Category: JNJ-MEDIA

  • Sentimen rakyat susulan rombakan Kabinet perlu ditangani bijaksana – Asyraf Wajdi

    Sentimen rakyat susulan rombakan Kabinet perlu ditangani bijaksana – Asyraf Wajdi

    KUALA LUMPUR 17 Dis – Sentimen rakyat yang berlegar di media sosial susulan rombakan Kabinet pada Selasa tidak boleh dipandang enteng dan perlu ditangani secara berhemah, menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

    Beliau berkata, antara sentimen yang dibangkitkan termasuk persoalan mengenai pelantikan Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dalam kalangan kaum Cina.

    “Sentimen rakyat dalam kalangan netizen mengenai rombakan Kabinet. Kenapa Menteri Wilayah Persekutuan dilantik daripada seorang berbangsa Cina (DAP) dan Timbalan Menteri juga daripada seorang berbangsa Cina (GRS)?

    “Apakah nasib Bumiputera bandar? Apakah ini permulaan kepada Pilihan Raya Kerajaan Tempatan diadakan?” katanya melalui hantaran di Facebook pada Rabu.

    Tambahnya, sentimen lain turut membangkitkan pelantikan Timbalan Menteri Agama yang dikaitkan dengan beberapa isu kontroversi termasuk kes Zara, dakwaan berkaitan hutang scam emas RM14 juta serta amalan doa dan ibadah.

    Beliau turut menekankan persoalan mengenai pelantikan seorang aktivis PKR sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang sebelum ini lantang menuntut pemansuhan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) semasa era pentadbiran Barisan Nasional (BN), sama ada pelantikan itu mampu merealisasikan agenda tersebut.

    “Ini hanyalah sebahagian daripada sentimen yang kuat berlegar di ruang media sosial sejak pengumuman semalam. Sentimen sebegini tidak boleh dipandang enteng dan perlu ditangani secara bijaksana,” ujarnya.

    Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkongsi fakta mengenai komposisi kaum dan parti-parti gabungan dalam rombakan Kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau berkata, dari segi komposisi kaum, kalangan menteri yang dilantik terdiri daripada 17 orang Melayu, 5 orang Cina, dan 2 orang India, manakala Bumiputera Sarawak dan Sabah masing-masing seramai lima dan tiga orang.

    Bagi lantikan timbalan menteri pula, komposisinya merekodkan 10 orang Melayu, 5 orang Cina, 2 orang India, 7 orang Bumiputera Sarawak dan 6 orang Bumiputera Sabah.

    Dari segi komposisi parti-parti gabungan pula, seramai 9 menteri dilantik daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), 5 daripada DAP, 2 daripada Amanah, 8 daripada Barisan Nasional (BN), 5 daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan seorang daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13150

  • Empati sudah ‘mati’ di media sosial

    Empati sudah ‘mati’ di media sosial

    KEBELAKANGAN ini apabila melayari media sosial, tidak susah untuk jumpa komen-komen pedas, kecaman melampau dan nada menyalahkan mana-mana individu yang terlibat dalam sesuatu kejadian. Tidak kiralah sama ada melibatkan isu kemiskinan, bencana alam atau konflik rumah tangga, simpati yang sepatutnya diberikan sering bertukar menjadi kecaman di ruang maya. Sebagai contoh, baru-baru ini Kosmo! melaporkan mengenai seorang bapa kepada kanak-kanak penghidap Biliary Atresia iaitu penyakit hati dan saluran hempedu memaklumkan ada pihak mempertikaikan tindakannya untuk membuat permohonan mendapatkan bantuan bagi kelangsungan……

    Hak cipta terpelihara © 2025 Media Mulia Sdn Bhd 201801030285 (1292311-H)Satu lagi produk Media Mulia Sdn. Bhd.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/17/empati-sudah-mati-di-media-sosial/

  • Sukan SEA: Gangsa pilihan terakhir Malaysia

    Sukan SEA: Gangsa pilihan terakhir Malaysia

    BANGKOK – Skuad bawah 23 (B-23) negara enggan pulang ke tanah air dengan tangan kosong sekali gus berharap mampu mencipta kemenangan ke atas Filipina dalam perebutan pingat gangsa Sukan SEA 2025 esok.

    Skuad kendalian Nafuzi Zain itu gagal ke final selepas tewas tipis 0-1 kepada Thailand dalam aksi separuh akhir di Stadium Nasional Rajamangala kelmarin sekali gus terlepas merebut ‘ibu pingat emas’ edisi ke-33 ini.

    Kapten negara, Ubaidullah Shamsul Fazili berharap rakan sepasukan dapat memberikan aksi terbaik sekiranya diberikan kepercayaan berada dalam kesebelasan utama berdepan Filipina.

    “Gangsa pilihan terakhir kita. Memang kena berikan sehabis baik, tak ada pilihan lain. Walaupun dengan keadaan beberapa kecederaan, siapa yang ada kena berikan aksi terbaik di atas padang.

    “Filipina bukan biasa-biasa, mereka ada pemain-pemain yang berkualiti termasuk pemain warisan dibawa kali ini. Saya dapat rasa mereka adalah lawan yang kuat,” kata Ubaidullah.

    Mengulas kekalahan 0-1 kepada Thailand dalam aksi separuh akhir kelmarin, Ubaidullah berkata, pasukan telah beraksi dengan baik biarpun dengan 10 pemain hampir 80 minit.

    “Pada masa depan masih lagi ada peluang untuk baiki kelemahan-kelemahan ini. Saya berpuas hati walaupun keputusan tidak menyebelahi kita, tetapi kita akan cuba yang terbaik untuk pingat gangsa,” katanya.

    Dalam masa sama, tonggak Terengganu FC itu mengakui skuad kali ini berdepan kesukaran sejak awal latihan selepas ada pemain yang tidak mendapat pelepasan daripada kelab.

    “Kita anggap itu mungkin ujian untuk perkara yang lebih baik. Saya sendiri tidak tahu akan balik atau tidak lawan Imigresen (aksi Liga Super) pada 19 Disember ini. Saya harap dapat kekal di sini dan nikmati saat akhir Sukan SEA bersama kawan-kawan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/17/sukan-sea-gangsa-pilihan-terakhir-malaysia/

  • ‘Baik pakai, kalau degil kami saman’

    ‘Baik pakai, kalau degil kami saman’

    PASIR PUTEH – Topi keledar perlu menjadi peralatan yang wajib dipakai ibu bapa keti­ka membonceng anak-anak meskipun jarak perjalanan dari rumah ke sekolah kurang dari 50 meter. Ketua Polis Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, pemakaian topi keledar adalah kewajiban kepada setiap penunggang motosikal untuk menjaga keselamatan selain mematuhi undang-undang. Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh melalui Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) terdiri daripada pegawai polis kerap ke sekolah di daerah ini untuk memberi kesedaran dan nasihat kepada…

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/17/baik-pakai-kalau-degil-kami-saman/

  • ‘Siapa ada rakaman dashcam, tolonglah saya’

    ‘Siapa ada rakaman dashcam, tolonglah saya’

    JEMPOL – Seorang ibu memohon orang ramai yang mengetahui atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan maut yang meragut nyawa dua remaja di Jalan Taman Musytari, Batu Kikir pada Sabtu lalu agar tampil membantu mereka bagi merungkai kejadian sebenar. Dalam kejadian kira-kira pukul 5.55 petang itu, dua remaja yang maut berusia 13 serta 10 tahun, manakala, seorang lagi mengalami kecederaan parah dan kini masih dirawat di Hospital Serdang. Menurut ibu kepada salah seorang remaja yang maut, Rabeatul Adawiyah Abdullah, 40, anak ketiganya……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/17/siapa-ada-rakaman-dashcam-tolonglah-saya/

  • Hujan berterusan di Pantai Timur, Johor sehingga esok

    Hujan berterusan di Pantai Timur, Johor sehingga esok

    PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan melibatkan beberapa negeri sehingga esok.

    MetMalaysia dalam satu hantaran berkata, amaran tersebut dikeluarkan meliputi tiga seksyen iaitu Seksyen A bagi amaran hujan berterusan tahap bahaya yang dijangka berlaku di Pahang.

    “Hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di negeri Pahang melibatkan daerah Kuantan, Pekan dan Rompin sehingga Khamis ini.

    “Sementara itu, bagi Seksyen B iaitu amaran hujan berterusan tahap buruk dijangka akan berlaku di Terengganu melibatkan daerah Dungun dan Kemaman,” katanya di sini hari ini.

    Selain itu, turut terlibat dalam amaran itu ialah negeri Pahang (Jerantut, Maran dan Bera) dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi) sehingga esok.

    “Bagi Seksyen C iaitu amaran hujan berterusan tahap waspada pula dijangka berlaku di sembilan buah negeri sehingga esok.

    “Hujan berterusan dijangka berlaku di negeri Kelantan, Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang), Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh) dan Selangor,” katanya.

    Selain itu, turut dikenakan amaran sama ialah Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, WP Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru). – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/17/hujan-berterusan-di-pantai-timur-johor-sehingga-esok/

  • Hujan lebat dari awal pagi, banjir di Kuantan semakin buruk

    Hujan lebat dari awal pagi, banjir di Kuantan semakin buruk

    PETALING JAYA – Hujan lebat sejak awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di Kuantan, Pahang dinaiki air.

    Tinjauan menerusi beberapa siaran langsung di media sosial, hujan lebat telah menyebabkan beberapa jalan tidak boleh dilalui berikutan air banjir kini naik sehingga paras lutut.

    Antara kawasan yang terkesan ialah di sekitar Kolej Poly-Tech Mara Kuantan, jalan Kuantan-Pekan di hadapan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah dan Taman Guru.

    Selain itu, di Taman Seri Inderapura hujan lebat menyebabkan air naik dengan cepat dan memutuskan laluan di kedua-dua hala.

    Difahamkan terdapat beberapa penduduk telahpun berpindah ke Pusat Perlindungan Sementara.

    Menerusi satu siaran langsung di Taman Guru, kelihatan beberapa kenderaan tidak sempat diselamatkan apabila sudah separuh tenggelam.

    Hujan lebat juga masih melanda beberapa kawasan menyebabkan tiada tanda-tanda air banjir akan surut.

    “Hujan sepanjang tiga hari dekat Kuantan, lebat sebab tu banjir,” kata seorang pengguna TikTok. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/17/hujan-lebat-dari-awal-pagi-banjir-di-kuantan-semakin-buruk/

  • TNB tutup bekalan elektrik beberapa kawasan di Kuantan

    TNB tutup bekalan elektrik beberapa kawasan di Kuantan

    KUANTAN – Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertindak menutup bekalan elektrik di beberapa kawasan daerah ini susulan kejadian banjir.

    Menurut kenyataan TNB, terdapat lima kawasan pencawang elektrik di sekitar daerah ini terjejas akibat penutupan bekalan elektrik hari ini.

    “Pencawang elektrik yang terjejas melibatkan kawasan Sekolah Menengah Sri Damai, Sri Damai Sejahtera 1 dan 2, Lorong Sri Damai Jaya 9, Jalan Sri Damai Jaya 1/13 dan pencawang elektrik kawasan Mat Kilau.

    “Jangan hidupkan peralatan elektrik sekiranya palam atau soket alir keluar berada dalam keadaan basah atau dilitupi kekotoran banjir,”kata kenyataan itu.

    Tambahnya, pihak TNB menghargai kesabaran dan keprihatinan semua masyarakat.

    Hari ini keadaan banjir di Kuantan bertambah buruk apabila jumlah mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 2,235 orang daripada 711 keluarga.

    Kesemua mangsa di daerah ini dipindahkan ke 14 PPS yang dibuka sejak semalam dan pada masa ini tiga sungai di Kuantan berada pada paras bahaya iaitu Sungai Kuantan, Sungai Belat dan Sungai Kenau.-KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/17/tnb-tutup-bekalan-elektrik-beberapa-kawasan-di-kuantan/

  • Sukan SEA: Miki lunas janji menang emas

    Sukan SEA: Miki lunas janji menang emas

    BANGKOK – Biarpun baru berusia 16 tahun, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar membuktikan dia bintang seterusnya dalam muay Thai selepas meraih pingat emas di Sukan SEA Thailand 2025 semalam.

    Miki berjaya menyerap tekanan sorakan ribuan penyokong Gajah Perang untuk menewaskan Sirilun Suphakon dengan keputusan tipis 2-1 bagi kategori 57 kilogram (kg).

    Dalam pertarungan tersebut, Miki memulakan langkah garang apabila menguasai dua pusingan awal dengan keputusan 10-9, 10-9 sebelum Suphakon cuba bangkit pada pusingan ketiga (9-10), namun ia tidak cukup untuk menafikan kemenangan Miki dengan keputusan 29-28 milik Malaysia.

    Sementara itu, Jojo yang bertindak selaku ‘pembakar semangat’ di sudut gelanggang menyifatkan kemenangan adiknya itu hasil strategi ampuh menyekat sepakan kaki kiri lawan yang juga seorang southpaw.

    “Bila seorang daripada keluarga masuk gelanggang, kita semua masuk gelanggang. Kalah menang sama-sama, naik turun sama-sama.

    “Hari ini Miki buktikan dia mampu. Walaupun stadium bingit dengan penonton tuan rumah, dia kekal tenang ikut perancangan,” jelas Jojo.

    Kejayaan Miki itu melengkapkan hari gemilang skuad negara selepas rakan sepasukan, Wassof Rumijam turut menyumbang emas dalam kategori 54kg. -KOSMO! ONLINE

    A post shared by Kosmo! Online | Akaun Rasmi (@kosmo_online)

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/17/sukan-sea-miki-lunas-janji-menang-emas/

  • Ganjaran buat atlet cemerlang bukan pembaziran

    Ganjaran buat atlet cemerlang bukan pembaziran

    SETIAP kemenangan ada har­ganya. Dalam dunia sukan, harga itu sering dibayar dengan masa muda, disiplin yang keras, kece­deraan berulang dan masa depan yang tidak menentu. Di sebalik sorakan dan tepukan gemuruh, tersembunyi kehidupan atlet yang penuh tekanan, pengorbanan dan pertaruhan nasib.

    Di sinilah persoalan ganjaran menjadi semakin penting. Dalam era sukan moden yang semakin kompetitif, atlet bukan sekadar bersaing untuk nama negara, tetapi berhadapan dengan realiti hidup yang mencabar. Maka, sudah tiba masanya negara melihat kebajikan atlet bukan sebagai isu sampingan, tetapi sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan nasional.

    Seiring dengan perubahan zaman dan peningkatan kos sara hidup, pendekatan terhadap ganjaran dan imbuhan atlet perlu diperbaharui. Sukan pada tahun 2026 tidak lagi dapat dinilai menggunakan perspektif dan logik era 1960-an hingga 1980-an.

    Perubahan struktur ekonomi, peningkatan teknologi latihan dan tuntutan profesionalisme menjadikan kerjaya atlet lebih mencabar, kompleks dan mahal untuk dikekalkan. Oleh itu, pemberian ganjaran kepada atlet elitis bukan sekadar penghargaan sementara, tetapi pelaburan jangka panjang bagi memastikan kesinambungan pembangunan sukan negara.

    Hakikatnya, atlet hari ini bukan sekadar mewakili negara ke pentas antarabangsa, tetapi profesional dalam industri sukan global yang dianggarkan bernilai lebih AS$600 bilion (RM2.54 trilion) setahun.

    Kemenangan mereka bukan sahaja membina reputasi negara, bahkan merangsang penajaan, meluaskan pelancongan sukan dan menggerakkan keseluruhan ekosistem ekonomi. Maka perbincangan tentang ganjaran bukan soal emosi, tetapi strategi nasional.

    Namun, kerjaya atlet tidak seperti profesion lain. Kajian, menunjukkan puncak prestasi atlet biasanya antara umur 18 hingga 30 tahun, dan purata kerjaya profesional hanya sekitar 10 hingga 15 tahun.

    Dalam tempoh singkat ini, atlet mempertaruhkan kesihatan, masa muda, pendidikan dan kestabilan hidup demi menggalas tanggungjawab negara. Oleh itu, ganjaran tidak wajar dilihat sebagai hadiah bermusim, tetapi sebagai elemen asas kebajikan.

    Jika ditinjau amalan antarabangsa, negara seperti Singapura dan Australia meletakkan kebajikan atlet sebagai sebahagian daripada strategi nasional. Singapura menawarkan antara ganjaran tunai tertinggi dunia kepada pemenang pingat Olimpik, namun pembiayaan tidak hanya bergantung kepada kerajaan ke­rana disokong kuat sektor swasta.

    Pendekatan ini membolehkan republik itu mengekalkan kualiti kemudahan sukan dan pemba­ngunan atlet akar umbi tanpa mengorbankan kestabilan fiskal. Australia pula membina sistem sokongan menyeluruh menerusi Australian Institute of Sport (AIS), yang menyediakan elaun, biasiswa pendidikan, rawatan perubatan sukan dan program peralihan kerjaya kepada atlet. Model ini memastikan atlet bukan sahaja berprestasi tinggi ketika bergelar juara, malah bersedia untuk kehidupan selepas persaraan.

    Di Asia, Filipina memberikan ganjaran tunai yang besar serta kediaman kepada pemenang emas Olimpik, manakala Korea Selatan menawarkan elaun bulanan seumur hidup kepada atlet yang mencapai kejayaan ter­tinggi. China pula melaksanakan pendekatan berteras negara de­ngan menempatkan atlet bersara dalam jawatan kejurulatihan dan pentadbiran sukan.

    Jika dibandingkan dengan semua negara ini, Malaysia sebenarnya tidak ketinggalan jauh. Inisiatif memperkenalkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada atlet merupakan satu lonjakan besar dalam sejarah kebajikan sukan negara.

    Buat pertama kali, atlet diiktiraf setaraf pekerja profesional yang memiliki jaminan persaraan dan perlindungan kecederaan. Namun langkah ini perlu diperluaskan dalam satu kerangka yang lebih menyeluruh.

    Sistem ganjaran negara wajar dibina dalam bentuk gabungan imbuhan tunai sebagai pengiktirafan segera, aset jangka panjang seperti perumahan sebagai jaminan masa depan, serta perlindungan sosial sebagai benteng keselamatan ekonomi.

    Namun, usaha ini tidak seharusnya menjadi penamat, sebaliknya titik mula kepada reformasi yang lebih besar dalam membangunkan ekosistem sukan negara. Antara yang perlu dilaksanakan ialah negara perlu mengambil langkah berani de­ngan mewujudkan Dana Kece­deraan Nasional khusus bagi atlet yang mengalami kecederaan serius ketika membela negara.

    Kecederaan bukan sahaja menamatkan kerjaya, malah sering menjejaskan kehidupan selepas persaraan. Dana ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi isyarat jelas bahawa negara berdiri bersama atletnya dalam saat sukar.

    Tidak ketinggalan, satu lagi pendekatan yang perlu diberi perhatian ialah penyediaan geran latihan khas melalui kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dan badan sukan.

    Tidak semua atlet memiliki kelebihan akademik dan mampu belajar sehingga ke peringkat universiti, namun mereka tetap mempunyai potensi besar dalam kemahiran teknikal, kepimpinan dan disiplin kerja.

    Melalui skim geran latihan bersasar, atlet boleh diberikan akses kepada kursus kemahiran, latihan vokasional, sijil profesional atau pembelajaran fleksibel yang disesuaikan dengan jadual latihan sukan mereka.

    Kerjasama ini bukan sahaja membuka peluang pendidikan alternatif, malah mempersiapkan atlet untuk menghadapi realiti kehidupan selepas bersara dengan kemahiran yang relevan dan boleh dipasarkan.

    Kajian Olympic Stu­dies Centre (2020) menunjukkan atlet yang dibantu dalam fasa transisi lebih stabil dari segi emosi dan produktif dalam komuniti.

    Dalam memperkukuh ekosistem sukan, keterlibatan sektor swasta wajar diperluaskan melalui insentif cukai yang munasabah kepada syarikat yang menaja program pembangunan bakat atau menyediakan peluang pekerjaan kepada bekas atlet.

    Negara-negara maju seperti Jepun dan Australia telah membuktikan bahawa sinergi antara kerajaan dan swasta mampu membina sukan berprestasi tinggi tanpa membebankan dana awam semata-mata.

    Pada masa yang sama, persepsi masyarakat juga perlu dibentuk semula. Ganjaran kepada atlet sering disalah tafsir sebagai pembaziran sedangkan realitinya ia adalah pelaburan. Negara yang berjaya dalam sukan memahami bahawa kecemerlangan tidak datang secara percuma.

    Isu ganjaran atlet perlu dilihat secara lebih rasional dan berasaskan realiti semasa, bukan bersandar kepada tanggapan lama. Dunia sukan telah berubah, dan sistem ganjaran juga perlu menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut.

    Jika negara mahu melahirkan juara yang berterusan, maka sistem kebajikan atlet juga mesti bersifat mampan dan menyeluruh. Kita tidak boleh hanya mengharapkan semangat juang semata-mata tanpa menyediakan jaringan sokongan yang adil kepada mereka yang mengorbankan masa muda demi negara.

    Ganjaran yang terancang hari ini merupakan jaminan kepada kejayaan esok.

    Nazmizan Muhammad ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa dan Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis

    (UniMAP)

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/18/ganjaran-buat-atlet-cemerlang-bukan-pembaziran/