Category: JNJ-MEDIA

  • Luahan pembaca: Benda lain boleh mansuh, tapi jangan usik UTC

    Luahan pembaca: Benda lain boleh mansuh, tapi jangan usik UTC

    Baru-baru ini anak saya kehilangan MyKad. Puas dicari tetapi tidak berjumpa. Kami akhirnya membuat laporan polis pada hari sama kerana keesokannya anak saya mahu menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

    Memandangkan ia hari Ahad, maka saya bertanya dengan ramai rakan dan sumber adakah boleh laporan polis dijadikan pengganti kepada MyKad. Pelbagai jawapan yang saya dapat, namun ia tidak meyakinkan.

    Bagaimana jika penjaga peperiksaan tidak bagi anak saya mendudukinya? Pelbagai persoalan timbul sehinggalah saya dimaklumkan supaya membuat MyKad baharu di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

    UTC paling dekat dan buka pada Ahad ialah Ampangan, Seremban. Maka bergegas kami ke sana. Apabila sampai, saya lega kerana kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) masih buka dan petugas memaklumkan MyKad boleh siap dalam tempoh 30 minit.

    Syukur tidak terkata. Walaupun perlu membayar RM100 kerana hilang buat pertama kali, kami menerimanya ekoran ia berlaku atas kecuaian sendiri.

    Ketika itu saya terfikir UTC ini cukup penting buat mereka yang mahu mendapatkan khidmat pada hari cuti. Ketika saya ke sana, saya dapati begitu ramai orang yang mahu berurusan terumatanya di JPN dan imigresen.

    Mohon kerajaan teruskan apa yang bermanfaat buat rakyat dan jangan sesekali cuba menutupnya. UTC walaupun diasaskan ketika zaman pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak, namun ia relevan sehingga ke hari ini.

    Rakyat marhaen,

    Sepang, Selangor

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/15/benda-lain-boleh-mansuh-tapi-jangan-usik-utc/

  • Sukan SEA: Zikir, selawat kunci kejayaan

    Sukan SEA: Zikir, selawat kunci kejayaan

    BANGKOK – Pelari pecut muda negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee mendedahkan amalan zikir dan selawat menjadi kunci kekuatannya kekal tenang ketika membuat kemunculan sulung di Sukan SEA Thailand 2025.

    Hasilnya, Danish berjaya menyambar dua pingat gangsa dalam acara 100 meter (m) dan 200m dengan catatan 20.73 saat (s) sekali gus memadam rekod lama Malaysia 20.77s Russel Taib dilakar pada 2019.

    Menurut atlet berusia 18 tahun itu, nasihat kedua ibu bapanya yang juga bertindak selaku jurulatih, menjadi azimat kekuatan sebelum turun memberi saingan hebat di Stadium Nasional Suphachalasai.

    “Sebelum bersaing, saya sering dengar nasihat ibu bapa saya. Mereka ingatkan saya sentiasa selawat dan berzikir.

    “Mereka juga sering ingatkan supaya saya berlawan dengan diri sendiri dan sentiasa buat yang terbaik sebaik melangkah masuk ke balapan perlumbaan,” katanya.

    Atlet kelahiran Johor itu enggan terlalu selesa kerana menyedari perlu melepasi halangan rakan senegara, Muhammad Azeem Fahmi sebelum memikirkan untuk mencabar Raja Pecut Asia Tenggara dari Thailand, Puripol Boonson.

    “Kita tidak boleh hanya sasar Puripol. Di Malaysia pun kita ada Azeem Fahmi. Abang Azeem juga salah satu saingan terbesar dan dia banyak menolong saya dari segi nasihat serta komen positif.

    “Mengenai Puripol, saya percaya rezeki Allah ada di mana-mana. Satu hari nanti jika ada rezeki, saya akan cuba bersaing sedaya upaya dengannya supaya dapat pergi ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

    Fokus Danish kini beralih kepada acara 4x100m bergandingan bersama Jonathan Nyepa, Pengiran Aidil Auf Hajam dan Aliff Aiman Fahmi yang memikul misi berat menamatkan kemarau emas 56 tahun selepas kali terakhir pada 1969.

    Pada edisi Kemboja 2023, Malaysia meraih gangsa dengan catatan 39.36s, manakala perak dan memecahkan rekod kebangsaan pada edisi Hanoi 2021. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/15/sukan-sea-zikir-selawat-kunci-kejayaan/

  • Siap sedia hadapi gelombang kedua dalam masa terdekat

    Siap sedia hadapi gelombang kedua dalam masa terdekat

    GOMBAK – Kerajaan dalam keadaan bersiap-siaga bagi berdepan gelombang kedua banjir yang dijangka melanda kawasan Pantai Timur dalam tempoh terdekat.

    Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) giat memastikan kesediaan amaran awal termasuk memberi keutamaan kepada proses pemindahan mangsa yang berada di kawasan berisiko tinggi.

    “Yang penting sistem yang kita wujudkan adalah dari segi kesiap-siagaan dan amaran awal supaya pemindahan dapat dilakukan lebih awal.

    “Itu bagi mengelakkan kehilangan nyawa, kerosakan dokumen dan juga kita dapat buat persiapan bagi mangsa yang kita jangkakan dari kawasan ‘red spot’ itu untuk pergi ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) di sini hari ini.

    Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Nadma berkata, gelombang kedua banjir dijangka melibatkan Kelantan dan Terengganu sebelum merebak ke Pahang serta Johor. Selain itu, selatan Sarawak turut dikenal pasti berdepan situasi sama.

    Sebelum ini, Jabatan Meteorologi memaklumkan, gelombang monsun kedua melanda Pantai Timur, Johor, Sabah dan Sarawak bermula 5 hingga 8 Disember yang membawa hujan berterusan ke seluruh kawasan terlibat. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/15/siap-sedia-hadapi-gelombang-kedua-dalam-masa-terdekat/

  • Fadillah arah siasatan telus insiden runtuhan kren di loji janakuasa Tanjung Bin

    Fadillah arah siasatan telus insiden runtuhan kren di loji janakuasa Tanjung Bin

    KUALA LUMPUR 14 Dis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengarahkan siasatan rapi, telus dan menyeluruh dijalankan berhubung insiden runtuhan serta kebakaran kren di Loji Janakuasa Malakoff, Jalan Tanjung Bin, Kukup, Pontian, hari ini.

    Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, pihak berkuasa berkaitan khususnya Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu menjalankan siasatan terperinci dengan kerjasama Suruhanjaya Tenaga serta agensi teknikal lain bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

    Menurut beliau, sebarang unsur kecuaian, kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) atau kelemahan aspek keselamatan tidak boleh dikompromi dan tindakan tegas perlu diambil sekiranya didapati berlaku pelanggaran peraturan.

    “Saya turut mengarahkan pihak pengurusan loji serta kontraktor terlibat memberikan kerjasama penuh kepada siasatan dan memastikan semua SOP keselamatan, penyelenggaraan peralatan serta pengurusan risiko dipatuhi sepenuhnya bagi mengelakkan tragedi sama berulang,” katanya dalam satu kenyataan.

    Beliau menegaskan, kementeriannya akan terus memantau perkembangan kes tersebut dan tidak teragak-agak mengambil tindakan lanjut sekiranya perlu demi memastikan tahap keselamatan industri tenaga negara sentiasa berada pada tahap tertinggi.

    Fadillah berkata, keselamatan dan kebajikan pekerja dalam sektor tenaga merupakan keutamaan kementeriannya, selain menegaskan setiap nyawa adalah amat berharga.

    Dalam kenyataan sama, beliau turut merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga dua mangsa yang terkorban iaitu Allahyarham Muhammad Alfarid Ahmad, 19, dan Muhammad Amaluddin Hisamudin, 22.

    “Semoga keluarga mangsa diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi dugaan ini dan saya mendoakan agar mangsa yang cedera diberikan kesembuhan sepenuhnya,” katanya.

    Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba Mahadir Mamat dilaporkan berkata, dua pekerja maut manakala tiga lagi cedera selepas sebuah kren yang mengangkat arang batu runtuh dalam kejadian di Loji Janakuasa Tanjung Bin kira-kira jam 1 tengah hari.

    Mangsa berjaya dikeluarkan dari bawah runtuhan sekitar jam 3 petang sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala tiga pekerja lelaki tempatan yang cedera dibawa ke Hospital Pontian bagi mendapatkan rawatan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13080

  • Tan Sri Megat Najmuddin meninggal dunia akibat kanser pada usia 81 tahun

    Tan Sri Megat Najmuddin meninggal dunia akibat kanser pada usia 81 tahun

    KUALA LUMPUR 14 Dis – Tokoh korporat dan veteran politik, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas meninggal dunia akibat kanser pada usia 81 tahun, malam ini.

    Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh ahli keluarga terdekat, Shafinaz Suhaimi ketika dihubungi Bernama.

    Menurut keluarga, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) pada jam 9 pagi esok untuk urusan pengurusan jenazah dan solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

    Terdahulu, berita kematian Allahyarham turut dikongsikan oleh anak saudaranya, Puteri Kamaliah Megat Abu Bakar menerusi hantaran di Facebook. Difahamkan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya.

    Megat Najmuddin merupakan figura berpengaruh yang aktif dalam arena politik dan korporat negara. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelana Jaya, Selangor selama dua penggal bermula 1986.

    Selain itu, Allahyarham juga pernah dilantik sebagai Anggota Lembaga Disiplin UMNO serta Pengerusi Lembaga Tatatertib Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Dalam sektor korporat, beliau pernah memegang beberapa jawatan penting termasuk Pengerusi Bukan Eksekutif Bebas Farm Fresh Berhad, Pengerusi Asian Pac Holdings Berhad serta Pengerusi Bukan Eksekutif dan Bukan Bebas Sime Darby Plantation Berhad.

    Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada negara, khususnya dalam bidang politik dan korporat.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13081

  • KPM mansuh SPL KPM, kurangkan beban tugas guru

    KPM mansuh SPL KPM, kurangkan beban tugas guru

    BUKIT MERTAJAM 14 Dis – Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan untuk memansuhkan Sistem Pengurusan Latihan KPM (SPL KPM) sebagai sebahagian komitmen berterusan kementerian itu bagi mengurangkan beban tugas guru.

    Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, keputusan tersebut dibuat selepas KPM meneliti pelbagai intervensi yang dilaksanakan sebelum ini, termasuk mengenal pasti kekurangan serta keperluan sebenar dalam menangani isu beban kerja guru secara berterusan.

    “Ini susulan komitmen kita untuk terus mengurangkan beban guru. Kita telah melaksanakan pelbagai intervensi dan menilai kekurangan serta pendekatan terbaik bagi memastikan isu ini ditangani secara berkesan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sekolah Baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Seberang Perai Tengah, di sini, pada Ahad.

    Menurut Fadhlina, sebelum ini KPM telah mengumumkan penambahbaikan terhadap Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM), manakala pemansuhan SPL KPM pula dijangka memberi kesan langsung kepada kebajikan guru serta pengurangan beban kerja mereka.

    “Setiap perkara yang berpotensi mengurangkan beban guru akan diteliti secara serius dengan mengambil kira impak keseluruhan kepada warga pendidik,” katanya.

    Beliau berkata, SPL KPM sering dibangkitkan dalam kalangan guru kerana dianggap mengganggu fokus terhadap tugas hakiki mereka di dalam bilik darjah.

    “Guru-guru mahukan ruang untuk menumpukan sepenuhnya kepada pengajaran tanpa terikat dengan urusan pentadbiran yang menjejaskan tugas utama,” ujarnya.

    Sehubungan itu, katanya, bermula tahun hadapan KPM mahu guru memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah, khususnya melibatkan pelaksanaan kurikulum baharu serta pelan pembangunan pendidikan yang sedang dirangka.

    Fadhlina menegaskan, pemansuhan SPL KPM adalah antara usaha konsisten kementerian untuk memberikan keyakinan kepada guru selain memastikan pengurangan beban tugas dapat dilaksanakan secara berperingkat.

    “Insya-ALLAH, dengan penambahbaikan prasarana, sokongan berterusan kepada guru serta pemansuhan beberapa keperluan lain, kita akan terus memberi tumpuan kepada kebajikan guru dari semasa ke semasa,” katanya.

    Tambah beliau, langkah itu juga diharap dapat mengembalikan fokus guru kepada murid serta memperkukuh proses PdP yang sebenar, selaras dengan hasrat KPM untuk memantapkan reformasi pendidikan di dalam bilik darjah.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13082

  • Pendekatan bina infrastruktur baharu KPM jadi game changer atasi sekolah padat

    Pendekatan bina infrastruktur baharu KPM jadi game changer atasi sekolah padat

    BUKIT MERTAJAM 14 Dis – Pendekatan pembinaan infrastruktur baharu yang dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) disifatkan sebagai ‘game changer’ dalam usaha menangani isu sekolah dan kelas padat di seluruh negara.

    Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, projek berkenaan yang mula dilaksanakan pada Mei 2025 menunjukkan keberkesanan ketara apabila kebanyakannya berjaya disiapkan sepenuhnya dalam tempoh hanya beberapa bulan.

    Menurut beliau, setakat ini sebanyak 20 sekolah menggunakan konsep Sistem Binaan Berindustri (IBS) telah dibangunkan bagi mengurangkan kesesakan sekolah melalui kerjasama strategik antara KPM dan JKR.

    “Di peringkat KPM dan JKR, kita sudah memulakan pelaksanaan pada Mei 2025 dan kebanyakannya telah siap 100 peratus. Ini merupakan antara reformasi penting KPM dalam aspek pembangunan dan infrastruktur pendidikan negara.

    “Alhamdulillah, pendekatan ini memberi kesan langsung dan bagi saya merupakan satu ‘game changer’ dalam soal infrastruktur pendidikan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sekolah Baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Seberang Perai Tengah, di sini, pada Ahad.

    Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, projek berkenaan melibatkan sebanyak 127 pembinaan di seluruh negara, dengan 70 daripadanya tertumpu di Selangor yang berdepan isu kepadatan sekolah paling ketara.

    Katanya, tempoh pembinaan yang singkat membuktikan pendekatan IBS berkenaan bersifat praktikal, berkesan dan sesuai untuk diperluaskan ke kawasan lain.

    “Hanya mengambil masa beberapa bulan untuk disiapkan dan ini menunjukkan pendekatan ini antara yang paling efektif setakat ini bagi mengatasi isu sekolah padat dan kelas padat,” ujarnya.

    Menurut beliau, KPM merancang untuk melaksanakan projek sama secara lebih besar-besaran pada tahun hadapan selain memastikan kemudahan kelas yang dibina digunakan sepenuhnya bermula sesi persekolahan baharu.

    “Insya-ALLAH, pada tahun hadapan kita akan melaksanakannya secara lebih menyeluruh dan memastikan kelas-kelas ini dimanfaatkan sepenuhnya apabila sekolah baharu dibuka,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13083

  • Editor agensi media maut kemalangan motosikal berkuasa tinggi di NKVE

    Editor agensi media maut kemalangan motosikal berkuasa tinggi di NKVE

    KUALA LUMPUR 14 Dis – Seorang editor sebuah agensi media tempatan maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan motosikal berkuasa tinggi di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.05 malam ketika lelaki berusia 52 tahun itu dalam perjalanan dari Tapah, Perak menuju ke kediamannya di Bangsar.

    Menurut beliau, sebaik tiba di Kilometer 457.1, mangsa yang menunggang motosikal jenis Ducati dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas.

    “Motosikal terbabit melanggar penghadang jalan dan mangsa terjatuh, mengakibatkan kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Shamsudin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Sungai Buloh.

    “Mayat mangsa kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk proses bedah siasat yang dijalankan pada jam 9 pagi hari ini,” katanya.

    Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka atau sebarang maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13084

  • Sesi rueda percuma di taman pikat warga kota

    Sesi rueda percuma di taman pikat warga kota

    HATI wanita itu berdebar-debar ketika pertama kali menyertai rakannya ke sesi tarian Latin, Rueda At The Park KL yang dianjurkan di Taman Jaya Park, Petaling Jaya, Selangor. Suasana taman yang lazim dihidupkan dengan gerak kecergasan zumba, aerobik atau tai chi kini dipenuhi irama salsa, membangkitkan keterujaan dan rasa ingin mencuba yang belum pernah dialami sebelumnya. Namun pemilik nama Nurul Afiqah Abd. Lajid yakin untuk hadir ke sesi percuma tersebut kerana ia bersifat mesra pemula dan sesuai untuknya walaupun tiada pengalaman……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/14/sesi-rueda-percuma-di-taman-pikat-warga-kota/

  • Piala FA: JDT mahu luaskan dominasi

    Piala FA: JDT mahu luaskan dominasi

    JOHOR Darul Ta’zim (JDT) enggan kelab lain menjadi ‘pengacau’ dalam misi mengekalkan penguasaan di peringkat domestik buat tahun ketiga berturut-turut menjelang aksi final Piala FA menentang Sabah FC di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam ini.

    Pengendali skuad Harimau Selatan, Xisco Munoz mengakui pasukannya terdesak untuk meneruskan kesinambungan mendominasi saingan tempatan selepas melakar hatrik trebel sejak tahun 2022.

    “Saya harap dapat berikan prestasi maksimum kerana pasukan sudah ada perancangan khusus kerana ini adalah aksi final. Saya menuntut agar pemain berikan 200 peratus di atas padang.

    “Selain itu, cukup penting buat pasukan kekalkan kejuaraan memandangkan misi untuk melihat JDT kekal mendominasi saingan di negara ini.

    “Saya sangat berharap kita dapat meneruskan kesinambungan apa yang telah dilakukan oleh pasukan musim lalu walaupun sedar mana-mana aksi final sangat sukar,” katanya pada sidang akhbar sempena perlawanan akhir di SNBJ semalam.

    Dalam masa sama, jurulatih dari Sepanyol itu menyeru agar pasukan tidak memandang rendah keupayaan Sabah yang berjaya menyingkirkan pasukan pilihan, Selangor FC di separuh akhir.

    “Sabah adalah pasukan berkualiti dan kita telah melakukan analisis corak permainan mereka ketika bertemu Selangor. Saya tak mahu terlalu fikirkan kekuatan lawan kerana fokus dengan persiapan pasukan,” katanya.

    Sementara itu, JDT agak tempang pada aksi final malam ini tanpa kelibat beberapa tonggak utama seperti Juan Muniz, Arif Aiman Hanapi, Ager Aketxe dan Bergson da Silva.

    Kapten JDT, Natxo Insa berpandangan krisis kecederaan serius yang membadai skuad utama ketika ini adalah salah satu ‘asam garam’ dalam dunia bola sepak.

    “Ia bukan isu kerana kita memiliki skuad yang besar dan semua pemain cukup bermotivasi untuk beraksi di pentas final.

    “Ini adalah cabaran yang perlu kita hadapi tetapi kita tetap perlu harumkan nama pasukan dan beraksi dengan baik demi penyokong setia,” katanya.

    Sebagai rekod, JDT yang telah menjuarai trofi Piala FA tiga kali berturut-turut, kali terakhir tewas di pentas final adalah empat tahun lalu selepas kalah 0-2 kepada Kuala Lumpur City FC pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2021. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/14/piala-fa-jdt-mahu-luaskan-dominasi/