Category: JNJ-MEDIA

  • Reezal Merican seru semua pihak tidak beri tekanan berlebihan isu UEC

    Reezal Merican seru semua pihak tidak beri tekanan berlebihan isu UEC

    KEPALA BATAS 17 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyeru semua pihak supaya tidak terlalu mendesak atau memberi tekanan berlebihan berhubung isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

    Sebaliknya, beliau berkata, usaha seharusnya difokuskan kepada pengharmonian sistem pendidikan arus perdana yang terbukti berupaya melahirkan pemimpin berkualiti daripada pelbagai kaum.

    Menurutnya, Malaysia sejak awal dibina melalui semangat rundingan dan perundingan, justeru pendekatan itu wajar terus dijadikan panduan dalam wacana nasional.

    “Kita kini berada dalam Kerajaan Perpaduan, maka tidak wajar untuk menekan Perdana Menteri dengan desakan-desakan yang boleh menjejaskan keharmonian.

    “Perbezaan pandangan masih boleh disuarakan, namun semua pihak digesa berbuat demikian secara beradab dan berhemah,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Graduasi Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Pinang Tunggal di sini, pada Selasa.

    Reezal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam berkata, pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu berkenaan adalah jelas serta selaras dengan prinsip dan dasar yang telah lama diguna pakai.

    Beliau berkata, apa yang diperlukan negara ketika ini ialah mencari titik persamaan serta membina persefahaman bersama demi kepentingan semua pihak.

    “Bukti sudah ada. Anthony Loke, Steven Sim, Hannah Yeoh dan Howard Lee bukan produk UEC, namun mereka mampu muncul sebagai pemimpin yang baik.

    “Begitu juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang melalui pelbagai institusi pendidikan tempatan,” katanya.

    Tambah beliau, kejayaan tokoh-tokoh berkenaan membuktikan bahawa sistem pendidikan arus perdana mampu melahirkan pemimpin berkualiti sekiranya diharmonikan dengan baik.

    “Kalau sistem ini boleh melahirkan pemimpin seperti mereka, mengapa kita tidak boleh melahirkan ribuan lagi pemimpin seumpamanya?

    “Tiada kegagalan sebenarnya, yang perlu ialah keharmonian,” ujarnya.

    Sebelum ini, media melaporkan Anwar berkata, tuntutan pengiktirafan UEC hanya menjurus kepada satu kaum dan satu bahasa, sedangkan kerajaan berpegang kepada prinsip asas negara yang melibatkan kepentingan semua rakyat.

    Perdana Menteri menegaskan kerajaan akan terus mempertahankan dan menjunjung prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berkaitan status bahasa Melayu, selain memperkasakan penggunaannya sebagai bahasa ilmu yang boleh diakses oleh seluruh rakyat.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13137

  • Lelaki dipercayai mengamuk tikam nenek hingga maut, moyang parah di Kuala Ketil

    Lelaki dipercayai mengamuk tikam nenek hingga maut, moyang parah di Kuala Ketil

    KUALA LUMPUR 17 Dis – Seorang lelaki yang menikam mati neneknya serta menetak moyangnya sehingga parah di Kampung Baru Bakai, Kuala Ketil semalam dipercayai mengamuk sebelum menyerang menggunakan senjata tajam.

    Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, suspek telah dibawa oleh orang awam ke balai polis berhampiran sebelum ditahan bagi membantu siasatan.

    Menurutnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Baling hari ini untuk permohonan reman.

    “Suspek merupakan cucu kepada mangsa wanita berusia 65 tahun yang meninggal dunia, manakala mangsa yang cedera berusia 80 tahun adalah ibu kepada si mati.

    “Suspek dikenal pasti sebagai orang kurang upaya (OKU) intelektual dan disyaki mengamuk sebelum menyerang kedua-dua mangsa menggunakan senjata tajam,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata, senjata tajam yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan telah ditemui oleh pihak polis.

    Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau dan mengaku melakukan perbuatan tersebut di lokasi kejadian.

    Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13139

  • Digugur dari kabinet, Mohd Naim mahu berehat, tunai umrah

    Digugur dari kabinet, Mohd Naim mahu berehat, tunai umrah

    PUTRAJAYA 17 Dis – Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menyantuni para pegawainya dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) buat kali terakhir pada Rabu.

    Beliau yang tiba jam 8.20 pagi di Kompleks Islam disambut oleh pegawai dan kakitangan agensi termasuk Setiausaha Politik, Dr Muhamad Razak Idris.

    Ketika ditanya wartawan, Mohd Nai’m berkata, beliau tidak mempunyai sebarang perancangan dan mahu berehat terlebih dahulu.

    “Insya-ALLAH, saya akan berangkat menunaikan umrah dalam masa terdekat,” katanya.

    Selepas meluangkan masa kira-kira dua jam, beliau kemudiannya berangkat pulang.

    Mohd Na’im,58, yang juga bekas Ketua Hakim Syarie dilantik ke jawatan itu pada 2 Disember 2022 selepas mengangkat sumpah sebagai Senator.

    Beliau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa antara nama yang digugurkan dalam rombakan Kabinet kali kedua Kerajaan Perpaduan.

    Turut digugurkan, Timbalan Menteri Perpaduan, K Saraswathy.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13140

  • Ketua Polis Melaka tegas kenyataan kes tembak Durian Tunggal berasaskan fakta

    Ketua Polis Melaka tegas kenyataan kes tembak Durian Tunggal berasaskan fakta

    MELAKA 17 Dis – Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar menegaskan bahawa setiap kenyataan yang dikeluarkan pihaknya berhubung kes tembak tiga suspek di Durian Tunggal adalah berasaskan fakta dan bukan dibuat sewenang-wenangnya.

    Beliau berkata, penjelasan mengenai status wanita yang mendakwa sebagai isteri kepada salah seorang suspek dibuat susulan penularan dakwaan di media sosial bahawa wanita berkenaan mempunyai beberapa rekod jenayah.

    “Saya terpanggil untuk menjelaskan perkara ini sebagai Ketua Polis Negeri kerana menjadi tanggungjawab kita untuk memperbetulkan maklumat yang tular di media sosial,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, pada Rabu.

    Menurutnya, terdapat perbezaan jelas antara individu yang dipanggil untuk memberi keterangan dengan individu yang ditangkap dalam sesuatu kes.

    “Jika seseorang hanya dipanggil untuk memberi keterangan, ia tidak direkodkan sebagai rekod jenayah. Namun sekiranya berlaku tangkapan, rekod tangkapan itu memang akan direkodkan.

    “Dalam kes ini, memang terdapat 10 rekod tangkapan terhadap individu berkenaan,” katanya.

    Dzulkhairi menegaskan pihak polis tidak akan berdiam diri sekiranya terdapat cubaan mengelirukan masyarakat melalui kenyataan yang bercanggah dengan fakta sebenar.

    “Jika dia merasakan kenyataan saya itu salah atau bertujuan mengganggu siasatan, dia boleh mengambil tindakan undang-undang dan menyaman saya.

    “Jangan sekadar membuat dakwaan tanpa asas serta cuba mengelirukan masyarakat dengan maklumat yang tidak benar atau bercanggah,” tegasnya.

    Jumaat lalu, Dzulkhairi mendedahkan bahawa wanita yang mendakwa suaminya adalah salah seorang daripada tiga suspek yang ditembak mati dalam insiden di Durian Tunggal pada November lalu sebenarnya bukan isteri lelaki berkenaan, sebaliknya hanya pasangan kekasih yang tinggal bersama.

    Beliau berkata, siasatan mendapati wanita berusia 31 tahun itu bukan sahaja tidak mempunyai hubungan perkahwinan dengan suspek, malah memiliki 10 rekod jenayah lampau sejak 2012.

    Bagaimanapun, peguam yang mewakili keluarga tiga lelaki berkenaan menegaskan bahawa status perkahwinan atau rekod jenayah lampau individu yang dikaitkan dengan kes tersebut tidak relevan dengan kejadian sebenar.

    Peguam berkenaan, Rajesh Nagaraja berkata, pendedahan yang dibuat Ketua Polis Melaka itu disifatkan sebagai cubaan mengalih perhatian daripada isu utama kes berkenaan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13141

  • Kes dua remaja berbasikal lajak hampir maut di Putra Heights diklasifikasikan NFA

    Kes dua remaja berbasikal lajak hampir maut di Putra Heights diklasifikasikan NFA

    SUBANG JAYA 17 Dis – Kes membabitkan dua remaja yang didakwa menunggang basikal lajak secara berbahaya hingga hampir melanggar sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Putra Heights pada 4 Disember lalu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

    Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, keputusan itu dibuat selepas kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

    “Kes diklasifikasikan sebagai NFA kerana kedua-dua remaja terbabit masih di bawah umur.

    “Selain itu, kejadian berkenaan tidak mengakibatkan sebarang kecederaan dan tiada saksi bebas yang dapat mengesahkan insiden tersebut,” katanya pada Rabu.

    Bagaimanapun, beliau berkata, pihak polis telah memberikan nasihat serta amaran kepada remaja terbabit supaya kejadian seumpama itu tidak berulang.

    “Ibu bapa juga dinasihatkan agar sentiasa peka terhadap pergerakan dan aktiviti sosial anak-anak, khususnya yang melibatkan risiko keselamatan.

    “Ibu bapa disaran mendapatkan bantuan serta nasihat pihak berkuasa sekiranya berdepan kesukaran mengawal tingkah laku anak-anak,” katanya.

    Menurut beliau, tindakan terhadap ibu bapa turut boleh diambil sekiranya terdapat unsur pengabaian dan kesalahan dilakukan oleh kanak-kanak di bawah jagaan mereka.

    Sebelum ini, media melaporkan dua remaja berusia 14 dan 15 tahun itu ditahan selepas satu video tular di media sosial memaparkan mereka menunggang basikal lajak secara berbahaya hingga hampir melanggar sebuah kenderaan di persimpangan lampu isyarat berkenaan.

    Kedua-dua remaja terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pada 6 Disember lalu bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan keesokan harinya selepas keterangan mereka diambil.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13142

  • Trump larang warga Palestin masuk AS

    Trump larang warga Palestin masuk AS

    WASHINGTON 17 Dis – Presiden Donald Trump memperluaskan dasar larangan perjalanan ke Amerika Syarikat (AS) dengan menghalang kemasukan rakyat dari tujuh lagi negara, termasuk Syria serta pemegang pasport Pihak Berkuasa Palestin (PA).

    Menurut kenyataan White House, Trump yang sejak sekian lama berkempen untuk mengetatkan dasar imigresen, mengambil tindakan melarang kemasukan warga asing yang didakwa berpotensi mengancam keselamatan rakyat Amerika.

    Kenyataan itu turut memaklumkan, Trump mahu menghalang kehadiran warga asing di AS yang disifatkan boleh melemahkan atau menggugat budaya, pentadbiran, institusi serta prinsip asas negara berkenaan.

    Pentadbiran Trump sebelum ini dilaporkan secara tidak rasmi telah menghalang perjalanan pemegang pasport PA sebagai tanda solidariti terhadap Israel, susulan tindakan beberapa negara Barat utama termasuk Perancis dan Britain mengiktiraf negara Palestin.

    Negara lain yang turut dikenakan larangan perjalanan penuh ke AS ialah Burkina Faso, Mali, Niger, Sierra Leone, Sudan Selatan dan Laos.

    Dalam beberapa tindakan baharu, White House menyatakan Trump turut mengenakan sekatan perjalanan separa terhadap warganegara beberapa negara Afrika lain termasuk Nigeria.

    Sekatan sama turut dikenakan terhadap beberapa negara Caribbean yang majoriti penduduknya berkulit hitam.

    Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Trump dilaporkan menggunakan nada semakin keras ketika mengkritik pendatang dari Afrika.

    Beliau juga baru-baru ini mencetuskan kontroversi apabila menyifatkan warga Somalia sebagai ‘sampah’ susulan satu skandal di Minnesota yang menyaksikan warga Amerika keturunan Somalia didakwa menipu kerajaan melalui kontrak palsu.

    Negara-negara lain yang masih dikenakan larangan perjalanan penuh ke AS ialah Somalia, Afghanistan, Chad, Republik Congo, Guinea Khatulistiwa, Eritrea, Haiti, Iran, Libya, Myanmar, Sudan dan Yemen.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13144

  • Perodua lancar traz SUV baharu, sasaran jualan 1,900 unit sebulan

    Perodua lancar traz SUV baharu, sasaran jualan 1,900 unit sebulan

    KUALA LUMPUR 17 Dis – Perodua melancarkan Perodua Traz, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terbaharu dengan lima tempat duduk yang direka untuk penggemar pengembaraan bandar serta golongan berkeluarga.

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, syarikat menyasarkan model terbaharu itu mampu mencapai jualan 1,900 unit sebulan.

    Menurut beliau, Perodua Traz dijual pada harga antara RM76,100 hingga RM82,000 (harga atas jalan, tidak termasuk insurans) dan dijangka melengkapi rangkaian SUV Perodua sedia ada seperti Aruz dan Ativa.

    “Kos projek Perodua Traz adalah sekitar RM563.3 juta dan dihasilkan di kilang Perodua Manufacturing Sdn Bhd di Sungai Choh, Rawang. Ia menggunakan 95 peratus kandungan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Perodua Traz direka untuk menjadi kenderaan Perodua paling mesra pengguna dengan slogan ‘Engineered Simply’, yang membolehkan SUV ini dihasilkan mengikut kehendak pemandu Malaysia. Tahap kecekapan bahan apanya adalah 21.3 kilometer per liter bergantung kepada Mod Kitaran Pemanduan Malaysia.

    Tambah beliau, Perodua menjangka model ini akan memberi impak positif kepada jumlah pendaftaran kenderaan Perodua untuk tahun 2026 dan seterusnya.

    Perodua Traz didatangkan dalam beberapa pilihan warna termasuk Cranberry Red, Electric Blue with Black Roof, Glittering Silver, Ivory White dan Granite Grey.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13145

  • FIFA isytihar Malaysia kalah 3-0 dalam tiga perlawanan antarabangsa tier 1

    FIFA isytihar Malaysia kalah 3-0 dalam tiga perlawanan antarabangsa tier 1

    KUALA LUMPUR 17 Dis – Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengisytiharkan Malaysia kalah 3-0 dalam tiga perlawanan antarabangsa tier 1 yang telah berlangsung sebelum ini.

    Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan, jawatankuasa berkenaan yang bersidang pada 12 Disember lalu mendapati Malaysia melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025) kerana menurunkan pemain yang tidak layak.

    Selain itu, FAM turut dikenakan denda sebanyak CHF10,000 (RM51,414) oleh FIFA berhubung kesalahan sama.

    “Mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FIFA, Jorge Palacio mendapati FAM telah melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025).

    “Tiga perlawanan antarabangsa tier 1 yang terlibat ialah Malaysia menentang Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei 2025 yang berkesudahan seri 1-1; Malaysia menentang Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 4 September 2025 yang berkesudahan Malaysia menang 2-1; dan Malaysia menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 8 September 2025 yang berkesudahan Malaysia menang 1-0,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    FAM akan membuat permohonan bertulis untuk mendapatkan alasan keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib FIFA sebelum mempertimbangkan langkah seterusnya berhubung perkara ini.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13146

  • Warga emas OKU ditemui terapung dalam tali air, jatuh kerusi roda di Bagan Datuk

    Warga emas OKU ditemui terapung dalam tali air, jatuh kerusi roda di Bagan Datuk

    BAGAN DATUK 17 Dis – Seorang warga emas kurang upaya (OKU) ditemui lemas selepas dipercayai terjatuh dari kerusi roda ke dalam tali air di Jalan Kampung Sungai Tiang Baroh, Selekoh di sini pada Rabu.

    Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 7.52 pagi melibatkan seorang lelaki berusia 77 tahun.

    Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, kerusi roda milik mangsa ditemui berada di tepi tali air menimbulkan syak bahawa mangsa telah terjatuh ke dalam saliran berkenaan.

    “Operasi pencarian yang dijalankan berjaya menemui mangsa dalam keadaan terapung di bawah jambatan Sungai Tiang, kira-kira dua meter dari lokasi dipercayai mangsa terjatuh,” katanya dalam kenyataan di sini.

    Beliau berkata, ketua operasi kemudiannya mengarahkan anggota menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari dalam air.

    Katanya, pemeriksaan lanjut dilakukan oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir di lokasi kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.

    Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.20 pagi selepas keadaan disahkan terkawal.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13147

  • Marhamah Rosli tegaskan tiada penyalahgunaan dana tabung Justice for Zara

    Marhamah Rosli tegaskan tiada penyalahgunaan dana tabung Justice for Zara

    KUALA LUMPUR 17 Dis – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli menegaskan tiada dana disalahguna dalam pengurusan akaun Tabung Justice for Zara yang digunakan bagi menampung kos proses inkues.

    Sebagai aktivis yang memulakan gerakan Justice for Zara, beliau berkata akaun tabung itu diasingkan sepenuhnya dan tidak dicampur dengan akaun lain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pernah dipengerusikannya.

    “Tabung ini mempunyai penama tersendiri yang melibatkan ibu Mahathir, beberapa peguam serta jawatankuasa NGO. Setakat 9 pagi hari ini, jumlah kutipan tabung ialah RM254,995.92 dengan baki RM96,059.97 selepas menolak perbelanjaan termasuk kos pengangkutan dan penginapan saksi pakar serta keluarga Zara Qairina sepanjang persiapan dan perjalanan inkues,” katanya.

    Beliau menjelaskan, kos pengangkutan dan penginapan saksi pakar serta keluarga Zara Qairina ditanggung menggunakan tabung bagi memastikan proses inkues berjalan lancar.

    Marhamah berkata demikian selepas selesai mengangkat sumpah jawatan pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan serta Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara hari ini.

    Menurutnya, kutipan dana itu mendapat permit daripada Jabatan Ketua Menteri dan telah dimaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah, selain laporan lengkap sehingga November 2025 telah disediakan.

    “Kami bersedia menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk diaudit,” katanya sambil menambah baki dana sedia ada dijangka tidak mencukupi memandangkan proses inkues masih berjalan.

    Beliau antara individu terawal yang memberi sokongan kepada Noraidah, ibu kepada Zara Qairina, selepas pelajar sekolah menengah agama di Papar itu disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu.

    Mengulas pendiriannya berhubung tuntutan keadilan kes Zara Qairina, Marhamah menegaskan semua pihak perlu memberi ruang kepada proses inkues yang sedang berjalan sambil mengekalkan sokongan terhadap keluarga pelajar tersebut meskipun kini memegang jawatan dalam kerajaan.

    “Saya sebagai ibu kepada enam anak dan ahli masyarakat sentiasa ingin berjuang dalam soal penindasan, bukan hanya dalam kes Justice for Zara tetapi juga perkara lain,” katanya.

    Mengenai dakwaan tular di media sosial bahawa beliau terlibat dengan penipuan emas, Marhamah menafikan perkara itu dan sebaliknya memaklumkan dirinya turut menjadi mangsa penipuan dalam kes berkenaan.

    “Saya bukan ejen. Setiap kali dipanggil, kami membuat laporan dan saya sentiasa memberi kerjasama penuh,” kata aktivis dakwah, kebajikan dan kemasyarakatan itu.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13148