Category: JNJ-MEDIA

  • Muhyiddin didakwa terdesak guna bantuan Dr Mahathir untuk PRU16

    Muhyiddin didakwa terdesak guna bantuan Dr Mahathir untuk PRU16

    KUALA LUMPUR 15 Dis – Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa berada dalam keadaan terdesak untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sehingga sanggup mendapatkan bantuan Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, dakwaan itu jelas apabila Muhyiddin tidak mengambil tindakan saman terhadap Dr Mahathir susulan tuduhan mencuri wang parti.

    Menurutnya, tuduhan bahawa Muhyiddin mencuri wang parti dan menyimpannya di rumah merupakan dakwaan berat serta memalukan, namun tiada tindakan undang-undang diambil.

    “Menuduh Muhyiddin curi duit parti dan simpan di rumah adalah berat dan benar-benar memalukan. Muhyiddin tidak akan saman Tun M.

    “Apakah itu bermakna Muhyiddin terdesak minta tolong Tun M untuk menang PRU16?” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengulas lanjut, Mohd Puad turut mempersoalkan pendirian Dr Mahathir sekiranya beliau masih mahu bekerjasama dengan Muhyiddin yang dituduhnya sebagai pencuri.

    Beliau berkata, perkara itu timbul memandangkan Dr Mahathir sebelum ini dalam satu video tular menegur Muhyiddin kerana bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    “Apakah pula pendirian Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan kumpulannya kerana isu ini boleh menjadi senjata untuk menggulingkan Muhyiddin.

    “Mahathir dan Muhyiddin menjadikan politik Malaysia semakin toksik. Dua-dua kena berundur,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13095

  • Perbicaraan kes amang seksual fizikal Naim Daniel ditangguh ke tahun hadapan

    Perbicaraan kes amang seksual fizikal Naim Daniel ditangguh ke tahun hadapan

    PUTRAJAYA 15 Dis – Perbicaraan kes amang seksual fizikal membabitkan penyanyi dan pelakon terkenal, Naim Daniel yang sepatutnya bermula di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, ditangguhkan ke tahun hadapan.

    Peguam, Mohd Irwan Sumadi yang mewakili tertuduh ketika dihubungi memaklumkan, Hakim Datin M. Kunasundary menetapkan tarikh baharu perbicaraan selama empat hari bermula 31 Mac hingga 3 April 2026.

    “Kes bicara hari ini dilapangkan oleh mahkamah. Tarikh bicara baharu ditetapkan pada 31 Mac serta 1 hingga 3 April 2026,” katanya.

    Sebelum ini, Mahkamah Sesyen telah menetapkan 15, 16 dan 18 Disember tahun ini bagi prosiding perbicaraan kes berkenaan.

    Selain Mohd Irwan, Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, turut diwakili peguam Datuk Amirul Ridzuan dan Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique.

    Pada 17 Jun lalu, Naim didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Petaling Jaya kira-kira jam 8.56 malam, 19 Mei lalu.

    Bagaimanapun, pelakon drama Projek: High Council dan pelantun lagu Sumpah itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13096

  • Laporan Pencapaian Reformasi Pendidikan 2025: KPM capai 15 kejayaan besar – Fadhlina

    Laporan Pencapaian Reformasi Pendidikan 2025: KPM capai 15 kejayaan besar – Fadhlina

    BUKIT MERTAJAM 15 Dis – Pelaksanaan reformasi pendidikan negara sepanjang tiga tahun lalu menunjukkan pelbagai pencapaian signifikan, merangkumi aspek dasar, tenaga pengajar, keselamatan sekolah serta pemulihan pascapandemik.

    Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, antara pencapaian utama Kementerian Pendidikan (KPM) termasuk penguatkuasaan dasar pendidikan menengah wajib, pengurangan beban tugas pendidik serta pembinaan dan pemulihan sekolah di seluruh negara.

    Beliau berkata, pelaksanaan reformasi pendidikan itu akan terus diperkukuh dengan tumpuan pada tahun depan adalah mempersiapkan guru bagi menjayakan Kurikulum Baharu 2027.

    Kurikulum Baharu 2027 akan dilaksanakan secara berperingkat bermula 2026 membabitkan prasekolah, diikuti Tahun Satu dan Tingkatan Satu pada 2027.

    “Komitmen KPM untuk terus mengurangkan beban tugas guru akan diteruskan bagi membolehkan warga pendidik memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP), termasuk penguasaan pedagogi, serta pelaksanaan reformasi di bilik darjah.

    “Kita mahu guru dapat memberi tumpuan di dalam kelas, meningkatkan kualiti PdP, dan melaksanakan pembaharuan dalam pengajaran mereka,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin di sini, hari ini.

    Menurut Fadhlina, antara pencapaian paling signifikan ialah kelulusan Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 di Parlimen yang menjadikan pendidikan menengah sebagai pendidikan wajib sehingga Tingkatan Lima.

    Dengan pindaan itu, setiap anak Malaysia kini dilindungi undang-undang untuk kekal dalam sistem pendidikan hingga tamat sekolah menengah, sekali gus memastikan tiada keciciran selepas Tahun Enam.

    Selain itu, beliau berkata KPM berjaya melantik seramai 52,948 guru baharu dengan kadar pengisian mencecah 98 peratus, tertinggi dalam hampir sedekad, sekali gus memastikan hampir semua kelas di seluruh negara mempunyai guru mengajar.

    Dalam aspek keselamatan sekolah pula, Fadhlina berkata KPM melaksanakan 11 inisiatif Sekolah Selamat secara serentak di seluruh negara, termasuk peruntukan RM5 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), pelantikan 10,096 guru dan kaunselor baharu, serta 600 pembantu warden asrama.

    Berhubung pemulihan pascapandemik, beliau berkata takwim persekolahan negara akan kembali bermula Januari mulai sesi 2026 selepas empat tahun jadual persekolahan terganggu, selaras keperluan ibu bapa dan guru.

    Katanya, intervensi literasi dan numerasi turut menunjukkan hasil positif apabila 398,496 murid berjaya menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M), meningkat berbanding 326,051 murid sebelum intervensi dilaksanakan.

    Dalam usaha mengurangkan beban guru, Fadhlina berkata KPM melaksanakan reformasi tugas termasuk pelantikan 562 pembantu guru, penempatan 600 pembantu warden bawah inisiatif MySTEP, sokongan operasi di 281 sekolah menengah, serta penambahbaikan Rancangan Pengajaran Harian (RPH).

    Selain itu, beliau berkata pembinaan dan pemulihan infrastruktur pendidikan turut mencatat pencapaian tinggi apabila 44 sekolah baharu dibina dan 44 projek sekolah daif siap dilaksanakan pada 2025.

    Menurutnya, peluasan pendidikan awal kanak-kanak turut diperkukuhkan apabila prasekolah KPM diperluas ke sekolah menengah kebangsaan, kolej vokasional dan Institut Pendidikan Guru (IPG), sekali gus meningkatkan akses pendidikan awal di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.

    Mengulas usaha menangani keciciran pendidikan di kawasan pedalaman, Fadhlina berkata peluasan Sekolah K9 dan K11 berjaya memastikan kadar keciciran sifar dengan murid kekal bersekolah sehingga tamat pendidikan menengah.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13098

  • Remaja 16 tahun buang bayi baru lahir hasil sumbang mahram dengan adik lelaki di Besut

    Remaja 16 tahun buang bayi baru lahir hasil sumbang mahram dengan adik lelaki di Besut

    BESUT 15 Dis – Penemuan seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di belakang sebuah rumah di Kampung Alor Lintang, Kampung Raja di sini pada Ahad membawa kepada pendedahan kes sumbang mahram membabitkan seorang remaja perempuan dan adik lelakinya.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Md Saleh berkata, hasil siasatan mendapati bayi berkenaan adalah hasil hubungan terlarang remaja perempuan berusia 16 tahun yang melahirkan bayi itu secara rahsia.

    “Sejurus selepas dilahirkan, bayi itu dilaporkan telah dibuang oleh suspek sebelum ditemui oleh salah seorang penghuni rumah di situ,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

    Beliau berkata, polis telah menahan reman seorang lelaki sehingga tujuh hari bermula Isnin bagi membantu siasatan.

    “Mahkamah membenarkan lelaki tersebut ditahan untuk siasatan menyeluruh berhubung kes itu.

    “Kes ini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan berkaitan dengan kesalahan membuang bayi, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun.

    “Siasatan turut dijalankan bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana perbuatan sumbang mahram, iaitu hubungan seks oleh individu yang tidak dibenarkan berkahwin oleh hukum agama.

    “Seksyen ini membawa hukuman penjara yang sangat berat, iaitu tidak kurang dari enam tahun dan tidak lebih 20 tahun, serta sebatan,” ujar beliau.

    Md Sani berkata, perbuatan membuang bayi itu merupakan tindakan tidak berperikemanusiaan, bercanggah dengan hukum agama serta jelas menafikan hak seorang bayi untuk hidup.

    Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu atau tidak benar berhubung kes tersebut.

    “Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berhemah dan bertanggungjawab agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu siasatan atau menyebar maklumat tidak tepat di media sosial berhubung kes tersebut,” katanya.

    Terdahulu, pada Ahad, tular di media sosial penemuan seorang bayi lelaki yang kemudiannya dibawa ke Hospital Besut untuk rawatan dan tindakan lanjut.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13097

  • Polis belum temui bukti SPRM acu senjata dalam serbuan rumah ahli perniagaan

    Polis belum temui bukti SPRM acu senjata dalam serbuan rumah ahli perniagaan

    SHAH ALAM 15 Dis – Polis setakat ini belum memperoleh sebarang keterangan atau bukti yang dapat mengesahkan dakwaan kononnya pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengacukan senjata semasa serbuan dan penahanan seorang ahli perniagaan, Albert Tei, di kediamannya di Puchong pada 28 November lalu.

    Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang telah menerima laporan daripada seorang wanita yang juga isteri kepada ahli perniagaan berkenaan pada hari kejadian.

    Menurut beliau, pengadu mendakwa pasukan penguat kuasa SPRM menyerbu kediaman mereka dan menahan suaminya mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009, selain turut mengacukan senjata ke arah dirinya dan suami semasa serbuan dijalankan.

    “Sehingga hari ini, siasatan polis tidak menemui sebarang keterangan atau bukti yang boleh mengesahkan dakwaan pengadu.

    “Ramai saksi telah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan, namun saya tidak boleh mendedahkan jumlahnya dan memohon ruang kepada polis untuk menyelesaikan siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Selangor di sini, hari ini.

    Shazeli berkata, setakat ini hanya ahli keluarga pengadu belum memberikan keterangan kerana dipercayai berada di luar kawasan selepas kejadian, namun mereka telah memberi komitmen untuk hadir apabila dipanggil kelak.

    Beliau turut memaklumkan bahawa polis menerima rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kediaman terbabit serta rakaman perbualan telefon yang telah diserahkan kepada pihak forensik untuk dianalisis.

    “Rakaman memang wujud, tetapi saya tidak boleh dedahkan butirannya buat masa ini. Polis juga akan memanggil semula pengadu bagi mendapatkan keterangan lanjut,” katanya.

    Tambah beliau, satu kertas inkuiri polis turut dibuka bagi menyiasat dakwaan tersebut secara menyeluruh.

    Sebelum ini, dilaporkan pegawai SPRM yang terlibat dalam serbuan berkenaan dilengkapi kamera badan termasuk peralatan rakaman. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki turut dilaporkan berkata, laporan polis telah dibuat berhubung tuduhan itu yang disifatkan sebagai fitnah terhadap agensi berkenaan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13099

  • Tiada perancangan naik taraf Lebuhraya Persekutuan walaupun trafik sesak

    Tiada perancangan naik taraf Lebuhraya Persekutuan walaupun trafik sesak

    KUALA LUMPUR 15 Dis – Kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk menaik taraf FT2 Lebuhraya Persekutuan meskipun laluan sepanjang 34.59 kilometer dari Kuala Lumpur ke Pelabuhan Klang mencatat tahap trafik paling sesak pada 2024.

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata keputusan itu dibuat kerana kos pengambilan balik tanah dan aset yang tinggi serta potensi kesan sosial menjadikan projek berkenaan tidak lagi ekonomik untuk dilaksanakan.

    “Berdasarkan data bacaan lalu lintas 2024, tahap perkhidmatan jalan (LOS) di FT2 Lebuhraya Persekutuan melalui Stesen Banci BR101 direkodkan pada ‘LOS F’, iaitu aliran trafik sesak, sama seperti FT28 Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Stesen Banci BR903,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, hari ini.

    Beliau menjawab pertanyaan Senator Tiew Way Keng yang ingin mengetahui status naik taraf lebuh raya dan jalan Persekutuan di Selangor.

    Bagi FT2, kerajaan sedang meneliti cadangan pembinaan lebuh raya alternatif bagi menyuraikan aliran trafik, selain menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam melalui LRT3 dari Shah Alam ke Kuala Lumpur yang dijangka mula beroperasi pada 31 Disember ini.

    Mengenai FT28 MRR2 sepanjang 37.58 kilometer dari Kepong ke Sri Petaling, Nanta berkata Projek Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) telah dilaksanakan untuk mengurangkan kesesakan, namun menaik taraf FT28 juga tidak lagi ekonomik atas faktor kos dan implikasi sosial yang sama.

    Sementara itu, beliau memaklumkan tahap perkhidmatan trafik di FT5 Jalan Klang-Sabak Bernam melalui Stesen Banci BR104 berada pada LOS A, menunjukkan laluan masih mampu menampung kapasiti trafik sedia ada, justeru tiada perancangan menaik taraf laluan tersebut.

    Nanta berkata Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), yang dijangka siap sepenuhnya pada 2026, berpotensi menjadi alternatif untuk mengurangkan kesesakan trafik di FT5.

    Beliau menegaskan sebarang cadangan pembinaan jalan baharu atau naik taraf jalan Persekutuan sedia ada perlu dikemukakan oleh kerajaan negeri melalui proses penyelarasan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan jabatan teknikal berkaitan, tertakluk kepada agihan peruntukan pembangunan sebelum dipertimbangkan oleh kementerian.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13100

  • Kementerian Pengangkutan tambah 10 lokasi kamera AWAS tahun hadapan

    Kementerian Pengangkutan tambah 10 lokasi kamera AWAS tahun hadapan

    KUALA LUMPUR 15 Dis – Kementerian Pengangkutan akan menambah 10 lagi lokasi pemasangan kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) pada tahun hadapan bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya.

    Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, lokasi terpilih dipilih berdasarkan data kemalangan berisiko tinggi, khususnya di kawasan yang kerap berlaku nahas.

    “Pemilihan lokasi ini bukan dibuat untuk memerangkap pemandu. Keutamaan kerajaan adalah aspek keselamatan, dan kawasan yang dipilih merupakan lokasi berisiko tinggi serta sering berlaku kemalangan termasuk kawasan black spot,” katanya di Dewan Negara hari ini.

    Hasbi menjelaskan, pemasangan kamera AWAS bertujuan mengurangkan kadar kemalangan dan bukannya sebagai alat untuk mengenakan saman kepada pemandu.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk C. Sivaraj mengenai sistem AWAS dan penggunaan hasil kutipan saman.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13103

  • Cucu berusia 4 tahun maut, kereta dipandu datuk terbalik di Manjoi

    Cucu berusia 4 tahun maut, kereta dipandu datuk terbalik di Manjoi

    IPOH 15 Dis – Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas kereta dipandu datuknya terbabas sebelum terbalik di Jalan Baginda, Manjoi di sini pada Ahad.

    Menurut laporan Sinar Harian, mangsa, Az Dian Raisya Qistina Mohamad Hafisrudin, 4, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada jam 10.05 malam.

    Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, semasa kejadian sekitar jam 8.40 malam itu, mangsa bersama datuknya berusia 69 tahun dalam perjalanan pulang dari Meru ke Manjoi.

    Bagaimanapun katanya, tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Iswara Aeroback dipandu warga emas itu hilang kawalan.

    Tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Proton Iswara Aeroback dipandu warga emas berusia 69 tahun hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik.

    “Akibat dari kemalangan itu, kedua-dua mangsa cedera di muka dan tangan sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan.

    “Kanak-kanak itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia di wad kecemasan hospital tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Isnin.

    Beliau berkata, kemalangan turut menyebabkan kereta berkenaan mengalami kerosakan teruk di bahagian sisi kiri kereta kemek dan calar serta cermin hadapan pecah,” katanya.

    “Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13104

  • Koperal polis mengaku tak bersalah pandu bahaya hingga sebabkan kematian lelaki

    Koperal polis mengaku tak bersalah pandu bahaya hingga sebabkan kematian lelaki

    KANGAR 15 Dis – Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian seorang lelaki berusia 24 tahun pada 25 November lepas.

    Menurut laporan Bernama, Muhammad Zulhairi Shunazar Abdul Shukor, 38, yang bertugas di Balai Polis Kuala Perlis dekat sini mohon dibicarakan selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal.

    Dia didakwa memandu sebuah kenderaan nombor pendaftaran VDU 3307 secara berbahaya yang menyebabkan kemalangan dengan sebuah motosikal nombor pendaftaran PLW 366 dan menyebabkan kematian penunggang motosikal, iaitu Muhammad Firdaus Aiman Zainon.

    Anggota polis berkenaan dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Persiaran Wawasan, berhadapan dengan Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis di sini, pada jam 10.20 malam, 25 November lepas.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 dan boleh dipenjara maksimum 10 tahun sekiranya sabit kesalahan.

    Majistret Nurul Natasha membenarkan Muhammad Zulhairi Shunazar diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan lesen memandu digantung sehingga kes berkenaan selesai.

    Sementara itu, dalam mahkamah sama, anggota polis berkenaan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu kenderaan sama tanpa kecermatan sepatutnya yang menyebabkan kemalangan dengan sebuah lagi motosikal nombor pendaftaran RAA 365 sehingga menyebabkan kecederaan parah penunggang motosikal, iaitu Aliff Noorhakim Alijesree, 25, di lokasi, masa dan tarikh sama.

    Bagi pertuduhan itu, Muhammad Zulhairi Shunazar selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau boleh dipenjara maksimum 12 bulan jika sabit kesalahan.

    Majistret Nurul Natasha membenarkan Muhammad Zulhairi Shunazar diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

    Mahkamah berkenaan juga menetapkan 28 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen berkaitan bagi kedua-dua pertuduhan itu.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar Inspektor S. Mageswaran manakala anggota polis itu diwakil Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Hasnor Arysha Hamdan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13105

  • Pemandu Mercedes Benz didakwa akibatkan kematian suami isteri di Bentong

    Pemandu Mercedes Benz didakwa akibatkan kematian suami isteri di Bentong

    BENTONG 15 Dis – Seorang pemandu kereta mewah jenis Mercedes Benz, Lee Kang Foong, 40, didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dua individu dalam kejadian kemalangan di Kilometer 3, Jalan Bentong–Gombak, minggu lalu.

    Menurut laporan Kosmo Online, tertuduh, Lee Kang Foong, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Fakhiza Abu Bakar.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa pada 10 Disember lalu kira-kira pukul 8.15 malam memandu sebuah kenderaan jenis Mercedes Benz dengan cara yang berbahaya kepada orang awam.

    Perbuatan itu, setelah mengambil kira segala hal keadaan termasuk jenis, keadaan, saiz jalan serta kesesakan lalu lintas yang dijangka ada di laluan berkenaan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian dua penumpang sebuah kenderaan lain, iaitu Karmilawati Muhamad Ya’akob, 51, dan Mohammad Nazri Md Salleh, 51.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Rabiatul Adawiah Abdul Wahab yang memohon ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain lesen memandu tertuduh digantung.

    Bagaimanapun, peguam bela, Young Hiang Siong dari firma guaman Tai and Partners memohon supaya jumlah ikat jamin dikurangkan atas alasan tertuduh memikul tanggungjawab besar menjaga kedua-dua ibu bapanya yang uzur dan mengalami pelbagai masalah kesihatan.

    Noor Fakhiza membenarkan Kang Foong diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung selain tarikh sebutan semula kes pada 23 Februari tahun hadapan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13106