untuk tukar pemain di saat akhir, tetapi kita kena bersedia dengan apa jua kemungkinan,” jelasnya.

    Peringkat kumpulan acara regu dijadual membuka tirainya esok dengan Malaysia menentang Laos dan Vietnam.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/18/sukan-sea-perlu-waspada-muslihat-thailand/

  • Membuat umpan ikan kuku

    Membuat umpan ikan kuku

    BERDASARKAN pengalaman berpuluh tahun memancing ikan kuku, penulis mendapati ikan ini boleh menerima bermacam-macam jenis umpan. Ia merangkumi umpan daripada sumber semula jadi seperti ketam, isi kerang dan udang atau makanan harian manusia, misalnya roti canai serta ayam goreng. Biasanya, pemancing akan mencuba beberapa jenis umpan di satu-satu lokasi sehinggalah ia makan salah satu jenis umpan yang dilabuhkan. Jika ia masih culas, umpan ini merupakan alternatif terakhir dan selalunya menjadi. Jika umpan ramuan ini tidak ‘laku’ juga, bermakna tapak pan­cingan……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/18/membuat-umpan-ikan-kuku/