Category: JNJ-MEDIA

  • Wanita dakwa isteri penjenayah ditembak mati rupanya kekasih, ada 10 rekod jenayah

    Wanita dakwa isteri penjenayah ditembak mati rupanya kekasih, ada 10 rekod jenayah

    MELAKA 13 Dis – Wanita yang mendakwa sebagai isteri kepada penjenayah yang ditembak mati polis di Durian Tunggal bulan lalu sebenarnya hanyalah kekasih si mati dan memiliki 10 rekod jenayah lampau.

    Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, wanita terbabit tinggal serumah dengan penjenayah berkenaan di Durian Tunggal sejak lebih tiga tahun lalu.

    “Isteri sebenar penjenayah itu berada di Johor dan sudah lama ditinggalkan,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette.

    Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Legasi 04 RXZ X 125 ZR Melaka Attack 2025 yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, di Dataran MITC, malam tadi.

    Menurut Dzulkhairi, pihak polis kini sedang memburu bapa kepada wanita berkenaan yang mempunyai 24 rekod jenayah lampau termasuk kes bunuh.

    Katanya, pendedahan itu dibuat bagi menjawab persoalan wartawan berhubung kesahihan dakwaan membabitkan dua beranak tersebut selepas isu berkenaan tular di media sosial.

    “Memang benar kedua-dua mereka mempunyai rekod jenayah lampau. Wanita itu mempunyai rekod kes curi kenderaan, samun serta cubaan bunuh, selain terlibat dalam kes samun pada Julai lalu di Jasin.

    “Bapanya pula mempunyai 24 rekod jenayah antaranya curi kenderaan, samun, cubaan bunuh dan bunuh, selain kini diburu polis bagi membantu siasatan kes curi kenderaan serta curi dalam bangunan,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13077

  • Paras air Sungai Klang lepasi tahap bahaya susulan hujan lebat

    Paras air Sungai Klang lepasi tahap bahaya susulan hujan lebat

    KUALA LUMPUR 13 Dis – Hujan lebat yang melanda ibu kota sejak awal pagi tadi menyebabkan Sungai Klang merekodkan bacaan paras air melepasi tahap bahaya, sekali gus mencetuskan kebimbangan risiko banjir kilat di beberapa kawasan rendah.

    Berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi portal Public InfoBanjir setakat jam 10.40 pagi, stesen aras air di Saluran Keluar Kolam Takungan Flat Sri Johor mencatatkan bacaan 33.04 meter (m), melepasi tahap bahaya iaitu 32.66m.

    Selain itu, stesen aras air Sungai Slim di Slim River, daerah Muallim, Perak turut merekodkan paras air melepasi tahap bahaya apabila bacaan mencapai 25.44m berbanding paras bahaya 25.40m.

    Di Sarawak, dua stesen aras air di Miri iaitu Long Teru dan Marudi turut menunjukkan bacaan melepasi tahap bahaya. Lembangan Batang Baram di stesen Long Teru merekodkan paras air 8.52m, melebihi tahap bahaya 8m, manakala stesen Marudi mencatatkan bacaan 3.86m berbanding paras bahaya 3.25m.

    Sementara itu di Selangor, stesen Sungai Langat di Jenderam Hilir, Sepang merekodkan paras air melepasi tahap amaran apabila mencatatkan bacaan 10.93m berbanding tahap amaran 10.70m.

    Dalam perkembangan sama, JPS memaklumkan beberapa stesen aras air di Kedah, Johor dan Pahang turut mencatatkan bacaan melepasi tahap waspada.

    Orang ramai dinasihatkan sentiasa berwaspada, memantau perkembangan semasa serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13078

  • ‘Teringin menang macam Mak Iti’ – Umairah pecah rekod ABPBH

    ‘Teringin menang macam Mak Iti’ – Umairah pecah rekod ABPBH

    KUALA LUMPUR – Penyanyi Umairah melakar sejarah tersendiri dalam kerjaya seninya apabila diumumkan pemenang kategori Artis Baharu Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-37 (ABPBH37) hari ini.

    Kemenangan tersebut sekali gus menjadikan Umai atau nama sebenarnya Ummi Umairah Saiful Anuar, 14, sebagai pemenang termuda sepanjang penganjuran ABP.

    Dia juga memadamkan rekod milik ibu saudaranya yang juga Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang sebelum ini memegang gelaran pemenang termuda dalam sejarah ABP.

    “Saya berterima kasih kepada semua yang mengundi. Pada usia 14 tahun, ini anugerah paling indah pernah saya dapat, memang tak pernah jangka pun.

    “Tanpa sokongan semua, saya takkan berada di sini.

    “Sebenarnya ini impian sejak kecil sebab saya memang minat menyanyi dan anugerah ini juga penghargaan untuk keluarga saya,” katanya.

    Dia juga menjadikan Siti sebagai inspirasinya dalam mengejar pelbagai kejayaan sebagai anak seni.

    “Tengok Mak Iti (panggilan Siti) menang dulu buatkan saya terinspirasi.

    “Saya memang teringin nak menang anugerah sama seperti dia,” katanya lagi.

    Dalam kategori tersebut, Umai menewaskan sembilan pencabar lain iaitu Aqeesh Aleeya, Arabella Ellen, Arena Wan, Auni Yusri, Marygrace, Qila Shahirah, Qistina Rania, Saidah Kamarudin dan Wanie Ooi.

    Terdahulu, Siti memenangi gelaran Bintang Paling Popular 1996 ketika berusia 17 tahun yang merupakan pemenang termuda pada ketika itu. – HIBGLAM

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/12/teringin-menang-macam-mak-iti-umairah-pecah-rekod-abpbh/

  • Ernie Zakri bintang paling popular, raih lebih 124 juta undian

    Ernie Zakri bintang paling popular, raih lebih 124 juta undian

    KUALA LUMPUR – Melakar sejarah baharu, penyanyi Ernie Zakri diumumkan sebagai bintang paling popular pada Anugerah Bintang Paling Popular ke-37 di sini semalam.

    Pemilik nama penuh Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, itu meraih undian tertinggi berjumlah lebih 124 juta sepanjang tempoh undian dibuka bermula September lalu.

    Kemenangan tersebut sekali gus melayakkan Ernie membawa pulang RM30,000 berserta trofi.

    “Ya Allah, saya tak pernah jangka, terima kasih kepada semua yang mengundi.

    “Jauh dari sudut fikiran nak dapat ini, saya hargai semua dan doakan agar dapat lakukan lebih baik,” katanya sebak yang tidak pernah menjangkakan kemenangan tersebut.

    Dalam acara sama, pelantun lagu Masing Masing itu juga memenangi kategori Penyanyi Wanita Popular yang sememangnya diimpikan sejak dahulu.

    Sweet Qismina dan Fattah Amin pula menggondol trofi Aktres serta Aktor Filem Popular.

    Manakala, Haiza pula merangkul trofi pertama iaitu Penyampai Radio Popular mengalahkan DJ Lin, AG, Cik Piah dan DJ Sonic.

    Kemenangan kumpulan KRU menerusi kategori Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular mengenepikan saingan terdekat seperti Dolla selain membuktikan penyanyi senior masih kekal relevan selepas lebih tiga dekad.

    Sementara, kumpulan legenda Alleycats yang popular menerusi lagu Sampaikan Salam Cintaku menerima trofi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat bagi menghargai sumbangannya sebagai anak seni sejak lima dekad lalu.

    Bertemakan Satu Keunggulan, ABP37 yang berlangsung di Hotel Premiera dihoskan Raja Azura dan Shiha Zikir.

    Senarai pemenang ABP37:

    Bintang Paling Popular ABPBH 37: Ernie Zakri

    Artis Baharu Lelaki Popular: Jazmy Juma

    Artis Baharu Wanita Popular: Umairah

    Penyanyi Lelaki Popular: Hael Husaini

    Penyanyi Wanita Popular: Ernie Zakri

    Artis Kolaborasi / Duo / Berkumpulan Popular: KRU

    Aktor Filem Popular: Fattah Amin

    Aktres Filem Popular: Sweet Qismina

    Aktor Pembantu Filem Popular: Adam Lee

    Aktres Pembantu Filem Popular: Heliza Helmi

    Aktor TV Popular: Zahiril Adzim

    Aktres TV Popular: Emma Maembong

    Aktor Pembantu TV Popular: Nazim Othman

    Aktres Pembantu TV Popular: Raja Azura

    Penyampai Radio Popular: Haiza

    Pengacara TV Popular: Fiza Sabjahan

    Artis Komedi Popular : Joey Daud

    5 kategori sampingan Ekstra Tonton Paling Popular:

    Gandingan Serasi Drama Popular: Anna Jobling & Shukri Yahaya

    Gandingan Serasi Filem Popular: Emma Maembong & Iedil Putra

    Lagu Paling Boom Popular: Nurcinta – Amir Masdi

    Artis Kontroversi Popular: Fattah Amin

    Seller Terpaling Popular: Datuk Seri Aliff Syukri

    Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat: Kumpulan Alleycats

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/12/ernie-zakri-bintang-paling-popular-raih-lebih-124-juta-undian/

  • Ritma Kinabalu 2025 angkat warisan muzik Sabah

    Ritma Kinabalu 2025 angkat warisan muzik Sabah

    KOTA KINABALU – Program Ritma Kinabalu 2025 anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) di Tapak Dataran, Kompleks Sukan Kota Kinabalu di sini berlangsung dengan meriah baru-baru ini.

    Program yang dikenali sebagai Rhythms of Kinabalu (ROK) itu dilaksanakan menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Produksi Seni Kreatif bermula 5 sehingga 8 Disember lalu.

    JKKN dalam kenyataannya berkata, objektif program edisi ke-11 adalah untuk memartabatkan seni muzik tradisional dan mengu­kuhkan kedudukan Sabah sebagai destinasi pelancongan budaya bertaraf antarabangsa.

    “Bertemakan ‘Irama & Alam’, ia menekankan integrasi seni tradisional dan kontemporari melalui persembahan instrumen warisan seperti kulintangan, sompoton, gong, seruling dan tagunggu digabungkan dengan instrumen moden serta teknologi muzik terkini.

    “Pendekatan ini menunjukkan komitmen berterusan untuk memastikan warisan muzik Sabah terus hidup dan relevan dalam landskap kreatif masa kini,” katanya.

    Majlis Perasmian Ritma Kinabalu 2025 disempurnakan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Josie Lai Mei Sing dan dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Kebudayaan dan Kesenian) JKKN, Mohd. Radzi Omar.

    Antara yang menjadi tumpuan ialah Malam Lestari Ritma Kinabalu, Kampung ROK Cultural Village Experience, Tamu Seni (Borneo Art Bazaar & Creative Market), Pertandingan Ekstravaganza Seni Muzik, Miss ROK 2025, Ratu Kebaya Cilik dan Madodong Food Festival ROK.

    Program turut dimeriahkan dengan Carshow Borneo Festival@ROK 2025 yang berjaya menarik kehadiran lebih 200 pe­nyertaan pemilik kenderaan.

    Buat pertama kali­nya, ROK turut memperkenalkan Kampung ROK Cultural Village Experience yang menampilkan kehidupan kampung etnik Kadazan, Dusun, Murut, Bajau dan Rungus melalui demonstrasi masakan tradisi, permainan alat muzik, adat resam, pembuatan Linangkit, permainan rakyat dan persembahan. -KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/13/ritma-kinabalu-2025-angkat-warisan-muzik-sabah/

  • Nat Hair Salon tampung bajet bulanan

    Nat Hair Salon tampung bajet bulanan

    TAIPING – Kesanggupan untuk belajar sesuatu yang baharu membolehkan seorang wanita dari Taman Sungai Mas, di sini bergelar usahawan dengan pendapatan selesa bagi menampung keperluan keluarga.

    Nor Azwani Natrah Abu Bakar, 36, berkata, dia tidak menyangka 2025 akan menjadi tahun bermakna dalam kehidupannya untuk memulakan karier baharu sebagai pengusaha salon rambut.

    Katanya, perjalanannya untuk menjadi pemilik salon Nat Hair Salon Tpg bermula sejak Mei lalu apabila dia diterima sebagai peserta program Proper A di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Pe­rak (MAIPk).

    “Memang sebelum saya tidak memiliki sebarang pengetahuan mengenai bidang salon kerana pengalaman kerja sebelum ini ha­nyalah sebagai jurujual dan tukang jahit di sebuah kilang berdekatan.

    “Bagaimanapun, ia bukanlah masalah kerana tenaga pengajar dari Fauzana Legacy Academy yang dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan kursus Kursus Gunting Rambut Lelaki dan Perempuan adalah golongan mahir daripada industri,” katanya kepada Kos­mo! di sini, semalam.

    Nor Azwani Natrah berkata, sebagai seorang peserta yang berjaya menamatkan kursus tersebut, dia dilengkapi ilmu berkaitan se­perti teknik memotong dan mencuci rambut, selain aspek pengurusan perniagaan serta pelanggan.

    Menurut ibu kepada seorang anak itu, dia menjalankan perniagaan salon di halaman kediamannya bermula Ogos lalu.

    “Perniagaan saya ini bertempat di dalam sebuah kontena yang diubah suai sebagai ruang kerja. Kontena sama turut saya gunakan bagi sebuah lagi perniagaan yang dilaksanakan sejak 2020 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu menjual surprise bouquet ataupun jambangan hadiah.

    “Selain bekerja dari rumah, saya juga memanfaatkan bantuan motosikal dari MAIPk, yang mana ia digunakan untuk mengunjungi rumah para pelanggan yang tidak dapat hadir ke salon terutamanya golongan warga emas,” katanya.

    Dia berkata, harga perkhidmatan yang ditawarkan seperti memotong, mencuci dan mewarna rambut agak rendah berbanding pasaran, iaitu bermula RM10 dan boleh mencecah sehingga RM130 kerana dia tidak menyewa premis seperti pemain industri lain.

    Pada permulaannya, menurut Nor Azwani Natrah, salonnya ha­nya mampu menarik sekitar lapan orang pelanggan, namun usaha untuk mempromosikan perniagaan semakin membuahkan hasil apabila sehingga 40 pelanggan kini mendapatkan khidmatnya dalam sebulan.

    “Alhamdulillah, pendapatan diraih buat peringkat permulaan ini mampu mencecah RM1,000 sebulan dan ditambah dengan hasil perniagaan jambangan hadiah, saya meraih kira-kira RM3,000 sebulan,” katanya.

    Program Proper A MAIPk menepati flagship pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad iaitu Program Pemboleh­dayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/13/nat-hair-salon-tampung-bajet-bulanan/

  • Jangan terlalu gembira dengan cuaca panas

    Jangan terlalu gembira dengan cuaca panas

    BAH gelombang pertama yang melanda Kelantan pada 21 November lalu menjejaskan lebih 11,000 mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dari 10 daerah.

    Banjir kali ini tertumpu di kawasan berhampiran pantai dan muara seperti di Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh dan Tumpat. Kawasan yang terletak di lembangan Sungai Golok dan Sungai Kelantan terutama Pasir Mas yang secara tradisinya merupakan zon risiko tinggi bencana kurang terjejas ketika bah gelombang pertama.

    Air juga cepat surut apabila semua PPS ditutup sepenuhnya pada 2 Disember lalu. Siri hujan berterusan di Kelantan baru-baru ini hanya berlaku dalam tempoh lima hingga enam hari sebelum cuaca panas dan kering melanda seluruh negeri itu.

    Meskipun air surut, rata-rata penduduk di Pasir Mas dan Gua Musang sebelum ini tidak mahu pulang ke rumah kerana khuatir gelombang kedua akan berlaku dalam masa terdekat.

    Bagaimanapun, jangkaan mereka meleset apabila cuaca dilaporkan panas sejak hujung November lalu sehingga menyebabkan mangsa yang tinggal di PPS mengambil keputusan pulang ke rumah pada 2 Disember lalu.

    Tidak seperti tahun lalu, tarikh 27 November hingga awal Disember merupakan tempoh getir banjir gelombang pertama di Kelantan apabila jumlah mangsa melebihi 100,000 orang di 10 daerah.

    Mengulas mengenai cuaca panas ketika Monsun Timur Laut (MTL), Pensyarah Kanan Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan, Dr. Mohamad Faiz Mohd. Amin berkata, musim tengkujuh biasanya bermula pada pertengahan November hingga Mac tahun hadapan.

    Katanya, sepanjang tempoh itu, terdapat episod hujan berterusan (monsoon surge) dan fasa monsoon break iaitu tempoh lebih panas atau kering antara dua gelombang hujan.

    “Negeri di Pantai Timur termasuk Kelantan ketika ini berada dalam fasa jeda monsun kerana awan ribut kurang terbentuk disebabkan tiada sistem tekanan rendah yang aktif di Laut China Selatan.

    “Bagaimanapun, episod hujan lebat masih boleh berulang sekiranya berlaku semula episod hujan berterusan dan sistem tekanan rendah di kawasan Pantai Timur,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

    Menurutnya, cuaca panas ketika ini tiada hubungan atau petanda untuk dikaitkan dengan banjir lebih buruk. Katanya, cuaca panas ketika ini menjurus kepada fasa jeda monsun atmosfera yang berada dalam keadaan sementara stabil.

    “Bagaimanapun, orang ramai tidak boleh terlalu gembira dengan situasi cuaca panas yang melanda bukan sahaja di Kelantan, sebaliknya seluruh negara.

    “Ini kerana, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan beberapa episod hujan berterusan boleh menyebabkan banjir besar jika bertembung dengan air pasang besar,” ujarnya.

    Beliau memberitahu, di Kelantan khususnya, Disember merupakan bulan puncak hujan dan secara klimatologi terdapat kemungkinan gelombang kedua banjir yang lebih buruk meskipun masa dan tempohnya tidak dapat dikenal pasti.

    Tambahnya, pola hujan berterusan selepas ini mungkin boleh beralih ke arah hulu Kelantan, Hulu Terengganu atau sempadan Thailand yang mengakibatkan bah mengalir ke Sungai Kelantan dan Sungai Golok.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/13/jangan-terlalu-gembira-dengan-cuaca-panas/

  • Jual emas, kereta BMW rawat isteri sakit kanser

    Jual emas, kereta BMW rawat isteri sakit kanser

    PETALING JAYA – Tiada apa yang lebih berharga buat seorang lelaki apabila isteri yang sakit kembali sihat dan mampu me­nguruskan diri.

    Disebabkan itu, Ahmad Hamada Ayueman, 29, sanggup berkorban dengan menjual setiap satu barang miliknya demi mengumpul belanja rawatan isterinya, Siti Nuraifat Bueraheng, 25, atau lebih mesra dipanggil Aifat yang menderita kanser sarcoma tisu lutut tahap empat sejak tahun lalu.

    “Saya tidak suka berhutang. (Jadi) saya jual apa yang ada termasuk emas. Sekarang, saya sedang berusaha menjual kereta BMW e90 untuk menampung rawatan isteri tercinta,” katanya kepada Kosmo!.

    Ahmad Hamada berkata, penderitaan isterinya bermula dengan bengkak kecil pada bahagian lutut kanan selepas terbabit kemalangan dengan motosikal pada 2021, setahun sebelum mereka berkahwin.

    “Tengok macam biasa (kesan kemalangan), laporan X-ray pun tiada yang patah atau retak. Aifat kuat orangnya, dia cuma berurut. Tapi lama-kelamaan bengkak itu semakin besar dan sakit.

    “Selepas berkahwin, saya rasa tak sedap hati melihat keadaan­nya lalu membawa isteri ke hospital swasta tapi doktor pun tak pasti punca bengkak,” katanya.

    Menurutnya, pemeriksaan lanjut di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkan isteri menghidap kanser dan sehingga kini kos rawatan telah mencecah puluhan ribu ringgit merangkumi pembedahan lutut, ujian MRI dan lampin pakai buang.

    “Status kesihatan Aifat semakin merosot dan sukar ber­gerak. Saya juga terpaksa berhenti kerja di sebuah restoran kerana menguruskan isteri yang terlantar,” ujarnya.

    Katanya, sejak awal rawatan di HKL sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) tahun lalu, dia telah memohon pelbagai bantuan untuk pesakit kanser termasuk Majlis Kanser Nasional.

    “Sejak dari awal rawatan sehinggalah keadaan Aifat makin tenat hari ini, masih belum ada rezeki untuk kami. Saya faham mungkin (faktor) isteri saya orang luar (Thailand), tetapi kami mempunyai sijil nikah yang sah di negara ini.

    “Aifat juga mempunyai permit visa untuk mengikut suami selama empat tahun. Saya merayu kepada orang ramai yang dapat berkongsi sekiranya ada saluran lain untuk kami memohon bantuan. Saya tidak akan menyerah selagi Aifat masih bernafas,” ujar bapa kenapa dua anak itu.

    Orang ramai yang ingin ­menyumbang boleh menyalurkannya melalui akaun Maybank milik Ahmad Hamada Ayueman bernombor 5640 9852 5536.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/13/jual-emas-kereta-bmw-rawat-isteri-sakit-kanser/

  • Sukan SEA: Puripol mahu lagi pantas dari 9.94s

    Sukan SEA: Puripol mahu lagi pantas dari 9.94s

    BANGKOK – Larian bersejarah Puripol Boonson mencetuskan sensasi di Stadium Nasional Suphachalasai apabila jaguh muda Thailand itu melonjak sebagai pelari Asia Tenggara pertama menembusi tembok keramat 10 saat (s) dalam acara 100 meter (m).

    Pelari berusia 19 tahun dari Surin itu mengejutkan seluruh stadium pada saringan awal apabila merakam masa 9.94s, meleburkan rekod Sukan SEA, 10.17s milik legenda Indonesia, Suryo Agung Wibowo serta mengetepikan catatan terpantas Asia Tenggara 10.03s dipegang Lalu Zohri.

    Puripol kemudian mengukuhkan statusnya sebagai raja pecut Asia Tenggara apabila menjuarai final dengan catatan 10.00s, meninggalkan pemenang pingat perak, Lalu Zohri (10.25s) dan wakil Malaysia, Danish Iftikhar Roslee (10.26s) di tempat ketiga.

    “Saya sangat gembira kerana dapat memecahkan rekod dan berlari bawah 10s. Ia sesuatu yang saya impikan sejak lama,” katanya sambil menegaskan pencapaian itu tidak mungkin berlaku tanpa sokongan keluarga.

    Katanya, kekuatan mental dan fizikalnya kembali pulih selepas menjalani latihan baharu di bawah jurulatih asing yang dibawa masuk tiga bulan lalu.

    Puripol mencuri tumpuan apabila menyapu bersih emas 100m, 200m dan 4x100m pada edisi Sukan SEA Hanoi 2021 sebelum meraih perak 100m Sukan Asia Hangzhou 2022, satu perak Kejohanan Asia 2025 dan naib juara Sukan Universiti Dunia 2025.

    Puripol mengakui tekanan untuk mengulangi prestasi dilakukan semasa saringan menyebabkan catatannya tidak melepasi 10s sekali lagi di final.

    “Sebelum final saya memang rasa tertekan, jadi agak sukar untuk ulang 9.94s, tetapi saya tetap sangat bangga dengan emas ini,” ujarnya. – AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/13/sukan-sea-puripol-mahu-lagi-pantas-dari-9-94s/

  • Bekas komando kena ‘pukau’, RM200,000 lesap

    Bekas komando kena ‘pukau’, RM200,000 lesap

    SEREMBAN – “Saya tidak tahu macam mana boleh terper­daya dengan rakan sekolah lama macam kena pukau, saya tidak sedar boleh beri semua duit kepada dia.” Begitulah kekesalan yang diluahkan seorang bekas komando tentera yang kerugian lebih RM200,000 selepas ditipu rakannya yang menawarkan peluang perniagaan dengan menjadi rakan kongsi dalam bisnes minyak masak bersubsidi. Mohd. Zaidi Nordin, 42, berkata, duit simpanan dan ganjaran tamat perkhidmatannya ‘lesap’ begitu sahaja dan hanya tinggal RM1 dalam akaun bank. Lebih menyedihkan, kehidupannya jatuh merundum sehingga……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/13/bekas-komando-kena-pukau-rm200000-lesap/