Category: JNJ-MEDIA

  • Mekanik didakwa liwat anak lelaki sindrom Down berusia 11 tahun

    Mekanik didakwa liwat anak lelaki sindrom Down berusia 11 tahun

    IPOH 12 Dis – Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas pertuduhan meliwat anak tiri lelakinya yang menghidap sindrom Down, minggu lalu.

    Menurut laporan Sinar Harian, lelaki berusia 40 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa yang berusia 11 tahun itu di sebuah rumah di Bandar Universiti, dalam daerah Perak Tengah, sekitar jam 7 malam pada 2 Disember 2025.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin warga tempatan yang bukan dalam kalangan ahli keluarga, memandangkan mangsa merupakan anak tiri kepada tertuduh.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan minimum atas alasan pendapatannya sebagai mekanik hanya RM1,800 sebulan, manakala pendapatan isterinya sebagai peniaga pakaian terpakai hanyalah RM500 sebulan.

    Dia turut memaklumkan bahawa perlu menyara dua anak termasuk mangsa.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dan menetapkan dua syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis pada setiap awal bulan serta dilarang mengganggu mangsa dan saksi sehingga kes selesai.

    Tarikh 29 Januari 2026 ditetapkan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan pelantikan peguam.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13060

  • ‘Duit tak banyak, tapi adalah saya simpan’ – Akmal Saleh serah simpanan haji RM120,000 demi selamatkan nyawa Medina

    ‘Duit tak banyak, tapi adalah saya simpan’ – Akmal Saleh serah simpanan haji RM120,000 demi selamatkan nyawa Medina

    KUALA LUMPUR 12 Dis – Kisah pengorbanan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh menyentuh hati ramai apabila beliau tampil menyalurkan wang simpanannya sebanyak RM120,000 bagi membantu seorang kanak-kanak, Medina, yang memerlukan pemindahan hati segera di China.

    Menerusi satu video yang dikongsi di media sosial, Dr. Muhamad Akmal dilihat berbual dengan ibu bapa Medina yang memaklumkan bahawa dokumen kelulusan rawatan sudah diperoleh, namun kos keseluruhan masih belum mencukupi untuk menampung rawatan kritikal itu.

    Beliau menjelaskan bahawa simpanan tersebut pada asalnya disediakan untuk menunaikan ibadah haji bersama isteri, namun beliau memilih untuk mengutamakan usaha menyelamatkan nyawa kanak-kanak berkenaan.

    “Duit tak banyak, tapi ada lah saya simpan. Rancang tahun ini dapat pergi haji berdua dengan orang rumah (isteri). Dalam simpanan memang betul ‘ngam-ngam’ (mencukupi) RM120,000. Memang ada pakej RM60,000 paling murah. Jadi berdua itu, genaplah RM120,000.

    “Mungkin Allah tak panggil saya lagi, duit ini memang untuk Medina kot. Esok, awak beritahu (pihak berkenaan), kita dah ada duit RM120,000 jadi (awak ada) RM60,000, sekarang kita ada RM180,000. Kita nak buat secepat mungkin,” katanya.

    Tindakan ikhlas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu meraih pelbagai reaksi positif daripada orang ramai yang memuji keprihatinan serta kemurahan hatinya.

    “Nanti Adik Medina masuk syurga, tarik Uncle (pak cik) Akmal dan isteri sekali okey. Saya menjadi saksi kebaikan yang Uncle Akmal telah buat hari ini,” ujar @One1.

    “Saya menjadi saksi atas kebaikan Dr. Akmal. Semoga Allah memberkati hidup YB (Yang Berhormat) sekeluarga,” komen @Echammdnoor.

    “Ya Allah, baiknya hati Dr. Akmal dan isteri. Walaupun kita berlainan parti, saya suka dan sokong perjuangan Dr. serta isteri. Insya-Allah, syurga buat Dr. Akmal dan zaujah Dr.,” ucap @Ameerulsobri.

    Dalam kapsyen TikTok beliau turut menulis:

    “Jika kita nak beri sesuatu pada orang, berilah apa yang paling kita sayang… Rezeki Medina Allah gerakkan saya kumpulkan duit dalam beberapa tahun ni ingatkan untuk gi haji tetapi sebenarnya untuk kos rawatan Medina rupanya. Moga Medina dipermudahkan segala urusan dan diberikan kesihatan yang baik seperti anak-anak yang lain.”

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13062

  • Pesta Pulau Pinang tahun ini yang terakhir sebelum berehat 6 tahun beri laluan projek LRT

    Pesta Pulau Pinang tahun ini yang terakhir sebelum berehat 6 tahun beri laluan projek LRT

    GEORGETOWN 12 Dis – Pesta Pulau Pinang ke-59 akan menjadi edisi terakhir dianjurkan di Tapak Pesta Sungai Nibong sebelum lokasi itu direhatkan kira-kira enam tahun bagi memberi laluan kepada pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.

    Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata langkah itu juga selaras dengan pelaksanaan projek Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) yang akan dijalankan oleh MRT Corp selaku pemaju.

    “Tahun lalu saya memaklumkan bahawa edisi ke-58 mungkin menjadi yang terakhir, namun MRT Corp hanya akan mengambil alih tapak ini pada April 2026. Perkembangan itu membolehkan Pesta Pulau Pinang diteruskan untuk edisi ke-59,” katanya ketika merasmikan Pesta Pulau Pinang 2025/2026 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib, malam tadi.

    Menurut Kon Yeow, Pesta Pulau Pinang berevolusi daripada sebuah karnival jualan sejak penganjurannya pada 1966 di Padang Kota Lama dan Lebuh Macallum, sebelum beroperasi sepenuhnya di Sungai Nibong pada 1974.

    Katanya, acara tahunan yang menjadi simbol identiti negeri itu menarik antara 350,000 hingga 500,000 pengunjung setiap tahun.

    Seiring penutupan sementara tapak bersejarah itu, nostalgia 59 tahun perjalanan Pesta Pulau Pinang diabadikan melalui pameran ‘Tradisi Merentasi Generasi’ anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri di Galeri Legasi Mutiara, termasuk mempamerkan koleksi tiket sejak 1978.

    “Tapak pesta seluas 8.14 hektar ini lengkap dengan pelbagai fasiliti seperti taman mini dan pavilion agensi kerajaan negeri termasuk Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, MBPP dan PDC.

    “Ia juga melambangkan hubungan diplomatik apabila menempatkan Pavilion Sumatera Utara, Sumatera Barat, Acheh dan Thailand, manakala Pulau Pinang sendiri mempunyai pavilion di Tapak Medan Fair, Sumatera Utara,” katanya.

    Pesta Pulau Pinang ke-59 berlangsung selama 36 hari bermula 6 Disember lalu hingga 10 Januari depan, bermula 6 petang hingga 11 malam pada hari bekerja serta 5.30 petang hingga 12 tengah malam pada hujung minggu dan cuti umum.

    Acara kali ini menampilkan pelbagai persembahan artis retro dan moden seperti Kristal, Hattan, Zamani, XPDC, Awie, Ella, Ukays, Ara Johari dan Haziq, selain Malam Pesta Berselawat bersama kumpulan nasyid seperti Inteam dan UNIC serta Ustaz Don.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13063

  • JPN akui kemungkinan penduduk sempadan Kelantan miliki dua kewarganegaraan

    JPN akui kemungkinan penduduk sempadan Kelantan miliki dua kewarganegaraan

    BACHOK 12 Dis – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengakui wujud kemungkinan segelintir penduduk yang tinggal di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan memiliki dua kewarganegaraan.

    Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias berkata, walaupun Malaysia tidak mengiktiraf dwi kewarganegaraan, pihaknya tidak menolak kemungkinan ada individu yang mengambil kesempatan memandangkan kedudukan geografi kawasan itu hanya dipisahkan oleh Sungai Golok.

    “JPN ambil maklum mengenai dakwaan rakyat kita yang tinggal di Thailand dan memegang kerakyatan negara itu, namun dalam rekod rasmi, kita hanya menyimpan status kewarganegaraan Malaysia sahaja.

    “Setakat ini, kita belum menerima maklumat lengkap mengenai individu yang mempunyai dua kerakyatan. Jika ada aduan rasmi, tindakan akan diambil mengikut Perkara 24 Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita pada Program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar).

    Program itu turut menyaksikan penyerahan MyKad kepada seorang petani, Shaharuddin Basir, 58, di Kampung Keting, Gunong, di sini, yang sebelum ini hanya menggunakan sijil kelahiran sebagai bukti kerakyatan.

    Mengulas lanjut, Badrul Hisham menjelaskan bahawa proses melucutkan kewarganegaraan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana ia perlu melalui prosedur ketat serta dipengerusikan seorang hakim yang dilantik.

    Menurutnya, jika aduan mengenai dua kerakyatan disahkan, individu terlibat boleh dilucutkan taraf warganegara.

    “Buat masa ini, tiada cadangan membuka proses penyerahan atau pelupusan kewarganegaraan secara sukarela. Dalam keadaan tertentu, mereka yang mempunyai dua kerakyatan boleh memilih untuk memegang salah satu taraf.

    “Namun Malaysia tetap tidak mengiktiraf dwi kewarganegaraan dan isu ini tidak melibatkan sebarang tangkapan,” katanya.

    Beliau turut menegaskan bahawa JPN tidak pernah berbincang dengan kerajaan Thailand mengenai isu tersebut kerana ia melibatkan dasar negara masing-masing.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13064

  • Wanita 44 tahun dikelar sebelum dilemaskan suami

    Wanita 44 tahun dikelar sebelum dilemaskan suami

    SEBERANG JAYA 12 Dis – Wanita berusia 44 tahun yang ditemukan mati dibunuh di kediamannya di pangsapuri Jalan Tuna, di sini semalam, dipercayai dikelar terlebih dahulu sebelum dilemaskan oleh suaminya.

    Pakar Perunding Patologi Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Zahari Noor berkata, hasil bedah siasat menunjukkan mangsa mengalami satu luka hirisan pada bahagian depan leher selain tanda-tanda sesak nafas.

    “Kecederaan itu berkemungkinan disebabkan pisau pemotong kertas kerana lukanya tidak dalam, namun terdapat pendarahan.

    “Bagaimanapun, punca utama kematian adalah unsur lemas dipercayai akibat tekanan pada mulut dan hidung menggunakan kain atau bantal,” katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya, hari ini.

    Beliau berkata, kecederaan pada leher dipercayai berlaku terlebih dahulu sebelum proses lemas yang membawa kepada asfiksia.

    Selain itu, hasil bedah siasat turut menganggarkan mangsa telah meninggal dunia kira-kira empat hari sebelum ditemui semalam.

    Media melaporkan seorang lelaki hadir ke balai polis berhampiran dan mengaku membunuh isterinya empat hari lalu di rumah mereka.

    Pemeriksaan polis membawa kepada penemuan mayat wanita berkenaan di dalam sebuah bilik dengan kesan kelar pada leher.

    Susulan itu, polis menahan suspek berusia 28 tahun yang juga penganggur bagi membantu siasatan lanjut.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13065

  • Pembinaan terminal ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey tidak boleh ditangguh – Anwar

    Pembinaan terminal ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey tidak boleh ditangguh – Anwar

    PETALING JAYA 12 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey tidak boleh lagi ditangguh memandangkan projek strategik itu kritikal untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam sektor pelabuhan serta logistik serantau.

    Anwar yang mempengerusikan mesyuarat berkaitan projek berkenaan pagi tadi berkata, selepas bertahun-tahun melalui perbincangan dan perancangan, kerajaan kini mengambil pendirian tegas bahawa pembangunannya mesti dimulakan segera.

    “Kita tidak ada ruang untuk berlengah. Projek ini sudah lama menunggu dan manfaat ekonominya terlalu besar untuk ditunda lagi,” katanya.

    Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor telah mencapai persetujuan untuk mempercepatkan pelaksanaan, manakala semua agensi terlibat diarahkan bertindak segera bagi memastikan model pembangunan yang lebih cekap, tersusun dan berintegriti dapat direalisasikan.

    Anwar turut menegaskan bahawa meskipun pembangunan dipercepatkan, kepentingan Orang Asli, penduduk setempat, komuniti nelayan serta kelestarian ekosistem mesti diberi keutamaan.

    “Pembangunan negara hanya bermakna jika ia berjalan seiring keadilan sosial dan tanggungjawab terhadap alam,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13067

  • Sunway Square Mall jadi pusat beli-belah pertama di Malaysia benarkan bawa haiwan peliharaan

    Sunway Square Mall jadi pusat beli-belah pertama di Malaysia benarkan bawa haiwan peliharaan

    PETALING JAYA 12 Dis – Sunway Square Mall mencetus fenomena baharu apabila menjadi pusat beli-belah pertama di Malaysia yang secara rasmi membenarkan pengunjung membawa haiwan peliharaan ke dalam premis.

    Perkara itu tular selepas beberapa gambar memaparkan seekor anjing dibawa menggunakan troli khas di dalam pusat beli-belah berkenaan, termasuk di hadapan TGV Cinemas, menarik perhatian warganet.

    Notis peraturan “Pet-Friendly Mall House Rules” yang dipaparkan turut mengesahkan pusat beli-belah itu menyediakan garis panduan khusus untuk pemilik haiwan peliharaan.

    Antara peraturan utama yang ditetapkan ialah haiwan peliharaan mesti berada dalam stroller atau pembawa khas, menggunakan lif yang dikhaskan, sentiasa diawasi serta dijaga kebersihannya, selain haiwan agresif atau terlalu bising boleh diminta keluar demi keselamatan.

    Stroller haiwan juga tidak boleh menghalang laluan awam, manakala kemasukan ke mana-mana kedai pula bergantung kepada polisi individu setiap jenama.

    Sunway Square Mall turut memperkenalkan pelbagai aktiviti bertema haiwan seperti Doga (yoga bersama anjing), Foam Pawty, Pet Spa, Pet Photo Booth dan Pet Workshop, sekali gus memperkukuh identitinya sebagai pusat beli-belah mesra haiwan peliharaan.

    Langkah itu menerima reaksi bercampur di media sosial. Ramai pengguna meluahkan keterujaan memandangkan Malaysia jarang memiliki pusat beli-belah tertutup yang benar-benar pet-friendly.

    Namun ada juga yang bimbang mengenai aspek kebersihan dan keselamatan, terutama jika pengunjung gagal mematuhi garis panduan ditetapkan.

    Dengan pembukaan rasminya sebagai pusat beli-belah mesra haiwan, Sunway Square Mall kini muncul sebagai perintis ruang urban yang lebih inklusif dan seiring gaya hidup moden di Malaysia.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13071

  • Caj RM250 dari KLIA ke KLCC, ‘ulat’ teksi warga Bangladesh dicekup di KLIA

    Caj RM250 dari KLIA ke KLCC, ‘ulat’ teksi warga Bangladesh dicekup di KLIA

    SEPANG 12 Dis – Dua warga Bangladesh dipercayai ‘ulat’ teksi tegar ditahan ketika mencari pelanggan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

    Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, salah seorang suspek berusia 64 tahun pernah ditahan tiga kali sebelum ini.

    “Suspek mengaku menjalankan kegiatan tersebut sejak bertahun-tahun menggunakan kereta sewa persendirian. Sebuah Proton Waja dan pemandunya telah disita,” katanya.

    Dalam kes pertama, pemandu itu dipercayai memujuk dua penumpang warga Bangladesh dengan menawarkan tambang RM140 ke destinasi berasingan sekitar Selangor.

    Dalam tangkapan berasingan, seorang lagi warga Bangladesh berusia 27 tahun dikesan memujuk tujuh penumpang Brunei untuk ke sebuah hotel di KLCC dengan tambang RM250. Suspek turut mempunyai dua rekod tangkapan sebelum ini.

    Azrin mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan kegiatan ‘ulat’, kerana jika disabitkan boleh didenda hingga RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun.

    Katanya, penumpang digalakkan menggunakan perkhidmatan sah melalui kaunter KLIA atau aplikasi e-hailing.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13072

  • Pengiktirafan UEC mesti selari Perlembagaan, Rukun Negara, tidak boleh diputuskan atas tekanan politik – KPT

    Pengiktirafan UEC mesti selari Perlembagaan, Rukun Negara, tidak boleh diputuskan atas tekanan politik – KPT

    KUALA LUMPUR 12 Dis – Sebarang cadangan berkaitan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) hanya boleh dipertimbangkan jika berpaksikan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, bukan berasaskan tekanan politik atau tuntutan mana-mana pihak.

    Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, menegaskan pendirian Kerajaan Madani kekal konsisten bahawa kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan bahasa ilmu adalah prinsip asas negara yang tidak boleh dikompromi serta terpakai kepada semua jenis aliran pendidikan.

    Selaras dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Zambry berkata semua aliran pendidikan termasuk Cina, Tamil, Arab, Inggeris dan sekolah antarabangsa wajib memastikan penguasaan kukuh terhadap Bahasa Melayu bagi memenuhi kehendak Perlembagaan Persekutuan serta aspirasi nasional dalam pembentukan jati diri dan perpaduan negara.

    “Di peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kami akan terus memperkukuh hala tuju pendidikan tinggi negara yang inklusif, progresif dan berdaya saing.

    “Penekanan akan diteruskan kepada penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa teras, bahasa teknologi dan bahasa ilmu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurut Zambry, usaha memartabatkan bahasa kebangsaan akan digerakkan seiring pemerkasaan Bahasa Inggeris serta bahasa lain seperti Mandarin, Tamil, Arab dan bahasa sukuan, bagi melahirkan graduan berkemahiran multilingualisme tanpa mengetepikan identiti nasional.

    “Kita mahu memastikan graduan bukan sahaja fasih berbahasa, tetapi mampu memenuhi tuntutan global sambil mengekalkan nilai kenegaraan,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13073

  • Songket RM65,000 hasil tangan bekas banduan

    Songket RM65,000 hasil tangan bekas banduan

    MARANG – Tiada siapa menyangka samping songket yang dihasilkan bekas banduan memiliki kualiti seni yang sangat tinggi dan mampu dijual pada harga mencecah RM65,000 sehelai. Pengusaha samping songket, Siti Mariam Said, 45, berkata, ke­banyakan bekas banduan mempunyai kemahiran luar biasa dalam penghasilan seni tekstil tradisional terutama mereka yang mendapat latihan ketika berada di dalam penjara. Katanya, kilangnya sendiri kini mempunyai empat penenun yang terdiri daripada bekas banduan daripada pelbagai latar belakang. “Setakat ini kami menerima kira-kira 45 helai tempahan sam-ping…

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/12/songket-rm65000-hasil-tangan-bekas-banduan/