Category: JNJ-MEDIA

  • ‘Dalam penjara, selain tunggu mati, mereka tunggu waktu solat’

    ‘Dalam penjara, selain tunggu mati, mereka tunggu waktu solat’

    SETIAP manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Takdir menggauli manusia dengan bermacam cara, namun setiap orang juga berhak mendapat peluang kedua untuk memperbaiki kesilapan lalu.

    Begitu juga dengan bekas penyampai radio popular, Ismahalil Hamzah, 51, yang mendapat peluang kedua paling besar dalam hidup apabila dibebaskan daripada penjara dan terlepas hukuman gantung atas kesalahan memiliki dan mengedar dadah jenis kanabis.

    Isma yang pernah mencipta populariti sebagai DJ radio era 1990-an menerusi stesen Radio Muzik dan THR didakwa pada 27 Ogos 2021 atas kesalahan mengedar dadah jenis kanabis dengan anggaran berat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

    Jika sabit jika sabit kesalahan, membawa hukuman berat termasuk gantung sampai ati.

    Namun pada 17 Julai 2023, lelaki bertubuh tegap itu dibebaskan selepas pihak pembelaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

    Dua tahun menjalani kehidupan di sebalik tirai besi sebenarnya banyak membuka mata dan pintu hati pengasas radio Bapakku FM itu.

    Menurut Isma, dia banyak belajar tentang makna sebenar erti kebebasan dan bagaimana kebergantungan manusia terhadap Pencipta.

    “Saya belajar mensyukuri nikmat kebebasan. Saya masih ingat ketika dalam perjalanan dari penjara ke mahkamah. Dari atas lori itu kita boleh lihat kehidupan orang di luar. Lihat suami isteri naik motor, kereta bersama.

    “Melihat situasi tersebut sahaja boleh buatkan kita ‘down’ nak pecah kepala. Bila kita kembali ke dalam sel, dikurung, ada yang tidur di atas lantai. Sampai satu tahap saya pasrah. Pasrah dan reda, tidak sekadar di mulut, kita kena rasai sendiri.

    “Saya berdoa kepada Allah terima kasih kerana masukkan saya di dalam penjara. Sekarang baru saya tahu bagaimana rasa erti bersyukur. Di dalam penjara saya tidak pernah gagal solat lima waktu. Hanya Allah satu-satunya tempat untuk kita bergantung harap. Peguam, isteri, anak-anak, mereka tiada kuasa, hanyalah kasih sayang,” katanya.

    Ketika di dalam penjara, selain banyak bermuhasabah diri, Isma juga banyak melibatkan diri dengan aktiviti penjara seperti menjadi pengacara dan memberi motivasi.

    “Dalam penjara saya jadi pengacara untuk aktiviti sukan dan majlis hari raya. Saya juga beri motivasi kepada banduan-banduan yang kematian ibu bapa.

    “Duduk di dalam penjara, kita tak boleh fikir dunia luar, kita akan jadi separuh gila. Kita jalani sahaja kehidupan di dalam penjara. Penuhkan dengan aktiviti-aktiviti di dalam penjara.

    “Mungkin ramai orang yang menghina banduan di dalam penjara. Tetapi ketahuilah bahawa orang yang ada di dalam penjara, selain menunggu waktu mati, mereka juga menunggu waktu solat. Setiap kali azan sahaja mereka akan ambil wuduk dan solat. Jadi setiap hari tidak akan terasa lama kerana sentiasa menantikan waktu solat lima waktu,” dedahnya.

    Namun ada satu peristiwa yang membuatkan Isma benar-benar berduka adalah sewaktu anak perempuannya datang membawa bakal suami untuk meminta izin berkahwin.

    “Bayangkan perasaan saya ketika itu. Bakal menantu saya datang nak minta izin menikahi anak saya dengan melihat keadaan saya memakai baju penjara.

    “Saya bertanya kepadanya adakah dia mampu menjaga anak saya dengan baik. Tetapi dengan kuasa Allah, Alhamdulillah saya dibebaskan sebelum anak saya bernikah dan saya sendiri yang nikahkan dia. Saya buat kenduri, ketika itu saya jemput sekitar 2,000 jemputan, tetapi yang datang hampir 5,000 sampai sesak jalan,” ujarnya.

    Semasa dalam penjara, jauh di sudut hatinya, dia sentiasa percaya akan dibebaskan kerana yakin tidak bersalah.

    “Saya yakin saya akan dibebaskan satu hari nanti, cuma tak tahu bila. Tetapi saya bersyukur kerana saya dibebaskan lebih awal dan sempat melihat anak saya berkahwin,” jelasnya.

    Dua tahun di dalam penjara bermakna siaran radio Bapakku FM juga terpaksa menghentikan operasi. Apa yang dikesalkan Isma adalah rakan kongsinya yang lesap termasuk wang simpanan di dalam akaun bank.

    Apabila dibebaskan, dia terpaksa bermula dari bawah dan menggunakan wang simpanan sendiri untuk menghidupkan kembali Bapakku FM yang dibina sejak 2009.

    “Panjang kisahnya. Saya tidak mahu memburukkan sesiapa. Tetapi ketika dalam penjara saya mendapat perkhabaran bahawa radio saya ditutup. Rakan kongsi larikan diri, anggap saya sudah digantung sampai mati. Mereka anggap saya dah mati.

    “Saya selalu berdoa jika Allah bebaskan saya dari penjara, saya akan kembali on air dan buat balik radio Bapakku FM. Di dalam penjara saya ada baca buku bertajuk Bertemu Janji Allah. Saya khatam al-Quran tiga kali.

    “Jangan ingat bila kita dihukum kita jauh dari Allah. Sebenarnya Allah nak kita dekat dengan Dia. Dia tarik kita dengan pelbagai ujian supaya kita mensyukuri segala nikmat-Nya.

    “Ketika dalam penjara saya berjanji dengan Allah jika dibebaskan saya akan baca hadis dan buku Bertemu Janji Allah setiap kali on air. Sekarang bila on air, saya dahulukan dua hal itu,” ujarnya yang bersyukur masih diterima seadanya oleh para peminat,” katanya yang turut menerima tawaran berkhidmat di sebuah stesen radio popular sebaik dibebaskan.

    Namun kata Isma, dia lebih selesa menjadi penyampai di Bapakku FM sahaja kerana lebih bebas berkarya dan tidak perlu terikat.

    “Pada usia sebegini saya selesa bekerja sendiri. Saya cari kepuasan. Saya tidak mahu sekadar pergi kerja, balik kerja tunggu gaji. Saya mahu selepas habis tugas di konti, saya pulang dengan rasa puas. Topik dan lagu, saya yang tentukan mengikut isu semasa.

    “Biarpun Bapakku FM merupakan radio dalam talian tetapi kita sudah kumpul 2,000 ahli dalam kelab pendengar.

    “Kita juga ada Warung Bapakku FM untuk pendengar-pedengar berkumpul dan beriadah. Perkara ini sudah lama saya idamkan,” kongsinya.

    Ditanya apa lagi yang mahu dikecapinya selepas ini, kata Isma tiada apa lagi yang mahu dikecapi, selain menjalani kehidupan dengan tenang.

    “Sebenarnya saya banyak duduk di rumah luangkan waktu bersama keluarga. Bercucuk tanam, potong rumput dan cantikkan lagi warung saya. Dalam masa yang sama saya akan on air kerana itu adalah jiwa saya,” katanya.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/13/dalam-penjara-selain-tunggu-mati-mereka-tunggu-waktu-solat/

  • Banjir Aceh: Pelajar jerang air bah untuk diminum

    Banjir Aceh: Pelajar jerang air bah untuk diminum

    PETALING JAYA – Aceh Tamiang iaitu salah satu kawasan paling terjejas dalam kejadian banjir besar di tiga wilayah utama di Sumatera, Indonesia pada 27 November lalu kini diibaratkan sebagai kota sunyi tanpa sebarang aktiviti daripada penduduk sekitar. Gambaran suasana pilu itu diakui sendiri wakil pelajar Malaysia di sana yang meninjau lokasi bencana sehingga menyifat­kan kawasan itu sebagai tidak layak untuk didiami. Yang Di-Pertua Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) Medan 2025-2026, Nur Athirah Barudin berkata, penduduk serta pelajar terpaksa……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/13/banjir-aceh-pelajar-jerang-air-bah-untuk-diminum/

  • ‘Serah diri, letak senjata kami polis’

    ‘Serah diri, letak senjata kami polis’

    Amaran sebegini memang penjenayah takut. Kalau terserempak memang fikir hendak larikan diri sebab kalau tertangkap memang makan tak habis. Dalam terdesak nak lari, macam-macam cara cuba dibuat. Kalau yang ada pistol dia tembak. Kalau ada senjata dia libas. Kena tak kena belakang kira asalkan boleh lari, kalau bernasib baiklah. Namun, kebanyakannya gagal. Hampir semua kena tangkap atau mati terkena peluru polis. Kalau melawan dan lebih teruk cuba serang, bak kata orang Negeri Sembilan ‘memang pistollah makan eh.’ Jangan ingat orang…

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/13/serah-diri-letak-senjata-kami-polis/

  • Sukan SEA: Emas naib juara dunia amat istimewa

    Sukan SEA: Emas naib juara dunia amat istimewa

    BANGKOK – Naib juara dunia, C. Shahmalarani menganggap pingat emas karate kategori kumite wanita bawah 50 kilogram dimenanginya pada edisi Sukan SEA Thailand 2025 kali ini sangat istimewa buat dirinya.

    Shahmalarani menepati ramalan apabila mudah menguasai saingan memastikan emas kedua karate menewaskan wakil Myanmar, Florence Nay Chi Htun 4-0 dalam aksi final di Kompleks Kerajaan Ratthaprasasanphakdi, Bangkok semalam.

    “Jelas sekali ia sangat istimewa bagi saya. Ia adalah hadiah hari jadi dan saya juga mahu menyumbangkan emas ini untuk Malaysia. Menjadi salah seorang penyumbang pingat adalah detik yang membanggakan bagi saya untuk Malaysia.

    “Tekanan beraksi kali ini sangat tinggi selepas Kejohanan Dunia, kerana harapan sangat tinggi. Tetapi, saya berjaya mempertahankan pingat emas saya sekali lagi selepas edisi Sukan SEA di Vietnam dan Kemboja,” kata Shahmalarani yang berada di ranking kelima dunia.

    Bagaimanapun, Shahmalarani mengakui tidak tidak boleh terlalu gembira kerana fokusnya selepas ini akan beralih kepada acara berpasukan.

    “Kami ada acara berpasukan, jadi nikmati semua itu (kejayaan indvidu) hari ini sahaja, kemudian fokus buat acara berpasukan yang juga sangat penting untuk Malaysia.

    “Kami mahu menunjukkan kekuatan Malaysia sebagai satu pasukan itu sendiri. Untuk berpasukan wanita, kita raih emas pada edisi 2017 di Kuala Lumpur,” katanya.

    Pingat emas pertama kem karate negara semalam diraih oleh Thevendran Kaliana Sundram menerusi kategori lelaki bawah 55 kilogram (kg).

    Thevendran memperagakan aksi cukup garang apabila tidak memberi ruang kepada lawannya dari Vietnam, Chu Van Duc untuk bangkit sebelum mencatat kemenangan bersih 4-0.

    Kem karate semalam turut menyumbangkan dua pingat gangsa menerusi Adeola Fay Robert kategori bawah 55kg wanita dan Sureeya Sankar Hari Sankar (bawah 67kg lelaki). – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/13/sukan-sea-emas-naib-juara-dunia-amat-istimewa/

  • Si jahat muka ‘hodoh’ kesayangan dunia

    Si jahat muka ‘hodoh’ kesayangan dunia

    MENGGERUNKAN, namun meninggalkan dampak tersendiri dalam sanubari penonton seluruh pelosok dunia. Itu gambaran buat karakter ‘villain’ atau jahat sama ada melibatkan drama atau layar lebar yang mencetus fenomena.

    Tahun 2025 menyaksikan beberapa watak ikonik antagonis menjadi bualan ramai, tidak kira karakter yang sudah ‘diturunkan’ dari tahun ke tahun atau pun yang baru diperkenalkan kepada audiens.

    Berikut merupakan antara wajah mengerikan dunia sinema yang bukan sahaja membuatkan penonton kecut perut, bahkan menjadi kesayangan dek keberkesanan lakonan pemain yang dipertanggungjawabkan menterjemah karakter.

    PENNYWISE adalah tokoh paling terkenal bagi entiti jahat dalam novel IT karya Stephen King. Makhluk itu sebenarnya bukan badut, tetapi entiti kosmik kuno yang datang dari dimensi lain. Dia muncul setiap 27 tahun di bandar kecil Derry, Maine, untuk memburu mangsa, terutama kanak-kanak memandangkan ketakutan mereka menjadikannya lebih kuat.

    Pennywise mampu berubah bentuk mengikut ketakutan mangsa, memanipulasi minda dan mencipta ilusi ngeri, selain menggunakan rupa badut untuk menarik kanak-kanak kerana kelihatan tidak berbahaya. Pennywise akhirnya dikalahkan oleh The Losers’ Club, sekumpulan kanak-kanak yang berani menentangnya dengan kekuatan persahabatan, keyakinan dan keberanian.

    Lord Voldemort merupakan antagonis utama dalam siri Harry Potter. Dia dilahirkan sebagai anak hasil hubungan terpaksa antara seorang ahli sihir dan seorang Muggle (manusia biasa).

    Dia membesar di rumah anak yatim dan sejak kecil menunjukkan sifat kejam serta minat mendalam terhadap sihir gelap. Di Hogwarts, dia merupakan pelajar bijak dan karismatik tetapi obsesinya untuk mengatasi kematian membawa dia mencipta Horcrux, memecahkan jiwanya kepada beberapa bahagian untuk hidup kekal. Merupakan seteru utama Harry Potter, Voldemort antara karakter villain yang masih disayangi sehingga kini.

    ELPHABA Thropp ialah watak utama dalam naskhah Wicked, digambarkan sebagai ahli sihir wanita berkulit hijau yang sering disalahfahamkan. Dilahirkan dengan rupa luar biasa dan kuasa sihir kuat, dia kerap dipinggirkan sejak kecil. Ketika belajar di Shiz University, dia bertemu Glinda, dan hubungan mereka bermula dengan permusuhan tetapi akhirnya menjadi persahabatan yang mendalam.

    VECNA ialah villain utama dalam Stranger Things. Nama sebenarnya Henry Creel atau One, seorang kanak-kanak dengan kuasa psionik luar biasa yang membunuh keluarga sendiri dan akhirnya menjadi subjek eksperimen Dr. Brenner di Hawkins Lab. Dia merupakan percubaan pertama (001) dalam Program Anak Berkuasa.

    Selepas pertempuran dengan Eleven, Henry dihumban ke Upside Down, membuatkan dia berubah menjadi makhluk gelap yang dikenali sebagai Vecna, berbentuk ‘humanoid’ menyeramkan dengan tubuh seperti reput dan urat menjalar. Sebagai Vecna, dia memburu mangsa menggunakan trauma dan rasa bersalah mereka. Dia merasuki minda mangsa, memperlihatkan mimpi ngeri lalu membunuh dengan cara mematahkan tulang dan memecahkan mata mangsa sebelum ‘mengambil’ jiwa mereka.

    RAKSASA FRANKENSTEIN

    RAKSASA Frankenstein merupakan makhluk ciptaan Victor Frankenstein dalam novel tulisan Mary Shelley. Dihasilkan daripada bahagian tubuh manusia mati dan dihidupkan melalui eksperimen saintifik, makhluk fiksyen itu memiliki tubuh besar, wajah menakutkan dan kekuatan luar biasa, namun mempunyai hati yang lembut dan keinginan untuk disayangi.

    Apabila Victor menolak dan membiarkannya sendirian, raksasa itu bersendirian belajar tentang dunia manusia. Namun, penampilannya membuatkan masyarakat ketakutan dan memperlakukannya dengan kejam. Rasa sunyi, penolakan dan penghinaan berterusan akhirnya menukar makhluk itu menjadi penuh dendam. Makhluk tersebut kemudian menuntut Victor mencipta pasangan untuknya. Permintaan ditolak, lalu dia membalas dendam dengan membunuh orang yang disayangi Victor, menyebabkan berlakunya tragedi demi tragedi.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/13/si-jahat-muka-hodoh-kesayangan-dunia/

  • Tugu lambang keabadian ‘cinta’ SRK, Kajol

    Tugu lambang keabadian ‘cinta’ SRK, Kajol

    KEHEBATAN emosi cinta pasangan hero dan heroin terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan (SRK) dan Kajol tidak pernah gagal mencairkan hati peminat dunia, duhulu kini dan selamanya.

    Tahun ini genap 30 tahun filem romantik lakonan mereka, Dilwale Dulhania Le Jayenge (DDLJ) ditayangkan. Filem tersebut bukan sahaja popular di India malah menjadi fenomena global.

    Jika sebelum ini lokasi penggambaran yang dilakukan di Switzerland dan London menjadi pusat tumpuan ramai, kini peminat boleh melihat tugu ‘cinta’ hero dan heroin filem tersebut yang terletak di Leicester Square, London. Leicester Square merupakan antara lokasi penggambaran filem arahan Aditya Chopra itu dan DDLJ menjadi filem India pertama yang diberikan pengiktirafan seumpamanya.

    Sebelum ini karakter dalam filem popular Harry Potter, Mary Poppins, Paddington dan Singin turut diberi pengiktirafan yang sama.

    Acara pembukaan tugu pasangan tersebut dihadiri oleh kedua-dua pelakon berkenaan yang ditemani oleh anak masing-masing. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi Yash Raj Films, Akshaye Widhani.

    “Secara peribadi DDLJ adalah sebahagian daripada identiti saya. Saya sangat berbesar hati melihat filem ini termasuklah saya dan Kajol menerima begitu banyak kasih sayang daripada peminat sejak ditayangkan 30 tahun lalu,” kata SRK yang mahu ahli keluarganya melihat sendiri tugu tersebut di depan mata.

    Sementara itu Kajol pula tidak menyangka DDLJ masih meninggalkan impak besar meskipun sudah tiga dekad berlalu.

    “Sangat hebat melihat DDLJ terus menerima sambutan dan masih dicintai ramai biarpun selepas 30 tahun. Melihat tugu ini dipamerkan buat pertama kali di hadapan khalayak ramai terasa seperti satu sejarah. Sebuah kisah yang telah merentasi setiap generasi,” ujarnya.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/13/tugu-lambang-keabadian-cinta-srk-kajol/

  • ‘Tukar baju sebab nak balik, tak sangka menang’

    ‘Tukar baju sebab nak balik, tak sangka menang’

    KUALA LUMPUR – Meski menang besar, penyanyi Ernie Zakri menegaskan dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37) semalam adalah perkara yang tidak pernah dijangka sepanjang hidupnya sebagai anak seni.

    Menurut Ernie, 33, disebabkan itu, dia memilih untuk menukar pakaian dan pulang ke pangkuan keluarga selepas bertanya kepada pihak produksi.

    “Paling jujur, saya memang benar-benar tak sangka dan ada bertanya juga tadi (semalam) kepada pihak produksi, bolehkah saya balik?

    “Tapi respons diterima meragukan sebab mereka mahu saya kekal di acara tapi kalau saya nak pulang, mereka tidak menghalang.

    “Jadi, saya pilih jawapan terakhir iaitu pulang kerana saya ada seorang anak dan suami menunggu di rumah. Saya juga sudah tukar baju di hotel, sebab itu saya hanya berpakaian ringkas sebegini,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, semalam.

    Namun menurut Ernie, selepas menerima panggilan daripada pihak produksi, dia terpaksa turun daripada kereta akibat kesesakan lalu lintas dan berlari ke lokasi majlis agar tidak tiba lewat di lokasi acara.

    Tambahnya, dia juga sepatutnya pulang ke rumah kerana sudah merancang untuk meraikan kemenangan bagi kategori Penyanyi Wanita Popular bersama suami, Syamel dan anak perempuannya, Nur Khawla Soleha di sebuah restoran.

    “Walaupun trafik agak sesak, saya tetap bergegas dengan keluar daripada kereta dan berlari ke lokasi ABP37.

    “Mungkin disebabkan itu saya nampak agak mengah dan penat. Itulah kronologi sebelum saya naik pentas malam tadi.

    “Sebenarnya, Kalau boleh mahu peminat melihat saya dalam keadaan bersiap cantik, tetapi maaf kerana semuanya berlaku secara tiba-tiba,” ujarnya.

    Semalam, Ernie berjaya membawa pulang trofi Bintang Paling Popular ke-37 selepas meraih undian mencecah 124 juta sekali gus menewaskan pesaing lain iaitu termasuk Emma Maembong, Sweet Qismina, Tracie Sinidol dan Wani Kayrie.

    Dia turut menerima wang tunai berjumlah RM30,000 berserta trofi.

    Selain itu, dia juga mengungguli kategori Penyanyi Wanita Popular. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/13/tukar-baju-sebab-nak-balik-tak-sangka-menang/

  • ‘Syurga saya di bawah telapak kaki ibu’

    ‘Syurga saya di bawah telapak kaki ibu’

    KUALA LUMPUR – Detik penuh emosi terpancar di karpet merah Anugerah Bintang Popular Ke-37 (ABP37) malam tadi apabila pelakon sensasi, Anna Jobling dilihat berpelukan erat dengan ibunya, Ariz Arop selepas beberapa bulan berdepan kemelut keluarga.

    Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 25, mengakui hatinya cukup tersentuh dengan kehadiran wanita yang membesarkannya itu pada acara tersebut.

    “Doakan yang terbaik. Terima kasih kepada semua yang mendoakan untuk saya dan keluarga.

    “Apa-apa pun dia tetap ibu saya. Syurga saya tetap di bawah telapak kaki ibu saya,” katanya kepada Kosmo! Online.

    Tambah bintang filem Sukma itu, salah faham yang melanda keluarganya sebelumnya hanyalah ujian kecil dalam kehidupan dan menyifatkan doa ibu sangat penting buat dirinya.

    “Walau apa pun terjadi sebelum ini, doa ibu tetap paling penting dalam hidup saya.

    “Dia hadir menyokong saya malam ini. Kalau tiada dia, saya rasa kosong. Doakan yang terbaik buat kami,” ujarnya.

    Pelukan spontan mereka di karpet merah, ditambah detik manis merakam foto bersama sambil memegang trofi mencuri perhatian ramai.

    Selepas hampir tiga bulan hubungan keruh, babak itu memberi isyarat jelas bahawa hubungan ibu dan anak itu kembali jernih.

    Pada malam kemuncak ABPBH37, Anna turut meraih kemenangan dalam kategori Gandingan Serasi Drama Popular bersama Shukri Yahaya, menambah lagi nilai sentimental momen tersebut.

    Sebelum ini, kemelut hubungan mereka menjadi bualan hangat selepas tular video Ariz mendakwa dirinya diperlakukan seperti ‘anjing kurap’ dan dihalau peguam keluarga itu.

    Tidak lama kemudian, Ariz memuat naik foto berada di sebuah balai polis sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi, termasuk dakwaan Anna memohon perintah injunksi terhadapnya. — KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/13/syurga-saya-di-bawah-telapak-kaki-ibu/

  • Ganggu lalu lintas, ambulans, treler bawa helikopter di lebuh raya disiasat

    Ganggu lalu lintas, ambulans, treler bawa helikopter di lebuh raya disiasat

    SUBANG JAYA – Polis menjalankan siasatan terhadap sebuah treler yang membawa muatan sebuah helikopter di jalan awam sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas kenderaan awam yang lain.

    Ketua Polis Daerah Subang, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian menerusi video tular di TikTok sekitar pukul 8.06 malam, semalam.

    Menurutnya, kejadian itu didapati berlaku di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) menghala ke susur arah Jalan Persiaran Kewajipan di sini, kira-kira pukul 4.30 petang pada 4 Disember lalu.

    “Siasatan awal mendapati treler yang sedang membawa muatan sebuah helikopter tidak dapat melalui susur jalan tersebut akibat muatan terlalu panjang sehingga mengakibatkan kesesakan dan mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

    “Dalam kejadian ini juga sebuah ambulans turut dilihat terganggu perjalanannya akibat daripada kesesakan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Bagaimanapun, Wan Azlan berkata, pihak polis masih belum mengenal pasti nombor pendaftaran kenderaan yang terlibat.

    “Kes disiasat di bawah kaedah Rule 9(2) LN 166/59.

    “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd. Azizul Halim Roslan di talian 011-28914495,” ujarnya.

    Terdahulu, Kosmo! melaporkan sebuah lori yang membawa muatan helikopter dipercayai tersangkut di susur lebuh raya sehingga menyebabkan kesesakan trafik.

    Kejadian dipercayai berlaku di laluan berhampiran Bandar Sunway itu dirakam oleh orang awam yang berada di kawasan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/13/ganggu-lalu-lintas-ambulans-treler-bawa-helikopter-di-lebuh-raya-disiasat/

  • ‘Kostum duyung dahulu berat, kali ini utamakan keselesaan’

    ‘Kostum duyung dahulu berat, kali ini utamakan keselesaan’

    KUALA LUMPUR – Dikritik tidak berkualiti, aktres Maya Karin menegaskan pemilihan kostum untuk watak duyung yang dipakainya untuk filem Duyung: Legenda Aurora dihasilkan dengan mengambil kira aspek keselesaan sepanjang tempoh penggambaran.

    Maya atau nama penuhnya Maya Karin Roelcke berkata, pemilihan kostum tersebut adalah hasil perbincangan dan persetujuan penerbit, pengarah serta para pelakon.

    “Sebenarnya, untuk filem Duyung yang pertama, kostum yang dipakai saya mempunyai warna yang lebih natural, sangat berat dan sangat sukar untuk dipakai.

    “Tapi untuk kali ini, penerbit dan pihak produksi cuba memudahkan semua orang, bukan sahaja para pelakon tetapi juga kru di set penggambaran.

    “Kali ini, kami memilih untuk warna kostum yang boleh menceriakan dan meningkatkan lagi keindahan lautan supaya lebih seimbang dengan ikan-ikan, batu karang dan elemen lain,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, semalam.

    Ujar Maya lagi, filem yang bakal bertemu penonton di pawagam bulan ini mengetengahkan jalan cerita lebih segar selain banyak konflik yang akan diketengahkan.

    “Keistimewaan filem kali ini ialah duyung mempunyai kuasa mereka sendiri iaitu boleh berjalan di bumi yang nyata dan juga berenang, itulah kelainannya.

    “Semoga apa yang akan ditayangkan nanti memberi kepuasan kepada setiap penonton,” jelasnya.

    Terdahulu, segelintir netizen mendakwa kostum duyung yang dipakai Maya dan Anna Jobling kelihatan murah serta tiada kualiti selepas trailer ditayangkan.

    Mereka turut membandingkan kualiti kostum tersebut dengan filem Duyung terdahulu yang dilihat lebih realistik.

    Sekadar makluman, Duyung: Legenda Aurora bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 25 Disember 2025.

    Filem itu turut dibintangi Saiful Apek, Ayie Floor 88, Yasmin Hani, Yassin Senario, Datuk Yusry Abdul Halim, Nadia Brian, Kumpulan Zero, Aniq Aqil dan Aidilia Hilda. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/13/kostum-duyung-dahulu-berat-kali-ini-utamakan-keselesaan/