Category: JNJ-MEDIA

  • Sesiapa dakwa perlu bayar wang perlindungan di pasar borong diminta tampil ke SPRM

    Sesiapa dakwa perlu bayar wang perlindungan di pasar borong diminta tampil ke SPRM

    KUALA SELANGOR 10 Dis – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta individu atau peniaga yang mendakwa terpaksa membayar wang perlindungan kepada pihak tertentu ketika operasi penguatkuasaan di Pasar Borong Selayang baru-baru ini, supaya tampil membuat laporan rasmi bagi membolehkan siasatan dijalankan.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, isu peniaga mendakwa memberi wang kepada agensi penguat kuasa bukan perkara baharu, namun tuduhan melalui media atau media sosial tanpa maklumat rasmi tidak dapat menyelesaikan masalah.

    “Perkara ini timbul dalam media tetapi pada saya, isu wang perlindungan ini sudah lama. Saya berharap mereka yang membuat dakwaan tampil kepada SPRM.

    “Kita ada undang-undang dan mereka juga dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat. Perkara ini telah kita hebahkan berulang kali,” katanya dalam sidang media selepas program SPRM-UiTM Inspira 2025: Hari Integriti dan Kepimpinan di UiTM Cawangan Puncak Alam, hari ini.

    Program berkenaan turut menyaksikan Azam menyampaikan syarahan Leadership Talk: Inspirasi Integriti Bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, yang dihadiri Naib Canselor UiTM, Datuk Prof Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin; Rektor UiTM Cawangan Selangor, Prof Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman; Dekan Fakulti Perakaunan, Prof Dr Norli Ali; serta Pemangku Timbalan Pesuruhjaya SPRM merangkap Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli.

    Mengulas lanjut, Azam menegaskan dakwaan umum tanpa bukti kukuh adalah tidak adil kepada agensi penguat kuasa yang dituduh.

    “Kalau mereka hanya bercakap kepada media atau menularkan di media sosial, perkara ini tidak akan selesai. Menuduh agensi penguat kuasa secara umum adalah tidak adil,” katanya.

    Beliau turut menekankan bahawa SPRM perlu berlaku adil kepada semua pihak, termasuk individu atau agensi yang dituduh serta mereka yang membuat dakwaan.

    “Isu sebenar yang kita lihat ialah ada peniaga yang berniaga tanpa mengikut proses dan undang-undang, malah ada yang menjalankan perniagaan secara haram dengan pelbagai kesalahan.

    “SPRM tidak akan membuka kertas siasatan tanpa maklumat yang benar dan tepat daripada pengadu. Kami tidak akan terus menjalankan siasatan jika tiada maklumat kukuh. Kita perlu berlaku adil,” katanya.

    Sebelum ini, tular di media dakwaan bahawa peniaga di Pasar Borong Selayang terpaksa membayar wang perlindungan kepada pihak tertentu ketika operasi penguatkuasaan dijalankan baru-baru ini.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13027

  • Warga emas dan anak terlantar maut dalam kebakaran di Muar

    Warga emas dan anak terlantar maut dalam kebakaran di Muar

    MUAR 10 Dis – Dua beranak termasuk seorang lelaki terlantar maut dalam kebakaran di sebuah rumah banglo dua tingkat di Lorong Haji Sulaiman, Sungai Abong di sini pada Selasa.

    Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian dilaporkan pada jam 2.35 petang selepas pihaknya menerima maklumat daripada unit ambulans Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

    “Hasil siasatan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah banglo dua tingkat.

    “Pemeriksaan menemukan mangsa pertama, lelaki berusia 30 tahun yang merupakan pesakit terlantar akibat kemalangan jalan raya sebelum ini. Mangsa ditemui meninggal dunia di lokasi dengan kesan terbakar pada tubuh.

    “Mangsa kedua merupakan bapa kepada lelaki tersebut, berusia 75 tahun, dan disahkan meninggal dunia di hospital akibat sesak nafas ketika cuba memadamkan api,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

    Beliau berkata, siasatan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan punca kebakaran.

    “Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik HPSF untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca kematian. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” jelasnya.

    Raiz Mukhliz turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil menyalurkannya kepada mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Komisioner Suhaimi Ahmad di talian 013-3975290.

    Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Penguasa Bomba Kanan I Mohd Fettry Mahat berkata, seramai 14 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), dua Unit Bermotor Bomba (RIM) dan satu utiliti dikejarkan ke lokasi.

    “Kebakaran telah dipadamkan orang awam sebelum bomba tiba. Seorang mangsa iaitu lelaki dewasa ditemui meninggal dunia di atas katil dalam bilik dengan kira-kira 80 peratus kesan terbakar.

    “Mayat diserahkan kepada polis. Kebakaran berjaya dikawal dan operasi ditamatkan pada jam 5 petang,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13028

  • Azam Baki beri bayangan kontrak tamat tahun depan

    Azam Baki beri bayangan kontrak tamat tahun depan

    PUNCAK ALAM 10 Dis – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, memberi bayangan bahawa tempoh perkhidmatannya akan tamat tahun hadapan, sambil berseloroh bahawa terdapat pihak yang tidak lagi menyukainya.

    “Orang sudah tidak suka saya, Rafizi pun tidak suka saya, dia kata jangan sambung Azam Baki,” katanya ketika berucap pada program SPRM–UiTM Inspira 2025: Hari Integriti & Kepimpinan di UiTM Cawangan Puncak Alam pada Rabu.

    Azam berkata, kontraknya telah dilanjutkan sebanyak tiga kali sebelum ini, menyebabkan timbul rasa tidak puas hati dalam kalangan tertentu.

    “Insya-ALLAH, tahun depan tempoh perkhidmatan saya akan tamat. Ia telah disambung tiga kali sebelum ini,” katanya.

    Namun, Azam menegaskan bahawa persoalan mengenai siapa yang akan menggantikannya bukan isu utama, sebaliknya tumpuan perlu kekal diberikan kepada usaha memerangi rasuah.

    “Apa yang penting ialah pengganti saya meneruskan agenda meningkatkan integriti, mempromosikan tadbir urus yang baik dan menguatkuasakan undang-undang antirasuah tanpa gentar atau pilih kasih,” ujarnya.

    Terdahulu, media melaporkan Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, mencadangkan supaya Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah segera bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap komitmen memerangi rasuah susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

    Rafizi menyatakan, langkah itu boleh dimulakan dengan tidak menyambung kontrak pelantikan Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Beliau turut membangkitkan isu itu dalam sidang Dewan Rakyat minggu ini, termasuk persoalan sama ada kontrak berkenaan akan disambung untuk kali keempat.

    Menurut Rafizi, kontrak Azam sebelum ini bukan sahaja disambung sekali atau dua kali, tetapi sebanyak empat kali. Beliau menegaskan bahawa jika ia disambung lagi, ia hanya akan menjejaskan kredibiliti PH dan PKR sebagai parti yang tegas melawan rasuah.

    Tambahnya lagi, dengan pelbagai kontroversi yang pernah dikaitkan dengan Azam, sudah tiba masanya kontrak berkenaan tidak diteruskan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13029

  • Kod etika pakaian di balai polis akan disemak semula – Fahmi Fadzil

    Kod etika pakaian di balai polis akan disemak semula – Fahmi Fadzil

    PETALING JAYA 10 Dis – Kod etika pakaian di balai polis serta perkhidmatan barisan hadapan kerajaan akan disemak semula dalam masa terdekat, kata jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil.

    Beliau berkata, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berpandangan tidak seharusnya wujud sebarang halangan yang menghalang orang ramai daripada membuat laporan polis.

    “Ketua Setiausaha Negara akan meneliti semula Pekeliling 2020 dan membuat beberapa penambahbaikan susulan keputusan Jemaah Menteri supaya perkhidmatan barisan hadapan tertentu, seperti kesihatan dan keselamatan termasuk balai polis, diberikan pengecualian di bawah pekeliling tersebut.

    “Perkara ini dipertimbangkan dengan teliti oleh pejabat Ketua Setiausaha Negara. Satu pekeliling yang dikemas kini dijangka dikeluarkan tidak lama lagi,” katanya pada sidang media di Parlimen selepas mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

    Perkembangan ini susulan insiden seorang wanita yang didakwa dilarang masuk ke IPD Jasin kerana pakaiannya dianggap tidak sesuai untuk premis kerajaan. Wanita itu dilaporkan memakai skirt yang sedikit melepasi paras lutut.

    Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar, mengingatkan orang ramai supaya mematuhi kod pemakaian rasmi ketika berurusan di mana-mana kaunter aduan.

    Beliau menambah, garis panduan berkenaan diperincikan dalam pekeliling yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara untuk menambah baik hubungan pelanggan di agensi awam, namun pengecualian diberikan dalam situasi kecemasan atau keadaan yang memerlukan tindakan polis serta-merta.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13030

  • Tular kanak-kanak tiga tahun tersangkut di tong gas diselamatkan bomba

    Tular kanak-kanak tiga tahun tersangkut di tong gas diselamatkan bomba

    JOHOR BAHRU 10 Dis – Keluarga seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun berdepan detik cemas apabila gagal mengeluarkan anak mereka yang tersangkut di celah tong gas, dalam kejadian jam 3 petang Ahad lalu.

    Insiden itu mendapat perhatian ramai selepas tular di media sosial, mendorong keluarga berkenaan mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor.

    Jurucakap JBPM Johor berkata, demi keselamatan, keluarga membawa kanak-kanak itu bersama tong gas ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang kerana tersangkut di tong gas tersebut.

    “Proses mengeluarkan kanak-kanak itu mudah. Rupa-rupanya keluarga gagal kerana dia mengeraskan kaki dan tidak mahu keluar daripada tong gas. Setibanya di BBP Pasir Gudang, anggota bomba berjaya mengeluarkannya selepas memujuk supaya dia lembutkan badan dan kaki,” katanya.

    Ibu kanak-kanak itu, yang enggan dikenali, memberitahu mereka sudah cuba mengeluarkan anaknya hampir 10 minit tetapi gagal sebelum membawa ke balai bomba berhampiran.

    “Sebenarnya kejadian berlaku dalam kereta, tong gas sudah kosong dan saya mahu beli yang baharu. Dia duduk di tempat duduk belakang bersama kakaknya yang juga tidak perasan sehingga adiknya mengadu sakit.

    “Bila saya toleh ke belakang, dia sudah tersangkut di celah tong gas dan saya tidak berani terus keluarkan sebab risau kakinya patah. Alhamdulillah, dengan kecekapan anggota bomba, dia berjaya dikeluarkan,” katanya.

    Keluarga itu mengucapkan terima kasih kepada pasukan bomba atas usaha menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13031

  • Kemungkinan dilantik ke Kabinet Persekutuan, Amirudin serah kepada PM

    Kemungkinan dilantik ke Kabinet Persekutuan, Amirudin serah kepada PM

    SHAH ALAM 10 Dis – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kemungkinan pelantikannya ke dalam Kabinet Persekutuan.

    Namun, beliau menegaskan pendiriannya kekal – untuk terus memimpin Selangor sehingga tamat penggal pentadbiran bagi memastikan segala perancangan negeri dapat diselesaikan dengan baik.

    “Dengan tempoh berbaki setahun setengah atau maksimum dua tahun, biasanya tidak banyak perkara baharu dapat dilakukan dan sukar memastikan kerja itu sempurna.

    “Sebab itu lebih baik saya sempurnakan kerja di sini sebagai Menteri Besar Selangor, memastikan negeri ini kembali kita menangi dengan signifikan dan melengkapkan semua perancangan sedia ada,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Kepada Masjid dan Surau Selangor di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

    Nama Amirudin sebelum ini disebut sebagai antara figura politik berpotensi untuk dibawa masuk ke Kabinet bagi memperkukuh struktur pentadbiran negara dalam rombakan yang dijangka dilakukan.

    Selain beliau, Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut dikatakan antara calon yang mungkin mengisi kekosongan ditinggalkan Datuk Ewon Benedict, bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

    Pejabat Perdana Menteri pada 3 Disember lalu memaklumkan, Anwar akan memutuskan senarai menteri dan timbalan menteri Kerajaan Madani selepas proses penelitian yang cermat serta berlandaskan kepentingan rakyat dan hala tuju reformasi negara.

    Dalam pada itu, Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkata Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) semalam berlangsung dalam suasana harmoni, dan gabungan itu komited untuk terus bergerak ke hadapan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

    Mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebelum ini, beliau berkata ia adalah sebahagian usaha PH untuk memperkukuh gabungan, memperbaiki kelemahan serta meraih kembali sokongan rakyat.

    “Ia untuk PH memperkukuhkan, mempelajari, membetulkan kesilapan dan kembali mendapatkan sokongan yang mungkin terkesan selepas PRN Sabah,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13034

  • Malaysia menang besar di Paris, Award Akhir Sulu dibatalkan, penuntut diarah bayar RM959,000

    Malaysia menang besar di Paris, Award Akhir Sulu dibatalkan, penuntut diarah bayar RM959,000

    KUALA LUMPUR 10 Dis – Malaysia mencatat kemenangan bermakna di gelanggang antarabangsa apabila Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya Award Akhir yang dikeluarkan penimbang tara Gonzalo Stampa pada 28 Februari lalu, sekali gus mengarahkan penuntut Sulu membayar kos prosiding berjumlah €200,000 (kira-kira RM959,180) kepada negara.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata keputusan itu bukan sahaja satu kejayaan undang-undang, malah kemenangan dari segi kedaulatan, maruah negara dan hak rakyat Malaysia khususnya di Sabah.

    Azalina turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan yang bekerjasama mempertahankan kedudukan Malaysia dalam kes berprofil tinggi berkenaan.

    “Ia membuktikan iltizam #KerajaanMadani mempertahankan negara dengan berprinsip dan berpaksikan undang-undang,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

    Menurut Sekretariat Khas Sulu, keputusan Mahkamah Rayuan Paris dimaklumkan pada Selasa sebelum kerajaan menerima dokumen penghakiman rasmi pada awal pagi Rabu.

    Mahkamah berpendapat Stampa tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan Award Akhir tersebut kerana tiada perjanjian timbang tara sah yang mengikat Malaysia.

    Kenyataan itu menegaskan bahawa kemenangan tersebut dijangka menamatkan semua cubaan penuntut Sulu serta pembiaya litigasi mereka, Therium, untuk mendapatkan wang atau aset negara melalui tuntutan tidak berasas.

    “Malaysia akan terus mempertahankan dirinya terhadap sebarang tindakan undang-undang selanjutnya yang difailkan penuntut Sulu.”

    Mahkamah Rayuan Paris sebelum ini turut menolak pengiktirafan dan pelaksanaan Partial Award pada 6 Jun 2023, dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Agung Perancis pada 6 November 2024.

    Kerajaan menegaskan komitmen berterusan untuk mempertahankan kedaulatan, imuniti dan kepentingan negara daripada tuntutan kumpulan yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu – entiti yang tidak lagi wujud.

    Prosiding timbang tara tersebut pada asalnya dimulakan di Sepanyol oleh lapan warga Filipina, namun pelantikan Stampa sebagai penimbang tara dibatalkan Mahkamah Tinggi Keadilan Madrid seawal tahun 2021, menjadikan keseluruhan prosiding dan Award Akhir bernilai AS$14.9 bilion itu tidak sah di sisi undang-undang.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13038

  • ‘Kami duduk bawah meja kerana takut’

    ‘Kami duduk bawah meja kerana takut’

    PETALING JAYA – Kegembiraan sekumpulan pelancong Malaysia melawat Jepun bertukar cemas apabila penginapan mereka di Sapporo, Hokkaido dilanda gempa bumi kuat hingga mencetuskan keadaan huru-hara dan mengaktifkan amaran tsunami semalam. Gempa bermagnitud 7.6 di u­tara Jepun berhampiran wilayah Aomori itu berlaku pada pukul 11.15 malam. Amira Syuhaida, 32, berkata, sebelum kejadian dia sempat turun ke kedai untuk membeli sarapan keesokan hari. Ejen pelancongan itu berkata, sebaik balik ke bilik di tingkat enam hotel, amaran gempa dikeluarkan disusuli gegaran kuat dua……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/10/kami-duduk-bawah-meja-kerana-takut/

  • Kesengsaraan Aceh bertimpa-timpa

    Kesengsaraan Aceh bertimpa-timpa

    MESKIPUN telah hampir 21 tahun berlalu, tarikh 26 Disember 2004 tidak mungkin dilupakan oleh kita semua bagaimana bencana alam paling dahsyat dalam sejarah moden berlaku. Bencana yang berpunca daripada gempa bumi dasar laut sangat kuat di Lautan Hindi, berhampiran pantai barat Sumatera, Indonesia dengan magnitud 9.1 hingga 9.3 itu mencetuskan gelombang tsunami besar. Ombak setinggi 15 hingga 30 meter membadai daratan menyebabkan 230,000 kematian di 14 buah negara dan yang paling banyak ialah penduduk di Aceh dengan korban melebihi 170,000……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/10/kesengsaraan-aceh-bertimpa-timpa/

  • Dari studio kecil ke pentas catur dunia

    Dari studio kecil ke pentas catur dunia

    Di tengah kesejukan cuaca di Mongolia, seorang remaja Malaysia mencuri tumpuan apabila muncul juara dalam Kejohanan Catur Sekolah-Sekolah Asia ke-19 (2025) yang berlangsung di bandar Ulaanbaatar baru-baru ini. Genivan Genkeswaran, 16, menewaskan pemain dari 16 buah negara seluruh dunia termasuk China, India, Uzbekistan, Indonesia, Rusia dan Korea Selatan dalam kategori Terbuka Bawah 17 Tahun (U17 Open), sekali gus mengangkat nama Malaysia di pentas antarabangsa. Kejayaannya bukan kebetulan. Dengan disiplin latihan yang konsisten dan sokongan keluarga, remaja kelahiran Klang, Selangor itu……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/10/dari-studio-kecil-ke-pentas-catur-dunia/