Category: JNJ-MEDIA

  • Gelombang baharu sukan sepak takraw

    Gelombang baharu sukan sepak takraw

    DI SEBALIK deretan pingat emas yang pernah dijulang, legenda sepak takraw negara, Haris Abdul Rahman, kini menyimpan satu kerinduan yang mendalam terutama terhadap suasana harmoni dan ‘wajah majmuk’ yang pernah mewarnai gelanggang sepak takraw negara suatu ketika dahulu. Haris, 74, bekas apit kanan yang cukup digeruni dari Muar, menyifatkan sukan warisan ini semakin hilang seri perpaduannya apabila penyertaan kaum bukan Melayu yang pernah memeriahkan arena pada era 70-an hingga 90-an kini kian lenyap. Bagaimanapun, bekas jurulatih negara yang pernah melatih……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/05/gelombang-baharu-sukan-sepak-takraw/

  • Pendulang emas Kelantan tak sabar tunggu Januari

    Pendulang emas Kelantan tak sabar tunggu Januari

    GUA MUSANG – Penduduk Kelantan melahirkan rasa teruja susulan keputusan membuka lesen mendulang emas kepada rakyat kelahiran Negeri Kelantan mulai Januari ini. Rata-rata penduduk ditemui meluahkan rasa tidak sabar untuk menghantar permohonan bersama-sama ahli keluarga dalam mencari rezeki tambahan. Seorang penduduk, Shafien Mamat, 55, berkata, syarat me­netapkan permohonan lesen hanya untuk rakyat Kelantan adalah satu langkah tepat bagi memastikan kekayaan negeri itu dikongsi bersama rakyat. Katanya, keputusan kerajaan negeri itu membolehkan mereka mencari emas secara terbuka. “Sebelum ini, saya melakukan……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/05/pendulang-emas-kelantan-tak-sabar-tunggu-januari/

  • Kejayaan Cikgu Gorgeous bermula dengan niat murni bantu guru senior

    Kejayaan Cikgu Gorgeous bermula dengan niat murni bantu guru senior

    “BERMULA sebagai pendidik biasa, saya sentiasa percaya bahawa guru bukan sahaja mengajar, tetapi membantu menyelesaikan masalah yang mengganggu tugasan harian.” Demikian ungkap Cikgu Nur Hana M. Razali penuh makna sekali gus menggambarkan apa yang diusahakannya. Nur Hana, 36, merupakan guru sekolah dan pengasas syarikat Cikgu Gorgeous (CG) yang menyediakan pelbagai solusi bantuan mengajar kreatif dan inovatif untuk kegunaan guru-guru. CG merupakan jenama pertama di Malaysia yang menawarkan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) siap guna yang direka khusus untuk para pendidik di……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/05/kejayaan-cikgu-gorgeous-bermula-dengan-niat-murni-bantu-guru-senior/

  • Peluang Malayan Tigress cipta magis

    Peluang Malayan Tigress cipta magis

    REALISTIKNYA skuad bola sepak wanita negara berdepan misi cukup sukar untuk melepasi peringkat kumpulan sebagai dua pasukan terbaik dan mara ke separuh akhir Sukan SEA Thailand 2025. Berdasarkan undian sebelum ini, Malayan Tigress diundi dalam ‘kumpulan maut’ bersama juara bertahan empat edisi berturut-turut, Vietnam; finalis dua tahun lalu, Myanmar dan Filipina. Situasi itu seakan mengulangi edisi Kemboja 2023 di Phnom Penh apabila berdepan kesemua lawan sama yang menyaksikan skuad wanita tewas ketiga-tiga perlawanan dan lebih malang hanya meledak satu gol……

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/05/peluang-malayan-tigress-cipta-magis/

  • Bolehkah wanita haid urus jenazah?

    Bolehkah wanita haid urus jenazah?

    Apakah hukum wanita yang berhaid menguruskan jenazah dan pergi ke kubur?

    JAWAPAN: MEMANDANGKAN istilah menguruskan jenazah itu agak umum, maka bagi menjawab persoalan ini, kami bahagikan jawapan kepada tiga bahagian: Pertama, hukum wanita berhaid memandikan dan mengkafankan jenazah. Kedua, hukum wanita berhaid mensolatkan jenazah dan ketiga, hukum wanita berhaid mengikuti dan menziarahi jenazah.

    Di dalam matan fiqh seperti Safinah al-Naja ada menyebut 10 perkara yang diharamkan ke atas wanita berhaid iaitu solat, tawaf, menyentuh mushaf al-Quran, membawa mushaf al-Quran, membaca al-Quran, puasa, talak, menetap dalam masjid, melintasi masjid sekiranya dikhuatiri menitis darah haid dan Istimta` (bermesraan secara seksual) antara pusat dan lutut.

    Perbuatan memandikan dan mengkafankan jenazah tidak termasuk dalam senarai perkara yang diharamkan bagi wanita berhaid.

    Berkenaan hukum wanita memandikan jenazah suaminya, maka hukumnya adalah harus. Rujuk Irsyad Al-Fatwa Siri Ke- 211: Batalkah Wuduk Suami Apabila Memandikan Jenazah Isteri ?

    Wanita yang berhaid haram melakukan sebarang solat dan solat yang dilakukan dalam keadaan berhaid adalah tidak sah. Justeru, solat jenazah yang dilakukan oleh wanita yang berhaid adalah tidak sah.

    Menyentuh mengenai mengiringi jenazah ke kubur pula, secara umumnya, wanita adalah dimakruhkan daripada mengikuti jenazah ke perkuburan, sama ada dia berada dalam keadaan haid atau tidak.

    Sebahagian ulama juga berpendapat hukumnya haram terutama mereka yang tidak dipertanggungjawabkan untuk mengurus jenazah. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ali RA, katanya:

    “Ketika Rasulullah SAW keluar, tiba-tiba Baginda bertemu beberapa orang orang perempuan yang sedang duduk. Baginda bertanya: Apakah yang menyebabkan kamu duduk? Mereka menjawab:

    Kami sedang menunggu jenazah. Baginda bertanya lagi: Adakah kamu akan memandikannya? Mereka menjawab: Tidak. Adakah kamu akan mengusungnya? Mereka menjawab: Tidak. Baginda seterusnya bertanya: Adakah kamu akan memasukkannya ke dalam kubur? Mereka menjawab: Tidak. Lalu Baginda bersabda: Baliklah. Kamu dalam keadaan bersalah tanpa mendapat ganjaran.” Riwayat Ibn Majah (1645)

    Hadith tersebut menunjukkan bahawa mereka berdosa dan tidak mendapat ganjaran dengan perbuatan mereka mengiringi jenazah dan menghadiri pengebumian itu. Rujuk al-Fiqh al-Manhaji.

    Namun begitu terdapat ulama yang mendaifkan hadis ini seperti Imam al-Nawawi, menjadikan hukumnya kekal sebagai makruh. Rujuk al-Majmu Syarh al-Muhazzab (5/277). Adapun wanita yang kematian suami, maka haram baginya untuk mengikuti jenazah suaminya ke kubur kerana mereka wajib melaksanakan iddah melainkan kerana hajat atau darurat.

    Wanita juga secara umumnya dilarang secara makruh untuk menziarahi kubur.

    Ini khususnya jika dikhuatiri wanita tersebut tidak dapat mengawal perasaan lalu terjebak dalam perbuatan berdosa ketika di kubur seperti meratap dan mencarik-carik baju. Adapun jika diyakini wanita berkenaan akan melakukan dosa, maka hukum menziarahi kubur itu adalah haram bagi wanita itu.

    Namun, sekiranya wanita tersebut seorang yang diyakini kuat imannya dan aman daripada melakukan kesalahan yang menyalahi adab menziarahi kubur, maka hukum ziarah kubur bagi wanita sebegini adalah tidaklah haram

    Jika hukumnya berziarah kubur haram bagi wanita, nescaya Rasulullah SAW akan menegur wanita berkenaan dan tidak mengajar isterinya Aisyah doa ketika di kubur.

    Sebahagian ulama menyatakan hukum sunat juga bagi wanita untuk menziarahi kubur kaum kerabatnya. Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah (1/389). Wallahua’lam.

    Kesimpulannya, berdasarkan keterangan di atas, harus bagi wanita yang berhaid untuk memandikan dan mengkafankan mayat. Kedua, haram bagi wanita yang berhaid untuk menyolatkan jenazah.

    Ketiga, makruh bagi wanita, sama ada sedang haid atau tidak untuk mengiringi jenazah ke perkuburan.

    Keempat, adapun bagi wanita yang kematian suami, haram mengikuti jenazah suaminya ke kubur, sama ada berhaid atau tidak kerana waktu iddahnya sudah bermula melainkan jika mempunyai hajat atau darurat dalam pengurusan jenazah.

    Kelima, makruh bagi wanita untuk menziarahi kubur sama ada berhaid atau tidak, kecuali kubur Rasulullah SAW, maka hukumnya adalah sunat.

    Juga kubur orang-orang soleh dan kaum kerabat dengan syarat menjaga adab-adab ziarah. Pendapat lain pula mengatakan haram.

    Pendapat lain menyatakan harus sekiranya aman daripada fitnah bagi wanita yang sudah tua berdasarkan hadis-hadis dan ini yang lebih sesuai diamalkan pada masa sekarang dengan syarat dijaga adab-adab ziarah.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/05/bolehkah-wanita-haid-urus-jenazah/

  • EPL: Liverpool sudah hilang keramat Anfield

    EPL: Liverpool sudah hilang keramat Anfield

    LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot akhirnya mengakui Anfield seakan tidak lagi mampu berperanan sebagai gelanggang keramat pasukan itu dan sudah hilang aura yang mampu menghadirkan rasa gerun kepada pasukan lawan.

    Reaksi itu hadir selepas The Reds hanya mampu mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Sunderland di mana anak buahnya sekadar mengharapkan kebangkitan selepas terlebih dulu ketinggalan.

    “Ia jelas yang pasukan yang menentang kami fikir mereka mampu mendapatkan keputusan. Jika Sunderland mendapat sepakan percuma, mereka terus menghantar bola ke kawasan kami dan ia menghadirkan situasi bahaya.

    “Mereka juga mampu memberikan ancaman menerusi situasi bola mati. Tetapi yang bagus, kami tidak melepaskan sebarang gol menerusi situasi bola mati,” katanya.

    Terdahulu, Chemsdine Talbi meletakkan Sunderland di depan dan Liverpool hanya mengharapkan gol sendiri pasukan lawan selepas Nordi Mukiele cuba menghalang percubaan Florian Wirtz.

    Rakan sejawatnya di Sunderland, Regis Le Bris nyata berpuas hati dengan apa yang dipamerkan oleh pemainnya yang hampir saja memastikan tiga mata di Anfield.

    “Kami mempunyai peluang untuk mendapatkan gol kedua namun ini juga adalah keputusan baik buat kedua-dua pasukan. Saya tidak fikir kami berasa kecewa sebaliknya bangga dengan apa kami lakukan,” katanya. AGENSI

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/05/epl-liverpool-sudah-hilang-keramat-anfield/

  • Aset RM1.3 juta milik pelakon dirampas

    Aset RM1.3 juta milik pelakon dirampas

    BANGKOK – Seorang pelakon Thai, Rybena ‘Nana’ Intachai ditahan polis berhubung satu skandal penipuan, dengan aset miliknya bernilai kira-kira 10 juta baht (RM1.3 juta) turut dirampas, lapor laman berita Thaiger hari ini.

    Pegawai polis menahan Nana di rumahnya di Phra Khanong, Bangkok semalam dan menggeledah hartanah itu sebelum merampas beberapa barang milik aktres tersebut. Ia termasuk sebuah kereta Mini Cooper Aceman ‘hatchback’ putih, tujuh telefon bimbit, dua beg berjenama, 11 barang koleksi mainan seni, kira-kira 50 barang kemas, jam tangan dan aksesori lain.

    Polis juga menemukan dompet kripto lejar yang digunakan untuk menyimpan mata wang kripto dengan selamat, tetapi tidak mendedahkan nilai aset digital dikaitkan dengan peranti itu.

    Akhbar ThaiRath melaporkan, Nana dibawa ke Bahagian Pembanterasan Jenayah untuk disoal siasat sekitar pukul 10 pagi (waktu tempatan).

    Polis ketika sidang akhbar berkata, seramai 17 mangsa termasuk rakan karib Nana, telah memfailkan aduan sejak pertengahan November lalu.

    Pegawai berkata, ganti rugi yang disahkan kini berjumlah sekitar 195 juta baht (RM25 juta), lebih rendah daripada angka yang dilaporkan secara meluas iaitu 400 juta baht (RM51 juta).

    Menurut penyiasat, Nana didakwa memujuk mangsa untuk melabur dengannya dalam beberapa skim.

    Ia termasuk menawarkan pinjaman sebagai pertukaran untuk pulangan bulanan sebanyak empat hingga tujuh peratus, pelaburan saham palsu, usaha niaga restoran dan projek gelanggang bola keranjang.

    Salah seorang rakan karibnya, pelakon terkenal Janie Tienphosuwan, kerugian sekitar 3 juta baht (RM385,000) selepas melabur dalam sebuah restoran di Amerika Syarikat yang tidak wujud.

    Nana menafikan semua pertuduhan serta memberitahu pegawai bahawa dia tidak menyedari tindakannya adalah menyalahi undang-undang.

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/04/aset-rm1-3-juta-milik-pelakon-dirampas/

  • Kru kabin AirAsia diberi pilihan berhijab bermula Ramadan depan

    Kru kabin AirAsia diberi pilihan berhijab bermula Ramadan depan

    SEPANG- AirAsia mengumumkan pembaharuan dalam polisi pakaian seragam kru kabin syarikat penerbangan itu yang membolehkan kru wanita mempunyai pilihan untuk memakai hijab semasa bertugas yang dijangka bermula Ramadan depan.

    Dalam konteks ini, pakaian seragam kru kabin AirAsia yang berwarna merah akan kekal dengan pilihan hijab dan seluar yang direka secara profesional mengikut reka bentuk yang sama seperti dipakai oleh kru bertugas di laluan Jeddah.

    Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam, seragam AirAsia sentiasa mencerminkan profesionalisme, keselamatan dan keselesaan yang mana evolusi itu telah membina asas untuk memberikan keyakinan kepada kakitangan selaras dengan kepercayaan mereka.

    “Kru kabin AirAsia sebelum ini telah menggunakan hijab sebagai sebahagian daripada operasi di beberapa laluan terpilih, seperti Jeddah di mana ia diwajibkan oleh peraturan tempatan.

    “Pembaharuan terkini ini memperluaskan fleksibiliti tersebut kepada semua kru kabin wanita yang memilih untuk memakainya, seterusnya memastikan keseragaman di seluruh rangkaian syarikat penerbangan dengan mengekalkan identiti jenama AirAsia yang profesional,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

    Sementara itu, Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia, Suhaila Hassan berkata, Allstars syarikat itu berasal daripada pelbagai latar belakang, budaya dan kepercayaan, namun tetap bersatu dengan komitmen bersama untuk memberikan perkhidmatan dan penjagaan bertaraf dunia kepada para tetamu.

    “Polisi terkini ini membuktikan semangat pelbagai dan dinamik yang menjadi identiti AirAsia.

    “Kami akan terus menerima maklum balas daripada Allstars dan bekerjasama rapat dengan mereka dalam reka bentuk terperinci dan pelaksanaan sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya. Kami berharap untuk memulakan pada bulan Ramadan 2026,” katanya. – KOSMO! ONLINE

    🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2025/12/05/kru-kabin-airasia-diberi-pilihan-berhijab-bermula-ramadan-depan/

  • Guru didakwa cuba bunuh isteri, mohon jaminan kerana masih berkhidmat

    Guru didakwa cuba bunuh isteri, mohon jaminan kerana masih berkhidmat

    BALIK PULAU 4 Dis – Seorang guru lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan cuba membunuh isterinya menggunakan sebilah pisau pada 27 Ogos lalu.

    Tertuduh, Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.

    Mahkamah merekodkan pengakuan itu selepas menerima laporan psikiatri Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan, yang mengesahkan tertuduh layak untuk dibicarakan.

    Ketika pendakwaan pada 4 September lalu, tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh didapati tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dan gagal mengingati nombor kad pengenalannya.

    Mengikut pertuduhan, Muhammad Nazmi didakwa cuba membunuh isterinya berusia 28 tahun menggunakan sebilah pisau di sebuah rumah di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas sekitar jam 5.45 pagi pada 27 Ogos lalu.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sebatan jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Asma Amira Shahidani, tidak menawarkan jaminan atas faktor keselamatan mangsa dan saksi.

    Bagaimanapun, peguam bela Muhaimin Hashim memohon jaminan dengan alasan anak guamnya merupakan penjawat awam yang perlu mengekalkan jawatannya dan sedang menjalani rawatan major depressive disorder (MDD) serta perlu mengambil ubat Mirtazapine setiap hari.

    “Jika jaminan tidak diberikan, beliau berisiko ditamatkan perkhidmatan dan masa depannya akan terjejas,” katanya.

    Mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 dengan syarat tertuduh melapor diri di balai polis terdekat dan dilarang mendekati mangsa sepanjang prosiding.

    Kes ditetapkan untuk serahan dokumen pada 6 Januari depan.

    Di luar mahkamah, peguam bela Yazid Khairul Azman memaklumkan bahawa wang jaminan akan ditanggung oleh keluarga tertuduh dan anak guamnya tidak akan tinggal berdekatan dengan isterinya, selaras arahan mahkamah.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12911

  • Takiyuddin tuntut prosiding adil, mahu usul gantung dirujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan

    Takiyuddin tuntut prosiding adil, mahu usul gantung dirujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan

    KUALA LUMPUR 4 Dis – Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menuntut prosiding yang adil dengan meminta usul menggantungnya selama enam bulan dipinda supaya dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

    Takiyuddin berkata, sebagai ahli Parlimen, beliau berhak untuk membela diri dan menegaskan kesediaannya untuk menghadiri prosiding jawatankuasa berkenaan.

    “Berikan saya prosiding yang adil, berikan saya hak untuk bersuara dan hak untuk mempertahankan diri sendiri,” katanya ketika membahaskan usul berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) itu turut menyatakan kesediaannya untuk mengarahkan ahli-ahli Parlimen pembangkang menerima keputusan jika beliau dirujuk kepada jawatankuasa tersebut.

    “Saya profesional, saya gentleman. Saya tak takut dihadapkan ke mana-mana jawatankuasa.

    “Saya sebagai orang yang dituduh… kalau menteri boleh meminda usul ini dan merujuk saya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, saya akan arahkan rakan-rakan terima dan tidak perlu undi belah bahagi,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata Dewan Rakyat bukan tempat sesuai untuk membela diri kerana beliau perlu membawa saksi dan dokumen berkaitan.

    “Di sini mana mungkin saya bawa saksi dari Rusila. Ini hak saya. Saya menuntut hak kebebasan dan keadilan kepada saya. Adakah ini standard kita mengendalikan kes?” soalnya.

    Usul menggantung Takiyuddin selama enam bulan dibawa oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, susulan dakwaannya bahawa latihan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) disamakan dengan peristiwa Memali.

    Terdahulu, suasana Dewan Rakyat kecoh apabila beberapa wakil pembangkang membantah usul tersebut yang didakwa tidak mengikut peraturan mesyuarat.

    Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, bersama beberapa ahli Parlimen PN termasuk Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Besut), turut membangkitkan persoalan mengenai peraturan mesyuarat yang membolehkan usul itu dibawa.

    Ronald juga mempertikaikan mengapa Takiyuddin tidak dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan terlebih dahulu sebelum usul tersebut dibentangkan.

    🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/12912