Category: JNJ-MEDIA

  • Lelaki tawar kereta sewa haram di KLIA ditahan JPJ, kenderaan turut disita

    Lelaki tawar kereta sewa haram di KLIA ditahan JPJ, kenderaan turut disita

    SEPANG 8 Dis – Gerak geri mencurigakan seorang lelaki di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membawa kepada penahanan individu itu yang dipercayai menawarkan perkhidmatan kereta sewa haram.

    Lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an itu disyaki menawarkan khidmat pengangkutan kepada dua individu dengan caj RM180 ke Seremban, Negeri Sembilan.

    Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Azrin Borhan berkata, kegiatan lelaki tersebut dikesan melalui risikan anggotanya di lokasi berkenaan.

    “Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan memujuk, merayu serta menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada dua penumpang warganegara Malaysia dari Terminal 1 KLIA ke Seremban, Negeri Sembilan.

    “Susulan itu, individu tersebut ditahan dan kenderaan yang digunakan, sebuah Perodua Aruz, turut disita untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

    Azrin berkata, tindakan diambil mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), manakala pihak yang bersubahat boleh didakwa di bawah Seksyen 243(1) akta sama.

    Beliau turut menasihatkan orang ramai agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter rasmi di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA atau melalui tempahan aplikasi e-hailing.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12964

  • PM gesa KKR bertindak tegas terhadap kontraktor lewat siapkan projek

    PM gesa KKR bertindak tegas terhadap kontraktor lewat siapkan projek

    KUALA LUMPUR 8 Dis – Kementerian Kerja Raya (KKR) perlu mengambil tindakan lebih tegas terhadap kontraktor yang didapati culas dan lewat menyiapkan projek, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap projek pembangunan di peringkat negeri dan Persekutuan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

    Menurutnya, pemantauan berterusan perlu dilaksanakan terhadap semua projek di seluruh negara dan tindakan sewajarnya mesti diambil sekiranya kontraktor dikenal pasti gagal mematuhi jadual pembinaan.

    “Jangan tunggu hingga projek selesai. Kita kena ambil sikap lebih keras terhadap kontraktor kalau asyik sambil lewa dan lambat untuk memastikan projek dilaksanakan mengikut jadual.

    “Di peringkat negeri, sama ada Sabah, Sarawak, Perlis atau Kelantan, pegawai yang turun ke lapangan lebih memahami keperluan sebenar berbanding perancangan di peringkat atasan,” katanya ketika berucap pada Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga KKR sempena Himpunan Bulanan kementerian itu, hari ini.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan; serta Ketua Setiausaha KKR, Datuk Seri Azman Ibrahim.

    Projek lewat beri kesan langsung kepada rakyat

    Anwar menegaskan bahawa tindakan terhadap kontraktor bermasalah amat penting kerana KKR bertanggungjawab menguruskan projek-projek pembangunan yang memberi impak langsung kepada rakyat.

    “Misalnya, ada orang memerlukan jambatan itu siap pada Januari, tetapi tertangguh hingga Februari. Sebulan dia derita. Kalau tertangguh enam bulan, dia sengsara, tertangguh 10 bulan jadi dukalara.

    “Banyak projek infrastruktur ini tonggaknya KKR. Saudara berjaya, berjayalah pembangunan itu,” ujarnya.

    Perdana Menteri turut meminta KKR menyenaraikan semua projek yang sedang berjalan beserta rekod prestasi kontraktor yang terlibat, selain memastikan tindakan diambil sebelum kelewatan menjadi lebih serius.

    Pegawai lapangan perlu diberi ruang bersuara

    Pada masa sama, Anwar menggesa Ketua Setiausaha setiap kementerian memberi ruang kepada pegawai peringkat rendah dan kakitangan sokongan untuk memberi pandangan mengenai keperluan pembangunan di lapangan.

    “Kadang-kadang kita luluskan projek bina sekolah, tetapi apabila turun ke lapangan, pegawai lihat jalan menuju ke sekolah itu sangat teruk. Ini tidak termasuk dalam projek.

    “Jadi beri ruang kepada pegawai peringkat rendah untuk beri pandangan. Kita perlu pertimbangkan sebab kita bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12965

  • Anwar bimbang pertempuran Thailand–Kemboja jejas kestabilan serantau

    Anwar bimbang pertempuran Thailand–Kemboja jejas kestabilan serantau

    KUALA LUMPUR 8 Dis – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap laporan pertempuran bersenjata yang kembali tercetus antara pasukan keselamatan Thailand dan Kemboja di kawasan sempadan kedua-dua negara.

    Beliau berkata, Malaysia memandang serius insiden berkenaan kerana ia berisiko menjejaskan usaha bertahun-tahun yang telah dilakukan bagi menstabilkan hubungan dua jiran ASEAN itu.

    “Saya merakamkan takziah kepada keluarga mereka yang terkorban atau cedera. Pertempuran yang berulang boleh menggagalkan kerja berhati-hati yang telah dilaksanakan untuk mengekalkan kestabilan hubungan kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan.

    Menurut Anwar, Thailand dan Kemboja adalah rakan rapat Malaysia serta anggota penting dalam ASEAN, justeru sebarang ketegangan berpanjangan memberi kesan langsung kepada keselamatan dan keharmonian rantau ini.

    Sehubungan itu, Malaysia menggesa kedua-dua negara supaya menunjukkan tahap budi bicara tertinggi, mengekalkan komunikasi terbuka serta menggunakan sepenuhnya mekanisme sedia ada bagi mengelakkan keadaan bertambah buruk.

    “Malaysia bersedia membantu langkah yang dapat meredakan keadaan serta mengelakkan insiden lanjut,” katanya.

    Anwar menegaskan rantau ini tidak mampu berdepan risiko pertikaian lama berubah menjadi kitaran konfrontasi berterusan.

    “Keutamaan ketika ini ialah menghentikan pertempuran, melindungi orang awam dan kembali kepada proses diplomasi berasaskan undang-undang antarabangsa serta semangat kejiranan yang menjadi tunjang ASEAN,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12966

  • Anthony mahu pemaju perumahan kurangkan petak parkir, galak rakyat guna pengangkutan awam

    Anthony mahu pemaju perumahan kurangkan petak parkir, galak rakyat guna pengangkutan awam

    SERDANG 8 Dis – Pemaju perumahan dicadangkan untuk mengurangkan jumlah tempat letak kenderaan bagi projek kediaman baharu yang dibangunkan berhampiran stesen pengangkutan awam, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

    Menurut beliau, cadangan itu telah dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memandangkan syarat minimum satu atau dua petak parkir setiap unit kediaman menjadi antara faktor menyumbang kepada kenaikan kos rumah.

    “Jika projek berada berdekatan stesen pengangkutan awam seperti LRT atau MRT, keperluan tempat letak kereta boleh dikurangkan untuk menggalakkan penghuni menggunakan pengangkutan awam,” katanya pada sidang media selepas merasmikan bangunan pejabat baharu Multiplex Land Sdn Bhd dan prapelancaran Residensi Alamanda Heights, hari ini.

    Loke berkata beberapa projek berorientasikan transit (TOD) di Kuala Lumpur sudah diberi kelonggaran syarat parkir oleh pihak berkuasa tempatan.

    Namun jelasnya, cadangan itu terpakai bagi projek baharu dan disasarkan kepada golongan muda yang tinggal berhampiran rangkaian rel bandar.

    “Jika menetap dekat dengan stesen pengangkutan awam, keperluan memiliki kereta adalah lebih rendah, sekali gus dapat mengurangkan kos sara hidup. Langkah ini juga membantu peralihan jangka panjang kepada gaya hidup yang lebih bergantung pada sistem pengangkutan awam,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12968

  • Juruterbang, pelatih cedera pesawat ringan terhempas dekat Taiping

    Juruterbang, pelatih cedera pesawat ringan terhempas dekat Taiping

    TAIPING 8 Dis – Dua lelaki termasuk seorang juruterbang cedera selepas sebuah pesawat ringan jenis microlight yang dinaiki mereka terhempas di kawasan lapang berhampiran Lapangan Terbang Tekah di sini, semalam.

    Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu kira-kira jam 10.30 pagi melalui sistem NG MERSS 999 sebelum anggota digerakkan ke lokasi.

    Menurut beliau, siasatan awal mendapati pesawat terbabit mengalami kerosakan pada bahagian enjin, memaksa juruterbang melakukan pendaratan cemas sebelum terhempas berhampiran kawasan lapang di sekitar lapangan terbang berkenaan.

    “Dua mangsa, masing-masing berusia 46 dan 40 tahun, telah dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohamad Nasir berkata, pihak polis menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan menyelaras maklumat dengan agensi berkaitan bagi memastikan langkah kawalan risiko serta keselamatan penduduk sekitar dilaksanakan secara berkesan.

    Terdahulu, video kemalangan itu tular di media sosial menunjukkan orang ramai bergegas membantu mangsa sejurus selepas pesawat terhempas.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12967

  • Bawa dua telefon bimbit semasa bertugas, pegawai AKPS ditahan terbabit aktiviti ‘pasport terbang’ di CIQ BSI

    Bawa dua telefon bimbit semasa bertugas, pegawai AKPS ditahan terbabit aktiviti ‘pasport terbang’ di CIQ BSI

    JOHOR BAHRU 8 Dis – Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Kompleks Bangunan Sultan Iskandar (BSI) berjaya menggagalkan cubaan seorang pegawainya terlibat dalam aktiviti ‘flying passport’ dalam satu operasi pemantauan, semalam.

    Komander AKPS BSI, Roszita Dim, berkata pegawai lelaki berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira jam 11.30 pagi selepas Unit Integriti AKPS melakukan pemeriksaan ketika suspek bertugas di kaunter MyBorderPass di Dewan Penumpang Masuk BSI.

    “Hasil pemeriksaan mendapati pegawai tersebut gagal mematuhi Arahan Pentadbiran Bil 01 Tahun 2024 berhubung tatacara membawa, menyimpan atau menggunakan alat telekomunikasi semasa bertugas.

    “Dia mengaku membawa dua telefon bimbit ketika bekerja dan tidak melakukan serah terima seperti diarahkan. Pegawai itu kemudian dibawa ke pejabat untuk siasatan lanjut selepas gagal memberi penjelasan berhubung arahan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Siasatan lanjut membawa kepada penemuan lapan pasport warga asing – enam pasport China, satu Indonesia dan satu Vietnam – yang ditemui dalam sebuah beg hitam disimpan di ruang penyimpanan motosikal Honda Vario milik pegawai itu, yang diletakkan dalam kawasan BSI.

    “Pegawai tersebut ditahan mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 kerana menyimpan pasport milik orang lain. Turut dirampas sebuah motosikal, lapan pasport dan dua telefon bimbit,” katanya.

    Roszita menegaskan, AKPS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang melanggar arahan integriti atau terlibat aktiviti menyalahi undang-undang.

    “Tindakan tegas seperti ini akan diteruskan sebagai komitmen AKPS memperkukuh keselamatan dan kawalan di pintu masuk negara,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12969

  • Dua beradik nelayan perkosa sepupu 9 tahun dalam blik, stor di Tangkak

    Dua beradik nelayan perkosa sepupu 9 tahun dalam blik, stor di Tangkak

    MUAR 8 Dis – Dua beradik nelayan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas dipercayai melakukan amang seksual fizikal terhadap sepupu perempuan mereka berusia sembilan tahun dalam kejadian lima tahun lalu.

    Menurut laporan Kosmo Online, kedua-duanya yang kini berusia 18 dan 25 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron. Abang berdepan dua pertuduhan manakala adiknya berdepan tiga pertuduhan.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, kesalahan itu didakwa dilakukan dalam sebuah stor serta bilik di sebuah rumah di Tangkak antara hujung Mac hingga November dan awal Disember 2020.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan bagi setiap kesalahan.

    Berdasarkan laporan, mangsa dibawa ke stor berkenaan sebelum kedua-dua tertuduh menyuruhnya melakukan perbuatan keji. Mereka turut mengugut mangsa supaya tidak mendedahkan kejadian itu kepada ibu bapanya.

    Tidak tahan dengan tekanan yang dialami, mangsa akhirnya mendedahkan kejadian tersebut sebelum laporan dibuat di Balai Polis Sungai Mati, Tangkak.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ameerah Allaudeen, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 terhadap abang dan RM9,000 terhadap adiknya, masing-masing dengan seorang penjamin. Kedua-duanya turut diarahkan melapor diri di balai polis berhampiran dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

    Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 24 Februari depan bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12970

  • Tak bayar gaji, kesan melecur pada tubuh, polis tahan wanita dan anak lelaki disyaki dera pembantu rumah di Gombak

    Tak bayar gaji, kesan melecur pada tubuh, polis tahan wanita dan anak lelaki disyaki dera pembantu rumah di Gombak

    KUALA LUMPUR 8 Dis: Polis menahan seorang wanita dan anak lelakinya selepas mereka dipercayai mendera pembantu rumah warga tempatan dalam kejadian di Gombak, dekat sini.

    Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kedua-dua suspek berusia 57 dan 30 tahun itu direman sehingga 11 Disember bagi membantu siasatan.

    Menurutnya, mangsa berusia 22 tahun yang bekerja di rumah berkenaan sejak September kini ditempatkan di sebuah rumah perlindungan bagi memastikan keselamatannya.

    “Hasil pemeriksaan mendapati mangsa stabil namun mempunyai kesan luka pada beberapa bahagian badan serta kesan melecur pada lengan. Mangsa turut mendakwa tidak menerima sebarang bayaran gaji sepanjang bekerja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mangsa membuat laporan polis pada jam 8.38 malam Sabtu selepas berjaya melarikan diri ke rumah jiran untuk mendapatkan bantuan.

    Noor Ariffin berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12 dan 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

    Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi ASP Ikhwanizam Ismail di talian 019-600 0468 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di 03-6126 2222.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12971

  • Warga emas terpedayaAI, sanggup datang jauh beli ubat palsu ‘jualan’ ustaz wadi annuar

    Warga emas terpedayaAI, sanggup datang jauh beli ubat palsu ‘jualan’ ustaz wadi annuar

    PETALING JAYA 8 Dis – Seorang warga emas sanggup datang dari Perlis ke Kedah selepas terpedaya dengan video promosi palsu yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) kononnya memaparkan pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar menjual ubat sakit mata.

    Menurut pentadbir laman Facebook rasmi Ustaz Wadi Annuar, wanita tua yang bertongkat itu hadir ke sekolah beliau kerana percaya video iklan tersebut benar-benar dibuat oleh pendakwah berkenaan.

    “Nenek itu beritahu bahawa dia percaya video iklan yang dibuat dengan AI itu adalah benar-benar daripada ustaz, padahal ia palsu. Kejadian ini sangat menyedihkan kerana menipu dan menganiaya orang tua yang tidak bersalah,” katanya.

    Selain ubat sakit mata, pihak pentadbir memaklumkan orang ramai turut membuat aduan bahawa produk lain seperti buah aprikot yang dipromosikan dalam video serupa tidak sama langsung dengan apa yang diterima.

    “Mereka terpedaya dengan video yang kelihatan seolah-olah ustaz sendiri bercakap mempromosikan buah aprikot, ubat sakit mata, air nabi, ubat sakit lutut dan sebagainya.

    “Teknologi AI ‘lip-sync’ digunakan supaya gerakan bibir selari dengan ucapan, menjadikan video itu kelihatan asli. Walaupun ada produk yang benar-benar wujud dan sampai kepada pembeli, namun Ustaz Wadi tidak pernah menjual atau mempromosikannya,” jelasnya.

    Susulan itu, pihak Ustaz Wadi Annuar menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dan sentiasa menyemak sumber rasmi sebelum membuat sebarang pembelian.

    “Kepada pihak yang membuat scam ini, ingatlah bahawa menipu tidak mendatangkan kebaikan atau keberkatan. Hentikan perbuatan ini dan gunakan tenaga untuk perkara bermanfaat. Semoga kita semua lebih berhati-hati selepas kejadian ini,” katanya.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12974

  • 2 lelaki ditahan halang polis ketika rondaan di Pandan Indah

    2 lelaki ditahan halang polis ketika rondaan di Pandan Indah

    AMPANG 8 Dis – Dua lelaki ditahan polis selepas bertindak melarikan diri ketika diberi arahan berhenti oleh anggota peronda di Pandan Indah awal pagi semalam.

    Dalam kejadian kira-kira jam 1.05 pagi di Jalan Bukit Pandan 2, kereta peronda MPV yang sedang membuat rondaan terserempak dengan sebuah Proton Wira biru dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan. Anggota polis kemudian mengarahkan kenderaan itu berhenti menggunakan pembesar suara, namun pemandunya memecut laju.

    Polis mengejar kenderaan berkenaan sebelum berjaya menahannya di tepi Jalan Pandan 1, Pandan Indah.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek lelaki tempatan berusia 32 dan 35 tahun itu positif dadah jenis amphetamine (AMP) dan methamphetamine (Meth).

    “Semakan mendapati suspek pertama mempunyai lapan rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan, manakala suspek kedua memiliki sembilan rekod berkaitan dadah dan dua daripadanya masih dikehendaki polis,” katanya.

    Siasatan turut mendapati tindakan melarikan diri itu dipercayai kerana salah seorang suspek mempunyai rekod lampau dan masih diburu pihak berkuasa.

    Kedua-dua suspek direman selama dua hari bermula 4 hingga 5 Disember 2025 untuk siasatan lanjut.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12975